Category: Semasa

  • Dr. Noor Hisham ucap takziah pemergian Siti Sarah

    Dr. Noor Hisham ucap takziah pemergian Siti Sarah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah merakamkan takziah kepada keluarga penyanyi terkenal Siti Sarah Raissuddin, 36, yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pagi ini.

    Beliau turut mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang terkorban akibat Covid-19.

    “Takziah kepada keluarga Siti Sarah Raissuddin dan kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang telah terkorban oleh Covid-19,” katanya,” katanya menerusi status dimuat naik dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

    Jumaat lalu Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki yang merupakan anak keempat pasangan itu ketika menerima rawatan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas tahap oksigen semakin tidak stabil.

    Keluarga penyanyi berkenaan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka dijangkiti wabak tersebut.

  • Siti Sarah meninggal dunia

    Siti Sarah meninggal dunia

    Oleh:Bernama

    PENYANYI terkenal tanah air Siti Sarah Raisuddin meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, pada pukul 5.13 pagi ini.

    Perkara berkenaan disahkan suaminya pelawak Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu, 39, menerusi Instagram rasminya.

    “5.13 minit pagi 9 Ogos 2021, bidadari syurga saya (Siti Sarah) pergi buat selamanya. Mohon sedekahkan Al-Fatihah,” katanya.

    Siti Sarah, 37 yang hamil tujuh bulan sebelum ini dimasukkan ke HCTM pada petang Rabu selepas mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan akibat jangkitan virus itu.

    Siti Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan dijangkiti wabak itu sejak 25 Julai lalu selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumahnya disahkan positif virus berkenaan.

    Penyanyi lagu Kesetiaan dan Ke Hujung Dunia itu kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas keadaan kesihatannya semakin merosot dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan anaknya keempatnya yang diberikan nama Ayash Affan pada petang Jumaat.

    Sarah dan Shuib berkahwin pada 2011, memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Martin, 6.

    Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarhamah Siti Sarah.

    “Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta ditempatkan di syurga Allah.

    “Kepada Shuib semoga tabah menghadapi dugaan Allah, sabar dan terus berdoa kepada Allah. Semoga dipermudahkan urusan buat Allahyarham,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Instagram persatuan berkenaan.- BERNAMA

  • Vaksinasi Covid-19: Lebih 24.5 juta dos diberikan semalam – Dr Adham

    Vaksinasi Covid-19: Lebih 24.5 juta dos diberikan semalam – Dr Adham

    Oleh:Bernama

    SEBANYAK 24,542,437 dos vaksin COVID-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 15,772,101 orang menerima suntikan dos pertama manakala 8,770,336 orang menerima dos kedua.

    “Mengikut peratusan, 48.3 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, manakala 26.9 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 mereka,” katanya.

    Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 389,641 dos diberikan semalam dengan 156,816 adalah pemberian dos pertama manakala 232,825 lagi adalah dos kedua.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • MKT UMNO tidak lagi sah selepas 30 Jun – peguam

    MKT UMNO tidak lagi sah selepas 30 Jun – peguam

    KEABSAHAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO terus menjadi persoalan apabila Peguam Aktivis dan Politik, Rizal Abdullah mendakwa jawatan MKT tidak lagi sah selepas 30 Jun 2021 kerana sudah cukup tiga tahun pelantikannya.

    Pandangan itu disuarakan di sebalik kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendakwa MKT parti itu masih sah pada Sabtu.

    Tegas Rizal, bukan sahaja kuasa MKT sudah tiada bahkan kuasa Setiausaha Agung parti itu juga boleh dipersoalkan.

    “MKT, tempohnya dah tamat pada 30 Jun baru-baru ini, cukup tiga tahun sebab kalau berpandukan kepada Perlembagaan UMNO sendiri, Fasal 9.3, jawatan UMNO temasuk MKT hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Perwakilan Bahagian setiap tiga tahun sekali.

    “Perkataan di sini ialah “hendaklah”, ia bukan pilihan, anda kena buat. Jika tamat tempohnya, tiada peruntukan langsung (dalam Perlembagaan UMNO) bahawa mereka masih boleh memegang jawatan walaupun sebagai caretaker.

    “Ini termasuk jawatan Setiausaha Agung sendiri di bawah fasal 9.6. fasal 9.6 Perlembagaan UMNO menyatakan Setiausaha Agung pun tempoh beliau berjawatan adalah sama dengan MKT,” katanya kepada Astro AWANI.

    Justeru, katanya, sekiranya MKT sudah tidak berjawatan dan tidak berkuasa, kuasa Setiausaha Agung juga boleh menjadi tanda tanya.

    Pandangan hampir sama juga disuarakan seorang lagi peguam Syed Khaled Syed Taha yang menyatakan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) jelas menyatakan pelantikan MKT UMNO tamat pada 30 Jun lepas.

    “RoS adalah penentu dalam isu-isu pertubuhan dalam negara. Surat dikeluarkan RoS adalah jelas mengatakan bahawa MKT, sesi pada tahun ini telah tamat. Oleh kerana itu, penangguhan diminta atau diputuskan MKT adalah tidak sah.

