Category: Semasa

  • Ismail Sabri mulakan tugas PM secara rasmi

    Ismail Sabri mulakan tugas PM secara rasmi

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra di sini.

    Ketibaan Ismail Sabri di blok utama Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri pada jam kira-kira 8.25 pagi itu disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Jamil Rakon.

    Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang.

    Ismail Sabri yang mengenakan sut serba hitam dan kelihatan bersemangat kemudian mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Aras 5 bangunan tersebut.

    Ahli Parlimen Bera itu kemudiannya mengaminkan doa yang dipimpin oleh Pegawai Integriti JPM Muhd Redza Ahmad sebelum menandatangani Buku Selamat Datang.

    Ismail Sabri sempat melambai tangan ke arah para pengamal media yang ‘berkampung’ di luar perkarangan Perdana Putra yang menunggu ketibaan beliau untuk memasuki Pejabat Perdana Menteri.

    Ismail Sabri, 61, mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia, pada Sabtu.

    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

    Selepas melapor diri di Perdana Putra, Ismail Sabri hari ini dijadualkan mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Kedah bagi meninjau keadaan kawasan yang terjejas akibat banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku pada Rabu lepas.

    Setakat ini, fenomena kepala air itu telah meragut  lima nyawa, dan seorang lagi masih hilang. Banjir itu dilaporkan turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 rumah di Kuala Muda.

    Semalam, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ dengan mengajak rakyat pelbagai agama, bangsa dan kaum bersama-sama untuk memulihkan semula keadaan negara. – BERNAMA

  • 13,022,246 populasi dewasa lengkap 2 dos vaksin

    13,022,246 populasi dewasa lengkap 2 dos vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 13,022,246 populasi dewasa di negara ini sudah diberikan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah itu juga bersamaan 55.6 peratus.

    Sebanyak 55.6 peratus atau 13,022,246 populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    Jawatankuasa itu yang berkongsi maklumat berkenaan di laman Twitter rasminya memaklumkan

    “Setakat semalam juga 18,258,947 individu telah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 31,281,193 dos.

    “Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 441,100 dos diberikan semalam dengan 303,545 adalah dos kedua,” jelas JKJAV menerusi laman Twitter miliknya, hari ini.

    Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

  • Terengganu larang penjualan telur penyu tahun depan

    Terengganu larang penjualan telur penyu tahun depan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEMUA jenis telur penyu dan tuntung adalah dilarang penjualannya di negeri ini, bermula tahun hadapan.

    Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim memberitahu, larangan itu akan mula dikuatkuasakan sebaik sahaja pindaan Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November.

    Sehinga ini katanya, proses pindaan enakmen tersebut sudah di peringkat akhir sebelum ia dibentangkan pada Sidang DUN nanti.

    “Insya-Allah, enakmen itu akan diperketatkan lagi menerusi pindaan 2021 yang turut meliputi penjualan telur, peningkatan hukuman dan denda membabitkan kesalahan menganggu serta membunuh penyu,” katanya.

    Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas program penyerahan input pertanian secata ‘drive thru’ kepada 47 pengusaha Melon Manis Terengganu (MMT) di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, Manir, hari ini.

    Menurut Dr. Azman, enakmen penyu Terengganu yang sebelum ini hanya menekankan dari segi pengharaman jualan telur penyu belimbing dilihat sudah tidak relevan dengan situasi semasa.

    Justeru ujar beliau, bagi membolehkan usaha kerajaan negeri terus memulihara hidupan tersebut, enakmen sedia ada perlu dipinda dan diperketatkan.

    “Peruntukan enakmen sedia ada hanya melarang penjualan telur penyu belimbing. Ia dilihat sudah tidak sesuai kerana penyu belimbing sudah lama tidak mendarat di pantai negeri ini di mana kali terakhir dilihat sekitar tujuh tahun lalu.

    “Oleh itu, kita akan pinda satu enakmen baharu yang turut mengharamkan penjualan bagi semua jenis telur penyu di negeri ini untuk membolehkan kita memelihara semua spesies hidupan marin berkenaan.

