SEORANG lelaki sedang memandu maut selepas menerima empat das tembakan di Jalan BRP 2/1, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafaa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.30 pukul tengah hari ini.
“Kami dimaklumkan seorang lelaki berusia 42 tahun ditembak ketika memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Range Rover di lokasi berkenaan.
“Siasatan awal di lokasi mendapati mangsa ditembak sebanyak empat das tembakan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia pada pukul 2.15 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pihak polis di talian 03-61561222.
PERJUANGAN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemudi negara berakhir hari ini apabila beliau menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Pagoh itu menduduki jawatan Perdana Menteri Ke-8 bukanlah dengan cara mudah. Beliau mengambil risiko untuk menyelamatkan negara selepas Kerajaan Pakatan Harapan yang baru memerintah selama 22 bulan ranap selepas Tun Dr.Mahathir Mohamad membuat keputusan mengejut meletak jawatan Perdana Menteri Ke-7, pada 24 Februari 2020.
Muhyiddin mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020, selepas Yang di-Pertuan Agong pada 29 Februari 2020 yang menerima menghadap seorang demi seorang ahli Parlimen mempercayai anak kelahiran Muar itu mungkin mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Ketika Muhyiddin mengambil alih tugas Perdana Menteri, negara bukanlah berada dalam keadaan senang, kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang dari semasa ke semasa telah mewujudkan krisis kesihatan dan ekonomi.
Walaupun sejak awal lagi beliau berusaha bersungguh-sungguh mengatur strategi bagi menangani satu krisis yang tidak pernah dialami oleh negara, namun perjuangan beliau penuh dengan ranjau dan duri.
Dendam politik yang membara dalam kalangan ahli-ahli politik termasuk ada antara dalam kalangan pemimpin yang parti mereka menganggotai kerajaan sedikit sebanyak menjejaskan usaha kerajaan memerangi wabak itu dengan berkesan.
Pelbagai langkah beliau lakukan bermula dengan pelaksanaan ‘total lockdown’ sepenuhnya hinggalah pengisytiharan darurat. Pada masa sama pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat dilaksanakan bagi membantu mereka yang terjejas teruk dan memulihkan ekonomi negara.
Tiada kenyataan politik yang beliau keluarkan bagi membalas serangan kelompok yang merasakan mereka sahaja boleh menguruskan negara.
Muhyiddin terus fokus kepada usaha membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 termasuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan seterus Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagaimanapun politik dendam dan persepsi telah ‘membenamkan’ segala usaha-usaha yang Muhyiddin lakukan sebagai Perdana Menteri seperti mana kata, beliau dalam perutusan khas terakhirnya,’’ ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.’’
Musuh-musuh politik beliau yang kononnya mendabik dada berjuang untuk rakyat mengambil apa sahaja isu dan kesempatan yang boleh dipolitikkan bagi memburuk-burukkan kerajaan.
Bermula dengan ‘hastag’ ‘kerajaan gagal’, isu Ordinan Darurat bagaikan menjadi kemuncak ‘serangan’ kepada Muhyiddin. Keadaan lebih parah apabila UMNO yang dahulunya beria-ia bersetuju menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas kehilangan kuasa akibat ditolak rakyat pada 2018 dalam PRU-13 menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan kerajaan atas alasan Perdana Menteri melakukan ‘penderhakaan’.
Walaupun sebenarnya tidak wujud soal penderhakaan, namun ia agak terlambat untuk Muhyiddin mengawal keadaan. Tindakan UMNO menarik sokongan itu benar-benar memberi kesan kepada pentadbiran negara. Krisis politik pun tercetus apabila pemimpin-pemimpin UMNO melakukan serangan bertali arus terhadap Muhyiddin.
Bagaimanapun Kerajaan PN masih mampu bertahan apabila 23 daripada 38 ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan memutuskan tidak menarik sokongan mereka.Tindakan itu dilakukan kerana berasa bertanggungjawab untuk terus berada dalam kerajaan memulihkan negara yang berada dalam keadaan cukup genting akibat serangan pandemik Covid-19.