    “Pihak RoS juga telah mengarahkan pemilihan dilakukan secepat mungkin. Saya berpendapat kenyataan pihak RoS lebih patut diguna pakai (daripada kenyataan UMNO. Namun dalam Akta Pertubuhan 1966, UMNO boleh mengemukakan rayuan kepada pihak pendaftar untuk menjelaskan pendirian mereka.

    “Jikalau pihak pendaftar bersetuju dengan alasan diberikan, mereka boleh bersetuju untuk ‘menghalalkan’ penangguhan tersebut,” ujarnya.

    Sebelum ini, MKT UMNO mengumumkan penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan bermula pada 7 Julai lalu.

    Bagaimanapun, pada Jumaat, Ketua Pengarah RoS Jasri kasim menjelaskan penangguhan itu tidak sah kerana tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021.

  • ”Saya ada masalah kepercayaan terhadap Presiden’’ – Khairy

    ”Saya ada masalah kepercayaan terhadap Presiden’’ – Khairy

    AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bagaikan melepaskan apa yang terpedam selama ini terhadap tingkah laku Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi apabila mendedahkan, beliau ‘ada masalah kepercayaan’ terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

    Beliau yang juga Menteri Sains dan Teknologi berkata, beberapa keputusan yang dibuat Ahmad Zahid seakan-akan tidak ada hala tuju dan lebih teruk lagi sanggup memberitahu Yang di-Pertuan Agong menerusi sepucuk surat sebelum ini yang mendakwa semua Ahli Parlimen UMNO memberi sokongan untuk melantik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteriu

    ‘’ Oktober lalu beliau utuskan satu surat kepada Yang di-Pertuan Agong  atas nama Presiden UMNO yang menyatakan semua ahli Parlimen beri sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    “Sedangkan saya tidak pernah dirujuk, ditanya oleh presiden, jauh sekali saya memberi kebenaran kepada presiden untuk menggunakan nama saya. Macam mana saya nak percaya presiden macam ni, ini yang pertama?,” katanya selepas mengadakan lawatan di Iskandar Malaysia Studio di Iskandar Puteri, Johor, lapor beberapa media.

    Beliau berkata, isu kedua ialah berkaitan rakaman audio antara Ahmad Zahid dengan Anwar yang tular.

    ‘’Apabila timbul rakaman perbualan dengan Ketua Pembangkang, namun Ahmad Zahid menafikannya dan maklum pula nak buat laporan polis. Bagaimanapun selepas itu beliau mengaku pula rakaman itu adalah tulen,’’ katanya.

    Kini kata beliau, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mendakwa keputusan yang diumumkan baru-baru ini untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan PN  dibuat secara sebulat suara dalam MKT sedangkan ahli Parlimen UMNO pula berbeza pandangan dengan ketetapan yang diputuskan.

    Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, sehingga hari ini beliau masih menjalankan tanggungjawab sebagai menteri yang diamanahkan.

    Katanya, beliau dan beberapa lagi Ahli Parlimen UMNO akan membuat pendirian pada sidang Parlimen pada September ini.

    “Saya orang parti (UMNO) dan saya merayu kepada parti sehingga September undian akan menentukan keabsahan dan saya masih dengan UMNO, setia dengan UMNO, biarlah saya kerja vaksinasi ini. Bagi pihak UMNO juga, saya menteri UMNO. Selesai undi (menentukan keabsahan) nanti kita boleh buat keputusan apa seterusnya,” katanya.

  • Sanitasi awam bukan pembaziran, tetap diteruskan – Zuraida

    Sanitasi awam bukan pembaziran, tetap diteruskan – Zuraida

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PROSES sanitasi di tempat awam dan premis bangunan akan diteruskan dan relevan untuk dilaksanakan sebagai langkah pembasmian kuman termasuk virus Covid-19.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin menafikan kerja-kerja sanitasi merupakan satu pembaziran.

    Menurut beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil pendekatan itu sebagai langkah pencegahan dan pengawalan terutama berkaitan Covid-19.

    “Atas dasar itu, kita buat sanitasi dan kita buat di tempat awam. Kita ambil langkah berjaga-jaga dan kita tak pasti dapat banterasCovid-19 100 peratus, tapi ini adalah usaha di samping langkah lain oleh kerajaan termasuk vaksinasi.

    “Kita bersikap positif, kita buat mengikut (saranan) Petubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan bukan sembarangan. proses sanitasi diiktiraf WHO,” katanya kepada pemberita selepas program MOVAK di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata, sehingga kini lebih 37,000 operasi sanitasi awam dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara.

    Selain itu, katanya lebih 24,000 premis awam dan bangunan kerajaan disanitasi melalui operasi berkenaan.

    Sebelum ini, pakar kesihatan termasuk pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata operasi sanitasi awam secara besar-besaran di seluruh negara merupakan pembaziran sumber.

  • Johor terima dua juta dos vakin bulan ini – TMJ

    Johor terima dua juta dos vakin bulan ini – TMJ

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, negeri ini akan menerima dua juta bekalan dos vaksin dalam bulan ini.

    Menurut Tunku Ismail, perkara itu dimaklumkan dalam pertemuannya dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di Royal Johor Polo Club di sini hari ini.