    Menurut beliau, pemantauan dijalankan terhadap penjualan telur penyu dan tuntung di samping maklumat awal mengenai pengharaman jualan telur haiwan berkenaan akan disalurkan dari masa ke masa.

    Katanya, maklumat awal akan disampaikan kepada para peniaga dan apabila penguatkuasaan dijalankan ia tidak memberi kejutan kepada mereka.

    “Kita yakin perubahan ini boleh diterima memandangkan kebanyakan penjualan telur ini bukan mata pencarian utama, ia sekadar pendapatan sampingan peniaga,” jelas beliau.

  • MN Selangor seru henti perebutan kuasa

    MN Selangor seru henti perebutan kuasa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MUAFAKAT Nasional (MN) Selangor menyeru perebutan kuasa politik dihentikan segera bagi memberi fokus untuk memulihkan negara.

    Menerusi satu kenyataan bersama-sama, Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, seruan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ucapan sulungnya petang tadi yang menyeru semua pihak untuk mencari titik persamaan membuktikan beliau amat yakin penyatuan dan perpaduan merupakan aspek penting dalam membina sebuah negara stabil.

    Menurutnya, ucapan yang disampaikan Perdana Menteri itu juga cukup padat dan mencerminkan sebuah kepimpinan yang prihatin dalam membela nasib rakyat khususnya sewaktu pandemik Covid-19 ini.

    “Bagi MN Selangor, komitmen untuk memperkasakan pelan menghadapi Covid-19 dengan lebih komprehensif sebagaimana ditekankan oleh Perdana Menteri adalah sangat tepat dan amat disambut baik,” kata kenyataan itu, hari ini.

    Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

    Sementara itu, menurut kenyataan berkenaan, MN Selangor juga komited untuk menjayakan hasrat yang digariskan Ismail Sabri dan menyeru seluruh rakyat agar dapat menyokong usaha berkenaan.

    “Iltizam Perdana Menteri untuk memperkukuhkan asas ekonomi negara di samping mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini amat disambut baik,” katanya.

  • PN komited jayakan pelan pemulihan negara

    PN komited jayakan pelan pemulihan negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Parti Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi komitmen gabungan itu menyokong dasar dan perancangan kerajaan PN menjayakan pelan pemulihan negara termasuk mengutamakan kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan negara.

    Beliau berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN yang diadakan hari ini dengan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Parti PN yang didukung oleh 50 Ahli Dewan Rakyat bersama-sama tiga Ahli Dewan Rakyat bebas akan terus bersama, bersatu padu dan komited untuk menyokong dasar dan perancangan kerajaan PN menjayakan pelan pemulihan negara, mengutamakan kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan negara.

    “Mesyuarat juga telah membincangkan secara mendalam senario politik semasa negara dan mendengar serta mengambil maklum semua pandangan dari parti-parti komponen bagi memperkukuhkan kerjasama politik dan membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Mesyuarat hari ini telah dihadiri oleh semua ahli Majlis Tertinggi PN termasuk Presiden parti-parti komponen iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (Sapp), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.

    Turut menghadiri mesyuarat adalah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mohktar dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta wakil-wakil dari parti komponen.

  • Tiga nelayan selamat, seorang lagi masih hilang

    Tiga nelayan selamat, seorang lagi masih hilang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Empat nelayan berdepan detik cemas apabila bot fiber dinaiki mereka terlanggar boya di posisi 0.5 batu nautika, selatan Pulau Lalang dekat Langkawi, Kedah hingga menyebabkan kesemua mereka tercampak ke laut, pagi tadi.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi tadi menyebabkan seorang daripada nelayan tersebut gagal dikesan.

    Katanya, tiga individu lain yang berusia antara 18 hingga 53 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan kira-kira 20 minit selepas kejadian itu berlaku.

    “Mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohamad Ewandi Husnan, 22. Kejadian dipercayai berlau apabila bot fiber dinaiki mereka terlanggar boya menyebabkan keempat-empat individu berkenaan tercampak ke laut ketika bot masih bergerak.

    “Bot PERKASA 1228 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diatur gerak ke lokasi kejadian dengan maklumat turut disalurkan kepada Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti nelayan bagi membantu pencarian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, salah seorang mangsa terselamat patah hidung sementara dua yang lain, cedera ringan.

