Category: Semasa

  • Covid-19:Proses tayamum tidak perlu jika berisiko – Mufti

    Covid-19:Proses tayamum tidak perlu jika berisiko – Mufti

    JENAZAH COVID-19 di Selangor tidak perlu melalui proses tayamum sekiranya memberi risiko jangkitan kepada pihak yang melakukan proses berkenaan, kata Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Ophir.

    Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 7 Ogos lalu, dan telah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Ogos. 

    “Sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) di bahagian forensik mengatakan ada risiko untuk mandikan jenazah secara fizikal dan tayamum, maka tidak perlu lagi untuk ditayamumkan di atas beg jenazah itu. Hanya perlu dikafankan, disolatkan dan dikebumikan,” katanya.

    Beliau berkata, gugur kewajipan untuk memandikan atau tayamum jenazah tersebut sekiranya KKM berpandangan bahawa ia boleh memberi risiko, namun keputusan risiko itu adalah ditentukan oleh setiap jabatan forensik, di hospital masing-masing di Selangor.

    “Sekiranya pihak hospital berkata ada risiko jangkitan untuk mandikan secara fizikal biasa, tayamum pun ada risiko itu maka gugur kewajipan, maknanya tidak perlu untuk ditayamumkan di atas beg jenazah,” katanya kepada media selepas Majlis Serahan Set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) Pengurusan Jenazah COVID-19 di Masjid Jamek Ar-Rahimiah hari ini.

    Dalam majlis tersebut, beliau menyaksikan penyerahan sumbangan 7,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM385,000, oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan M Yusop kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, bagi kegunaan petugas-petugas pengurusan jenazah COVID-19 di Selangor.

    — BERNAMA

  • Lesen terbang:’Runner’ JPJ didakwa terima rasuah

    Lesen terbang:’Runner’ JPJ didakwa terima rasuah

    Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM9,500 pada 2017.

    Mohammad Khairie Marzuki, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Zahari Abdul Hamid. 

    Tertuduh didakwa menerima rasuah daripada tiga individu sebagai dorongan kononnya seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikenali tertuduh boleh mengeluarkan lesen memandu kepada ketiga-tiga individu itu tanpa perlu melalui ujian memandu.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohammad Khairie yang bekerja sendiri sebagai ‘runner’ JPJ, didakwa menerima wang tunai RM3,500 daripada Noor Amira Nordin dan Mohd Syazwan Shafihi, masing-masing sebagai dorongan bagi mengeluarkan Lesen Memandu Kelas B2 dan D, di kawasan parkir di hadapan dan belakang bangunan Kompleks Bukit Jambul, Bayan Lepas, pada 2017.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohammad Khairie didakwa menerima wang tunai RM2,500 daripada Mohamad Zulhilmi Din Selamat sebagai dorongan bagi mengeluarkan Lesen Memandu Kelas D di sebuah pangsapuri di Jalan Rumbia, Bayan Lepas, pada tahun sama.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Ahmad Zahari membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Pulau Pinang dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 29 Sept depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Selvaranjini, Mohamad Azlan Basri dan Siti Mastura Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Zaki Shah. – BERNAMA

  • Malaysia #QuranHour 30 Ogos, sempena Hari Kebangsaan

    Malaysia #QuranHour 30 Ogos, sempena Hari Kebangsaan

    Malaysia #QuranHour tahun ke-7, bertemakan ‘Formula Malaysia Berbudi dan Penyayang’ akan diteruskan dengan kerjasama dan sokongan rakan Sinergi Media Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2021.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff berkata agenda berinteraksi dengan al-Quran tahun ini sempena Hari Kebangsaan itu membawakan formula untuk menyembuh dan merawat Malaysia dengan solusi daripada Ilahi iaitu, Surah Al-Mulk dan juga tujuh Surah Musabbihat.

    Beliau berkata seruan berinteraksi dengan al-Quran kali ini disasarkan kepada golongan pemimpin dan ibu bapa untuk mengajak keluarga meluangkan masa sejam pada 30 Ogos ini, bermula pukul 12 hingga 1 tengah hari, untuk diikuti secara langsung menerusi saluran TV AlHijrah.

    “Dengan kemelut politik hari ini dan suasana pandemik yang bagaikan tiada berpenghujung, ramai yang terkesan sehingga menjadi cabaran bagi mengesahkan pelaksanaan Malaysia #QuranHour di peringkat kementerian, dalam dan luar negara.

