Category: Semasa

  • PM, pemimpin PN selesai mesyuarat di Putrajaya

    PM, pemimpin PN selesai mesyuarat di Putrajaya

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan beberapa pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

    Antara yang hadir Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Tun Openg dan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Dr. Wee Ka Siong.

    Kenderaan yang membawa Abang Johari memasuki Perdana Putra pada jam 4.36 petang, manakala Wee pada jam 4.53 petang.

    Kenderaan yang membawa Muhyiddin yang juga Pengerusi PN meninggalkan Perdana Putra pada jam 7.22 malam, disusuli Abang Johari.

    Kenderaan yang membawa Wee pula dilihat keluar pada jam 7.05 malam diikuti kenderaan yang membawa Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan.

    Setakat ini, media tidak dapat memastikan apa hasil perbincangan mesyuarat atau perjumpaan khas itu, apabila pemimpin yang menghadirinya menolak daripada menjawab panggilan telefon yang dibuat.

    Ada yang menjawab panggilan telefon sekadar memohon maaf kerana tidak dapat memberi sebarang kenyataan berhubung mesyuarat itu.

  • Masjid Kampung Semop di Sarawak musnah dalam kebakaran

    Masjid Kampung Semop di Sarawak musnah dalam kebakaran

    MASJID Al-Amin di Kampung Semop, di Pulau Bruit, Daro dekat Sarawak musnah dalam satu kebakaran, petang ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.41 petang.

    Menurutnya, seramai tujuh anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan tersebut.

    Namun katanya, pihaknya terpaksa menempuh perjalanan jauh termasuk menaiki feri kerana lokasi kejadian itu terletak di Pulau Bruit.

    “Sejurus sampai di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran telah memusnahkan keseluruhan masjid berstruktur separuh kekal itu,” katanya, hari ini.

    Kata jurucakap itu lagi, kebakaran terbabit dipadam oleh penduduk kampung dengan bantuan lori tangki air dari Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Daro.

    Tambahnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan pihaknya sedang menyiasat kejadian bagi mengenalpasti punca kejadian.

  • Covid-19: Varian Delta kini strain dominan di Thailand

    Covid-19: Varian Delta kini strain dominan di Thailand

    VARIAN Delta kini strain COVID-19 yang paling dominan di Thailand, menyumbang lebih 90 peratus jangkitan baharu sejak minggu lalu.

    Namun, sehingga kini tiada varian Lambada dikesan di Thailand.

    Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr. Supakit Sirilak berkata varian Delta, yang pertama kali dikesan di India, telah menular ke 76 daripada 77 wilayah di Thailand. Suphan Buri di wilayah tengah adalah satu-satunya wilayah yang belum melaporkan kes membabitkan varian itu.

    Menurutnya, varian Delta sekurang-kurangnya berjangkit lebih 40 kali ganda berbanding varian Alpha yang pertama kali dikesan di United Kingdom, menyumbang lebih 92 peratus jangkitan baharu di Bangkok, pusat penularan terbaru pandemik. 

    “Buat masa ini tidak ada kes babitkan varian Lambada yang pertama kali dikesan di Amerika Selatan itu,” katanya.

    Dr Supakit berkata pegawai kesihatan telah berhasil membendung varian Beta, yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan, di empat wilayah Selatan – Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla serta di Bueng Kan dan Bangkok.

    Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 21,038 kes baharu COVID-19 dan 207 kematian, mengumpul jangkitan keseluruhan kepada 816,989 dan korban seramai 6,795.

    Mengenai kes baharu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata 21,019 adalah jangkitan tempatan dan 19 kes import.

    Katanya, ia melibatkan 112 lelaki dan 95 wanita berusia antara 21 hingga 93 tahun termasuk lima warga Myanmar dan masing-masing seorang rakyat India, Kemboja dan Pakistan.

    “Kematian dilaporkan di 41 daripada 77 wilayah. Bangkok masih mencatat jumlah tertinggi sebanyak 4,525 kes dan 60 kematian, ” katanya semasa taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.- BERNAMA

  • PM ada pertemuan dua jam dengan pemimpin PN

    PM ada pertemuan dua jam dengan pemimpin PN

    PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan beberapa pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) di Perdana Putra di sini.

    Antara yang hadir ialah Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Berdasarkan mesej yang tular, satu perjumpaan khas ketua-ketua parti dalam PN bersama Muhyiddin dijadualkan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri pada jam 5 petang ini.

    Kenderaan yang membawa Abang Johari memasuki Perdana Putra pada jam 4.36 petang, manakala Wee pada jam 4.53 petang.

    Kenderaan yang membawa Muhyiddin yang juga Pengerusi PN meninggalkan Perdana Putra pada jam 7.22 malam, disusuli Abang Johari.

    Kenderaan yang membawa Wee pula dilihat keluar pada jam 7.05 malam dan diikuti kenderaan yang membawa Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Usaha pihak media yang menanti untuk mendapatkan ulasan berhubung pertemuan tersebut tidak berhasil.

