Category: Semasa

  • Bot tempatan gajikan 4 PATI Myanmar ditahan

    Bot tempatan gajikan 4 PATI Myanmar ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di perairan negeri itu semalam kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan di kedudukan 33 kilometer barat Pulau Kendi, pukul 2 petang.

    Katanya, semasa rondaan rutin di perairan pulau berkenaan, pasukan bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan bot itu dan dirapati untuk pemeriksaan.

    Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati, empat kru nelayan termasuk tekong warga Myanmar berumur antara 26 hingga 31 tahun yang berada di atas bot itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa kebenaran dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kesemua kru, bot, dan hasil tangkapan ikan campur sebanyak 100 kilogram ditahan serta dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban untuk tindakan lanjut.

    Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan, salah laku dan kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

  • Gambar Hishammuddin peluk Noh curi perhatian

    Gambar Hishammuddin peluk Noh curi perhatian

    PERKONGSIAN oleh bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama sahabat baiknya, Tan Sri Noh Omar mencuri perhatian netizen.

    Ahli Parlimen Sembrong itu yang kini menjalani penggantungan daripada parti selama enam tahun mengambil peluang untuk melawat Noh di Tanjong Karang, yang dikatakan bakal menyertai Perikatan Nasional (PN).

    “Dari Sembrong ke Tanjong Karang, sahabat lama tetap dikenang. With my bro, Noh Omar,” kongsinya di Facebook, lapor Sinar Harian.

    Hishammuddin mengunjungi sahabat baiknya, Noh di Tanjong Karang.

    Hishammuddin mengunjungi sahabat baiknya, Noh di Tanjong Karang.

    Hishammuddin masih lagi aktif menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat walaupun digantung daripada parti.

    Semalam, beliau menegur tindakan beberapa pimpinan parti yang membuat pelawaan secara menyindir dan berseloroh kepada bekas ahli untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

    Jelasnya, tindakan itu menggambarkan mentaliti dan pemikiran kepimpinan UMNO sekarang dan ia tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi.

    Sementara Noh yang juga bekas Pengerusi UMNO Selangor dipecat parti pada 27 Januari lalu.

    Beliau sebelum ini menyatakan mahu memastikan Parlimen Tanjong Karang sebagai kubu kuat PN, sekali gus membantu kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

  • Polis tahan lelaki pukul kepala pemandu wanita

    Polis tahan lelaki pukul kepala pemandu wanita

    LELAKI tular videonya memukul kepala seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Tapah Perak, petang semalam, ditahan polis hari ini.

    Memetik laporan AlHijrah Online, lelaki tersebut telah ditahan petang tadi dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bagi tindakan lanjut.

    Difahamkan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian dalam masa terdekat.

    Terdahulu tular video memaparkan seorang lelaki berbaju merah keluar daripada kereta Proton Persona dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandu wanita serta memukul kepala mangsa.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang melibatkan pemandu wanita berusia 24 tahun berkenaan dilemparkan kata-kata kesat oleh lelaki itu sebelum kepalanya dipukul.

  • Semua orang tahu ‘dia’ jual tanah, kata Mahathir

    Semua orang tahu ‘dia’ jual tanah, kata Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan kenyataannya yang mendakwa bahawa Raja-Raja Melayu telah ‘menyerahkan negeri mereka’ semasa zaman penjajahan British, untuk kekal berkuasa dan untuk gelaran raja.

    Bercakap pada sidang media petang ini, Dr. Mahathir berkata, semua orang tahu bahawa Raja-Raja Melayu menjual tanah untuk mendapatkan hasil.

    “Saya sebut ‘something’ berkenaan Raja-raja Melayu, dulu macam mana mereka tidak ada duit, simpan cukai dan sebagainya.

    “Dan saya kaitkan dengan apa berlaku di Johor. Ini kenyataan, semua orang tahu. Takkan tak boleh cakap.

    “Semua tahu dia jual tanah. Dia jual tanah RM4 bilion.

    “Saya jumpa orang Cina tu, dia bangga beli tanah RM4 bilion.

    “Dan tanah tu kekal selama-lama sampai akhirat, tanah tu dah bagi pada orang itu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas status siasatan yang dilancarkan polis terhadapnya baru-baru ini.

