Oleh RIZQI ZABIDI
MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor nyata tidak gentar dengan siasatan dijalankan terhadapnya berhubung kenyataan dibuatnya baru-baru ini bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau bersedia memberi kerjasama 1000 peratus terhadap siasatan dijalankan itu dengan pihak polis juga sudah menghubunginya berkaitan hal tersebut.
“Ada (pihak berkuasa hubungi) tetapi saya belum beri keterangan lagi. Mungkin esok mereka datang ambil keterangan.
“Saya akan beri kerjasama, 1000 peratus,” katanya kepada Warta Rakyat sebentar tadi.
Terdahulu Perdana Menteri dalam sidang Parlimen pagi tadi memaklumkan polis sudah memulakan siasatan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah itu berhubung kenyataan Pulau Pinang milik Kedah.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebahagian daripada laporan sudah dikemukakan kepada Peguam Negara dan sedang menunggu tindakan selanjutnya.