    “Namun, kami optimis dan berharap bantuan Allah untuk menjadikan Surah Al-Mulk dan tujuh Surah Musabbihat sebagai momentum kepada semua rumah, sekolah, universiti, organisasi, komuniti, pemimpin dan rakyat Malaysia di dalam dan luar negara ke arah lebih baik,” katanya di Majlis Taklimat Sinergi Media Malaysia anjuran WUIF secara maya, hari ini.

    Marhaini berkata fokus pelaksanaan sejam bersama al-Quran semasa Malaysia #QuranHour digalakkan diadakan di rumah bersama keluarga masing-masing untuk menghidupkan rumah dengan al-Quran sebagai visi Masuk Syurga Sekeluarga.

    Malaysia #QuranHour di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dianjurkan oleh WUIF dengan kerjasama rakan sinergi termasuk TV AlHijrah, RTM, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar TV, Sinar Harian, Nu Ideaktiv, IKIMfm, News Straits Times Press (NSTP), Zayan FM, Denaihati.com, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran.- BERNAMA

  • Kemelut PN tak jejas kerjasama politik MN

    Kemelut PN tak jejas kerjasama politik MN

    Mohd Lazim Endut

    PAS percaya kemelut yang berlaku ke atas kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak akan menjejaskan kerjasama politik Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai antara parti itu bersama UMNO.

    Malah, Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini tiada sebarang perubahan membabitkan perkara negatif yang boleh menggugat usaha gagasan itu dalam usaha mengukuhkan agenda penyatuan ummah di negara ini.

    Sambil menyifatkan kemelut yang berlaku dalam PN ibarat pinggan dan mangkuk yang bergesel, beliau yakin perkara itu akan dapat diselesaikan.

    “Pinggan dan mangkuk ini akan berbunyi sedikit ketika bersentuhan, tetapi selepas itu kembali diam apabila berada di tempatnya.

    “Situasi semasa politik termasuk peletakan jawatan seluruh kabinet kerajaan PN tidak akan menjejaskan gagasan yang telah kita bina.

    “PAS tetap komited mempertahankan MN dan PN kerana itu adalah matlamat akhir dalam menyatukan seluruh masyarakat Melayu-Islam di negara ini supaya menjadi satu kelompok yang kuat dan disegani,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

    Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut menaruh keyakinan bahawa polemik yang timbul berikutan perubahan suhu politik negara akan selesai dalam tempoh terdekat.

    Menurut beliau,isu politik umpama pasaran saham di mana ia sangat dinamik.

    “Insya-Allah, kita akan keluar daripada ketidaktentuan ini tidak lama lagi,” ujarnya.

    Kemelut politik negara menjadi hangat apabila 15 Ahli Parlimen UMNO bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ini menyebabkan Muhyiddin mengambil keputusan meletakkan jawatan setelah kehilangan sokongan majoriti sokongan ahli Parlimen serta cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkan juga tidak mendapat sokongan parti politik pembangkang.

  • Terengganu berpeluang beralih fasa tiga PPN – MB

    Terengganu berpeluang beralih fasa tiga PPN – MB

    Mohd Lazim Endut

    KERAJAAN Terengganu menaruh keyakinan tinggi bahawa negeri itu berpeluang beralih ke fasa tiga pelan pemulihan Negara (PPN) pada bulan hadapan.

    Sambil melahirkan rasa bangga dengan perkembangan tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, keyakinan beliau adalah kerana negeri itu telah mencapai tiga indikator yang ditetapkan bagi peralihan setiap fasa.

    Malah katanya, sehingga ini kadar vaksinasi lengkap dua dos melibatkan penduduk sudah mencapai 35 peratus.

    Katanya, manakala rakyat yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 pula adalah sebanyak 60 peratus.

    “Ini merupakan suatu perkembangan baik, insyaAllah sekiranya bekalan vaksin sampai
    mengikut jadual ditetapkan, kita akan beralih ke fasa tiga PPN dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

    “Indikator lain yang disyaratkan untuk beralih ke fasa tiga PPN ialah melibatkan bilangan katil pesakit (kritikal Covid-19) berada dalam unit rawatan rapi (ICU) pula dalam keadaan terkawal,” katanya.