    Kesemua mereka dilaporkan stabil dan telah dihantar oleh bot nelayan tempatan ke daratan yang berpangkalan di Sungai Menghulu, Langkawi,” katanya.

    Tambahnya, kejadian itu dipercayai berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan.

    “Bot tanpa pengemudi itu ditemukan tersadai di daratan Pulau Lalang kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi.

    “Operasi mencari dan menyelamat masih dipergiatkan di kawasan berhampiran,” katanya.

  • Ismail Sabri garis dua objektif utama kurang kesan ekonomi

    Ismail Sabri garis dua objektif utama kurang kesan ekonomi

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyampaikan ucapan sulung selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri menggariskan dua objektif utama bagi tujuan mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan berikutan pandemik Covid-19.

    Katanya, objektif pertama,mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna.

    ‘’Manakala objektif kedua, mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara,’’ katanya.

    Sehubungan itu, beliau menegaskan, fokus usaha ialah rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.

    ‘’Fokus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh. Saya juga akan memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum yang tercicir atau terpinggir.

    ‘’Usaha kita tidak akan terhenti setakat ini. Kita akan terus bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bagi melaksanakan beberapa perubahan mendasar. Seluruhnya bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara,’’katanya.

    Perdana Menteri berkata, seiring usaha mencapai objektif dan fokus tersebut, penglibatan anak muda amat diperlukan.

    ‘’Untuk itu, saya pastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini. Kepada anak muda di luar sana,jangan risau,penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara,’’ katanya.

    Ismail Sabri berkata, krisis pandemik telah memberikan kesan yang sangat serius dan menyeluruh kepada ekonomi dunia, termasuk ekonomi domestik negara.

    ‘’Pelbagai sektor industri, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana, sangat terkesan. Ada yang masih bergelut dan ada yang gulung tikar. Ini memberikan impak yang besar kepada ekonomi rakyat serta negara,’’ katanya.

    Perdana Menteri turut menegaskan, strategi yang telah dirangka kerajaan sebelum ini dalam memerangi pandemik Covid-19 akan diteruskan dan diperkasakan serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar kesihatan awam.

    Katanya, beliau akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif.

    ‘’Ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil,’’ katanya.

    Ismail Sabri berkata, melalui usaha berterusan kerajaan sebelum ini, kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia merupakan antara yang terpantas di seluruh dunia. Malaysia konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500,000  dos sehari.

    ‘’Bersandarkan data tersebut, maka kerajaan ini akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.

    ‘’Demi mencapai sasaran tersebut lebih awal, kerajaan ini akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat,’’ katanya.

    Perdana Menteri berkata, keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan komitmen daripada semua Keluarga Malaysia.

    ‘’Bagi mereka yang masih belum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat demikian. Dengan itu, kita dapat membantu dan menghargai pengorbanan frontliners yang masih bertungkus-lumus bagi memastikan seluruh rakyat dapat segera menjalani kehidupan dalam norma baharu,’’ katanya.

    Beliau berkata, melalui kejayaan program vaksinasi  kelak, ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara.

    Anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah,’’ katanya.

    Ismail Sabri menegaskan, gambaran ini bukanlah satu angan-angan kosong kerana negara kita pernah berjaya menurunkan statistik pesakit Covid-19.

    ‘’Ini kerana fakta terkini pada Jumaatmembuktikan keberkesanan strategi lalu apabila statistik kes harian Wilayah Persekutuan Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa, telah menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut- turut.

    ‘’ Ini bukanlah bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19. Tetapi apabila kita mencapai imuniti kelompok, virus ini tidak lagi menjadi ancaman sepertimana yang ditakuti sekarang,’’ katanya.

    Sehubungan itu, tegas beliau, demi memangkin pencapaian seperti di Labuan, pembelian tambahan sejumlah enam juta dos vaksin lagi yang akan diterima menjelang awal September ini.

