Category: Semasa

  • Johor ImmuPlan ditambah baik, bantu pekerja Malaysia di Singapur

    Johor ImmuPlan ditambah baik, bantu pekerja Malaysia di Singapur

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PROGRAM vaksinasi di bawah inisiatif kerajaan negeri iaitu Johor ImmuPlan yang bermula semalam memberi tumpuan khusus kepada barisan hadapan ekonomi di negeri ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

    Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, penambahbaikan dilakukan bagi memastikan lebih ramai individu menerima vaksin di bawah program itu tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

    “Penambahbaikan yang akan dilakukan termasuk menyediakan lebih banyak bekalan vaksin di bawah program ini,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Persada di sini semalam.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Mohd. Noh Ibrahim, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, Mohd. Tarmizi Dan.

    Johor ImmuPlan diperkenalkan bertujuan membantu barisan hadapan ekonomi Johor termasuk pekerja Malaysia dengan permit kerja sah di Singapura selain memiliki surat tawaran kerja atau surat majikan di Singapura.

    Proses vaksinasi bagi individu yang layak akan dijadualkan secara harian mengikut tarikh pendaftaran mereka iaitu pendaftaran awal akan mendapat tarikh janji temu terlebih dahulu.

  • Penjual daging didakwa edar dadah terlepas hukuman gantung

    Penjual daging didakwa edar dadah terlepas hukuman gantung

    SEORANG penjual daging di pasar awam terselamat daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Georgetown hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 59.7 kilogram (kg) tiga tahun lalu.

    Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sahul Hamid Mohd, 44, di akhir kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai milikan terhadap dadah itu.

    “Setelah menilai kes pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh memiliki dadah yang dirampas dan kereta yang mengandungi dadah berkenaan, maka tidak timbul isu pengedaran dadah,” katanya.

    Menurutnya sembilan saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan, namun terdapat percanggahan daripada dua keterangan saksi mengenai tarikh gambar barang rampasan yang diambil sehingga menimbulkan keraguan.

    “Mengikut keterangan saksi juga, tiada cap jari tertuduh yang ditemui dalam kereta mahupun di guni daun kanabis yang dirampas,” katanya.

    Mengikut pertuduhan, Sahul Hamid didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 59,708.4 gram di kawasan parkir kereta Pasa Raya Tesco Extra Sembilang, di Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah pada pukul 3.15 petang, 8 Januari 2018.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, manakala tertuduh diwakili peguam S. Rethinakumar dan T. Tamilsalvan.

    Sahul Hamid yang berbaju T putih dan seluar jeans kelihatan sebak dan memeluk ahli keluarganya selepas keputusan mahkamah.

  • Pemandu bas tak mengaku salah cabul kanak-kanak perempuan

    Pemandu bas tak mengaku salah cabul kanak-kanak perempuan

    SEORANG pemandu bas sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan melakukan kesalahan seksual ke atas seorang murid perempuan berusia 10 tahun, dua tahun lalu.

    Tertuduh K.Ravichandran, 53, selain itu minta kesnya agar dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

    Dia didakwa menyentuh kemaluan kanak-kanak itu di atas motosikalnya yang dinaiki budak perempuan tersebut ketika dalam perjalanan dari sekolah ke rumah mangsa di sini, antara pukul 1 hingga 1.25 petang, 6 Ogos 2019.

    Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Tertuduh juga hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih tiga tahun sepertimana di bawah Seksyen 295 (1A) Kanun Prosedur Jenayah, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Shamini Karunananthan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept depan untuk sebutan semula kes.

  • Bantuan perubatan sumbangan Arab Saudi selamat tiba

    Bantuan perubatan sumbangan Arab Saudi selamat tiba

    BANTUAN peralatan perubatan sumbangan Kerajaan Arab Saudi melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Center (KSrelief) untuk membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

    Agensi berita Saudi Press Agency (SPA) melaporkan, bantuan itu dihantar menggunakan dua pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh pada pagi semalam.

    Sumbangan peralatan perubatan itu termasuk 100 alat bantuan pernafasan, 150 alat bantuan pernafasan mudah alih, 319 pemekat oksigen, 30 alat sokongan pernafasan, 150 katil perubatan elektrik dan 15 vital signs monitors.

    Turut disumbang ialah tiga juta topeng pembedahan, satu juta topeng N95, 500,000 sarung tangan perubatan dan lain-lain keperluan perubatan.

    Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada malam tadi menyatakan bantuan tersebut akan diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Malaysia oleh duta Arab Saudi ke Malaysia pada petang ini.

    Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka menghadiri acara penyerahan itu.

    Kata laporan itu lagi, satu juta dos vaksin Covid-19 yang dijanjikan Arab Saudi akan diberikan melalui koordinasi dengan pejabat Menteri Luar Negeri.

    Vaksin itu akan disediakan oleh satu daripada pengeluar vaksin yang diluluskan Arab Saudi.

    Bantuan itu disumbangkan susulan perbualan telefon antara Hishammuddin dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz baru-baru ini.

    “Sumbangan ini melambangkan hubungan erat antara kedua-dua negara dan tanda keprihatinan Arab Saudi untuk membantu negara yang teruk terjejas akibat Covid-19,” kata SPA.

  • Bersatu Johor berdiri teguh, sokong PM terus pimpin kerajaan

    Bersatu Johor berdiri teguh, sokong PM terus pimpin kerajaan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor berdiri teguh di belakang Perdana Menteri untuk terus memimpin kerajaan.

    Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Ir. Md. Nasir Hashim menzahirkan sokongan pihaknya tanpa berbelah bahagi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata, Bersatu Johor juga menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar semua ahli Parlimen memberi keutamaan menjaga kesejahteraan rakyat.