    Walaupun tiada butiran agenda mengenai pertemuan tersebut, namun ia dipercayai mempunyai kaitan dengan perkembangan situasi politik semasa negara. 

  • Covid-19: 98.1 peratus kes baharu di kategori satu dan dua – KP Kesihatan

    Covid-19: 98.1 peratus kes baharu di kategori satu dan dua – KP Kesihatan

    SEBANYAK 20,380 kes atau 98.1 peratus daripada 20,780 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, adalah daripada kategori satu dan dua, iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, 400 kes lagi atau 1.9 peratus adalah daripada kategori tiga (radang paru-paru), empat (memerlukan oksigen) dan lima (kritikal).

    Beliau berkata ia adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.

    “Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

    Beliau berkata secara keseluruhan, hanya 5,138 kes atau 24.7 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.

    Katanya sebanyak 17,973 kes sembuh dilaporkan hari ini, manakala kes aktif COVID-19 di seluruh negara pula ialah 233,358.

    Menurut Dr Noor Hisham, 211 kematian direkodkan hari ini melibatkan 184 warganegara manakala 27 bukan warganegara.

    Katanya 1,053 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 546 orang memerlukan bantuan pernafasan.

    Mengenai kluster baharu, beliau berkata sebanyak 31 kluster baharu dikesan hari ini dengan jumlah yang tertinggi ialah kluster tempat kerja iaitu 18, diikuti kluster komuniti sebanyak 11 dan dua kluster kumpulan berisiko.

    Beliau berkata sebanyak 2,776 kluster telah tamat, manakala 1,258 kluster masih aktif di seluruh negara. – BERNAMA

  • 34 ahli sindiket ‘Datuk palsu’ ditahan Polis Melaka

    34 ahli sindiket ‘Datuk palsu’ ditahan Polis Melaka

    Oleh Rahimi Mohamad

    DUA lelaki yang merupakan dalang utama antara 34 individu yang ditahan polis dipercayai terbabit dalam sindiket pemalsuan darjah kebesaran kerajaan negeri Melaka yang dijual pada harga RM50,000 hingga RM100,000.

    Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kejayaan menumpaskan sindiket itu bermula hasil maklumat awam pada Januari tahun ini sebelum beberapa siri serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka.

    Kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 70 tahun ditahan di Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor dalam operasi khas bermula 22 Februari hingga 29 Mac lalu selepas risikan dijalankan pihak polis.

    “Siasatan awal mendapati sindiket itu didalangi dua lelaki berusia lingkungan 40-an yang dipercayai mencetak watikah palsu Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri.

    “Dua suspek itu turut mencetak tauliah palsu Jaksa Pendamai (JP) serta membeli selempang dan bintang Darjah Kebesaran Negeri Melaka daripada pembekal yang tidak sah,” katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali.

    Sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan itu sejak pertengahan tahun lalu dan dikesan melibatkan beberapa orang tengah yang berperanan mempromosikan serta menjual darjah kebesaran palsu secara atas talian di tiga negeri terbabit.

    “Dalam serbuan di sebuah rumah di daerah Melaka Tengah, pihak polis merampas pelbagai barangan dan dokumen palsu termasuk 16 watikah darjah kebesaran negeri dan watikah jaksa pendamai negeri dan 13 selempang, 21 pingat darjah kebesaran negeri.

    “Barang palsu lain yang turut ditemukan adalah dua kad keahlian Majlis Datuk-datuk Negeri Melaka (MDDNM), dua kad keahlian Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka (MJPNM) selain 168 set emblem kereta Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka (MJPNM),” kata Sulaiman.

    Polis juga membuka empat kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan dua suspek utama akan dituduh mengikut Seksyen (3)(1)(a) dan Seksyen 3(1)(b)Enakmen Lambang-lambang dan Nama (mencegah penggunaan yang tidak betul) Enakmen A21 Negeri Melaka di Mahkamah Sesyen esok.

  • Guan Eng beri keterangan hampir dua jam kes perarakan Ahli Parlimen pembangkang

    Guan Eng beri keterangan hampir dua jam kes perarakan Ahli Parlimen pembangkang

    SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini memberi keterangan hampir dua jam kepada polis bagi membantu siasatan kes perarakan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu.

    Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan tiba di ibu pejabat polis daerah Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang kira-kira pukul 1 petang dengan ditemani peguam, RSN Rayer.

    Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong dan Rayer yang merupakan Ahli Parlimen Jelutong turut diambil keterangan berhubung kes sama.

    Sementara itu bercakap kepada pemberita di pekarangan balai polis, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, siasatan polis terhadap tindakan Ahli Parlimen itu adalah satu pembaziran masa dan tenaga pihak berkuasa yang sepatutnya ditumpukan untuk melindungi rakyat dan menjaga keamanan. 

    Tambahnya, siasatan itu juga jelas bermotifkan politik dan merupakan tekanan terhadap Ahli Parlimen pembangkang dalam menjalankan tanggungjawab mereka. 

    Tambah beliau, siasatan polis terhadap Ahli Parlimen pembangkang itu juga melanggar usul yang telah diluluskan di Parlimen tahun lalu berikutan sidang Parlimen masih belum ditangguhkan secara rasmi. 

