Category: Semasa

  • Perpaduan kaum kunci utama keharmonian, kesejahteraan rakyat dan negara – Agong

    Perpaduan kaum kunci utama keharmonian, kesejahteraan rakyat dan negara – Agong

    PERPADUAN berbilang kaum ialah kunci utama kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Menerusi hantaran melalui Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka bertitah ia bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.

    “Malah, keutuhan perpaduan ini adalah juga kunci utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara serta benih dan sumber kekuatan bagi kita menghadapi apa jua cabaran semasa dan mendatang,” titah Al-Sultan Abdullah, lapor Sinar Harian.

  • Penduduk terkenang perjuangan pertahankan kediaman sempena sambutan kemerdekaan

    Penduduk terkenang perjuangan pertahankan kediaman sempena sambutan kemerdekaan

    KEJADIAN tahun awal 80-an yang pernah mencetuskan kegemparan itu masih segar dalam ingatan wanita tersebut. 

    Bertudung hijau dan berbaju hitam, Rawiyah Kamil membuka cerita. 

    Raut wajah yang dimamah usia itu menyimpan seribu satu memori di Kampung Melayu Bumi Hijau.

    Kawasan kampung itu dahulu terletak di tapak Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di Setapak, Kuala Lumpur. 

    Sebahagian laluan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 turut melalui kawasan kampung itu yang kini hanya tinggal kenangan.

    Menurut cerita Rawiyah, pada mulanya kawasan itu adalah kawasan bercucuk tanam dan akhirnya mula dipenuhi dengan rumah-rumah. 

    Dikatakan kawasan itu mempunyai kira-kira seribu penduduk.

    “Pihak berkuasa mula jenguk kawasan Bumi Hijau dan mengarahkan agar rumah-rumah yang telah dibina itu dipecahkan, walhal tanah di situ kami beli dan terus bikin rumah,” Rawiyah membuka cerita.

    Katanya, rumah-rumah itu dirobohkan kerana syarikat pemaju, SPPK Sdn Bhd, ingin membangunkan kawasan berkenaan. 

    Sebagai ganti, mereka akan diberikan unit flat empat tingkat di Taman Melati. 

    Rawiyah Kamil bercakap mengenai usaha mempertahankan rumahnya di Kampung Melayu Bumi Hijau.

    Rawiyah Kamil bercakap mengenai usaha mempertahankan rumahnya di Kampung Melayu Bumi Hijau.

    Penduduk tak setuju

    Sebahagian penduduk bersetuju manakala 13 keluarga tidak mahu meninggalkan rumah mereka, termasuklah keluarga Rawiyah.

    Mereka menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi mempertahankan tanah masing-masing.

    Kerja-kerja pembinaan mula dijalankan pemaju.

    Pada satu pagi, Rawiyah melihat sebuah traktor sedang menimbus tanah di kawasan kampung itu.

    “Penduduk mula berkumpul. Kami marah kepada pihak polis mengapa biarkan pemaju melakukan sesuka hati?

    “Satu anggota polis telah menarik dan lempang saya. Ketika saya terjatuh, dua orang polis dan satu anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah menendang kaki dan memijak peha kanan saya dengan kasut butnya.

    “Tubuh saya juga ditekan dengan senjata M16 semasa saya digarikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Ketika babak cemas ini berlaku, Rawiyah berkata seorang penduduk lelaki merayu kepada pasukan keselamatan meminta agar dia dilepaskan.

    Itu antara detik hitam yang dilalui suri rumah itu dalam mempertahankan tanah mereka.

    Ketika itu, dia berusia 30-an dan mempunyai tiga orang anak. 

    Suami ditahan

    Arwah suaminya, Sulaiman Yaakub yang ketika itu bekerja sebagai pemandu teksi, berkali-kali ditahan di lokap polis kerana kes tersebut.

    Lebih malang lagi, Rawiyah didakwa di mahkamah selepas membuat laporan polis malam sebelumnya. 

    Rawiyah Kamil (kiri) berbual dengan jirannya di Taman Rawiyah Sulaiman, Batu 8 Gombak.
    Rawiyah Kamil (kiri) berbual dengan jirannya di Taman Rawiyah Sulaiman, Batu 8 Gombak.

    Semasa perbicaraan, hakim mahkamah mendakwa Rawiyah diserang histeria.