    Pada 3 Jun lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa kertas siasatan ke atas Dr. Mahathir berhubung isu dia didakwa menghina institusi raja sudah disiapkan.

    Peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr. Mahathir berkata bekas perdana menteri itu disoal mengenai video yang dikatakan menunjukkan pemimpin berusia 97 tahun itu bercakap di sebuah majlis.

    Dalam video itu, Dr. Mahathir didakwa membuat kenyataan bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi mereka.

    Dr. Mahathir juga mendakwa bahawa Raja-raja Melayu telah ‘menyerahkan negeri mereka’, semasa zaman penjajahan British, untuk kekal berkuasa dan untuk gelaran raja.

    Mahathir disoal siasat oleh polis di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas dakwaan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

    Sementara itu, ditanya mengenai penganugerahan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Lim Kit Siang, Mahathir berkata, veteran DAP itu setaraf dengan bekas Musyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Aziz Nik Mat.

    “Sumbangan Kit Siang kepada negara tak boleh dilawan oleh mana-mana pihak lain, dia seorang yang setaraf dengan (Allahyarham) Nik Aziz,” katanya.

  • PRN: Tun M sahkan akan jumpa Muhyiddin

    PRN: Tun M sahkan akan jumpa Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan akan bertemu dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan mengenai pakatan untuk bertanding dalam pilihan raya di enam negeri.

    Beliau berkata, pertemuan dengan Presiden PArti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu antara lainnya untuk membincangkan mengenai kemungkinan pihaknya bertanding bersama Perikatan Nasional (PN).

    “Muhyiddin hari ini tidak dapat hadir tetapi beliau memberi sokong penuh terhadap Proklamasi Orang Melayu, malah beliau turut menghantar wakil.

    “Kita juga akan mengadakan pertemuan pada satu masa nanti. Kita akan berbincang, mengenai kemungkinan untuk (pihaknya) bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN), jika itu adalah kehendak semua,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, di Kuala Lumpur hari ini.]

    Turut hadir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Dr. Ibrahim Ali, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah dan bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia Datuk Zaini Hassan.

    Ditanya mengenai kemungkinan untuk Dr. Mahathir bertanding dalam PRN, beliau bagaimanapun menafikan perkara itu malah secara berseloroh berkata, beliau sudah pun berusia untuk diterima semua.

    “Saya sudah tua, sudah nyanyuk, tetapi saya tidak faham, orang Jepun, orang Korea panggil saya tetapi di sini (Malaysia) orang suruh bersara,” katanya.

    Mengulas mengenai Proklamasi Orang Melayu, Dr, Mahathir berkata, tindakan untuk mengumpulkan parti Melayu, badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan, bekas pemimpin politik adalah untuk bekerjasama bagi menyelesaikan masalah kemiskinan yang membelenggu orang Melayu.

    Katanya, antara usaha pertama yang akan dilakukan mereka adalah mengeluarkan satu deklarasi yang menyenaraikan sejumlah 12 masalah yang dihadapi orang Melayu.

    “Kita mahu mereka sedar mengenai kedudukan mereka yang lemah dan semakin menjadi lemah. Ekonomi negara kini dikuasai orang bukan Melayu malah ketika ini juga kuasa politik mereka juga sudah terjejas.

    “Oleh demikian, kita berpandangan bahawa untuk menyelamatkan orang Melayu, satu gerakan mesti diadakan merangkumi semua pihak dan ia akan menumpukan penyelesaian masalah ini,” katanya.

    Dr. Mahathir juga menjelaskan, Proklamasi Orang Melayu bukanlah untuk menolak hak bukan Melayu atau cuba menghapuskan orang Cina.

    “Jangan anggap gerakan ini sebagai anti bukan Melayu kerana apa yang kita lakukan, kita tahu hak bukan Melayu. Mereka akan terus berniaga dan mencapai kekayaan.

    “Tetapi kita juga mahukan keadilan dalam pengagihan kekayaan. Adil bukan sama rata kerana kita tidak boleh mendapat kekayaan yang sama rata kerana kekayaan orang Cina sudah begitu jauh,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau juga tidak menolak kemungkinan Proklamasi Orang Melayu akan bergerak dalam pelbagai tindakan termasuklah pilihan raya yang akan berlangsung pada masa hadapan.

