Category: Semasa

  • Polis tahan 18 individu terlibat parti liar di Kepong

    Polis tahan 18 individu terlibat parti liar di Kepong

    POLIS menahan 18 individu termasuk tujuh wanita dengan empat daripadanya wanita warga asing dipercayai menyertai parti liar di sebuah kondominium di Kepong, di sini, awal hari ini.

    Kesemua yang ditahan turut dikompaun sebanyak RM4,000 seorang di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata semasa serbuan pada 1 pagi itu, kesemua individu berusia 19 hingga 42 berkenaan sedang minum minuman keras selain memasang bunyi muzik yang kuat. 

    Beliau berkata siasatan ke atas dua lelaki berusia 19 dan 27 tahun yang juga penganjur parti itu mendapati aktiviti berkenaan dipromosi melalui aplikasi WeChat dan mengenakan bayaran RM150 bagi setiap bilik di kondominium itu.

    “Suspek juga dipercayai melakukan penganjuran parti liar itu sejak awal bulan ini manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati 12 individu positif dadah jenis amphetaminemethamphetamine dan ketamin. Polis turut merampas dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 27.50 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beh berkata permohonan reman akan dibuat ke atas kesemua individu itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA

  • Raissuddin terasa sepi selepas pemergian Siti Sarah

    Raissuddin terasa sepi selepas pemergian Siti Sarah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BAPA kepada penyanyi, Allahyarham Siti Sarah, Raissuddin Hamzah merasakan dunia seakan terlalu sepi selepas mengetahui pemergian anaknya itu.

    Penyanyi veteran tersebut yang turut serta dalam majlis tahlil dan bacaan Yassin untuk anaknya berkata, dia hilang kata-kata apabila dimaklumkan oleh menantunya, Shuib.

    “Shuib datang berjumpa saya. Dia datang dengan senyuman. Dia melutut di depan saya dan dia kata, Siti dah tak ada.

    “Apabila berlakunya perkara ini, saya tak berkata apa-apa. Saya tak tahu nak kata apa,” katanya yang menamatkan proses kuarantin kendiri pada hari ini, reda dengan ketentuan Allah.

    Katanya, apa yang berlaku adalah satu ketentuan yang ditetapkan Allah dan sudah ditakdirkan.

    Raissuddin juga memohon agar semua mendoakan kesejahteraan anaknya.

    “Marilah kita sama-sama doakan dia. Doakan agar dia tenang di sana. Kita cuma hanya dapat mengenang, tapi dia takkan kembali,” katanya.

  • Lelaki disyaki ejen pemerdagangan manusia ditahan rasuah anggota polis

    Lelaki disyaki ejen pemerdagangan manusia ditahan rasuah anggota polis

    Menurut sumber, individu berusia 20 tahun itu telah memberi rasuah berjumlah RM2,500 kepada seorang anggota polis di sekatan jalan raya snap check, susur Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) menghala ke Jalan Bakar Batu di sini pada 5 Ogos lepas.

    “Individu itu ditahan selepas dilihat mencurigakan dan semasa pemeriksaan badan dilakukan, lelaki berkenaan memberikan wang rasuah tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan tangkapan ke atasnya yang disyaki menjadi ejen aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya.

    Sehubungan itu, individu terbabit ditahan pada 1 tengah hari tadi di pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu. – BERNAMA

  • Permohonan rentas negeri pasangan jarak jauh dijangka meningkat – Bukit Aman

    Permohonan rentas negeri pasangan jarak jauh dijangka meningkat – Bukit Aman

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan berlaku peningkatan di seluruh negara bagi permohonan merentas negeri pasangan jarak jauh susulan kelonggaran diberikan kerajaan baru-baru ini.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata susulan itu, pihaknya akan mempertingkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekatan jalan raya (SJR).

    Beliau berkata mereka terbabit dinasihatkan untuk memohon kebenaran merentas negeri daripada PDRM bagi mengelakkan sebarang kesulitan di SJR.