    “Saya bertindak secara waras. Dia (hakim) ingin menangkan pemaju.

    “Tiga hari pihak polis dan hakim bincang untuk jatuhkan tuduhan histeria ke atas saya,” katanya.

    Selepas kejadian itu, Rawiyah berkata, suaminya mencari hakim tersebut di sebuah masjid ketika solat Jumaat yang mana suaminya memberi amaran kepada hakim berkenaan.

    Keluarga Rawiyah masih menyimpan keratan-keratan akhbar dan dokumen lama mengenai perjalanan Kampung Melayu Bumi Hijau yang kini sudah tiada lagi. 

    Pergeseran antara penduduk Bumi Hijau dan pihak berkuasa turut membabitkan nama-nama tokoh lain, antaranya Jomo Kwame Sundaram yang ketika itu bertugas sebagai pemberita melaporkan mengenai kes tersebut.

    Aktivis lain yang pernah datang membela mereka termasuklah pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr. Mohd Nasir Hashim, aktivis Syed Husin Ali, dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. 

    Apa erti kemerdekaan?

    Seorang penduduk, Abdul Malik Ishak dijemput untuk tinggal di Bumi Hijau oleh Sulaiman. 

    Rumah bekas tentera itu dibuat hasil semangat gotong royong orang kampung.

    Ceritanya, Bumi Hijau ketika itu tidak mempunyai bekalan air yang mana sumber itu diambil daripada kawasan bukit berhampiran.

    Dia antara penduduk yang masuk lokap kerana mempertahankan haknya.

    “Kami pergi ke pejabat SPPK di Damansara dengan aman untuk menyerahkan memorandum. Tetapi SPPK membawa FRU untuk menakut-nakutkan kami, walhal mereka tidak perlu masuk campur urusan orang kampung.

    “Ekoran itu, sesetengah penduduk yang terlibat penyerahan memorandum dibawa ke balai polis di Brickfields termasuklah saya dan anak saya yang masih belum bersekolah untuk diambil keterangan.”

    Seorang lagi bekas penduduk Bumi Hijau, Othman Manap berkata, pihak pemaju sebenarnya menimbulkan gangguan kepada penduduk sehingga mereka terpaksa melawan.

    “Pada mulanya, kami dianggap penduduk setinggan namun pihak peguam telah mengiktiraf kami sebagai peneroka bandar.

    “Kami ada lot-lot tanah dan rumah yang dibina tidaklah rapat antara satu sama lain seperti kawasan setinggan,” katanya.

    Menurut warga emas itu, rundingan dibuat antara pihak SPPK dan penduduk yang mana syarikat pemaju itu bersetuju mencari tapak baru untuk penduduk berpindah.

    Bagaimanapun, tapak itu tiada fasiliti yang mencukupi.

    “SPPK tetap melakukan kerja-kerja pembinaan walhal kita mempunyai perintah mahkamah yang menyatakan tiada kerja boleh dilakukan selagi mereka tidak menyiapkan infrastruktur di tapak baru itu.”

    Fasiliti kemudian dibangunkan oleh pemaju lain, Titijaya dan penduduk berpindah setelah berpuas hati dengan keadaan di tapak itu lewat tahun 90-an.

    Tapak itu dikenali sebagai Taman Rawiyah Sulaiman Jaya. 

    Menurut Rawiyah, nama itu dipersetujui oleh jawatankuasa sebagai menghargai jasa suami isteri itu mempertahankan penduduk kampung Bumi Hijau.

    Setelah empat dekad peristiwa itu, Rawiyah berkata ia memberikan makna kemerdekaan tersendiri untuk dirinya dan penduduk Bumi Hijau. 

    Ini kerana sekali lagi, penduduk berdepan dengan pengusiran dan gangguan ekoran pembinaan Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL).

    “Kemerdekaan itu bermakna kehidupan tidak diganggu, hutan-hutan tidak diancam. 

    “Kita ada kerajaan, tetapi mana kerajaan bila keadaan rakyat macam ini? Kemerdekaan bukan pada kerajaan sahaja, tetapi pada rakyat.

    “Ada rakyat, barulah ada kemerdekaan.” 

