Category: Semasa

  • 330,000 batang rokok seludup bernilai RM350,000 ditemui di Pulau Karah

    330,000 batang rokok seludup bernilai RM350,000 ditemui di Pulau Karah

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SEBANYAK 330,000 batang rokok seludup bernilai RM350,000 ditemui Agensi Penguatkuasaan
    Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu yang ditinggalkan di kawasan pantai Pulau Karah, berhampiran Pulau Bidong, Kuala Nerus, Sabtu lalu.

    Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli memberitahu, kesemua rokok melibatkan sebanyak 1,650 karton dikesan sewaktu pihaknya melakukan pemantauan di kawasan tersebut pada pukul 6 petang.

    Menurutnya, sebaik menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan, sepasukan anggota bot Panggalan 45 dikerahkan ke lokasi di pulau berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan dibuat, kami menemukan beberapa bungkusan plastik lut sinar berisi rokok putih dipercayai ditinggalkan kerana tidak sempat dipindahkan ke bot lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Terengganu hari ini.

    Malah, Muhammad Suffi percaya Pulau Karah dijadikan sebagai lokasi transit penyeludupan rokok sebelum dibawa masuk untuk dijual di pasaran tempatan.

    Ini kerana katanya, pulau tersebut tidak berpenghuni dan tiada penempatan
    penduduk.

    Menurut beliau, kes melibatkan aktiviti penyeludupan rokok menggunakan jalan air merupakan pertama kali direkodkan Maritim Terengganu.

    “Suspek dipercayai melakukan aktiviti berkenaan dengan menggunakan jalan laut kerana sukar menggunakan jalan darat berikutan penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) yang terlalu ketat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

    “Kami tidak menolak kemungkinan penyeludupan rokok tersebut didalangi warga tempatan dan rokok itu dikilangkan di Vietnam,” jelasnya.

    Muhammad Suffi berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

    “Maritim Terengganu akan terus meningkatkan kawalan bagi mengesan sebarang aktiviti salah laku di perairan negara,” tambah beliau.

  • Tiga ADUN Perak tidak dibenarkan hadiri persidangan DUN

    Tiga ADUN Perak tidak dibenarkan hadiri persidangan DUN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak tidak dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula Rabu ini atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, ini berikutan status tiga ADUN tersebut iaitu positif COVID-19, kontak rapat dan belum menerima vaksin.

    “Saya telah maklumkan secara peribadi mengenai nasihat yang kami terima daripada MKN dan KKM kepada mereka akan perkara ini. Yang positif itu baru mendapat keputusannya semalam, yang kontak rapat itu perlu kuarantin kendiri di rumah dan seorang lagi belum divaksin.

    “Jadi ketiga-tiga ini tidak dibenarkan menghadiri sidang DUN. Kita perlu mengambil langkah sewajarnya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya pada sidang media hari ini dan menambah, maklumat lanjut mengenai ketiga-tiga ADUN itu akan dimaklumkan kemudian.

    Mohammad Zahir berkata, selain itu, setiausaha dan penolong dewan juga digantikan dengan orang lain kerana mereka perlu kuarantin kendiri ekoran dua orang petugas yang terlibat dengan persidangan itu telah didapati positif Covid-19.

    Sementara itu, Mohammad Zahir berkata selain sesi perbahasan titah Diraja dan sesi soalan lisan, persidangan juga dijangka membahaskan usul-usul melantik keanggotaan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira, Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak.

    Sebelum ini dilaporkan, konsep Gelembung Persidangan Dewan Negeri akan diguna pakai dalam Persidangan DUN Perak yang bermula pada 25 Ogos ini dan pelaksanaan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri itu serta khidmat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

    Konsep gelembung itu merangkumi empat elemen utama iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi mereka yang terlibat dengan persidangan.

    Bagi meminimumkan pergerakan, semua individu yang terlibat dalam gelembung persidangan ini akan disediakan kemudahan pengangkutan dan penginapan di Hotel Impiana, Ipoh dan penggunaan kenderaan sendiri atau e-hailing adalah dilarang

    Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, telah berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan pada hari pertama persidangan.