Ketika sebahagian pemimpin UMNO terus menjadi ‘batu api’ dan memberi tekanan kepada Muhyiddin dan PN, empat menteri UMNO memainkan peranan utama dalam memerangi wabak tersebut. Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr.Adham Baba dan Menteri Sains Teknologi Inovasi Khairy Jamaluddin.
Kesetiaan mereka yang meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kehendak politik kepemimpinan UMNO mendapat pujian Muhyiddin.
Bagaimanapun akibat tindakan politik UMNO khususnya penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen parti, keabsahan Muhyiddin dipersoalkan dan beliau secara sukarela memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, akan mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen September ini.
Bagi mengelakkan konflik politik negara berterusan sekaligus akan menjejaskan usaha-usaha kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 apatah lagi hanya tinggal dua bulan sahaja untuk negara mencapai imuniti kelompok, Muhyiddin muncul melalui ucapan khas mencadangkan rangka kerjasama rentas parti yang bertujuan bagi membolehkan usul percaya diluluskan.
Kata Muhyiddin dalam ucapannya, ‘’’Bukan untuk kepentingan peribadi saya dan rakan-rakan yang lain tetapi akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat. Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bi- partisan di Dewan Rakyat.
‘’Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu usaha perkara yang mudah.
‘’Oleh itu, kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ini kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.
‘’Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini.’
Malah dalam ucapan yang ditonton berjuta-juta rakyat Malaysia itu, Muhyiddin menegaskan, beliau tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa dan dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.
‘’Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan,’’ katanya.
Namun niat ikhlas beliau ditolak ‘mentah-mentah’ oleh kepemimpinan UMNO dan parti-parti pembangkang. Mereka seolah-olah merasakan inilah saat terbaik untuk mendapat kuasa atau kembali berkuasa.
Berikutan keadaan itu, Muhyiddin memahami beliau sudah kehilangan majoriti dan sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip dan Perlembagaan beliau memutuskan untuk meletakkan jawatan.
Seperti mana kata Muhyiddin, beliau boleh sahaja mengekalkan jawatannya dengan mengorbankan prinsipnya tetapi beliau tidak mahu bersekongkol dengan kleptokrat dan mencampuri kebebasan badan kehakiman.
Apapun Muhyiddin telah berundur secara terhormat. Walaupun hanya 17 bulan menjadi Perdana Menteri namun jasa beliau dalam menerajui negara pasti akan diingati dalam sejarah lipatan sejarah negara.
Dan ketika muncul menyampaikan ucapan khas terakhir sebagai Perdana Menteri, dalam media sosial, netizen melahirkan rasa sedih mendengar amanat seorang pemimpin yang bergelar ‘abah’ itu.
Namun mereka gembira kerana Muhyiddin meletakkan jawatan bukan kerana beliau atau mana-mana ahli keluarga melakukan salah guna kuasa, penyelewengan atau rasuah tetapi demi mempertahankan prinsip sehingga beliau menjadi korban dendam politik kelompok tertentu.
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam negara terkawal susulan situasi semasa politik negara.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sehubungan itu orang ramai diminta tidak gusar dan membuat sebarang spekulasi kerana PDRM akan memastikan keselamatan negara kekal berada pada tahap selamat selain meningkatkan pemantauan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.
“PDRM sentiasa memantau senario keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak menggunakan apa jua medium yang boleh menimbulkan hasutan dan menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama orang ramai diminta agar sentiasa mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian, sebagai usaha bersama membendung penularan wabak COVID-19.
Hari ini Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan selepas 17 bulan memegang jawatan itu.- BERNAMA
TUGAS anggota bomba bukan tertumpu kepada kerja-kerja menyelamat dan memadam kebakaran sahaja, sebaliknya turut melangkaui bidang lain termasuk membantu dari segi urusan pengebumian jenazah mangsa Covid-19.
Inilah yang dilalui oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu yang turut memberikan perkhidmatan dalam urusan tersebut.
Menurut Pengarah JBPM Terengganu, Md. Hilman Abd. Rashid, sehingga ini pihaknya telah membantu menguruskan sebanyak 151 pengebumian daripada 178 kes kematian Covid-19 di negeri ini.
Menurut beliau, urusan pengebumian itu dilakukan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan di semua daerah dalam melaksanakan tugas-tugas khas membantu menguruskan pengebumian mangsa Covid-19 di negeri ini.