  • Prinsip Malaysia Madani dilanggar pemimpin kerajaan

    Prinsip Malaysia Madani dilanggar pemimpin kerajaan

    TATAKELOLA dan ‘good governance’ yang sering dilaung-laungkan pemimpin kerajaan sekarang dilihat seperti tiada signifikan.

    Psikososio dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr. Zulkeflee Yaacob berkata, begitu juga slogan Malaysia Madani tidak membumi apabila berlaku perlanggaran tatakelola.

    Katanya, isu dana kerajaan menggunakan simbol parti politik tidak sepatutnya berlaku apabila setiap pemimpin menghayati falsafah madani.

    “Namun malangnya tatakelola itu dilanggar dengan mudah apabila replika cek kerajaan dilekat dengan logo DAP bersama lambang Jata Negara. Ia amat dikesali.

    “Ini kerana dana awam merupakan duit kerajaan dan bukan duit parti politik. Meski pun parti politik berkenaan sebahagian daripada komponen kerajaan.

    “Persoalannya perlukah ada logo DAP jika duit itu duit kerajaan,” katanya, lapor Harakah Daily.

    Baru-baru ini Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyerahkan replika cek kepada 17 sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan Cina yang tertera lambang DAP.

    Bantuan itu merupakan sumbangan kerajaan berjumlah RM1.8 juta bagi membaiki dan menambah baik sekolah terbabit.

    Dr. Zulkeflee juga berkata, sebelum ini pemimpin DAP marah apabila BN menyampaikan bantuan dengan meletak logo BN.

    “Sekarang DAP sendiri menodai prinsip sejak menerajui Putrajaya yang memperlihatkan langgar kata tak serupa bikin,” ujarnya.

  • Dakwaan Mat Sabu terhadap Hadi satu pembohongan – Khairil Nizam

    Dakwaan Mat Sabu terhadap Hadi satu pembohongan – Khairil Nizam

    KENYATAAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yang mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mahu parti itu berpisah daripada Pakatan Rakyat (PR) kerana hudud dan negara Islam satu pembohongan.

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, apa yang jelas adalah dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohamad telah menghina Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, namun akhirnya memilih untuk bersama parti berkenaan tanpa rasa bersalah.

    “Tuduhan ini lahir dari seorang yang sudah biasa menipu dan kita sedia maklum yang terdapat banyak kenyataan Presiden Amanah sebelum ini jelas menipu rakyat dan ahli partinya sendiri.

    “Rakyat Malaysia dan ahli Pas pasti masih ingat kata-kata Mat Sabu dalam satu ceramah semasa masih bersama kami di mana beliau menyatakan sekiranya keluar daripada perjuangan ini (Pas), jangan ikut kerana mungkin masa itu dirinya sudah tidak siuman,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mohamad dalam satu ceramah pada Isnin mendakwa Abdul Hadi tidak menceritakan perkara sebenar punca Pas tidak mahu lagi bekerjasama dengan DAP kerana parti itu mahu bersama UMNO selepas PRU13.

    Dakwanya lagi, Pas memutuskan kerjasama dengan DAP kerana berhasrat mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO dan perkara itu dipersetujui dalam perbincangan Muktamar Pas pada 2015.

    Jelas Khairil Nizam, parti itu tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangan malah sejarah Pas memilih untuk tidak bersama DAP juga adalah kerana prinsip ini.

    “Hari ini, mereka yang mengutuk Pas kononnya mahu bersama UMNO untuk kuasa adalah mereka yang berada dalam Kerajaan Madani PH-UMNO. Ini juga adalah satu pembohongan pada rakyat,” kata beliau, lapor Sinar Harian.

  • ‘UMNO akan bersama Pas dan Bersatu bila Zahid tak jadi Presiden

    ‘UMNO akan bersama Pas dan Bersatu bila Zahid tak jadi Presiden

    PAS yakin UMNO akan bersama mereka dan Bersatu apabila Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi menjadi Presiden parti Melayu terbesar itu.

    Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Mahfodz Mohamed berkata, dengan bersatunya ketiga-tiga parti Melayu terbesar itu nanti akan dapat merealisasikan hasrat untuk terus menguasai kepimpinan negara.

    “Saya yakin dan percaya apabila Zahid tak jadi Presiden UMNO lagi nanti, saya yakin dan percaya tiga-tiga parti besar Melayu ini iaitu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas bersatu.