    “Kelonggaran baru bermula (susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kelonggaran SOP bagi penerima dua dos vaksin) dan dijangka (permohonan) akan bertambah bagi kategori ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Beliau berkata selain itu, pasukan pematuhan SOP juga akan menguatkuasakan semua SOP terkini.

    Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan kerajaan memberikan kelonggaran SOP bagi penerima dua dos vaksin setelah dibincangkan di mesyuarat Majlis Keselamatan Negara antaranya kebenaran merentas negeri.

    Sementara itu, mengulas mengenai tular satu klip video memaparkan ratusan warga asing beratur bagi proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC yang didapati tidak mematuhi SOP, beliau berkata pihaknya telah mengaturkan pasukan-pasukan pematuhan SOP.

    “Saya telah mengaturkan pasukan saya (pasukan pematuhan SOP PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Sukarelawan dan Angkatan Pertahanan Awam untuk memantau semua PPV ini supaya SOP dipatuhi.

    “Selain itu, sebanyak 951 pegawai dan anggota polis ditugaskan di stesen-stesen kuarantin COVID-19  di seluruh negara,” katanya.

    Zainal berkata 112 pegawai dan anggota polis telah ditempatkan di hospital-hospital COVID-19.- BERNAMA

  • 512 polis Negeri Sembilan, ahli keluarga positif Covid-19 sejak Januari

    512 polis Negeri Sembilan, ahli keluarga positif Covid-19 sejak Januari

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI 512 anggota polis Negeri Sembilan termasuk ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19 serta dikuarantin sejak Januari lalu.

    Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Che Zakaria Othman berkata, anggota berkenaan dijangkiti Covid-19 berikutan penugasan dalam memerangi penularan wabak berkenaan.

    “Daripada jumlah itu seorang anggota polis dan seorang ahli keluarga telah meninggal dunia namun jangkitan dalam kalangan warga polis masih terkawal.

    “Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 545 anggota yang dijangkiti sepanjang tahun lepas sebab belum habis tahun, kita sudah ada 512 yang dijangkiti.

    “Bagaimanapun, Alhamdulillah setakat ini majoriti yang dijangkiti itu hanya pada tahap satu dan dua sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 1,000 bakul makanan sempena program Op Bantu dengan kerjasama syarikat swasta di Seremban hari ini.

    Justeru, menyedari risiko berkenaan beliau meminta anggota polis dan ahli keluarga mereka supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard ketika menjalankan tugas selain anggota dan ahli keluarga divaksin.

  • Dua kali tertangguh, bicara kes rasuah Ahmad Zahid disambung 25 Ogos

    Dua kali tertangguh, bicara kes rasuah Ahmad Zahid disambung 25 Ogos

    SELEPAS dua kali ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan bersambung pada 25 Ogos ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini berkata perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan berlangsung selama tiga hari iaitu pada 25 Ogos, 1 dan 2 Sept di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa.

    “Pihak pendakwaan akan memanggil dua atau tiga saksi untuk memberi keterangan pada 25 Ogos itu,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 serta dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Penganggur dipenjara 4 tahun bakar barang kakak

    Penganggur dipenjara 4 tahun bakar barang kakak

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG penganggur dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas kesalahan melakukan khianat dengan membakar sofa, meja dan pakaian milik kakaknya hujung bulan lalu.

    Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Ahmad Riduan Mamat, 39, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api dengan membakar sofa, meja dan pakaian milik kakaknya, Rohaida Mamat, 41, membabitkan kerugian bernilai RM200.

    Perbuatan itu dilakukan pada 31 Julai lalu di sebuah rumah di Seberang Takir Kuala Nerus, pada pukul 3 petang.

    Mahkamah memerintah hukuman penjara itu bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 1 Ogos lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mengikut fakta kes, mangsa yang pulang ke rumah mendapati terdapat kesan kebakaran iaitu rangka kerusi sofa, pakaian dan beberapa barangan miliknya yang hangus.

