Category: Semasa

  • Projek jalan ‘shortcut’  Durian Burung ke Marang RM220 juta

    Projek jalan ‘shortcut’ Durian Burung ke Marang RM220 juta

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PENGGUNA jalan raya daripada Pulau Rusa dan Batu Enam tidak perlu lagi memasuki kawasan bandar Kuala Terengganu untuk ke Marang apabila siapnya pembinaan projek Kuala Terengganu Bypass yang juga dikenali sebagai ‘jalan shorcut’ tidak lama lagi.

    Projek pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kuala Ibai ke Durian Burung sejauh enam kilometer beserta dengan jambatan dan ‘calvert’ itu kini dalam proses kerja-kerja persiapan terakhir.

    Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Dr Mamad Puteh memberitahu, kerja-kerja bagi projek tersebut kini di sekitar 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun hadapan.

    Menurut Dr Mamad, pada awalnya kos pembinaan jalan ini adalah sekitar RM160 juta, tetapi telah ditambah RM60 juta lagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM220 juta. 

    “Projek ini terpaksa mengambil masa untuk disiapkan disebabkan beberapa faktor termasuk masalah pengambilan tanah dan juga perubahan skop kerja melibatkan tanah lembut dan beberapa perkara lain,”ujarnya.

    Dr Mamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang memberitahu demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Kuala Terengganu Bypass, baru-baru ini. 

    Menurut beliau, apabila projek ini siap kelak, ia bukan sahaja dapat memudahkan urusan orang ramai, tetapi juga membantu mengatasi masalah kesesakan jalan raya.

    Ini kerana katanya, selepas ini pengguna jalan raya daripada Pulau Rusa, Batu Enam tidak perlu lagi memasuki kawasan bandar Kuala Terengganu untuk ke Marang sebaliknya mereka boleh memasuki ‘jalan shortcut’ dengan keluar di Kuala Ibai.
     
    “Kita berharap projek ini akan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, untuk memberi manfaat kepada kita semua” katanya.

  • Pemimpin UMNO minta Puad Zarkashi tidak jadi batu api

    Pemimpin UMNO minta Puad Zarkashi tidak jadi batu api

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETUA Bahagian UMNO Kuala Krai, Datuk Zulkepli Omar meminta Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi tidak menjadi batu api dalam parti, sebaliknya berusaha keras membantu UMNO memulihkan kepercayaan rakyat dan mampu mentadbir semula negara.

    Beliau berkata, persengketaan dan percakaran sesama sendiri sepatutnya diketepikan pemimpin di semua peringkat dan ahli akar umbi, sebaliknya mencari peluang sebanyak mungkin untuk menang pilihan raya umum akan datang.

    Justeru kata Zulkepli, adalah lebih elok sekiranya Mohd. Puad memberi sokongan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana UMNO amat memerlukan kapasiti jawatan itu membantu parti demi menjaga rakyat di kawasan masing-masing.

    Datuk Zulkepli Omar

    “Kita sepatutnya bertolak-ansur dan bekerjasama antara satu sama lain, dalam situasi sekarang, sekiranya UMNO bercakaran sesama sendiri sudah pasti kepercayaan rakyat sudah tidak ada kepada UMNO.

    “Maka sebab itu saya amat berharap agar UMNO kembali bersatu dan buang persengketaan sesama kita dan fokus membantu rakyat dalam situasi yang amat memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Malah, Zulkepli turut kecewa dengan sikap Mohd. Puad yang banyak menghentam ramai pihak dan menganggap semua orang tidak betul, sedangkan beliau tidak perlu membuat perbandingan sebegitu atau mengambil apa-apa pendirian secara bersendirian.

    “Percakaran sesama kita, kita belakangkan. Kita fokus membela rakyat, itu yang penting bagi saya, jangan khianati parti dan meletakkan kepentingan parti paling utama,” katanya.

    Mohd. Puad dalam catatan Facebooknya berkata, Ismail Sabri tidak boleh melangkaui kepemimpinan parti meskipun memegang jawatan dalam kerajaan kerana dalam kedudukan parti, beliau adalah Naib Presiden dan bukannya Presiden, Timbalan Presiden atau Pengerusi BN sekali pun.

    Katanya, jawatan yang disandang Ismail Sabri bukan tiket untuk ‘bulldoze’ Presiden UMNO dan Pengerusi BN sebaliknya perlu mendapat persetujuan Presiden UMNO jika membabitkan soal parti.

  • Perintah berkurung di China Covid-19 kembali menular

    Perintah berkurung di China Covid-19 kembali menular

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    KERAJAAN China memerintahkan jutaan penduduknya menjalani perintah berkurung hari ini dalam usaha republik itu mengekang penularan jangkitan Covid-19.