    “Maka insya-Allah kita akan kuat dan kukuh untuk terus dapat memimpin dan menguasai negara Malaysia tercinta ini,” katanya ketika berucap pada ceramah kelompok ambang Merdeka Perikatan Nasional di Kampung Jeram, Muar malam tadi.

    Mengulas lanjut, Mahfodz berkata Pas, Bersatu dan UMNO juga wajib bersatu padu bagi mendapatkan kemenangan besar dalam politik.

    “Untuk supaya calon-calon daripada Perikatan Nasional (PN) ini akan mendapat kemenangan yang lebih selesa di peringkat pusat atau negeri maka hendaklah kita bersatu padu, terutama dalam bidang politik ini maka tiga parti politik Melayu terbesar wajib bersatu padu.

    “Kerana dengan ketiga-tiga parti besar Melayu Islam ini iaitu UMNO, Bersatu dan Pas insyaallah tiga-tiga parti ini akan mendapat kemenangan yang besar,” katanya.

    Mahfodz berkata, ketika Pas dan Bersatu bergabung pun mereka sudah berjaya menguasai 74 kawasan Parlimen.

    “Dan begitulah juga hasil daripada bersatunya dua parti besar ini pada PRN enam negeri pun kita sapu bersih di Terengganu 32-0, di Kelantan 43-2 dan di Kedah 33-3.

    “Di Selangor hampir-hampir kita dapat merampas, siapa sangka daripada satu kerusi tiba-tiba kali ini kita boleh dapat 22 kerusi sehingga menghilangkan dua pertiga kerajaan Selangor yang ada pada hari ini.

    “Begitulah juga di negeri-negeri Selatan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dah sampai gelombang daripada Utara ke Negeri Sembilan, daripada 0 dapat 5,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri lalu, Barisan Nasional (BN) hanya menang dua kerusi di Selangor, iaitu DUN Sungai Air Tawar dan Dusun Tua, satu kerusi di Kelantan (Galas) dan dua kerusi di Pulau Pinang (Bertam dan Sungai Acheh).

    Di Terengganu, semua calon BN tewas, termasuk dua bekas menteri besar, Ahmad Said dan Ahmad Razif Abdul Rahman.

    BN Negeri Sembilan bagaimanapun mencatat keputusan baik apabila menang 14 daripada 17 kerusi ditandingi, membolehkannya menyumbang kemenangan majoriti dua pertiga bersama Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

    Pada PRU ke-15, UMNO di bawah pimpinan Zahid juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

  • Pelihara kemerdekaan tanpa pemikiran, budaya songsang LGBT

    Pelihara kemerdekaan tanpa pemikiran, budaya songsang LGBT

    KEMERDEKAAN ke-66 tahun yang dikecapi negara perlu dipelihara oleh seluruh rakyat tanpa pemikiran atau budaya songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mahu pun hiburan secara berlebihan.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, semua individu terutama generasi baharu wajib belajar dan menghargai pengorbanan yang dilakukan generasi terdahulu demi meraih sebuah kemerdekaan.

    “Semangat menentang penjajah perlu dikenang, dihargai dan disyukuri.

    “Erti kemerdekaan perlu dihayati bukan sekadar dizahirkan dengan perbuatan tetapi perlu berlandaskan syariat Islam dan al-Quran.

    “66 tahun kemerdekaan mengajar kita banyak perkara supaya negara terus kekal berdaulat, makmur dan sejahtera. Sesebuah negara bukan merdeka apabila rakyat berbangga meniru atau membawa pemikiran dan budaya songsang seperti LGBT mahupun hiburan berlebihan,” katanya dalam ucapan ketika Sambutan Kemerdekaan ke-66 peringkat negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu malam tadi.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

    Sambutan meriah dengan pertunjukan bunga api itu dihadiri hampir 30,000 rakyat negeri Kelantan sambil mengira detik jam 12 malam dan laungan merdeka.

    Mohd. Nassuruddin berkata, budaya negatif yang tidak dibendung boleh menjadi wabak dan barah khususnya dalam kalangan generasi muda.

    “Mereka ini mudah terpengaruh seterusnya hilang jati diri sebagai rakyat yang merdeka.

    “Pun begitu, Malaysia sangat bertuah dengan adanya masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam keadaan aman damai dan begitu juga di Kelantan,” ujarnya.

