Category: Semasa

  • Kisah inspirasi OKU buta dari Tanah Suci

    Kisah inspirasi OKU buta dari Tanah Suci

    PASANGAN suami isteri yang hadir sebagai orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan mengerjakan haji bagi pandangan manusia normal bukan satu tugas yang mudah kerana di Tanah Suci kerana banyak cabaran perlu ditempuhi.

    Ini termasuk menguruskan diri di bilik penginapan dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain juga cukup menyulitkan kerana semuanya berbeza dengan suasana di tanah air.

    Paling mencabar ialah ketika mahu menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram seperti melakukan tawaf dan saie kerana perlu bersesak dengan jemaah yang ramai dari negara lain.

    Tetapi apabila ditanya mengenai semua cabaran berkenaan, jawapan diberikan oleh pasangan OKU berkenaan dari Kuala Lumpur yang menjadi tetamu Allah pada tahun ini cukup memberi inspirasi bahawa semuanya boleh diatasi apabila sentiasa berfikiran positif.

    Muhammad Bukhara Zakaria, 64, dan isterinya, Siti Aidah Mustapha, 52, ketika ditemubual wartawan mengenai perjalanan haji mereka banyak berkongsi kekuatan dalam diri warga OKU yang jarang ada dalam diri manusia normal lain.

    Hadir tanpa pengiring tetap untuk membawa mereka ke mana-mana, pasangan berkenaan yang dibantu petugas Tabung Haji (TH) dan rakan sebilik sudah berjaya mengikuti beberapa aktiviti yang dijadualkan untuk jemaah.

    Kata Muhammad Bukhara, di Madinah dia dan isteri berjaya memasuki Raudhah dua kali dan perjalanan ke taman syurga itu berjalan dengan lancar walaupun ramai umat Islam tertumpu di Masjid Nabawi.

    “Saya nak bagi markah 100 peratus kepada petugas TH dan rakan sebilik di Madinah yang jaga kami dengan baik selama enam hari berada di sana. Semua perkara jadi lancar dengan bantuan mereka semua,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Katanya, dengan keupayaan mereka suami isteri berada di Tanah Suci tanpa memberikan masalah kepada pihak TH, diharapkan ia akan menjadi satu penanda aras bahawa selepas ini tidak sukar bagi OKU untuk menunaikan haji.

    “Semoga selepas ini lebih mudah bagi OKU lain yang ingin datang sebagai tetamu Allah pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

    Siti Aidah pula berkata, jemaah lain sentiasa membantu setiap kali melihat dia keluar daripada bilik penginapan.

    “Mesti ada yang mahu tolong pimpin saya untuk ke Masjid Nabawi dan apabila masuk ke sana saya rasa amat seronok, satu perasaan yang sukar digambarkan,” katanya.

    Mengulas mengenai kelancaran pergerakannya semasa berada di Makkah, Siti Aidah berkata, ia mungkin didorong oleh doa yang sering dititipkannya supaya dipermudahkan segala urusan.

    “Keluarga dan anak-anak semuanya bimbang dengan keadaan kami tapi saya kata tidak perlu fikir perkara yang menyusahkan, fikir yang baik-baik dan sentiasa berserah kepada Allah.

    “Sebagai OKU, kita juga harus berusaha untuk berdikari dengan semaksimum mungkin kerana tidak mahu mengganggu fokus ibadah jemaah lain yang ada urusan peribadi masing-masing,” katanya.

    Siti Aidah berkata, di tanah air dia sudah biasa bersesak dan sentiasa menggunakan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan LRT untuk ke tempat kerja di sebuah syarikat konglomerat terkenal.

    Sementara itu, seorang jururawat lelaki, Khairul Anuar Ramli tidak keberatan untuk berkongsi pengalamannya bertugas pada tahun pertama sebagai petugas haji di Makkah.

    Katanya, dugaan yang dihadapi amat berat kerana kehilangan ibu tercinta, Kamaliah Abd Hamid, 69, pada 3 Jun lalu selepas dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainon di Ipoh, Perak akibat muntah dan sesak nafas.