    Ini susulan China hari ini merekodkan sebanyak 55 kes jangkitan tempatan ketika penularan varian Delta sudah pun merebak di 20 bandar dan lebih puluhan daerah.

    Pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa bandar utama termasuk Beijing sudah melakukan ujian saringan kepada jutaan penduduk, selain mengarahkan mana-mana kontak rapat pesakit Covid-19 menjalani kuarantin.

    Bandar Zhuzhou di wilayah Hunan mengarahkan 1.2 juta penduduknya duduk di rumah sepanjang perintah berkurung dilaksanakan tiga hari bermula hari ini.

    Bandar Zhangjiajie yang terletak berhampiran Zhuzhou terlebih dahulu sudah melaksanakan perintah berkurung sejak Jumaat lalu, melibatkan 1.5 juta penduduk.

    Daerah Changping pula mengarahkan 41,000 penduduk jangan keluar rumah pada minggu lalu.

    Selain itu, sejumlah kes baharu jangkitan bahru turut direkodkan di wilayah Hainan.

    Sementara itu, Beijing melarang kemasukan pelancong ke bandar raya itu buat sementara waktu bagi mengekang penularan.

    Hanya pengembara yang mempunyai keputusan ujian Covid-19 negatif dibenarkan memasuki Beijing, selain penduduknya juga dinasihatkan jangan meninggalkan bandar tersebut. – AFP

  • Lelaki cedera dihempap pokok tumbang ketika kebumikan jenazah bayinya

    Lelaki cedera dihempap pokok tumbang ketika kebumikan jenazah bayinya

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG lelaki yang sedang menguruskan menguruskan pengebumian bayinya cedera dihempap sebatang pokok tumbang di Tanah Perkuburan Islam Parit 1, Chenderong Balai, Teluk Intan, malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 8.41 malam semasa manga, 40, sedang menguruskan pengebumian bayinya yang meninggal dunia selepas dilahirkan pramatang.

    Katanya, setibanya di lokasi, didapati seorang lelaki, 40, terbaring setelah cedera di bahagian pinggul akibat dihempap pokok kelapa sawit.

    “Lelaki itu diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

    “Siasatan mendapati, pokok kelapa sawit yang telah reput itu tumbang akibat dibakar sebelum menghempap mangsa di bahagian pinggul,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Menurut beliau, kejadian tersebut tidak melibatkan mangsa lain dan difahamkan bayinya dilahirkan pramatang.

    “Seramai sembilan anggota dari BBP Teluk Intan dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian. Operasi tamat pada pukul 9.17 malam,” katanya.

  • Gempa bumi kuat landa Sumatera Selatan

    Gempa bumi kuat landa Sumatera Selatan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    GEMPA kuat berukuran 6.1 pada skala Richter di Sumatera Selatan, Indonesia berlaku pada pukul 6.48 pagi ini.

    Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, gempa sekuat itu berlaku pada jarak 244 kilometer dari barat Bengkulu.

    Bagaimanapun tiada ancaman tsunami dikeluarkan.

  • Tangguh sidang DUN, Covid-19 di Johor meningkat

    Tangguh sidang DUN, Covid-19 di Johor meningkat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan bersidang pada 12 Ogos ini perlu ditangguhkan susulan kes positif Covid-19 di negeri tinggi sejak kebelakangan ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, penangguhan adalah langkah terbaik bagi mengelak peningkatan kes termasuk mengelak mencetuskan kluster baharu.

    “Tambahan pula Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk berangkat bagi merasmikan sidang DUN Johor yang dibimbangi akan membahayakan baginda dan semua yang terlibat,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan bakul makanan secara simbolik kepada 78 ahli Persatuan Anak-anak Perantau Johor di Pasar Mufakat Sabah, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

    Sehingga hari ini, jumlah kes positif Covid-19 di Johor merekodkan 1,222 berbanding semalam yang mencatatkan 1,045 kes.

    Sementara itu, Che Zakaria mengecam penganjuran himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Dataran Merdeka, Sabtu lalu kerana dilakukan dalam keadaan tidak sesuai selain membuang masa.

    Beliau kesal kerana peserta diperalatkan pihak berkepentingan malah membahayakan nyawa mereka sendiri apabila melanggar prosedur operasi standard (SOP), tidak melakukan penjarakan sosial dan bersesak-sesak.

    “Apa yang kita dapat dengan buat demonstrasi seperti ini. Kita harap anak muda jangan terpengaruh dengan dengan mana-mana pihak untuk berdemonstrasi,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Anak-anak Perantau Johor.

    Dalam pada itu, beliau menafikan berlaku krisis Perlembagaan seperti yang didakwa pembangkang semata-mata kerana pembatalan Ordinan Darurat diumumkan di Parlimen baru-baru ini.

    Beliau berkata, tidak timbul soal tidak hormat terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung pembatalan Ordinan Darurat kerana proses itu sedang berjalan mengikut peraturan.