    Usul itu katanya, adalah berhubung perintah yang mengarahkan Ketua polis Negara untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat ke Dewan Rakyat tanpa sebarang halangan. 

    “Sidang kali ini masih belum ditangguhkan secara rasmi, jadi semua usul yang dipersetujui pada tahun lalu masih berkuat kuasa. 

    “Tapi nampaknya apa yang berlaku adalah kami dihalang, polis perlu jawab mengapa menghalang Ahli Parlimen menjalankan tugas untuk masuk ke pejabat,” katanya.

    Pada 2 Ogos lalu, Guan Eng; Rayer dan Kon Yeow merupakan antara Ahli Parlimen yang menyertai perarakan pembangkang di Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan susulan penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat. 

    Turut menyertai perarakan tersebut ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal. 

    Sehubungan itu, polis menjalankan siasatan yang dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

  • Lapan lokaliti di Sabah kena PKPD, 17 lagi dilanjutkan

    Lapan lokaliti di Sabah kena PKPD, 17 lagi dilanjutkan

    LAPAN lagi lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuat kuasa Jumaat ini hingga 26 Ogos ini.

    Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, di Tawau, tiga lokaliti dikenakan PKPD membabitkan Kampung Kongsi 8, Kampung Bergosong di Pulau Sebatik dan PPR Taman Sri Apas Batu 8.

    Menurutnya, dua perumahan ladang di Beluran, Sabah turut dikenakan PKPD iaitu Perumahan Ladang Reka Halus dan Perumahan Ladang Boustead Trunkline.

    Selain itu katanya, PKPD dilaksanakan di Kampung Kayu Madang, Telipok di Kota Kinabalu; Kampung Batition di Kota Marudu dan Kampung Sunsuron di Tambunan.

    “Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata, PKPD di sebanyak 17 lokaliti di Kelantan dan Sabah yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan selama dua minggu sehingga 26 Ogos ini.

    Di Kelantan ujarnya, lanjutan PKPD itu melibatkan kampung Orang Asli Pos Brooke, Gua Musang iaitu Kampung Jedip WCT; Kampung Sendrop dan Kampung Seng Sang.

    Menurutnya, di Sabah, lanjutan PKPD membabitkan Kampung Lahat-lahat, Tawau dan dua lokaliti di Kinabatangan iaitu Ladang Bukit Mas dan Ladang Linbar 1.

    “Baki 11 lokaliti terletak dalam daerah Tuaran iaitu Kampung Betutai; Kampung Bolong Baru; Kampung Bontoi; Kampung Kindu dan Kampung Lapasan.

    “Selain itu, ia turut melibatkan Kampung Serusop; Kampung Sungai Damit; Kampung Timbok; Kampung Simpangan; Taman Sri Rugading dan Taman Telipok Ria,” tambahnya.

  • PMO nafi Perdana Menteri, SPR bermesyuarat berkenaan PRU-15 hari ini

    PMO nafi Perdana Menteri, SPR bermesyuarat berkenaan PRU-15 hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PEJABAT Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bermesyuarat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bagi membincangkan kaedah untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam situasi pandemik Covid-19.

    PMO mengedarkan kenyataan berkenaan penafian itu melalui aplikasi kumpulan WhatsApp bersama-sama media sebentar tadi.

    Terdahulu, kenyataan palsu itu mendakwa Perdana Menteri, antara lain mengucapkan terima kasih kepada pegawai SPR yang mengemukakan cadangan amat praktikal bagi memastikan PRU-15 yang akan diadakan tidak lama lagi, berjalan lancar dan selamat.

    Melalui mesyuarat turut didakwa dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba itu, kerajaan didakwa akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti cadangan dikemukakan SPR, termasuk syor mengehadkan hak mengundi kepada individu lengkap vaksinasi.

  • Taliban kuasai dua lagi bandar di Afghanistan

    Taliban kuasai dua lagi bandar di Afghanistan

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    TALIBAN menguasai dua lagi bandar di Afghanistan termasuk satu yang terletak hanya 200 kilometer dari Kabul.

    “Pada Selasa Taliban menguasai bandar raya Pul-e-Khumri, ibu negara wilayah Baghlan dan bandar raya kota Faizabad, ibu negara wilayah Badakhshan pada Selasa,” lapor saluran televisye Tolo News.

    Kerajaan Afghanistan setakat ini belum mengesahkan atau menafikan laporan tersebut.

    Setakat ini Taliban telah menguasai sembilan ibu negara daripada 34 wilayah.

    Bandar-bandar tersebut telah menjadi lokasi pertempuran hebat dalam beberapa minggu kebelakangan ini ketika tentera kerajaan berusaha menyekat kemaraan Taliban.

    Penguasaan mereka di kawasan itu menandakan kejatuhan seluruh kawalan pemerintah di utara, kawasan anti-Taliban.

    Pihak berkuasa bertempur dengan pemberontak di Kandahar dan Helmand, wilayah selatan yang menjadi kubu kuat Taliban.