  • Wanita dakwa jadi isteri hantu Michael Jackson

    Wanita dakwa jadi isteri hantu Michael Jackson

    SEORANG wanita membuat dakwaan yang tidak masuk akal apabila mendakwa berkahwin dengan hantu mendiang raja pop dunia, Michael Jackson.

    Lebih pelik, dia juga mendakwa dirinya adalah jelmaan semula mendiang aktres Hollywood, Marilyn Monroe.

    Memetik laporan Daily Star, Kahtleen Roberts mendakwa, Michael mengahwininya kerana mahu menggunakannya sebagai pengantara untuk memakan biskut.

    Katanya, mereka telah menjalinkan hubungan sejak beberapa tahun lalu dan Michael turut menggunakan tubuhnya untuk menyanyi serta menari.

    Namun, wanita itu agak kecewa kerana hantu Michael tidak mahu melakukan hubungan intim dengannya.

    Hubungan itu memang luar biasa dan sukar dibuktikan tetapi Kathleen menegaskan bahawa fikirannya masih waras dan dia berkata benar.

    Sebelum ini, dia berkongsi kisah tentang perkahwinannya itu melalui TikTok namun perkongsiannya itu telah dipadamkan.

    Kini, apa yang tinggal adalah catatan yang dikongsikannya tahun lalu.

    Kathleen yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) juga menggambarkan hantu Michael sebagai peramah dan suka berbual.

    “Dia menyanyi dan menari semasa merasuk saya. Dia juga banyak bercakap dengan saya, sesuatu yang saya tidak jangka daripada seorang lelaki pemalu yang saya saksikan melalui televisyen ketika menjadi peminatnya,” katanya.

    Wanita itu menjelaskan, hantu Michael juga tidak suka bila disentuh dan mengugut akan menjelma dalam bentuk labah-labah atau mayat jika Kathleen cuba menciumnya.

    “Dia suka mengarah-arahkan orang dan mengungkit kesalahan yang saya lakukan. Saya agak mungkin dia mewarisi perangai itu daripada bapanya, jadi saya cuba tidak mengendahkannya kerana saya mencintai dia dan saya juga tidak sempurna,” jelasnya.

    Tidak diketahui mengapa Kathleen dipilih menjadi pasangan hantu tersebut sedangkan mereka tidak pernah bertemu semasa Michael masih hidup.

    Mungkin ia adalah kaitan dengan dakwaan Kathleen bahawa dia adalah jelmaan semula Marilyn Monroe.

    Sebelum ini, pernah didedahkan bahawa raja pop dunia itu meminati aktres jelita tersebut.

    Terdapat patung kaca fiber Marylin Monroe bersaiz besar di pejabat Michael di Neverland selain gambar aktres berkenaan di meja bilik tidurnya.

    “Saya rasa istimewa kerana dia memilih saya sebagai isterinya. Kami ada saat suka dan duka namun hakikatnya Michael, aku tidak dapat berhenti mencintaimu,” kata Kathleen.

  • PM umum senarai Kabinet minggu ini

    PM umum senarai Kabinet minggu ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, senarai Kabinet akan diumumkan dalam minggu ini.

    Beliau berkata, pengumuman akan dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Ismail Sabri Yaakob hari ini memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra Putrajaya.

    Ketibaan Ismail Sabri di blok utama Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri pada jam kira-kira 8.25 pagi itu disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Jamil Rakon.

  • TMJ akan bertemu guru tolak vaksin pada Jumaat

    TMJ akan bertemu guru tolak vaksin pada Jumaat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan berjumpa Pengarah Pendidikan negeri dan para guru di Bangunan Sultan Ibrahim Bukit Timbalan, Johor Bahru, Jumaat ini.

    Perkara tersebut dimaklumkna Tunku Ismail dalam Facebook rasmi beliau hari ini.

    “Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Johor dan para guru di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan bersama-sama dengan Mufti Johor dan Setiausaha Kerajaan Johor pada Jumaat ini.

    “Demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Insya’Allah,” katanya.

    Hari ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.

    Baginda bertitah, kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga, serta masyarakat.

    Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, semalam berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.

  • Ismail Sabri perlu berani ambil langkah luar biasa

    Ismail Sabri perlu berani ambil langkah luar biasa

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disarankan supaya bertindak berani mengambil langkah-langkah luar biasa bagi menstabilkan politik negara sekali gus memulihkan keyakinan pelabur serta memastikan ekonomi berkembang semula.

    Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, antara langkah yang boleh diambil oleh pentadbiran Ismail Sabri adalah memudahkan urusan pelaburan dan perniagaan serta memberi insentif yang terbaik kepada sektor perniagaan.

    Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu turut mencadangkan agar pentadbiran Ismail Sabri menghapuskan segala bentuk kerenah birokrasi yang menyulitkan para peniaga, pelabur dan pemaju.

    “Usaha yang khusus bagi membentuk suasana kondusif serta mesra perniagaan perlu diwujudkan.

    “Peluang pekerjaan perlu diwujudkan agar anak muda dapat segera masuk ke sektor produktif.

    “Ruang penglibatan anak muda dan wanita perlu segera diberi keutamaan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Dari segi politik pula, Annuar berkata, satu aspek penting yang perlu dijayakan Ismail Sabri adalah muafakat kerajaan-pembangkang secara formal serta melaksanakan transformasi pentadbiran yang bermakna.

    Beliau percaya Perdana Menteri akan segera menjemput Ketua Pembangkang untuk menyusuri gagasan tersebut.

    “Parti-parti politik pembangkang boleh memulakan budaya yang sihat dan positif dan menukar budaya membangkang dengan cara yang tidak konstruktif.

    “Apapun kata orang, ‘it takes two to tango’. Ini bermakna budaya politik parti pemerintah juga perlu turut berubah,” jelasnya.

  • Bekalan air di Sibu terjejas akibat himpunan serpihan balak

    Bekalan air di Sibu terjejas akibat himpunan serpihan balak

    LEMBAGA Air Sibu (SWB) tidak dapat mengekstrak air dari Sungai Rejang akibat berlaku pelodakan serius, susulan kejadian himpunan serpihan kayu balak di kawasan hulu Sungai Baleh di Bahagian Kapit, semalam.

    Dalam notis kepada pelangganya menerusi Facebook, SWB memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Salim dan Loji Rawatan Air Bukit Lima beroperasi pada kapasiti minimum, sekali gus memberi kesan terhadap bekalan air ke seluruh kawasan Sibu.

    “Kita akan cuba memulihkan bekalan dengan kadar segera. Sebarang kesulitan amat dikesali,” menurut SWB dalam kenyataan itu.

    Semalam Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Baleh Tan Sri Dr James Masing berkata himpunan balak tersebut berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan hulu Baleh.

    Beliau yang berang dengan kejadian itu, mendesak supaya lesen bagi pemilik-pemilik konsensi balak berkenaan tidak diperbaharui bagi mengelak insiden yang sama berulang.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew menggesa kerajaan Sarawak untuk menyiasat punca berlakunya himpunan balak tersebut, yang pernah berlaku pada 2010 sehingga menyebabkan ikan-ikan mati akibat kandungan bahan tercemar yang tinggi dan kandungan oksigen yang sangat rendah di dalam air.

    “Kesilapan sama berulang lagi hari ini, kami berhak mendapat jawapan daripada kerajaan negeri. Ini adalah isu alam sekitar yang serius, ikan-ikan yang bernilai di Sungai Rejang mungkin hilang jika isu ini tidak diselesaikan dan dibiar berulang lebih kerap,” tegas beliau menerusi satu kenyataan.

    Beliau mendesak kerajaan mengeluarkan laporan siasatan secepat mungkin dan langkah-langkah yang telah dilakukan sejak insiden himpunan kayu balak pada 2010 dan faktor berulangnya kejadian ini.

    Dalam pada itu, bekas presiden Kelab Rotary Sibu Dr Gregory Hii Sui Cheng meminta pemilik konsensi balak untuk mengamalkan kaedah yang lebih baik agar serpihan balak tidak dihanyutkan ke dalam sungai sehingga menyebabkan hakisan tebing sungai dan pencemaran yang teruk.