    Dalam perkembangan itu, Abdul Hadi yang ditanya mengenai kerjasama dengan Dr. Mahathir berkata, PN menyokong penuh Proklamasi Orang Melayu, tanpa membuat sebarang ulasan lanjut.

  • Ketua Polis Daerah ditahan terima rasuah lebih RM1 juta

    Ketua Polis Daerah ditahan terima rasuah lebih RM1 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) Pahang menahan seorang Ketua Polis Daerah kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.

    SPRM dalam kenyataan berkata, pegawai kanan polis berusia 53 tahun tersebut disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.

    “Bayaran rasuah ini disyaki bagi melindungi pusat hiburan dan pusat urut yang tidak berlesen daripada sebarang tindakan dan gangguan pihak berkuasa,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Amin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009,” katanya, lapor Harian Metro.

  • 3 ditahan termasuk ahli perniagaan wanita dalang sindiket pengedaran dadah

    3 ditahan termasuk ahli perniagaan wanita dalang sindiket pengedaran dadah

    KEGIATAN satu sindiket yang menghantar dadah dengan kenderaan selepas mendapat pesanan tumpas selepas pihak polis menahan seorang wanita di sebuah rumah di Iskandar Puteri, Johor, pada Khamis lalu.

    Anggota Jabatan Siasatan Jenayah NArkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJN IPK Johor menahan wanita berusia 45 tahun yang juga ibu kepada dua orang anak itu dalam operasi khas bermula pukul 2 petang hingga 11.30 malam.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd. Zain berkata, wanita berkenaan ditahan susulan penahanan dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun di tempat letak kereta di Jalam Cemur, di Kuala Lumpur, pada hari sama.

    “Dalam serbuan pertama polis menahan dua lelaki terbabit dan merampas ganja seberat 52 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM160,000 dalam sebuah kereta Perodua Beza selain merampas sebuah kereta jenis Honda HR-V dan wang tunai RM485.

    “Susulan ke atas maklumat serbuan itu, polis kemudian melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Nusajaya, Johor, sebelum menahan wanita terbabit yang juga seorang ahli perniagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, sindiket pengedaran dadah ini dikesan bergerak aktif sejak sebulan lalu dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai kawasan pengedaran dadah kepada pelanggan.

    “Modus operandi sindiket ini adalah membuat penghantaran dadah kepada pelanggan dengan menggunakan kenderaan selepas mendapat pesanan.

    “Dua lelaki yang ditahan itu bertindak sebagai penghantar manakala suspek wanita terbabit adalah perancang utama kumpulan ini dan menjadikan aktiviti pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama,” katanya.

    Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit direman selama tujuh hari sehingga 9 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

    “Orang ramai boleh menyalurkan terus sebarang maklumat berkaitan dadah dengan menghubungi Hotline JSJN melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam),” katanya, lapor Harian Metro.

  • Sanusi tak gentar, sedia beri kerjasama 1000 peratus

    Sanusi tak gentar, sedia beri kerjasama 1000 peratus

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor nyata tidak gentar dengan siasatan dijalankan terhadapnya berhubung kenyataan dibuatnya baru-baru ini bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

    Menurut Muhammad Sanusi, beliau bersedia memberi kerjasama 1000 peratus terhadap siasatan dijalankan itu dengan pihak polis juga sudah menghubunginya berkaitan hal tersebut.

    “Ada (pihak berkuasa hubungi) tetapi saya belum beri keterangan lagi. Mungkin esok mereka datang ambil keterangan.

    “Saya akan beri kerjasama, 1000 peratus,” katanya kepada Warta Rakyat sebentar tadi.

    Terdahulu Perdana Menteri dalam sidang Parlimen pagi tadi memaklumkan polis sudah memulakan siasatan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah itu berhubung kenyataan Pulau Pinang milik Kedah.

    Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebahagian daripada laporan sudah dikemukakan kepada Peguam Negara dan sedang menunggu tindakan selanjutnya.

  • Laporan audit buktikan kejayaan kerajaan terdahulu tangani Covid-19 – Syed Saddiq

    Laporan audit buktikan kejayaan kerajaan terdahulu tangani Covid-19 – Syed Saddiq

    LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) yang dibahaskan hari ini membuktikan kejayaan kerajaan terdahulu mengemudi negara ini ketika berdepan dengan krisis pandemik Covid-19, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Bercakap di Dewan Rakyat, Syed Saddiq dari Muda berkata, laporan itu menunjukkan prestasi Malaysia menangani penularan Covid-19 lebih baik berbanding negara lain termasuk negara maju di Eropah dalam mencapai kadar imunisasi.

