Category: Semasa

  • 102 mangsa banjir di Perak dipindahkan ke PPS

    102 mangsa banjir di Perak dipindahkan ke PPS

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memindahkan 102 penduduk di lima buah kampung di daerah Larut Matang, Taiping ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir semalam.

    JBPM Perak dalam satu kenyataan memberitahu, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Ngah Ibrahim Al Baraqah dan Dewan Orang Ramai Sungai Baru dibuka dan dijadikan PPS untuk mangsa banjir.

    “Seramai 25 keluarga dari Kampung Sungai Rentaka, Kampung Changkat Baru dan Kampung Jebong kiri ditempatkan di PPS SRAR Ngah Ibrahim Al Baraqah yang dibuka pada jam 9.50 malam tadi.

    “Bagi PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru yang dibuka pada jam 12.01 tengah malam ini pula, seramai 15 mangsa banjir dari Kampung Sungai Nyior dan Kampung Sungai Tinggi ditempatkan di situ,” jelas JBPM Perak itu, hari ini.

    Jelas kenyataan tersebut, setakat ini sebanyak 29 keluarga ditempatkan di dua PPS tersebut.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Mohd. Kamaruddin Abu Bakar dalam hantaran di Facebook turut turun padang meninjau keadaan banjir tersebut sejak petang Rabu.

    Menurut beliau, kejadian tersebut antara yang terburuk pernah dialami penduduk di kawasan Matang.

  • Fenomena air pasang: Utamakan keselamatan, bekalan makanan

    Fenomena air pasang: Utamakan keselamatan, bekalan makanan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mahu keselamatan dan bekalan makanan dijadikan keutamaan ketika ini bagi mereka yang menjadi mangsa fenonema kepala air di beberapa kawasan sekitar Gunung Jerai, Kedah petang semalam.

    Perdana Menteri sementara berharap, kerajaan negeri Kedah serta agensi-agensi berkaitan dapat menggerakkan segera semua bentuk bantuan kepada penduduk di kampung-kampung yang terlibat dalam bencana ini.

    “Saya mengikuti secara dekat bencana banjir kilat yang melanda beberapa buah kampung di daerah Yan, Kedah dipercayai kesan daripada fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai petang tadi.

    “Saya difahamkan bahawa petugas-petugas keselamatan dan kecemasan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melakukan operasi menyelamat dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan bencana terjamin.

    “Semoga tugas-tugas pasukan keselamatan ini dipermudah manakala penduduk yang terjejas serta terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara disediakan bantuan dan perlindungan sewajarnya, dengan selamat dan teratur terutamanya ketika dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

  • Tiga maut, tiga lagi masih hilang-MB Kedah

    Tiga maut, tiga lagi masih hilang-MB Kedah

    Oleh Rizqi Zabadi

    TIGA individu dilaporkan maut manakala tiga lagi masih hilang setakat pukul 1 pagi tadi berikutan fenonema kepala air yang melanda sekitar beberapa kawasan di sekitar Gunung Jerai, petang semalam.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketiga-tiga individu yang hilang tu dipercayai berada di kawasan Titi Hayun semasa kejadian.

    Semua jabatan dan agensi kerajaan negeri digerakkan bagi menangani bencana kepala air di daerah Yan dan Kuala Muda yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

    “Operasi mencari ketiga-tiga mereka dihentikan pada pukul 1 pagi tadi dan disambung pukul 7 pagi ini. Kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada mangsa terlibat.

    “Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Yan telah membuka pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan yang menempatkan 60 mangsa.

    “14 mangsa yang positif Covid-19 dan 45 orang yang masih menjalani kuarantin, ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Teroi dengan kedua-dua penempatan itu dipantau rapi semua agensi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

    Katanya, paras air telah pun surut namun orang ramai dinasihatkan supaya berjaga-jaga.