    “Pertemuan ini mengenai kadar vaksinasi dan pembekalan vaksin di Johor dan hasil perbincangan ini, Johor akan menerima sebanyak dua juta dos vaksin untuk bulan ini.

    “Dos vaksin ini tiba pada 1 Ogos berjumlah 324,940 dos, pada 9 Ogos (564,234 dos); 16 Ogos (340,150 dos) dan 23 Ogos (796,344 dos),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di sini hari ini.

    Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

    Hadir sama dalam pertemuan itu Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Tunku Ismail juga sudah mengarahkan kerajaan negeri untuk membuka satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu khas di Arena Larkin di sini bagi memudahkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) mendapatkan dos vaksin mereka.

    “Semoga pengumuman ini akan menghasilkan pencapaian imuniti kelompok dalam jangka masa yang terdekat,” kata Tunku Ismail. – SB

  • Lima lokaliti di tiga negeri dikenakan PKPD

    Lima lokaliti di tiga negeri dikenakan PKPD

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di Sabah, Terengganu dan Kelantan bermula 10 hingga 23 Ogos ini.

    Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, PKPD di Sabah membabitkan tiga lokaliti di Tawau iaitu Blok 11, Kampung Titingan; Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut dan Kampung Rawa-Rawa Batu 4.

    “PKPD di Sabah turut dilaksanakan di dua lokaliti di Kalabakan membabitkan Perumahan Ladang Kapur, Benta Wawasan dan Perumahan Ladang Surudung, Usahawan Borneo serta Kampung Padas, Kota Kinabalu.

    “Dua lagi kawasan yang dikenakan PKPD adalah di Desa Keluarga YPD Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu dan Kampung Baru Pupoh, Pasir Puteh, Kelantan,” katanya dalam kenyataan harian Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

    Katanya, pelaksanaan PKPD itu adalah berdasarkan pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.

  • Kemudahan sektor sosial untuk individu lengkap vaksin di negeri Fasa Dua PPN

    Kemudahan sektor sosial untuk individu lengkap vaksin di negeri Fasa Dua PPN

    KERAJAAN bersetuju memberikan kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri yang berada dalam Fasa Dua  Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya, berkuat kuasa Selasa ini.

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata antara kemudahan yang dibenarkan adalah rentas daerah, aktiviti ‘dine-in’ atau makan di premis, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa (homestay) dan hotel.

    Perkara itu diumumkan Muhyiddin dalam pengumuman khas kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap yang disiarkan di stesen televisyen tempatan, hari ini.

    Individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah mesti menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi COVID-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

    Bagi aktiviti dine-in, perdana menteri menasihatkan orang ramai agar memilih premis yang mempunyai pengudaraan yang baik dan terbuka selain melakukan aktiviti berkenaan hanya sekiranya perlu atau secara take-away (bungkus) serta tidak berada terlalu lama di premis berkenaan.

  • Brunei kembali laksana PKP lebih ketat

    Brunei kembali laksana PKP lebih ketat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BRUNEI kembali melaksanakan peraturan kawalan pergerakan (PKP) lebih ketat kepada rakyatnya selepas mengesan kes COVID-19 tempatan buat kali pertama dalam tempoh lebih setahun, .

    Menurut Kementerian Kesihatan Brunei, langkah kawalan dengan segera itu dilaksanakan semula selama dua minggu termasuk menutup masjid, surau dan tempat ibadat lain.

    Selain itu, Kementerian Kesihatan Brunei juga memaklumkan sekolah beralih kepada pembelajaran online, makan di restoran tidak dibenarkan, menutup kemudahan sukan dalam dan luar, pusat riadah serta pawagam.Tiada perhimpunan sosial dibenarkan manakala premis perniagaan seperti pasar raya dan tamu dibenarkan dengan penjarakan sosial.

    Bagi mengelak kebimbangan penyebaran varian Delta di seluruh dunia termasuk Brunei, Kementerian Kesihatan negara itu juga mewajibkan pemakaian pelitup muka dengan arahan berkenaan berkuat kuasa kepada semua individu tanpa mengira status vaksinasi.

    Dengan lapan kes baharu yang dilaporkan semalam, jumlah kes COVID-19 di Brunei meningkat kepada 347.

    Kali terakhir kes jangkitan tempatan dilaporkan di negara itu adalah 6 Mei 2020.

    Ketika ini, negara-negara di Asia Tenggara menyaksikan peningkatan kes baharu susulan penularan varian Delta.Kementerian Kesihatan Brunei berkata, lima daripada tujuh kes tempatan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh beberapa bulan terakhir.

    Dua lagi kes tempatan mempunyai asal usul jangkitan yang tidak diketahui dengan gejala ringan, tetapi tiada sejarah perjalanan ke luar negara.

    Kes import pula membabitkan seorang lelaki berusia 37 tahun yang tiba di negara berkenaan pada 30 Julai lalu dari Timur Tengah melalui Kuala Lumpur.

    Kementerian Kesihatan, memaklumkan pihaknya kini sedang mengesan kontak rapat membabitkan semua kes terbabit.