    “Ini termasuk agenda memerangi Covid-19 pada sidang Parlimen khas yang sedang berlangsung ketika ini.

    “Bersatu Johor akan terus fokus dan komited untuk meneruskan agenda membela rakyat dan memulihkan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Jumaat.

    Beliau berkata, Bersatu Johor mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan empat ahli Parlimen Bebas yang menyokong Muhyiddin.

  • KSM siasat secara komprehensif insiden runtuhan perancah LRT3

    KSM siasat secara komprehensif insiden runtuhan perancah LRT3

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) akan menyiasat secara komprehensif insiden runtuhan perancah di tapak Projek Light Rail Transit Line 3 (LRT3), Klang, Selangor semalam yang menyebabkan seorang pekerja terbunuh.

    KSM melalui kenyataannya hari ini memaklumkan, sepasukan pegawai penyiasat daripada Ibu Pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan JKKP Selangor diarahkan memulakan siasatan dengan segera.

    Pihkanya memandang serius insiden itu dan siasatan komprehensif akan turut membabitkan penglibatan Bahagian Kejuruteraan Forensik dan Bahagian Keselamatan Tapak Bina, JKKP bagi mengenalpasti punca kejadian.

    “Ia juga untuk menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” jelas kementerian itu.

    Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 2 petang semalam, seorang pekerja warga Bangladesh yang berada di bawah runtuhan perancah itu disahkan meninggal dunia.

    Tiga lagi rakan senegaranya dan seorang warga Indonesia turut cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

    KSM menjelaskan, berdasarkan akta tersebut, menjadi kewajipan majikan memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja mahupun orang awam di tempat kerja yang berada di bawah kawalannya.

    “KSM ingin menegaskan bahawa kementerian sentiasa memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuklah kes kemalangan membabitkan sektor pembinaan,” katanya.

  • Pelancong lengkap divaksin dibenar memasuki Arab Saudi 1 Ogos

    Pelancong lengkap divaksin dibenar memasuki Arab Saudi 1 Ogos

    WARGA asing yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan mengunjungi Arab Saudi bermula 1 Ogos ini.

    Agensi berita Sputnik memetik pengumuman Kementerian Pelancongan Arab Saudi bagaimanapun berkata, pelancong asing masih perlu mengambil ujian PCR, 72 jam sebelum tiba di Arab Saudi.

    “Bermula 1 Ogos 2021, tiada lagi larangan masuk ke Arab Saudi kepada pemegang visa pelancong yang lengkap divaksin.

    “Tiada kuarantin diperlukan bagi mereka yang mempunyai sijil vaksinasi,” kata kementerian itu di Twitter, hari ini.

    Buat masa ini, Arab Saudi hanya membenarkan pengunjung yang menerima empat vaksin Covid-19 iaitu Moderna, Johnson & Johnson, AstraZeneca dan Pfizer.

    Secara keseluruhan, Arab Saudi mencatatkansebanyak 523,397 kes Covid-19 dengan 8,212 kematian.

    Arab Saudi memperkenalkan visa pelancong pada September 2019.

    Pada Mac 2020, pihak berkuasa menggantung sementara pengeluaran visa itu berikutan pandemik Covid-19.

  • Keselamatan, ketenteraman awam negara terkawal – KPN

    Keselamatan, ketenteraman awam negara terkawal – KPN

    KETUA Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memberi jaminan situasi keselamatan dan ketenteraman awam negara berada dalam keadaan terkawal.

    Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan meningkatkan pemantauan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.

    Sehubungan itu beliau meminta orang ramai untuk tidak gusar kerana pihaknya akan memastikan tahap keselamatan kekal berada pada tahap selamat.

    “Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian sebagai usaha bersama untuk membendung penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menzahirkan dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dipetik berkata, baginda turut menzahirkan dukacita kerana yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, ketika majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu, cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan sudah tidak dilaksanakan.

  • Parlimen: 11 individu positif Covid-19 semalam, Dr Noor Hisham saran jalani saringan sebelum sesi minggu depan

    Parlimen: 11 individu positif Covid-19 semalam, Dr Noor Hisham saran jalani saringan sebelum sesi minggu depan

    SEMUA individu yang akan hadir ke sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan agar menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini selepas ujian saringan yang dilakukan di Parlimen semalam mengesan sebanyak 11 kes positif Covid-19.

    Menurutnya, 10 kes positif itu dikesan melalui RTK Ag saliva test kit manakala satu lagi melalui RT PCR.

    “Sehubungan itu semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

    “Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sehingga pukul 8 malam, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.

    Ujarnya, dripada jumlah yang disaring tersebut, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif Covid-19 menjadikan secara keseluruhan 10 kes yang dikesan melalui RTK Ag saliva test kit (satu kes tengah hari, sembilan kes petang).

    “Sebanyak dua daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan kes tidak bergejala,” katanya.

    Beliau menambah, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

  • Vaksin Covid-19: Lebih 500,000 dos 4 hari berturut-turut

    Vaksin Covid-19: Lebih 500,000 dos 4 hari berturut-turut

    BUAT empat hari berturut-turut, jumlah vaksinasi harian Covid-19 di negara ini mencatat angka melebihi 500,000 dos apabila sebanyak 556,404 dos suntikan diberikan semalam.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah pemberian vaksin itu adalah yang tertinggi sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Februari lalu.

    Menerusi perkongsian infografik di Twitternya, beliau berkata, daripada jumlah yang diberikan semalam, sebanyak 343,530 adalah dos pertama manakala 212,874 lagi dos kedua.

    Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melalui laman Twitter memaklumkan secara kumulatifnya, sebanyak 19,502,452 dos sudah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat semalam.

    Jumlah itu meliputi 13,184,724 untuk dos pertama dan 6,317,710 bagi dos kedua.