    Pihak berkuasa tempatan (PBT) berhampiran iaitu Majlis Daerah Pendang, Majlis Perbandaran Sungan Petani Kedah (MPSPK), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Majlis Daerah Sik digerakkan bagi membantu Majlis Daerah Yan membersihkan kawsan, melakukan pemindahan dan logistik.

    “Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan menghantar bekalan air ke kawasan ke kawasan terputus bekalan akibat penutupan loji rawatan air di kawasan terjejas berikutan terdapat kelodak dan lumpur.

    “Bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan diperolehi segera,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Besar Kedah itu sudah melawat semua kawasan terlibat termasuk mangsa di pusat pemindahan semalam.

  • Ismail Sabri bakal PM, 114 beri sokongan menghadap Agong hari ini

    Ismail Sabri bakal PM, 114 beri sokongan menghadap Agong hari ini

    AHLI Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-9 selepas memperolehi sokongan majoriti ahli Parlimen yang diputuskan melalui surat akuan ahli-ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

    Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berjaya memperolehi sokongan mengatasi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan 114 ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri akan mengadakan perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong bagi mengesahkan surat akuan mereka.

    ‘Hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sokongan sekali lagi di Istana Negara. Ini bererti Ismail Sabri dengan izin Allah adalah calon Perdana Menteri yang menang,’’ katanya

    Ismail Sabri mendapat sokongan padu parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu, PBS dan Star serta komponen Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO, MCA dan MIC. Turut menyokong Naib Presiden UMNO itu ialah empat ahli Parlimen Bebas.

    Bagaimanapun  jumlah sokongan yang diterima oleh Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan tidak diketahui.

    Pelantikan Ismail Sabri sekaligus menamatkan teka teki siapakah yang akan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ke-8, pada Isnin lalu selepas kehilangan majoriti sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat.

    Kejayaan Ismail Sabri sememangnya sudah diduga selepas kesemua ahli Parlimen UMNO memberi sokongan kepada beliau. Ia memandangkan jika walaupun Anwar mendapat sokongan kesemua ahli Parlimen pembangkang termasuk daripada Pejuang, Warisan, MUDA dan Bebas ia masih mencukupi untuk mendapat sokongan daripada 111 daripada 220 ahli Dewan Rakyat.

    Namun begitu seperti mana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong semalam, Perdana Menteri yang baharu perlu segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan mendapat kepercayaan majoriti.

  • Kepala air di Gunung Jerai: Seorang lelaki maut, 2 hilang

    Kepala air di Gunung Jerai: Seorang lelaki maut, 2 hilang

    RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki maut manakala dua lagi dilaporkan masih hilang berikutan fenomena kepala air dan tanah runtuh yang berlaku di sekitar kawasan Gunung Jerai dekat Kedah, hari ini.

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, identiti lelaki berusia 60 tahun yang maut itu setakat ini masih belum dikenal pasti.

    Dua individu yang hilang bersabit dengan kejadian tanah runtuh di Gunung Jerai dan rumah runtuh di Chalet Salak Denai.

    “Anggaran mangsa terlibat masih dalam siasatan. Maklumat awal mengatakan terdapat 60 individu perlu dipindahkan segera.

    “Selain itu terdapat juga 14 individu yang positif Covid-19. Mereka ini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Teroi,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

    Mengulas lanjut katanya, banjir itu dipercayai berpunca dari hujan lebat yang berterusan di kawasan Gunung Jerai dengan air mengalir laju ke kaki Gunung melibatkan Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi.

    Laporan pertama katanya, diterima kira-kira pukul 5.30 petang.

    “Banjir melibatkan kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai, Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Keras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

    “Terdapat juga mangsa yang terperangkap di atas bumbung rumah di Kampung Setoi,” katanya.

  • Gangguan seksual : Pendakwah terkenal dipanggil bantu siasatan

    Gangguan seksual : Pendakwah terkenal dipanggil bantu siasatan

    SEORANG pendakwah terkenal dipercayai akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan melibatkan kes gangguan seksual.

    Sumber memberitahu, pendakwah terkenal itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok untuk diambil keterangan.

