Category: Semasa

  • MB perjelas keabsahan kerajaan PN Johor dalam penggulungan sidang DUN

    MB perjelas keabsahan kerajaan PN Johor dalam penggulungan sidang DUN

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MENTERI Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad akan membuat penjelasan mengenai keabsahan kerajaan negeri dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan (DUN) Johor nanti.

    Menurut Hasni, ini termasuk penjelasan mengenai sokongan serta pendirian UMNO Johor terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Saya berpendapat berkaitan dengan persoalan keabsahan Perdana Menteri daripada sudut saya sebagai ketua kerajaan negeri, perkara itu akan diperjelaskan melalui dewan ini semasa ucapan penggulungan.

    “Sebagai seorang pemimpin, kita perlu ada pendirian dan kita perlu nyatakan pendirian kita dengan jelas.

    “Saya percaya jika kita meletakkan kepentingan rakyat, kita tidak akan hadapi kesukaran untuk buat satu pendirian,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

    Pada 6 Ogos lalu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut dilaporkan berkata, Sidang DUN Johor hari ini, akan menentukan keabsahan kerajaan negeri.

    Hasni berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan politik semasa dan perkara itu akan dibangkitkan serta dibincang pada sidang DUN.

  • i-Guru minta KPM tangguh sesi pembukaan sekolah pada 1 September ini

    i-Guru minta KPM tangguh sesi pembukaan sekolah pada 1 September ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) wajar mengkaji semula cadangan pembukaan sekolah secara bersemuka pada 1 September ini kerana kes Covid-19 yang masih tinggi di ketika ini.

    Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hasan berkata, ini kerana majoriti ibu bapa melahirkan kebimbangan untuk menghantar anak mereka ke sekolah ketika penularan wabak itu belum menunjukkan pengurangan ketara.

    “Jika KPM kekal dengan keputusan pembukaan sekolah September ini, beberapa langkah wajar diambil termasuk usaha memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP), selain menyelesaikan vaksinasi warga sekolah hingga mencapai tahap imuniti 90 peratus.

    “Kami berharap KPM dapat mempertimbangkan dan mengkaji semula tarikh pembukaan sekolah memandangkan kes COVID-19 yang melepasi angka 20,000 ketika ini.

    “Pandangan pemegang taruh pendidikan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), wajar diperoleh mengenai perkara ini. Jika kes semakin meningkat, ia membimbang dan merisaukan ibu bapa untuk hantar anak ke sekolah,” katanya, hari ini.

    Menurut beliau, pembukaan sekolah wajar ditangguh ke suatu tarikh yang bersesuaian sehingga menyakinkan semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar.

    “Kami berharap KPM dapat membuat keputusan yang jelas dan tepat berdasarkan data dan sains. Sebaiknya perlu ada pelan dan agenda yang jelas jika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) perlu dilanjutkan sehingga hujung tahun untuk mengelak keciciran murid dan mengatasi kelesuan motivasi ketika PdPR,” katanya.

    Katanya, langkah lain yang perlu diambil jika pembukaan sekolah kekal seperti dijadualkan September ini, termasuk vaksinasi ibu bapa pelajar tahun peperiksaan membabitkan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang sudah mencapai usia 18 tahun.

    “Perlu juga membentangkan SOP khas untuk pelajar belum menerima vaksin yang berada di dalam dan luar kawasan sekolah,” katanya.

    Azizee berkata, pembukaan sekolah secara berfasa dengan keutamaan kepada sekolah di luar bandar dan pendalaman yang kurang murid serta di kawasan hijau dan kadar penerimaan vaksinnya melebihi had imuniti kelompok, wajar juga diambil kira.

  • Sidang DUN bukan tempat berebut kuasa -Sultan Johor

    Sidang DUN bukan tempat berebut kuasa -Sultan Johor

    Oleh Rahimi Mohamad

    SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor agar tidak membawa sebarang usul yang tidak berkenaan sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini yang bermula hari ini.

    Titah Sultan Johor, ini bukan masa untuk berbalah tetapi waktu terbaik untuk bersatu dan bekerjasama serta tidak mempersoalkan apa yang dilakukan pihak lain untuk membantu rakyat, sebaliknya mencerminkan muka sendiri bagi melihat apa yang telah dilaksanakan.

    “Saya ingatkan bahawa dewan negeri ini adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor.

    “Jangan cemarkan dewan saya ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan yang mulia, bukan dewan sangkar beruk, ingat pesanan saya Tuan Speaker. Jalankan kerja baik-baik.

    “Tidak perlu berbahas atau membawa usul tidak berkenaan, awak semua mesti pentingkan rakyat di luar sana yang tengah susah, ada yang kelaparan, hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak Covid-19,” titah baginda.

    Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

    Sultan Ibrahim juga sekali lagi bertitah untuk tidak akan teragak-agak membubarkan DUN kali ini sekiranya terdapat usaha mana-mana pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.

    Baginda juga memberi peringatan bahawa tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sehingga mengganggu-gugat Johor dan kerajaan negeri.

    “Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukan kepentingan rakyat.

    “Apabila wabak Covid-19 sudah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih ahli dewan yang baharu.

    “Selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah baginda.

    Justeru, Sultan Ibrahim mahu DUN Johor menjadi pentas untuk wakil-wakil rakyat berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan Johor.

  • Penafian menulis berita bertajuk ‘Siapa 3 Ahli Parlimen Pakatan Harapan Lompat Sokong Perikatan Nasional?

    Penafian menulis berita bertajuk ‘Siapa 3 Ahli Parlimen Pakatan Harapan Lompat Sokong Perikatan Nasional?

    Saya Zulkiflee Bakar tidak pernah menulis artikel bertajuk ‘Siapa 3 Ahli Parlimen Pakatan Harapan Lompat Sokong Perikatan Nasional? yang pautannya ke agendaily.com adalah tidak wujud.

    Sehubungan itu, saya tidak ada kaitan sama sekali dengan penghasilan artikel berkenaan walaupun nama adalah sama.

  • Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ni

    Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ni

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    RINGGIT dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ini apabila dolar AS menyusut selepas laporan indeks harga pengguna (CPI) Amerika Syarikat yang diumum mengesahkan inflasi yang sederhana di negara itu.

    Pada pukul 9.19 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.2370/2400 berbanding dolar AS daripada 4.2380/2420 ketika ditutup pada petang urus niaga Rabu.

    Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd. Adam Mohamed Rahim berkata, ringgit dijangka berhadapan tekanan berbanding dolar AS terutama selepas penggubal undang-undang AS bersetuju ke atas rang undang-undang infrastruktur bernilai AS$1.0 trilion untuk melonjakkan ekonomi AS.

    “Mungkin beberapa sokongan dapat diperoleh daripada laporan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) yang menyatakan bahawa stok minyak mentah jatuh minggu lepas, sekali gus menunjukkan permintaan berterusan dan ini baik untuk harga minyak dan juga ringgit untuk tempoh jangka pendek.

    “Tetapi permintaan bahan bakar dijangka menyusut kemudian berikutan varian Delta Covid-19 dan pastinya ia akan memberi tekanan kepada harga minyak,” katanya.

    Sementara itu, unit tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

    Ringgit lemah berbanding yen Jepun kepada 3.8393/8423 daripada 3.8253/8292 pada Rabu dan menyusut berbanding euro kepada 4.9734/9769 daripada 4.9623/9670 sebelumnya.

  • Maqis rampas 32 tan metrik kayu Akasia dari Vietnam

    Maqis rampas 32 tan metrik kayu Akasia dari Vietnam

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah kontena yang membawa masuk kayu Akasia dari Vietnam di Pelabuhan Pasir Gudang, Pasir Gudang, kelmarin.

    Maqis Johor dalam satu kenyataan memberitahu, hasil pemeriksaan rutin dijalankan Pegawai Penguat Kuasa Maqis pada pukul 5.30 petang menemukan kayu berjumlah 32 tan metrik yang dianggarkan bernilai RM13,653.

    “Kayu tersebut ditahan untuk tindakan selanjutnya. Hasil pemeriksaan lanjut, mendapati nombor rujukan permit tidak tertera pada sijil fitosanitasi sebagaimana yang dinyatakan dalam syarat permit import.

    “Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat-syarat dalam permit import Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama,” jelas kenyataan itu, hari ini.

    Tambah kenyataan itu, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan.

  • Sidang DUN Johor bermula hari ini

    Sidang DUN Johor bermula hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selama seminggu di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri bermula hari ini.

    Johor menjadi negeri pertama mengadakan sidang DUN dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan merasmikan persidangan itu dan sudah tentu mencuri tumpuan memandangkan negara masih berdepan dengan cabaran mengekang penularan pandemik Covid-19.

    Selain itu sidang DUN berlangsung dalam ketegangan politik antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan UMNO di peringkat Pusat.

    Muhyiddin hadir sebagai ADUN Gambir.

    Persidangan akan bermula dengan titah dan perasmian oleh Sultan Ibrahim sebelum ditangguh dan bersambung Ahad ini.

    Persidangan tujuh hari yang dijadual berakhir 22 Ogos itu dilihat sebagai platform penting bagi kerajaan negeri memperjelaskan mengenai pelan tindakan untuk pemulihan ekonomi negeri Johor selain bantuan yang diberikan kepada rakyat Johor yang terjejas berikutan Covid-19.

    Johor merupakan negeri di bawah kerajaan PN dengan majoriti tipis 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

    Semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hadir selepas ujian Covid-19 mendapati mereka semuanya negatif Covid-19.