    “Apabila berada di sini, saya kena reda dengan ketentuan Allah dan anggap ia sebagai dugaan.

    “Saya sebenarnya sedih dan terkejut tetapi apabila berada di Tanah Suci dan tidak dapat pulang, saya hanya mampu berdoa agar roh ibu saya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.

    Katanya, kali terakhir bertemu dengan ibunya pada Aidilfitri lalu.

    “Pada masa itu ibu memang gembira saya dapat datang ke sini, tapi tak sangka itu adalah pertemuan terakhir kami,” katanya sambil menahan sebak.

  • ‘Legasi Nik Aziz mesti dipertahankan’ – Tuan Sabariah

    ‘Legasi Nik Aziz mesti dipertahankan’ – Tuan Sabariah

    LEGASI perjuangan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, mesti dipertahankan kerana jasa dan khidmat bakti beliau kepada rakyat negeri itu.

    Menerusi video TikTok @Harakah Daily, luahan isteri Allahyarham Nik Aziz, Puan Sri Tuan Sabariah Tuan Ishak yang menjunjung perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menganugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

    Menurut beliau, pengiktirafan tersebut menunjukkan kejayaan Allahyarham Nik Aziz yang berjuang dalam menegakkan agama Islam menerusi kehidupan rakyat dan pemerintahan negara.

    “Tugas dan peranan beliau sebagai Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun adalah begitu besar.

    “Politik benar-benar memberi kekuatan kepada penegak nilai dan hukum Islam dalam kehidupan terutama di Kelantan Darul Naim,” ujarnya menerusi coretan video dalam akaun media sosial itu, hari ini.

    Allahyarham Nik Aziz mula menceburi bidang politik pada tahun 1967 ketika berusia 36 tahun dan pada tahun 1990 sehingga 2013 beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan sebelum meninggal dunia pada 12 Februari 2015 di usia 84 tahun.

    Jasa dan pengorbanan beliau dalam politik dan keilmuan Islam tidak dapat disangkal serta pernah menerima pengiktirafan 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan bekas Menteri Besar yang memiliki rekod bersih di Malaysia.

    Dalam pada itu, menurut Tuan Sabariah, Dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi teras pemerintahan di Kelantan telah berjaya menyedarkan umat Islam sekali gus usaha tersebut kekal menjadi nilai kepimpinan.

    Tambah beliau, personaliti dan ketekunan Allahyarham Nik Aziz dengan ilmu istiqamah dalam perjuangan adalah kejayaan terbesar memimpin rakyat Kelantan.

    “Anugerah ini adalah pengiktirafan kepada Pas dan perjuangannya serta ia legasi yang mesti dipertahankan.

    “Perjuangan Pas kekal dengan Islam,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Ugut, pukul kepala wanita:Abang sado baju merah direman 3 hari

    Ugut, pukul kepala wanita:Abang sado baju merah direman 3 hari

    LELAKI berbadan tegap yang tular dalam rakaman memukul kepala dan mengugut seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah direman selama tiga hari.

    Perintah reman bermula hari ini sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah di Mahkamah Majistret Tapah, lapor Sinar Harian.

    Lelaki berusia 29 tahun terbabit tiba di mahkamah sekitar pukul 8.35 pagi berpakaian lokap warna ungu dengan tangan bergari dan diiringi anggota polis.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 dan 509 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah dan perbuatan mengaibkan kehormatan.

    Semalam, lelaki terbabit ditahan di sekitar Serdang, Selangor selepas mangsa berusia 24 tahun itu membuat laporan polis berhubung insiden terbabit.

    Lelaki yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang itu kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut.

    Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berlaku sekitar pukul 5.33 petang kelmarin ketika mangsa dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berusia 17 tahun.

    Kejadian dikatakan berlaku akibat salah faham di atas jalan raya sekitar pusat peranginan Lata Iskandar apabila mangsa cuba memotong sebuah kereta Proton Persona yang berada di hadapannya, namun tidak dapat berbuat demikian.