    Difahamkan, pendakwah berusia lingkungan 30-an itu dipanggil untuk merakam percakapan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada akan hadir atau tidak.

    “Polis telah memanggil pendakwah itu tetapi tidak pasti sama ada dia akan hadir ke Bukit Aman atau tidak.

    “Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya lapor UtusanTV.

  • Ratusan rumah dilanda banjir kilat di Pulau Pinang

    Ratusan rumah dilanda banjir kilat di Pulau Pinang

    RATUSAN buah rumah di Teluk Kumbar, Balik Pulau dan Teluk Bahang, Pulau Pinang dinaiki air lebih melebihi paras lutut hari ini ekoran hujan lebat sejak tengah hari tadi.

    Antara kampung yang terjejas dilanda banjir kilat itu ialah Kampung Sulup; Sungai Burung; Kampung Terang; Titi Teras, Taman Seri Indah dan Pulau Betong.

    Malah, beberapa batang jalan di kawasan itu juga tidak boleh dilalui kenderaan ringan selepas ditenggelami air yang melimpah dari sungai berdekatan.

    Bagaimanapun setakat pukul 7 malam ini, tiada mangsa dipindahkan ke lokasi selamat namun pihak berkuasa kini bersiap sedia mengambil langkah segera sekiranya keadaan menjadi lebih buruk.

    Sementara itu seorang penduduk di Teluk Kumbar, Sulaiman Arshad, 50-an, berkata, dia sekeluarga sudah memindahkan perabot dan perkakasan elektrik ke tempat lebih tinggi untuk diselamatkan.

    Katanya, dia bimbang sekiranya berlaku fenomena air laut pasang malam ini yang boleh menyebabkan keadaan banjir di kawasan perumahannya menjadi lebih buruk.

    “Setakat ini air hanya naik setakat paras buku lali, tetapi kami masih perlu berwaspada kerana keadaan banjir boleh menjadi lebih buruk sebab hujan masih belum berhenti dan fenomena laut pasang boleh berlaku malam ini,” katanya.

    Menurutnya, kejadian hari ini merupakan kali kedua rumahnya dinaiki air akibat hujan lebat selepas kali pertama pada bulan Mei lalu yang turut menyebabkan perabot dan perkakasan elektrik miliknya rosak.

    Tambah Sulaiman, kejadian banjir juga kerap berlaku di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini barangkali berpunca beberapa projek komersial yang sedang rancak dijalankan di sekitar Teluk Kumbar.

    “Sebab itu penduduk berharap pihak berwajb dapat memantau situasi ini dan mencari penyelesaian seperti menaik taraf sistem pengairan sesuai dengan kepadatan penduduk.

    “Ini kerana kami tidak mampu lagi berdepan dengan situasi seperti ini  memandangkan setiap kali selepas hujan lebat dan banjir kilat, kami terpaksa menanggung kerugian yang besar,” katanya.

  • [VIDEO] Kepala air kaki Gunung Jerai, banyak lokasi banjir

    [VIDEO] Kepala air kaki Gunung Jerai, banyak lokasi banjir

    LEBIH 10 kampung di kaki Gunung Jerai dan banyak taman perumahan di sekitar bandar Yan, Gurun dan Merbok di Kedah dilanda banjir kilat akibat fenomena kepala air yang berlaku kira-kira pukul 3 petang tadi.

    Memetik laporan Astro Awani, Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan (Rekey), Mohammad Firdaus Mohmad, 36, yang tinggal di kawasan itu berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan tidak dijangka.

    “Dari pagi hujan lebat di atas Gunung Jerai, namun di bawah ini hujan tidak begitu lebat.

    “Secara tiba-tiba, dalam pukul 3 petang, kepala air berlaku di kawasan air terjun termasuk di Pusat Peranginan Seri Perigi. Air sangat kuat dan deras, sehingga merosakkan kawasan itu.