    Menerusi laporan polis yang dibuat mangsa tertuduh berjaya ditahan di tepi jalan sebuah kampung di Seberang Takir Kuala Nerus, pukul 12.05 tengah hari pada 1 Ogos lalu.

  • Malaysia catat penurunan kadar kelahiran, peningkatan kadar kematian

    Malaysia catat penurunan kadar kelahiran, peningkatan kadar kematian

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MALAYSIA mencatatkan penurunan jumlah kelahiran hidup di negara ini sebanyak 4.4 peratus iaitu 111,573 kelahiran pada suku kedua tahun ini, berbanding suku kedua 2020 sebanyak 116,688 kelahiran.

    Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, itu adalah berdasarkan laporan berkaitan Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) hari ini.

    “Berdasarkan data, jumlah kelahiran bayi perempuan melebihi bayi lelaki iaitu 55,881 kelahiran berbanding bayi lelaki 55,692 kelahiran.

    “Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,389 kelahiran atau 18.3 peratus, manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan dengan 390 kelahiran atau 0.3 peratus.

    “Dijangkakan berlaku peningkatan mendadak kepada bilangan kelahiran susulan daripada perintah kawalan pergerakan semasa Covid-19 tetapi statistik menunjukkan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, penurunan bilangan kelahiran itu adalah selari dengan negara lain seperti di Amerika Syarikat, Korea Selatan, United Kingdom, Perancis dan Sepanyol.

    Beliau berkata, sebanyak 44,307 kematian direkodkan pada suku tahun kedua 2021, meningkat 10.1 peratus berbanding suku tahun kedua 2020 iaitu 40,241 kematian membabitkan 25,216 kematian lelaki manakala 19,091 lagi adalah perempuan.

    Pada tempoh yang sama katanya, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,818 kematian atau 15.4 peratus manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 53 kematian atau 0.1 peratus.

    “Sebanyak 3,898 kematian disebabkan oleh Covid-19 direkodkan daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun kedua 2021, meningkat daripada 78 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2020,” katanya.

  • 20,780 kes baharu Covid-19: Lembah Klang tertinggi, 6 negeri catat lebih 1,000 kes

    20,780 kes baharu Covid-19: Lembah Klang tertinggi, 6 negeri catat lebih 1,000 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 kembali menunjukkan peningkatan berbanding semalam apabila 20,780 kes direkodkan hari ini berbanding 19,991, semalam.

    Mengikut infografik terkini Kementerian Kesihatan Malaysia, kes positif terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,320,547.

    Selangor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan penularan jangkitan Covid-19 tertinggi masing-masing dengan 6,921 kes dan 2,065 kes.

    Peningkatan kes harian turut disumbang enam negeri yang mencatatkan lebih seribu jangkitan.

    Negeri itu ialah Johor (1,693 kes); Kedah (1,534 kes); Sabah (1,514 kes); Pulau Pinang (1,385 kes); Kelantan (1,284 kes) dan Negeri Sembilan 1,015 kes.

    Labuan, Perlis dan Putrajaya mengekalkan rekod jangkitan pada dua digit dengan masing-masing mencatatkan 3, 29 dan 41 kes.

  • JMM sahkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia

    JMM sahkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JABATAN Meteorologi Malaysia (JMM) mengesahkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan gempa bumi sederhana berukuran 5.6 pada skala Richter di Utara Sumatera, Indonesia hari ini.

    Menurut kenyataan JMM, gempa bumi itu yang direkodkan pada pukul 1.19 petang menyebabkan gegaran turut dirasai di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

    “Gempa sekuat itu berlaku pada jarak 18 kilometer Tenggara dari Padang Sidempuan, Indonesia dan dirasai sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

    “Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook JMM, hari ini.

    Sebelum ini, warga Kuala Lumpur dan Selangor dikejutkan dengan kejadian gegaran dalam tempoh beberapa saat khususnya bagi mereka berada di bangunan tinggi.