Katanya, selain tugas-tugas hakiki seperti memadam kebakaran dan menyelamat, urusan pengkebumian jenazah pesakit Covid-19 turut menjadi salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
“Bagi tujuan ini, seramai 10 anggota ditugaskan bagi mengurus pengebumian, manakala tiga anggota ditugaskan untuk melakukan proses disinfeksi kepada anggota terlibat menggunakan Mobile Disinfection Chamber (MoDic),” katanya hari ini.
Menurut Md. Hilman, anggota yang terlibat dalam urusan pengebumian diwajibkan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap dan melakukan proses sanitasi sebaik tugas selesai.
“Langkah ini untuk memastikan tahap keselamatan anggota terjamin dan tidak berlaku penularan Covid-19 kerana mereka turut berdepan dengan risiko jangkitan wabak sepanjang menjalankan tugas,” ujar beliau.
Sementara itu, beliau memberitahu, sehingga ini seramai 203 anggotanya terpaksa menjalani kuarantin akibat wabak tersebut di mana 107 daripadanya pula telah disahkan positif.
“Namun, kini hanya 17 anggota masih dijangkiti dan menjalani kuarantin di rumah masing-masing manakala 883 anggota pelbagai pangkat pula telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” ujar beliau.
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan perbincangan dalam mesyuarat pimpinan parti itu petang ini susulan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof tidak mendedahkan perkara yang akan dibangkitkan dalam perbincangan itu nanti.
Bagaimanapun jika perbincangan petang ini berkenaan pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) sebelum peletakan jawatan Perdana Menteri secara peribadi tidak bersetuju.
“Saya secara prinsipnya tidak akan sokong Ismail Sabri (sebagai Perdana Menteri baharu). Bagaimanapun, saya tak boleh bercakap bagi pihak Bersatu kerana akan dibincangkan dalam pertemuan parti petang ini,” katanya hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah menyifatkan peletakan jawatan Perdana Menteri itu disebabkan kerakusan sekelompok pemimpin kleptokrat untuk meruntuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Semalam media melaporkan, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan ada usaha mengumpulkan akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Usaha itu dibuat Ahli Parlimen PN menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas Muhyiddin meletak jawatan.
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah kontena yang membawa masuk peatmoss dari Lithuania di Pelabuhan Pasir Gudang, Pasir Gudang, semalam.
Maqis Johor dalam satu kenyataan memberitahu, hasil pemeriksaan rutin dijalankan Pegawai Penguat Kuasa Maqis pada jam 12.30 tengah hari menemukan 540 beg peatmoss seberat 24 tan metrik.
“Peatmoss itu dianggarkan bernilai RM26,155 dan cuba dibawa masuk tanpa mematuhi syarat permit import.
“Hasil pemeriksaan mendapati nombor rujukan permit tidak tertera pada sijil fitosanitasi sebagaimana yang dinyatakan dalam syarat permit import,” Demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.
Jelas Maqis Johor, semua peatmoss tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut.
Perbuatan mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat-syarat dalam permit import Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.
Tambah kenyataan itu, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat ditetapkan kerajaan.
SERAMAI 15 individu warga tempatan terlibat sindiket haram didalangi seorang lelaki bergelar ‘Datuk Ken’, ditahan menerusi serbuan di sekitar Rawang, Gombak pada 6 Julai dan 11 Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan Bahagian
Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman itu turut berjaya menahan suspek utama berusia 40 tahun bersama-sama isterinya, 41, di sebuah rumah di Rawang pada 11 Ogos.
Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati lelaki berkenaan menjalankan kegiatan haram, antaranya aktiviti perjudian dalam talian, bitcoin dan peminjaman wang tanpa lesen secara berperingkat-peringkat sejak 2014.
“Suspek utama itu ditahan susulan penangkapan 13 individu dipercayai pekerjanya menerusi serbuan di empat buah rumah di Bandar Country Homes, Rawang pada 6 Julai lalu.
“Semua 13 suspek berusia 17 tahun hingga 40 tahun itu meraih pendapatan antara RM2,500 dan RM8,000, mengikut peranan dan jawatan masing-masing. Mereka sudah dituduh pada 9 Julai mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di Mahkamah Selayang.