    “Kampung yang berada di kaki Gunung Jerai juga dinaiki air. Paling teruk yang berdekatan sungai. Malah pekan Yan turut dilanda banjir. Ini kerana lokasinya yang terletak di tepi laut.

    “Paras air laut pula kebetulan ketika ini agak tinggi atau digelar air mati. Jadi ia menyebabkan banjir lambat surut,” katanya.

    Sementara itu, jurucakap bomba berkata, mereka menerima banyak laporan dan sedang menjalankan operasi.

  • PN komited terus sokong kerajaan Melaka

    PN komited terus sokong kerajaan Melaka

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KERAJAAN negeri Melaka diyakini akan terus kekal selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu tidak merancang untuk menarik sokongan.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen, beliau selaku ADUN Paya Rumput dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad sepakat terus kekal di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    Kata Naib Presiden Bersatu itu, kini bukan masa sesuai untuk merebut kuasa termasuk gerakan bermotifkan politik bagi menjatuhkan sesiapa sahaja sama ada Perdana Menteri atau pemimpin lain.

    “Kita akan mengekalkan kerajaan PN di Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman. Cukup-cukuplah membuat percaturan politik yang penuh dengan tipu muslihat sehingga menjatuhkan pemimpin lain.

    “Ini bukan masa untuk merebut kuasa kerana rakyat menuntut tumpuan diberikan bagi menangani wabak Covid-19 dan juga pemulihan ekonomi,” katanya selepas majlis penyampaian insentif kepada pemain badminton negara di Pejabat Yang Dipertua Negeri, hari ini.

    Daripada 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), kerajaan negeri Melaka yang kini ditunjangi 14 ADUN UMNO dan dua Bersatu turut disokong seorang ADUN bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang sebelum ini bersama DAP.

    Manakala Pakatan Harapan (PH) yang mewakili blok pembangkang dianggotai 11 wakil rakyat dari Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP termasuk bekas Ketua Menteri, Adly Zahari.

    Melaka antara empat negeri disamping Johor, Perak dan Sabah yang sebelum ini disebut-sebut akan terkesan sekiranya berlaku pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan.

  • Kedah pinda undang-undang benarkan individu 18 tahun jadi calon pilihan raya

    Kedah pinda undang-undang benarkan individu 18 tahun jadi calon pilihan raya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Kerajaan Negeri Kedah akan membawa usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri untuk membenarkan individu berusia 18 tahun menjadi calon dalam pilihan raya.

    Menurut Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor, usul itu akan dibawa menerusi pembentangan Belanjawan 2022 yang dijadualkan pada November depan.

    Ketika ini Undang-Undang Tubuh Negeri menetapkan hanya individu berusia 21 tahun layak menjadi calon pilihan raya.

    “Selain itu mesyuarat kerajaan negeri hari ini turut memutuskan untuk mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menambah bilangan ahli jemaah solat Jumaat.

    “Kita terima banyak permohonan berkaitan perkara itu termasuk daripada Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Kedah,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

    Muhammad Sanusi dalam pada itu memaklumkan, kerajaan negeri mengambil maklum akan titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap peningkatan angka Covid-19 di Kedah.

    “Justeru kerajaan negeri mengharapkan tindakan segera dari kerajaan Persekutuan untuk menghantar bekalan vaksin sebanya 226,000 dos seminggu seperti dijanjikan sebelum ini,” katanya.

    Dalam pada itu beliau memaklumkan, kadar vaksinasi di Langkawi hampir mencapai sasaran untuk melaksanakan program gelembung perjalanan bermula 1 September depan.

    “Kerajaan negeri opitimis untuk membuka semula sektor pelancongan Langkawi bagi menghidupkan semula ekonomi penduduk tempatan,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan, program vaksinasi kepada guru-guru menjadi agenda utama kerajaan negeri dan sedang diuruskan Jabatan Pendidikan negeri.

    “Kerajaan negeri dalam masa sama turut meluluskan bantuan makanan barang basah kepada pendudukdi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Nilam dan Bukit Malut di Langkawi,” katanya