  • Biasa saja siasatan dunia, akhirat lebih teruk – Sanusi

    Biasa saja siasatan dunia, akhirat lebih teruk – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    “BIASA saja siasat atas dunia ini, siasat di akhirat lebih teruk.”

    Demikian reaksi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung siasatan dijalankan pihak berkuasa terhadap kenyataannya sebelum ini bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

    Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, pihak polis hanya menjalankan tugas mereka dan beliau pula akan tetap melaksanakan tugasnya.

    “Bukit Aman jumpa biasalah. Depa (mereka) buat kerja depa, saya buat kerja saya.

    “Saya pun tak tahu mereka nak datang pukul berapa. Lepas mesyuarat Excolah kot,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di m pintu masuk utama, Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Menurutnya, beliau bersedia untuk mendedahkan apa saja yang boleh didedah berhubung perkara itu.

    “Apa saya boleh dedah, saya dedahlah. Nanti saya fotostat seorang satu, ini ada satu beg dokumen saya bawa bersama.

    “Lawaklah dunia ini,” katanya.

  • KPM benarkan semula aktiviti luar bilik darjah

    KPM benarkan semula aktiviti luar bilik darjah

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) membenarkan semula pelaksanaan aktiviti luar yang ditangguhkan sebelum ini susulan cuaca panas.

    Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Dr. Norisah Suhaili menerusi surat siaran dan garis panduan yang dikeluarkan berkata, kebenaran tersebut berkuat kuasa semalam.

    “Mengambil kira situasi terkini, KPM membenarkan semula pelaksanaan aktiviti luar dengan memastikan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta anggota kumpulan pelaksana semasa berhadapan dengan fenomena cuaca panas terjamin,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Garis Panduan Aktiviti Luar Insitusi di bawah KPM menetapkan aktiviti luar bilik darjah boleh dilaksanakan di dalam suhu kurang 35°C dengan langkah kawalan dan tahap berjaga-jaga.

    Semua penyertaan murid di dalam aktiviti luar bilik darjah adalah dilaksanakan secara sukarela dan mendapat kebenaran ibu bapa.

    Kemudahan penyejukan seperti kanopi, ais, tuala basah perlu disediakan di bawah garis panduan tersebut.

    Murid digalakkan membawa air minuman dan minum sebelum, semasa dan selepas aktiviti diadakan.

    Selain itu, pelaksana perlu membuat penyesuaian tempoh, waktu mula dan tamat acara atau aktiviti berdasarkan perubahan cuaca persekitaran.

    Penerangan mengenai langkah pencegahan, simpton dan rawatan sekiranya mengalami gejala fenomena cuaca panas berlaku perlu diberikan kepada murid.

    Sekiranya suhu cuaca melebihi 35°C, semua aktiviti luar yang sedang berlangsung perlu ditangguhkan.

    Pada 4 Mei lalu, kementerian mengarahkan semua institusi pengajian di bawahnya supaya menangguhkan aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas.

    KPM memaklumkan, larangan itu termasuk merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah.

  • Mahkamah tolak permohonan SPRM tahan reman bekas Ketua Polis Daerah

    Mahkamah tolak permohonan SPRM tahan reman bekas Ketua Polis Daerah

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang gagal mendapatkan kebenaran daripada mahkamah untuk menahan reman seorang pegawai kanan polis, hari ini.

    Sebelum itu pegawai kanan polis terbabit yang disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah membabitkan nilai lebih RM1 juta dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan.

    Bagaimanapun majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menolak permohonan dikemukakan SPRM kerana masalah teknikal.

    Agensi antirasuah itu sepatutnya mengemukakan permohonan reman menggunakan akta mereka sendiri, iaitu Seksyen 49 Akta SPRM.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif, ketika mengemukakan permohonan reman pagi tadi menggunakan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    Peguam mewakili suspek, Bob Arumugam, ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosedur selesai memberitahu, SPRM boleh mengkehendaki suspek menandatangani bon atau ikat jamin jika mereka tidak dapat menyelesaikan siasatan.