    Perarakan basikal tua menarik perhatian hadirin di Kota Bharu.
    Perarakan basikal tua menarik perhatian hadirin di Kota Bharu.

    Dalam pada itu, menurut Mohd. Nassuruddin, kerajaan negeri itu sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya yang menjadi asas utama agar usaha untuk mengekalkan nikmat kemerdekaan dapat dilakukan.

    Katanya, hubungan yang harmoni antara pelbagai kaum di Kelantan juga harus dikekalkan agar keamanan sentiasa terpelihara dalam keadaan Kelantan mengamalkan pembangunan berlandaskan syariat Islam.

    “Saya juga amat menghargai dan berterima kasih kepada semua anggota keselamatan yang sentiasa menjaga keamanan di negeri ini,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

  • ‘Pemimpin perlu beri nasihat adil, elak fitnah’ – Hamzah

    ‘Pemimpin perlu beri nasihat adil, elak fitnah’ – Hamzah

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pemimpin perlu memberi nasihat yang adil dan mengelak daripada cuba memfitnah hanya kerana pertembungan perbezaan politik.

    Ahli Parlimen Larut itu berkata, sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini perlu diisi dengan jiwa yang besar dan tidak perlu berdendam dengan menabur fitnah serta melakukan kezaliman terhadap mana-mana pemimpin atau rakyat.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata, pihaknya akan menentang sebarang kezaliman dalam negara yang tercinta ini.

    “Perikatan Nasional bertegas jangan ada sesiapa yang cuba menjebak fitnah, menahan lukah di pergentingan, mengadu domba dan melakukan kezaliman yang bertentangan dengan nilai kemerdekaan.

    “Nasihat atau tutur kata yang berbaur kepentingan diri menyebabkan tindakan sebegitu hanya akan menghakis rasa hormat rakyat kepada kita.

    “Jangan hanya pandai beretorik tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat demi masa depan negara yang lebih terjamin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kemerdekaan adalah anugerah besar dan mengajar anak watan berdiri di atas kaki sendiri.

    Menurutnya, merdeka turut mengajar untuk terus dewasa dan mematangkan diri mengikut acuan sendiri.

    “31 Ogos bukan sekadar tarikh keramat buat negara bangsa Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-66, tetapi ia juga merupakan cerminan solidariti sehati sejiwa bermula dari Arau hingga ke Tanjung Piai di Semenanjung serta dari Kudat membawa ke penghujung Ulu Lachau nun di Sabah dan Sarawak.

    “Marilah kita bersama membina negara ini menjadi sebuah negara yang adil dan dihormati serta disayangi oleh semua. Selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Hari Kemerdekaan detik gilap semangat moral demi negara gagah, bersatu – Azmin

    Hari Kemerdekaan detik gilap semangat moral demi negara gagah, bersatu – Azmin

    SAMBUTAN Hari Kemerdekaan pada tahun ini adalah detik untuk negara mencipta sejarah dengan menggilap semangat moral yang jitu demi Malaysia yang gagah dan bersatu.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Azmin Ali berkata, ia dapat dilakukan menerusi tumpuan kepada agenda prihatin rakyat dengan memacu pertumbuhan ekonomi lestari, melonjak kehebatan daya saing Malaysia di peringkat rantau dan global, mempercepatkan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan menjamin masa depan yang harmoni untuk rakyat Malaysia.

    “Maka, marilah kita rakyat Malaysia, bersatu hati dan bersatu tenaga, membingkai muafakat demi umat dan negara,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 tahun ini.

    Berikut kenyataan penuh Azmin yang disiarkan menerusi akaun Facebooknya semalam.

    31 Ogos mengingatkan kita kepada perjuangan untuk menebus maruah tanah air yang diinjak-injak oleh kerakusan kuasa penjajah.

    Justeru itu, perjuangan suci ini sewajarnya menjadi inspirasi kepada anak watan dan putera-puteri Malaysia untuk bangkit mempertahankan kedaulatan negara dan kemakmuran rakyat.

    Masa berlalu dan Negara berdepan dengan pelbagai cabaran baru. Kita berdepan dengan pembela nilai budaya asing yang bersekongkol dengan kedurjanaan dan meruntuhkan tamadun umat.