“Berdasarkan keterangan dan maklumat risikan, JSJ IPK Selangor dan Unit AMLA Bukit Aman kemudian melakukan penangkapan ketua sindiket danisterinya itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Hasil siasatan katanya, mendapati ketua sindiket itu mempunyai kaitan dengan 24 buah syarikat lain bagi mencuci wang hasil haram itu.
Katanya, menerusi serbuan itu, polis turut merampas 14 kereta mewah, termasuk Lamborghini Huracan, BMW 8i, Nissan GTR dan Porsche Cayman serta 14 buah banglo yang mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.
“Kita turut menyita tiga buah unit rumah kedai, wang tunai, termasuk mata wang asing serta pembekuan 71 akaun bank dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah hampir RM33 juta.
“Semakan mendapati ketua sindiket dan isterinya tiada mempunyai sebarang rekod lama,” katanya.
Beliau menegaskan, sindiket berkenaan tiada kaitan dengan jenayah dilakukan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
CHINA muncul negara paling banyak menyumbangkan vaksin COVID-19, menurut laporan Associated Press (AP) pada Ahad.
Menurut laporan itu lagi China dilihat senantiasa komited dalam usahanya untuk membantu negara-negara membangun dan kurang membangun.
Ahli epidemiologi dari Nigeria, Christian Happi berkata sumbangan vaksin dari beberapa negara maju yang lain tidak mencukupi dan terjamin.
“Mereka bukan sahaja memperoleh kebanyakan vaksin di dunia, malah sedang meneruskan memberikan suntikan vaksin penggalak kepada warganya,” katanya.
Wakil Kanan Kesatuan Eropah (EU) bagi Dasar Luar dan Keselamatan, Jose Borrell menyifatkan usaha Kesatuan Eropah (EU) untuk menyumbang vaksin dilihat kurang berkesan.
Negara membangun seperti Venezuela, Haiti dan Syria masih menghadapi kekurangan bekalan vaksin.
Pengkaji akses perubatan dari Universiti Northeastern Amerika Syarikat iaitu Profesor Brook Baker pula menganggap masih terdapat ketidakadilan dalam agihan vaksin melalui Pelan Peruntukan Vaksin COVID-19 Global (COVAX).
“Lebih 90 buah negara membangun masih tidak mendapat bekalan vaksin sebaliknya negara maju cuba mendapatkan kepentingan geopolitik melalui perkongsian bilateral vaksin,” katanya.- BERNAMA
JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 menunjukkan trend penurunan berbanding semalam apabila 19,740 kes direkodkan hari ini berbanding 20,546 kes semalam.
Kes positif terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,424,639 kes.
Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 5,706 jangkitan baharu, turun 1,601 kes berbanding semalam.
Namun Sarawak dan Melaka mencatatkan peningkatan ketara jangkitan apabila masing-masing mencatatkan 1,566 kes dan 1,120 kes baharu jika dibandingkan dengan kes semalam iaitu 963 kes dan 631 kes.
Sabah, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, Kelantan terus mencatatkan lebih 1,000 jangkitan tidak jauh berbeza daripada statistik semalam.
Perak, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing merekodkan tiga digit kes.
Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu 2 kes diikuti Perlis (20 kes) dan Putrajaya (43 kes).
SEKTOR perkhidmatan Awam negara tidak akan terkesan dengan situasi semasa negara dan akan diteruskan seperti biasa.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, perkhidmatan awam akan terus terus menggalas amanah dipertanggungjawabkan.
“Ini berikutan kerjasama serta kesefahaman kukuh dan jitu antara setiap agensi kerajaan menjadi kunci utama kejayaan bagi setiap pelaksanaan program dan inisiatif sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau melihat dan merasai sendiri bagaimana komitmen dan dedikasi pelbagai pihak terutama penjawat awam yang bertugas tanpa kenal erti penat lelah dalam memastikan usaha kerajaan membendung serta melandaikan keluk jangkitan Covid-19 sejak lebih setahun lalu.
“Penjawat awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar perkhidmatan awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.
“Dalam mendepani situasi semasa, saya memberi jaminan bahawa perkhidmatan awam sentiasa memberikan komitmen penuh dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar semasa kerajaan,” ujarnya.