    “Pencemaran sungai ini telah memberi kesan kepada kita susulan gangguan bekalan sumber air minum,” kata Hii.

    Beliau turut merayu kepada penduduk di tebing sungai dan penghuni kota, supaya mengelak daripada membuang sisa domestik ke dalam sungai yang akan memburukkan lagi masalah kelodak dan pencemaran sungai itu.

    “Sungai perlu dijaga dan hargai, oleh itu saya merayu kepada semua supaya peliharalah kebersihan sungai kita dan hentikan mencemarinya,” katanya.- BERNAMA

  • 17,672 kes baharu Covid-19, Lembah Klang catat penurunan ketara

    17,672 kes baharu Covid-19, Lembah Klang catat penurunan ketara

    KES baharu Covid-19 menunjukkan trend penurunan buat dua hari berturut-turut apabila mencatatkan sebanyak 17,672 jangkitan hari ini berbanding 19,807 kes semalam.

    Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,572,765 kes.

    Walaupun masih dianggap tinggi, namun perkembangan positif mula kelihatan di negeri Lembah Klang apabila kawasan yang dianggap pusat utama jangkitan menunjukkan penurunan ketara.

    Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor mencatatkan hanya 4,316 kes hari ini berbanding 5,379 kes semalam diikuti Kuala Lumpur dengan 891 kes berbanding 999 kes kelmarin.

    Bilangan kes di Putrajaya pula kekal pada angka dua digit sahaja.

    Penurunan kes itu dipercayai disumbang oleh kadar pemberian vaksin di Lembah Klang yang ketika ini peratusan populasi dewasa yang mendapat dos pertama vaksin ialah sebanyak 108.2 peratus manakala populasi dewasa yang lengkap divaksin sebanyak 83.8 peratus.

    Perkembangan terbaharu ini berbeza dengan jumlah kes minggu lalu yang mana jangkitan harian merekodkan lebih 20,000 kes buat empat hari berturut-turut.

    Sabah kekal berada di tempat kedua di belakang Selangor apabila mencatatkan sebanyak 2,474 kes diikuti Kedah (1602 kes; Sarawak (1,538 kes); Pulau Pinang (1,451 kes) Johor (1,367 kes) dan Kelantan (1,176 kes).

    Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing hanya merekodkan tiga digit kes positif sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu tujuh jangkitan diikuti Putrajaya (24 kes) dan Perlis (57 kes).

  • Tiada amaran cuaca waspada – MetMalaysia

    Tiada amaran cuaca waspada – MetMalaysia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan negara ketika ini menerima tiupun angin dari pelbagai hala mengakibatkan cuaca yang lebih lembap dan berlaku penumpuan angin di sekitar Semenanjung Malaysia.

    Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah bagaimanapun berkata, keadaan tersebut dijangka berterusan dalam tempoh seminggu atau pada awal September, selain beberapa kawasan menerima taburan hujan yang melebihi kebiasaan.

    Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah bagaimanapun berkata, rantau negara ketika ini menerima tiupun angin dari pelbagai hala mengakibatkan cuaca yang lebih lembap dan berlaku penumpuan angin di sekitar Semenanjung Malaysia.

    Jelas beliau, keadaan tersebut dijangka berterusan dalam tempoh seminggu atau pada awal September, selain beberapa kawasan menerima taburan hujan yang melebihi kebiasaan.

    “Jadi, corak seperti itu kita jangkakan akan berterusan untuk beberapa hari akan datang, dan pada waktu petang pula kalau di negeri-negeri pantai barat, kita jangkakan ribut petir dan hujan berlaku pada waktu petang dan boleh membawa sehingga waktu malam.

    “Begitu juga kalau di negeri-negeri pantai timur terutama sekali kawasan di pedalaman negeri-negeri juga boleh terjejas dengan ribut petir dan hujan.

    “Sabah dan Sarawak pun kebanyakan kawasan kita menjangkakan keadaan cuaca yang sedimikian. Cuaca di Malaysia pada amnya lembap, jadi negeri-negeri yang terjejas dengan kejadian banjir juga akan mengalami tempiasnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, keadaan lembap tersebut disebabkan intensiti monsun barat daya yang ketika ini berada pada tahap lemah.