    Kita juga berdepan dengan kakistocracy yang gagal mengisi kemerdekaan dengan prinsip perjuangan yang luhur dan ikhlas, tenggelam dan lemas dengan kekuasaan dan kebesaran, acap berkata tidak dikota, ekonomi punah rakyat gelisah, akibatnya gelombang rakyat memuncak, menuntut dimerdekakan dari tangan-tangan perosak.

    Maka, marilah kita rakyat Malaysia, bersatu hati dan bersatu tenaga, membingkai muafakat demi umat dan negara.

    Hari Kemerdekaan pada tahun ini adalah detik untuk kita mencipta sejarah dengan menggilap semangat moral yang jitu demi Malaysia yang gagah dan bersatu.

    Kita tumpu agenda prihatin rakyat dengan memacu pertumbuhan ekonomi lestari, melonjak kehebatan daya saing Malaysia di peringkat rantau dan global, mempercepatkan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan menjamin masa depan yang harmoni untuk rakyat Malaysia.

    DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
    Ketua Penerangan
    Perikatan Nasional

  • ‘Jangan lupa asas kemerdekaan negara’ – Muhyiddin

    ‘Jangan lupa asas kemerdekaan negara’ – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat Malaysia untuk tidak melupakan asas kemerdekaan negara dibina atas terma mengenai hak-hak kaum yang telah dipersetujui secara bersama oleh pemimpin terdahulu.

    “Pematuhan kontrak sosial telah menjadi asas kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk hidup secara aman dan harmoni,” ujar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

    Antara terma tersebut adalah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak kerakyatan untuk kaum bukan Melayu dengan syarat-syarat termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Keamanan dan keharmonian yang dikecapi ini telah memberi ruang kepada usaha-usaha untuk mengisi kemerdekaan negara.

    “Ini termasuk memacu pembangunan dan kemajuan ekonomi yang telah mengangkat taraf hidup rakyat daripada kehidupan yang mundur dan miskin kepada kehidupan yang lebih maju dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook miliknya.

    Menurut Muhyiddin, sempena Hari Kebangsaan wajar untuk memperingati dan menghargai jasa-jasa pemimpin bangsa terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

    Jelasnya, sepanjang tempoh 66 tahun negara mencapai kemerdekaan dan dalam tempoh tersebut telah membuktikan Malaysia berjaya melalui pelbagai fasa pembangunan dan kemajuan.

    “Walau kerajaan manapun yang mentadbir negara, terma-terma menjadi asas kemerdekaan negara dan kemajuan bangsa ini terus dipertahankan serta dilaksanakan menerusi dasar-dasar atau program-program kerajaan yang jelas.

    “Semoga Malaysia terus aman, makmur dan harmoni,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Pendedahan Mat Sabu bukan benda baharu – Sanusi

    Pendedahan Mat Sabu bukan benda baharu – Sanusi

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan pendedahan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berhubung penolakan Pas terhadap DAP sebagai isu basi.

    Beliau berkata, Amanah menjadikan isu lama sebagai pendedahan baharu sedangkan hakikatnya sejarah berkaitan isu berkenaan sudah lama diketahui umum.

    Menurutnya, apa yang didakwa Mohamad juga merupakan satu tuduhan semata-mata.

    “Saya rasa parti itu (Amanah) pun parti yang di hujung usia, di hujung nyawa. Jadi mereka cuba mencari nafas baharu.

    “Benda (isu penolakan DAP) tak boleh membantu Amanah pun untuk berikan ‘oksigen’. Tak ada oksigen,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, pada Rabu.

    Pada Isnin, Mohamad mendakwa Pas memutuskan kerjasama dengan DAP kerana berhasrat mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO dan perkara itu dipersetujui dalam perbincangan Muktamar Pas pada 2015.

    Pendedahan yang dibuat dalam ceramah di Muar itu mendakwa Pas memutuskan hubungan dengan DAP bukan disebabkan hudud sebaliknya mahu menjalin kerjasama dengan UMNO.

    Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan, perkara itu tidak perlu lagi diperjelaskan berulang kali kerana semua jawapan sudah tersedia sebelum ini.

    “Semua jawapan itu dah ada. Dia kata akan buat satu pendedahan, tengok-tengok tak ada apa pun.

    “Benda yang sudah ada jawapan, itu bukan benda baharu. Itu semua tuduhan saja. Mat Sabu pun dah jadi sejarah juga,” tambahnya, menurut Sinar Harian.