    Justeru, Syed Saddiq memberikan penghargaan kepada barisan hadapan di Kementerian Kesihatan yang cekap bertindak menangani pandemik itu selain memuji pimpinan Khairy Jamaluddin mengendali kementerian itu.

    “LKAN sahkan bahawa pelaksanaan dapat dijalankan dengan baik. Transisi daripada pandemik ke endemik berjaya apabila program PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika membahaskan usul LKAN di Dewan Rakyat hari ini, lapor MalaysiaNow.

    “Lagi cepat daripada tempoh tarikh yang telah disasarkan, sampai ke satu tahap kita jauh ke hadapan berbanding negara-negara lain, bukan saja di benua ini, tetapi negara maju lain di negara Eropah.”

    Malaysia mula berdepan ancaman Covid-19 pada awal 2020 sebelum kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Perikatan Nasional (PN) terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun itu bagi mengekang penularan Covid-19.

    Ketika negara sedang berdepan krisis kesihatan, berlaku perubahan pentadbiran yang menyebabkan Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikannya.

    Khairy yang pada ketika itu merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menggantikan Datuk Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

    Menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan Muhyiddin, negara berjaya mencapai sasaran untuk memastikan 80% rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin lengkap pada 21 September 2021, lebih awal daripada sasaran awal yang ditetapkan menjelang 16 Disember tahun itu.

    “Walaupun ada perkara yang boleh ditambah baik, diperhalusi, tetapi kita tidak boleh menidakkan perkara-perkara yang baik yang dikongsi dalam LKAN,” tambah Syed Saddiq.

  • Tiada pembangkang ketika usul bahas laporan ketua audit, Pas nafi PN boikot

    Tiada pembangkang ketika usul bahas laporan ketua audit, Pas nafi PN boikot

    TIADA pembangkang di Dewan Rakyat hari ini ketika blok pemerintah membentangkan usul membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021.

    Timbalan Speaker, Alice Lau menulis dalam Twitter bahawa wakil rakyat pembangkang tiada di Dewan Rakyat.

    Kerusi di blok mereka kelihatan kosong setakat 3 petang tadi.

    Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) membantah Dewan Rakyat membahaskan LKAN 2021, atas alasan membahaskan laporan itu bertentangan dengan Perkara 107(1) Perlembagaan, yang menyatakan ia hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

    Laporan itu dipercayai audit bagi tahun yang mana darurat diisytiharkan ketika wabak Covid-19 melanda. Ia diisytiharkan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan usul membahaskan LKAN 2021 selepas Dewan Rakyat selesai berehat.

    Ditanya mengenai ketiadaan wakil rakyat PN, Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin menjelaskan pembangkang tidak perlu menyertai perbahasan usul itu kerana mereka telah bersetuju dengan kandungannya.

    Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, PN bersetuju dengan kenyataan Ketua Whip, Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya semua pihak menyokong kerajaan agar dapatan audit dan syor terkandung dalam laporan itu diambil tindakan.

    “Ini bukan boikot tetapi isunya sekarang ini kita telah setuju,” katanya kepada FMT.

    “Banyak lagi rang undang-undang dan usul dibawa Ahli Parlimen, mengapa tidak dibahaskan?”

    Beliau berkata sewajarnya dapatan LKAN 2021 dibawa ke Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terlebih dahulu, yang dianggotai wakil rakyat pembangkang dan pemerintah.

    “PAC berhak memanggil siapa sahaja untuk mendapatkan jawapan jelas. Kemudiannya perkara itu barulah boleh dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan.

    “Itu baru betul caranya bila kita semua ada cukup maklumat,” katanya.

    Khairil menambah semua wakil rakyat PN tidak akan berada di dalam Dewan Rakyat sehingga usul itu habis dibahaskan.

    “Mengikut aturan mesyuarat, sampai petang usul ini akan dibahaskan. Jadi kami dah buat ketetapan (setuju dengan kandungan laporan). Mengapa perlu kami berada di dalam lagi?” jelasnya.