  • Tidak wajar debat isu pelantikan menteri Kabinet, serah kepada PM

    Tidak wajar debat isu pelantikan menteri Kabinet, serah kepada PM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ISU berkaitan pelantikan Menteri Kabinet tidak sewajarnya diperdebatkan dan hanya perlu diserahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, dalam keadaan sekarang terpulang kepada Perdana Menteri untuk membentuk kerajaan yang boleh menstabilkan keadaan politik untuk semua pihak bekerja bersama-sama.

    Katanya, apa yang lebih penting adalah pandemik Covid-19 dapat diuruskan dengan baik manakala ekonomi pula dapat dibangunkan semula.

    “Ini perkara penting dan akan menguji walau siapa juga yang menjadi Perdana Menteri.

    “Tentang Timbalan Perdana Menteri, saya tak mahu komen dan serahkan kepada pucuk pimpinan parti. Kita tahu Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang yang bijak dan beliau tentu tahu ke mana arah tuju parti dan negara ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Permatang Keramat di Yan, yang terjejas dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai, hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, beliau sendiri buat masa ini tidak tahu di mana akan ditempatkan selepas ini.

    “Saya akan terus bekerja dan terpulang pada pimpinan parti hendak letak di mana. Kalau tak letak pun, tak apa,” katanya.

    Sementara itu katanya, nama kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya diperdebatkan ketika ini oleh mana-mana ahli politik.

    “Secara logiknya kalau dilihat hari ni, wakil rakyat gabungan PN lebih besar daripada Barisan Nasional (BN). Itu definisinya kalau kita nak cakap politik.

    “Tetapi hari ini kita kekalkan… Apa yang pasti, kita kekalkan PN itu sendiri,” katanya.

    Tambahnya, rakyat boleh menilai mengenai kesungguhan kerajaan PN dalam berdepan cabaran yang cukup besar sebelum ini.

    “Ini memberi satu ujian kepada sesiapa saja yang menjadi Perdana Menteri. Apa yang penting, kita dapat bekerjasama antara satu sama lain.

    “Kalau boleh, kita bawa pendekatan kepada melangkaui parti. Siapa berkebolehan dan boleh bantu rakyat secara langsung atau tidak, boleh ke depan tanpa ada masalah,” katanya.

  • PM tawar pembangkang sertai Majlis Pemulihan Negara, Jawatankuasa Khas Covid

    PM tawar pembangkang sertai Majlis Pemulihan Negara, Jawatankuasa Khas Covid

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid.

    Katanya, pelawaan itu dibuat dalam usaha mencapai segera kestabilan politik menerusi kebersamaan termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.

    ‘’Kebawah Duli Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

    ‘’Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan perdana hari ini.

    Ia merupakan ucapan pertama beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan, semalam.

    Ismail Sabri menyeru ahli-ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

    ‘’Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia.

    ‘’Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum. Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

    ‘’Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga. Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum,’’ katanya.

    Beliau juga menyifatkan dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri yang berlaku dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

    ‘’Marilah kita bergerak ke hadapan.Kita leraikan segala perebutan kuasa politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini,’’ katanya.

    Dalam ucapan itu juga Perdana Menteri berkata, beliau akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

    ‘’Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan. Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.

    ‘’Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu. Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat,’’ katanya.

  • Mayat kelima mangsa Gunung Jerai ditemukan mengiring ke arah kiblat

    Mayat kelima mangsa Gunung Jerai ditemukan mengiring ke arah kiblat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MANGSA kelima tragedi kepala air di Gunung Jerai, Kedah berjaya ditemukan di kawasan sekitar Batu Hampar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 3.23 petang tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelama Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkaa, mayat Ku Shuib Ku Abdullah, 91, ditemukan di bawah timbunan kayu.

    Katanya, mayat tersebut yang masih berada dalam keadaan baik berjaya dikeluarkan kira-kira lima minit kemudian.

    “Mayat berkenaan ditemukan mengiring ke arah kiblat dan dalam keadaan sempurna.

    “Sebaik dikeluarkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan untuk tindakan lanjut.

    “Usaha mencari dan menyelamat mangsa terakhir diteruskan di kawasan Titi Hayun,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Sebelum ini empat mangsa yang maut sudah ditemukan iaitu Ahmad Din, 68, Shahruzi Mohamad, 53, Zahinor Murad, 65 dan Mohd. Faizal Mohd. Zohir, 28.