    Pihaknya meramalkan amaran cuaca waspada di beberapa kawasan di seluruh negara tidak akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

  • PH gagal buktikan mereka alternatif lebih baik

    PH gagal buktikan mereka alternatif lebih baik

    PAKATAN Harapan (PH) gagal menunjukkan mereka adalah alternatif yang lebih baik untuk mentadbir negara.

    Pandangan itu disuarakan oleh penganalisis politik, Dr Wong Chin Huat ekoran kegagalan PH kembali berkuasa.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau berkata, pakatan pembangkang sering terperangkap dengan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa mereka ‘mempunyai angka’ walaupun UMNO atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menyokong salah seorang daripada mereka untuk menjadi Perdana Menteri.

    Chin Huat memberitahu, ramai penyokong pembangkang cenderung mempercayai ‘cerita dongeng’ yang dinyatakan pemimpin pembangkang kerana mereka takut PH tidak dapat memenangi pilihan raya umum akan datang dan mesti merebut kembali kerajaan bagi menikmati kelebihan sebagai penyandang jawatan dan meningkatkan peluang mereka.

    “Adalah tragis apabila ramai pemimpin pembangkang masih ‘berusaha’ untuk mengembalikan mandat yang mereka terima pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ketika kita sudah hampir dengan PRU-15,” katanya.

    Menurut beliau, PH telah membazirkan 17 bulan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah gagal menonjolkan diri sebagai kerajaan menanti walaupun memiliki ramai Ahli Parlimen yang berfikir sebagai pembuat dasar, termasuk bekas menteri dan timbalan menteri.

    Chin Huat menambah, negeri yang dikuasai PH dapat menunjukkan bagaimana mereka menangani wabak dengan lebih baik, terutama di Selangor yang memiliki sumber untuk melakukannya walaupun terdapat kekangan struktur daripada peringkat Pusat.

    “Ketika pesakit Covid-19 dibiarkan tidur di kerusi atau lantai di hospital kerajaan di Selangor, itu bukan hanya kegagalan kerajaan Pusat, tetapi juga kurangnya imaginasi dan usaha kerajaan negeri untuk menonjolkan diri sebagai satu alternatif.

    “Adakah Selangor tidak mempunyai wang untuk membangunkan beberapa hospital modular dan melantik doktor dan jururawat tambahan untuk menangani isu pesakit yang ramai?” katanya.

    Beliau berkata, tuntutan masyarakat dan kritikan terhadap PH supaya mereka mewujudkan barisan Jemaah Menteri bayangan diketepikan dengan pelbagai alasan.

    Chin Huat berkata, pimpinan pakatan pembangkang sepatutnya tidak dilihat sebagai ‘hak eksklusif’ Anwar atau Mohd Shafie.

    Namun buat masa ini, menurut beliau, cabaran kepimpinan dapat diselesaikan dengan baik oleh Anwar dan Mohd Shafie yang berusaha mengatur barisan Jemaah Menteri bayangan masing-masing, dan meminta semua Ahli Parlimen memilih pasukan terbaik.

    “Oleh kerana kedua-dua barisan itu mungkin melibatkan ramai Ahli Parlimen kanan daripada semua parti, kewujudan pertindihan akan membuatkan kem pembangkang boleh bersama selepas undian dilakukan,” jelasnya.

    Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, PH akan bergelut mendapatkan sokongan orang Melayu-bumiputera selagi DAP berada dalam pakatan pembangkang kerana parti itu dilihat lebih dominan.

    “Saya tidak fikir PH dapat melakukan perubahan kepimpinan sekarang dengan PRU-15 yang tidak lama lagi akan diadakan. Mengemukakan muka baharu semestinya membantu pakatan pembangkang.

    “Tetapi saya rasa apa yang penting bagi DAP mempunyai kepelbagaian dalam tampuk pimpinan, sebaliknya ia akan menjadi sukar kepada PH untuk memenangi undi daripada orang Melayu dan bumiputera,” katanya.