    Dr. Ahmad Samsuri memberitahu demikian kepada media selepas melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-64 peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

    Menurut Dr. Ahmad Samsuri, bagi merealisasikan impian tersebut, beliau berharap agar rakyat Terengganu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ditetapkan.

    Justeru,beliau menasihatkan rakyat sentiasa menjaga diri dan keluarga masing-masing dengan harapan kluster baharu tidak terbentuk sehingga boleh menyukarkan usaha kerajaan negeri untuk membebaskan diri daripada pandemik Covid-19.

  • Undi percaya PM baharu elak isu keabsahan

    Undi percaya PM baharu elak isu keabsahan

    SOAL keabsahan terhadap Perdana Menteri kesembilan dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk dapat dielakkan melalui undi percaya di Dewan Rakyat.

    Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Shamrahayu Ab Aziz berpandangan, titah oleh Yang di-Pertuan Agong berhubung undi percaya terhadap Perdana Menteri baharu mungkin dibuat selepas mengambil kira situasi semasa politik.

    Selain itu, menurut beliau, ia mungkin mengambil tauladan yang berlaku selepas pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada Mac tahun lalu.

    “Jadi ini mungkin satu proses untuk memastikan walaupun ia bukan dalam bentuk perundangan tetapi untuk memastikan ahli Dewan Rakyat itu sebenarnya telah menerima dan memberikan pengesahan.

    “Walaupun pengesahan itu dalam konteks Raja Berperlembagaan kita, ia bukan suatu yang wajib tetapi ini untuk meredakan suasana ataupun persepsi politik kepada kerajaan yang dibentuk nanti kerana melalui pengalaman sebelum ini, yang dikatakan tidak ada prosedur sedemikian ketika pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal Mac 2020,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani, hari ini.

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa Perdana Menteri yang dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

    Shamrahayu menambah, usul undi percaya terhadap keabsahan Perdana Menteri hanya satu bentuk amala dan ia pernah dilaksanakan di Dewan Rakyat tanpa titah Seri Paduka.

    “Saya fikir sebelum ia pernah dilakukan, maksudnya tanpa titah Tuanku. Pertukaran transisi kuasa daripada seorang Perdana Menteri kepada Perdana Menteri yang baharu seperti semasa (pemerintahan) Tun Abdullah Ahmad Badawi dan (Allahyarham) Tun Hussein Onn.

    “Ia tentang menunjukkan sokongan atau kepercayaan kepada Perdana Menteri yang dilantik, bukan hasil daripada pilihan raya tetapi kerana transisi kepimpinan.

    “Dari sini, kita nampak ia adalah satu amalan kerana ia tidak ada dalam peruntukan perlembagaan untuk pengesahan tentang apa yang dititahkan atau diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda tentang pelantikan Perdana Menteri,” jelasnya.

    Ketika zaman pentadbiran Hussein pada 1976, undi percaya dilakukan untuk mengetahui sama ada beliau mendapat sokongan sebagai Perdana Menteri baharu selepas menggantikan Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia.

    Semasa pentadbiran Abdullah pula, undi percaya dibuat selepas beliau menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri keempat.

    Muhyiddin dan barisan Kabinetnya meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti daripada Ahli-ahli Parlimen.

  • Rekod baharu! Kes harian Covid-19 catat 22,242 jangkitan

    Rekod baharu! Kes harian Covid-19 catat 22,242 jangkitan

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 kembali merekodkan kes harian tertinggi apabila sebanyak 22,242 kes direkodkan hari ini berbanding 21,668 kes 12 Ogos lalu.

    Malah buat pertama kali, kes harian melepasi angka 22,000, tertinggi sejak penularan Covid melanda negara, kebanyakannya disumbang oleh sembilan negeri yang masing-masing mencatatkan lebih 1,000 jangkitan.

    Kes positif terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,466,512 kes.

    Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 6,858 jangkitan baharu.

    Sabah terus menunjukkan trend kenaikan kes yang ketara apabila mencatatkan sebanyak 2,413 kes untuk berada di tempat kedua diikuti Pulau Pinang (1,867 kes) dan Kedah (1,852 kes)

    Selain itu, lima negeri lain mencatatkan lebih 1,000 kes harian iaitu Kuala Lumpur (1,587 kes); Johor (1,477 kes); Sarawak (1,403 kes); Kelantan (1,351 kes) dan Perak (1,036 kes).

    Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu lima jangkitan diikuti Putrajaya (25 kes) dan Perlis (50 kes).