    Katanya, selepas gagal mendapatkan kebenaran menahan reman suspek, SPRM hanya mempunyai masa 24 jam untuk melengkapkan siasatan mereka sebelum membebaskan pegawai kanan polis terbabit.

    “Ini bermakna mereka (SPRM) boleh menahan anak guam saya sehingga jam 4 petang ini bagi tujuan siasatan,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Pegawai kanan polis yang juga ketua polis daerah itu ditahan petang semalam ketika dipanggil untuk dirakam keterangan di pejabat SPRM Pahang.

    Suspek dikatakan menerima suapan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.

    Suapan itu didakwa bagi melindungi kegiatan pusat hiburan dan pusat urut yang beroperasi dalam daerah diketuainya.

    Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman memberitahu, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbukti melakukan kesalahan membabitkan integriti.

    Beliau turut memberi jaminan polis Pahang akan memberi kerjasama kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan kes itu.

  • Mayat lelaki hanya berseluar dalam ditemukan di tempat pembuangan sampah

    Mayat lelaki hanya berseluar dalam ditemukan di tempat pembuangan sampah

    SATU mayat lelaki dalam keadaan terlentang dan hanya memakai seluar dalam ditemukan di tepi jalan Felda Maokil-Bukit Kepong, Lenga, dekat Muar pada Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mayat yang dijumpai pada pukul 11.50 pagi itu dipercayai berada di lokasi tempat pembuangan sampah berdasarkan terdapat longgokan sampah di kawasan terbabit.

    “Pemeriksaan fizikal terhadap mayat oleh Pasukan Forensik Zon Utara dan Pasukan Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar mendapati keadaan mayat telah mereput dengan tiada sebarang identiti mangsa diperoleh,” kata beliau dalam satu kenyataan di Muar lewat malam tadi.

    Beliau berkata mayat dihantar ke unit forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan kepala akibat trauma tumpul dan dipercayai adanya unsur jenayah.

    “Setakat ini, pihak polis masih lagi menyiasat keberadaan sebenar mayat sama ada ia (lokasi mayat ditemukan) merupakan tempat kejadian kematian berlaku atau merupakan tempat kejadian kedua (mayat diletakkan di situ).

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan membawa hukuman mati.

    Justeru, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Derah Muar bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Zakini Ab Latif menerusi talian 013-233 8184.

  • Buruh tunggang motosikal melawan arus maut bertembung lori

    Buruh tunggang motosikal melawan arus maut bertembung lori

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya secara melawan arus bertembung sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Jalan Jabi – Pokok Sena, di Alor Setar pada 12.35 tengah hari semalam.

    Ahmad Nawawi Din, 66, yang bekerja sebagai buruh dan berasal dari Kampung Kepala Bukit meninggal dunia pada pukul 2.40 petang ketika menerima rawatan di hospital.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, sebuah lori mengangkut tanah yang dipandu lelaki berusia 57 tahun sedang bergerak dari arah Alor Setar menuju ke Pokok Sena.

    “Setiba di persimpangan lampu isyarat Jabi, sebuah motosikal sedang bergerak dari arah Pokok Sena dalam keadaan melawan arus di bahu sebelah kiri jalan.

    “Tiba-tiba penunggang itu terus melintas untuk ke kanan jalan dan ketika itu pemandu lori tidak sempat mengelak dan menekan brek lalu merempuh motosikal mangsa,” katanya.

    Ahmad Shukri berkata, mangsa tercampak ke atas jalan manakala motosikalnya terseret sejauh kira-kira 50 meter hingga memasuki laluan bertentangan.

    Katanya, pemandu lori terbabit pula sempat terjun daripada kenderaannya tanpa mengalami sebarang kecederaan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Hakim tarik diri dengar semakan kehakiman ibu bapa Teoh Beng Hock

    Hakim tarik diri dengar semakan kehakiman ibu bapa Teoh Beng Hock

    HAKIM Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh semalam menarik diri daripada mendengar permohonan semakan kehakiman ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya polis melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka hampir 14 tahun lepas.

    Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi pemberita berkata hakim itu menyatakan demikian semasa pengurusan kes tersebut hari ini.

    “Yang Arif (Amarjeet) telah menarik diri daripada mendengar kes itu kerana beliau pernah terlibat dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan kematian Teoh Beng Hock.

    “Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 10 Julai ini dan kes ini akan didengar di hadapan hakim baharu iaitu Wan Ahmad Farid Wan Salleh,” kata Ahmad Hanir.

    Teoh Leong Hwee, 75, dan isterinya Teng Shuw Hoi, 70, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 4 Jan tahun lepas, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, polis dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat. 

    Pada 16 Jun 2022, pasangan itu memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman selepas mahkamah menolak bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan tersebut.

    Pasangan berkenaan memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggari Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.

    Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan walaupun tiga pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat punca kematian Beng Hock, siasatan didapati belum lengkap kerana berdasarkan surat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM bertarikh 21 September 2021, Jabatan Peguam Negara telah menyerahkan kembali kertas siasatan kepada Ketua Polis Negara pada 3 September 2021.

    Mereka mendakwa kertas siasatan berhubung kematian Beng Hock telah dikembalikan kepada responden pertama, kedua dan ketiga oleh AGC untuk siasatan lanjut namun ia masih belum dilengkapkan oleh polis walaupun insiden itu berlaku hampir 14 tahun lepas.

    Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di tingkat 14 bangunan sama.

  • UMNO Selangor sedia menerima kembali Noh Omar, kata Jamal

    UMNO Selangor sedia menerima kembali Noh Omar, kata Jamal

    UMNO Selangor sedia menerima kembali bekas ketuanya, Tan Sri Noh Omar walaupun kebelakangan ini bekas Menteri Besar itu dilihat bersama Perikatan Nasional (PN).

    Ahli Jawatankuasanya, Datuk Jamal Yunos berkata, parti itu mengalu-alukan bekas ahli yang ingin kembali dan menyumbang kepada UMNO, walaupun beliau akui amat berdukacita bekas ketuanya dilihat bersama seteru.

    Jelas beliau, itu hak Noh tetapi sebagai individu yang banyak menikmati hasil daripada UMNO dan akhirnya berada di pentas lawan, keadaan itu amat mengecewakan.

    “Saya sangat menghormati Noh. Saya tak nafi jasa dia kepada UMNO, saya cuma ingin menasihati bekas bos saya dulu supaya berjiwa besar,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    UMNO pada Januari memecat Noh yang merupakan bekas pengerusi parti itu di Selangor atas alasan melanggar disiplin parti sewaktu PRU15.

    UMNO baru-baru ini mengumumkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, kembali menjadi ahli parti itu.

    Isa meninggalkan UMNO pada 2018 kerana ingin bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, selepas parti itu tidak meletakkan calon menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata UMNO tidak menutup pintu kepada mana-mana pihak yang mahu menyumbang.

    Noh dilihat cukup berpengaruh di Parlimen Tanjong Karang yang dipertahankan dalam PRU 1995 hingga 2018.

    UMNO bagaimanapun gagal merampas Selangor daripada Pakatan Harapan sejak 2008.

    Jamal akui bahawa UMNO Selangor bawah pimpinan Noh tidak bangkit selepas kekalahan itu.

    “Noh sudah memimpin UMNO Selangor dua kali dan tiga PRU. Saya tak kata dia gagal sepenuhnya tetapi bawah kepimpinannya saya lihat UMNO tak kembali bangkit,” katanya.

    Noh pada awal bulan lepas dilapor berkata beliau akan berusaha menjadikan Tajong Karang kubu kuat PN.

    Baru-baru ini, beliau berkata PN berpeluang merampas Selangor pada PRN akan datang kerana undi Melayu tidak berpecah, lantaran pertembungan satu lawan satu.