BANTUAN peralatan perubatan sumbangan Kerajaan Arab Saudi melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Center (KSrelief) untuk membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Agensi berita Saudi Press Agency (SPA) melaporkan, bantuan itu dihantar menggunakan dua pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh pada pagi semalam.

Sumbangan peralatan perubatan itu termasuk 100 alat bantuan pernafasan, 150 alat bantuan pernafasan mudah alih, 319 pemekat oksigen, 30 alat sokongan pernafasan, 150 katil perubatan elektrik dan 15 vital signs monitors.

Turut disumbang ialah tiga juta topeng pembedahan, satu juta topeng N95, 500,000 sarung tangan perubatan dan lain-lain keperluan perubatan.

Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada malam tadi menyatakan bantuan tersebut akan diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Malaysia oleh duta Arab Saudi ke Malaysia pada petang ini.

Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka menghadiri acara penyerahan itu.

Kata laporan itu lagi, satu juta dos vaksin Covid-19 yang dijanjikan Arab Saudi akan diberikan melalui koordinasi dengan pejabat Menteri Luar Negeri.

Vaksin itu akan disediakan oleh satu daripada pengeluar vaksin yang diluluskan Arab Saudi.

Bantuan itu disumbangkan susulan perbualan telefon antara Hishammuddin dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz baru-baru ini.

“Sumbangan ini melambangkan hubungan erat antara kedua-dua negara dan tanda keprihatinan Arab Saudi untuk membantu negara yang teruk terjejas akibat Covid-19,” kata SPA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here