  • Bicara 1MDB tangguh, Najib perlu hadir mesyuarat BN

    Bicara 1MDB tangguh, Najib perlu hadir mesyuarat BN

    PERBICARAAN kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ditangguhkan ke 2.30 petang tadi kerana bekas Perdana Menteri itu perlu menghadiri mesyuarat penting di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 pagi berhubung pilihan calon untuk jawatan Perdana Menteri.

    Memetik laporan Bernama, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Najib untuk menghentikan bicara sesi pagi pada 10.45 pagi kerana Ahli Parlimen Pekan itu perlu menghadiri mesyuarat itu.

    “Bolehkah saya menyatakan untuk rekod bagi mengelakkan keraguan bahawa saya membenarkan permintaan tertuduh kerana berikutan isu semasa negara pada masa ini, dan saya rasa pentingnya mesyuarat ini untuk mencapai resolusi.

    “Jadi ia hanya disebabkan perkara ini dan saya tidak mahu tanggapan bahawa permohonan pada mesyuarat lain atau acara lain dibenarkan. Hanya permohonan ini. Saya benarkan beliau untuk menghadiri mesyuarat ini tetapi kita harus teruskan semula pada 2.30 petang. Jadi jumpa anda pada 2.30 petang,” tegas hakim itu.

    Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah, parti Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat penting hari ini berhubung pemilihan calon jawatan perdana menteri pada 11 pagi ini.

    “Anak guam saya adalah penasihat BN, beliau perlu berada di sana bersama Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan pemimpin parti yang lain untuk membuat keputusan,” kata peguam itu.

    Prosiding pagi ini dimulakan dengan keterangan Mohd Hazem Abd Rahman, 49, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, dalam pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee mengenai transaksi berjuta-juta wang daripada 1MDB.

    Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

    Semalam, Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat khas di tempat yang sama untuk membincangkan calon parti untuk jawatan perdana menteri, yang namanya akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan semalam pula memaklumkan, semua Ahli Dewan Rakyat diminta menghantar surat akuan bersumpah kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9.

    Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum 4 petang hari ini, atau ia tidak akan diambil kira.

  • Calon PM: Setiausaha Agung Bersatu nafi keluar kenyataan

    Calon PM: Setiausaha Agung Bersatu nafi keluar kenyataan

    PEJABAT Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pencalonan Perdana Menteri baharu.

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, Zulkifli Bujang dalam kenyataan media, hari ini.

    “Pejabat Setiausaha Agung Bersatu menafikan mengeluarkan kenyataan media seperti yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia bertajuk ‘Calon PM diketengahkan Bersatu dalam kalangan komponen PN’.

    “Sehubungan itu, pejabat Setiausaha Agung Bersatu juga mengarahkan mana-mana media yang menyiarkan kenyataan tersebut untuk segera menariknya semula bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya.

  • Cubaan seludup keluar 2 tan daun ketum tumpas

    Cubaan seludup keluar 2 tan daun ketum tumpas

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar dua tan daun ketum ke negara jiran melalui jalan laut di Pulau Batu Layang, di sini, tengah malam tadi.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata  kegiatan itu dikesan dilakukan pada 12.30 tengah malam di kedudukan 1.1 batu nautika barat daya pulau tersebut berdasarkan hasil risikan dan intipan.

    “Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia di lokasi itu, dua suspek telah bertindak mencampakkan  kesemua bungkusan plastik hitam ke laut dan menukar haluan bagi melarikan diri ke daratan berhampiran.

    “Hasil pemeriksaan di lokasi bungkusan dibuang, APMM menemukan 200 bungkusan plastik hitam terapung di laut yang disyaki berisi daun ketum dengan anggaran berat kira-kira dua tan dan bernilai RM360,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan daun ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

    Katanya modus operandi penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran yang dilakukan suspek adalah sama seperti tangkapan sebelum ini, iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke sempadan Thailand untuk dipindah ke bot-bot nelayan Thailand di sempadan perairan Malaysia-Thailand.

    Mohd Zawawi berkata tindakan suspek membuang muatan bungkusan daun ketum ke laut disyaki berikutan menerima maklumat daripada tonto di Kuala Perlis dan APMM percaya bahawa mereka mengunakan dron bagi memantau pergerakan bot-bot penguat kuasa yang sentiasa melakukan rondaan ketat di kawasan sempadan negara.- BERNAMA