    Jelasnya, pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan perkara itu di Parlimen sekadar memaklumkan pendirian dan keputusan terkini Kabinet tanpa memperincikan proses itu sebenarnya masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong.

  • Gaza bakal dilanda gelombang ketiga Covid-19

    Gaza bakal dilanda gelombang ketiga Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEMENANJUNG Gaza berisiko dilanda gelombang ketiga Covid-19 tidak lama lagi.

    Ketua jabatan menangani Covid-19 di hospital Eropah, Mahmoud al-Sheikh berkata, jumlah pesakit dijangkiti wabak itu yang dimasukkan ke hospital semakin meningkat.

    Katanya, gelombang baharu Covid-19 dijangka melanda pada akhir bulan ini.

    “Ia akan mencapai kemuncak antara Oktober dan November,” katanya seperti yang dilaporkan Xinhua.

    Sementara itu, penasihat kepada Menteri Kesihatan Palestin, Fathi Abu Warda memberi amaran gelombang baharu mungkin tercetus di tengah-tengah lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini.

    “Kementerian Kesihatan bimbang dengan penularan gelombang baharu ini di Semenanjung Gaza,” katanya.

    Krisis kesihatan di Gaza katanya, semakin buruk berikutan kekurangan bekalan perubatan disebabkan sekatan dikenakan oleh Israel selama 15 tahun.

  • Rasuah: Kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah direman bantu siasatan

    Rasuah: Kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah direman bantu siasatan

    LIMA individu termasuk empat kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah di Kedah direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah pada 2019 dan 2020.

    Perintah reman ke atas mereka yang berusia 48 hingga 57 tahun termasuk seorang wanita itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di Alor Setar.

    Menurut sumber SPRM, mereka disyaki menerima rasuah daripada seorang pemilik tanah sebagai balasan mendaftarkan 41 nama pemilik lain ke dalam hak milik tanah tanpa melalui urusan pindah milik tanah yang sah.

    Katanya kelima-limanya ditahan antara 8.20 pagi hingga 4.20 petang semalam di beberapa lokasi di sekitar Alor Setar, Pendang dan Langkawi untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan perkara itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mengesan jika terdapat individu lain disyaki turut terlibat dalam kes itu.

  • Tiga negeri beralih Fasa 3 PPN-PM

    Tiga negeri beralih Fasa 3 PPN-PM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan menjadi perintis peralihan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu ini selepas merekodkan prestasi amat baik.

    Perdana Menteri berkata, perkara itu dicapai menerusi mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkembangan pelaksanaan PPN yang dipengerusikannya petang ini.

    Bagaimanapun, beliau mengingatkan negeri-negeri berkenaan untuk terus mematuhi porsedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan untuk menambah baik situasi pandemik di negeri masing-masing.

    “Tahniah dan syabas saya ucapkan. Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara, lebih banyak negeri dapat bergerak ke fasa seterusnya.

    “Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

    Beliau berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya.

    “Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya.

    Selain itu katanya, sidang khas MKN itu juga memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin termasuk membincangkan kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.

    “Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

    “Insya’Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambil kira keselamatan rakyat,” katanya.

  • Perlis negeri pertama beralih fasa tiga PPN

    Perlis negeri pertama beralih fasa tiga PPN

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MENTERI Besar, Datuk Seri Azlan Man memaklumkan, Perlis bakal menjadi negeri pertama beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Beliau berkata, perkembangan itu akan menyaksikan pelbagai aktiviti khususnya sektor ekonomi dan sosial kembali dibenarkan.

    Bagaimanapun katanya, pengumuman rasmi mengenainya akan dimaklumkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat bersama-sama perincian prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai semasa fasa ketiga tersebut.

    “Alhamdulillah, hari ini, mesyuarat MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri telah meluluskan pergerakan Perlis ke fasa ketiga PPN.

    “Ini bermakna banyak aktiviti harian dan operasi perniagaan tertentu yang boleh dibenarkan. Salah satunya ialah kebenaran untuk makan di restoran, kedai atau gerai makan.

    “Bagaimanapun ada SOP yang perlu dipatuhi. Apa pun, tunggu pengumuman rasmi daripada pihak MKN berhubung perkara ini,” katanya hari ini.

    Perlis telah memenuhi ketiga-tiga syarat untuk beralih ke fasa tersebut melalui jumlah kes, jumlah katil untuk pesakit Covid-19 dan kadar vaksinasi dua dos.

    Sehingga kini, jumlah vaksinasi Covid di negeri ini adalah sekitar 43.5 peratus iaitu melebihi 40 peratus jumlah yang melayakkan negeri ini beralih kepada fasa tiga PPN.

    Difahamkan dalam fasa tiga PPP, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi selain rakyat kembali dibenarkan bergerak tanpa had radius dalam Perlis namun pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.