    Ini termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd. Solihan Badri yang juga ADUN Tenang dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit yang keluar daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

    Kedua-duanya memberikan persetujuan untuk hadir sidang DUN selama satu minggu setelah mereka sebelum ini didapati positif Covid-19 dan sudah selesai menjalani kuarantin serta bebas daripada pandemik tersebut.

    Ketua Whip Blok Kerajaan, Datuk Samsolbari Jamali berkata, semua 29 ADUN kerajaan akan hadir selepas semuanya negatif ujian Covid-19.

    Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan yang juga ADUN Parit Yani berkata, semua 27 ADUN pembangkang didapati negatif ujian Covid-19 dan menyatakan persetujuan untuk hadir.

    “Setakat ini saya tidak menerima sebarang laporan mengatakan ada ADUN daripada pembangkang yang tidak akan hadir, semua akan hadir sidang DUN pada kali ini,” ujar Ketua Pembangkang Johor itu.

  • 10 maut, 30 cedera terperangkap tanah runtuh di India

    10 maut, 30 cedera terperangkap tanah runtuh di India

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    KIRA-KIRA 10 mangsa terbunuh manakala 30 lagi dipercayai terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Kinnaur, utara india.

    Selain itu 14 mangsa yang cedera berjaya diselamatkan dan sebahagian besar mereka yang terperangkap adalah penumpang bas.

    Menurut pihak berkuasa India, sebuah bas, trak dan beberapa kereta lain yang melalui kawasan itu turut tertimbus di bawah timbunan batu

    besar dan tanah lumpur.

    “Operasi menyelamat diteruskan sepanjang malam dalam usaha mencari mangsa yang terselamat,” katanya.

    Kejadian dipercayai berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa minggu lalu.

  • Apa matlamat akhir UMNO selepas tolak Muhyiddin?

    Apa matlamat akhir UMNO selepas tolak Muhyiddin?

    APA sebenarnya matlamat akhir atau ‘endgame’ yang cuba diperoleh UMNO dengan menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada waktu krisis pandemik sedang memuncak ini?

    Itu yang dipersoalkan Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abdul Hamid, yang melihat berdasarkan kajian bahawa ketika ini tiada parti yang boleh mendapat majoriti dominan untuk membentuk kerajaan yang dikatakan stabil.

    “Kenapa tidak boleh tunggu sehingga September nanti (apabila sidang Dewan Rakyat disambung semula)? Kenapa tekanan harus diberikan (kepada kerajaan)?

    “Apakah yang ingin dicapai? Kerana, jelas bahawa UMNO tidak boleh berdiri dengan sendiri, UMNO hanya boleh berdiri dengan melakukan kerjasama dengan yang lain,” soal beliau dalam program bual bicara Agenda AWANI malam tadi.

    Pada 9 Ogos lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengandungi 14 nama Ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

    Kata Hamidin, angka itu agak besar dan berupaya menyebabkan kerajaan hari ini menjadi rapuh dan runtuh.

    Namun, tegas beliau, ini sepatutnya waktu untuk semua pihak menjalin kerjasama erat antara satu sama lain dan mendahulukan kemaslahatan rakyat yang sedang menderita dibadai Covid-19.

    Dalam konteks ini, katanya, kematangan politik itu harus dibina dengan lebih kuat untuk membentuk satu gabungan yang lebih jelas bagi memastikan kerajaan ketika ini sekurang-kurangnya stabil untuk dua, tiga tahun, selagi peperangan dengan Covid-19 ini belum berakhir.

    Dari sisi lain, beliau melihat kerajaan Perikatan Nasional ketika ini berdepan dengan cabaran dan tekanan yang besar disebabkan legitimasi mereka yang dipersoalkan.

    “Apabila legitimasi mereka sentiasa dipersoalkan, maka inilah yang membawa kepada persoalan tentang keabsahan mereka, dan dasar-dasar mereka tidak menjadi sesuatu yang inklusif sifatnya.

    “Jadi, ini yang saya kira, sedikit sebanyak mengganggu-gugat tindak balas kita terhadap COVID-19,” ujarnya.

  • Bukit Aman siasat dakwaan jual sijil digital vaksin palsu

    Bukit Aman siasat dakwaan jual sijil digital vaksin palsu

    POLIS membuka siasatan berhubung dakwaan penjualan sijil digital vaksin palsu yang dikesan menerusi perkongsian seorang pemilik akaun Facebook, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

    Beliau berkata, satu laporan polis berhubung perkara itu diterima apabila satu artikel dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook, yang menyatakan bahawa sudah mula dijual dalam talian.

    “Sehubungan itu satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (memberikan maklumat palsu) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan memalsukan dan menjual sijil digital vaksin.

    Abd Jalil berkata, orang ramai turut dinasihat untuk melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu. – BERNAMA