Category: Semasa

  • Kadar kebolehjangkitan Covid-19 1.02, Perlis tertinggi

    Kadar kebolehjangkitan Covid-19 1.02, Perlis tertinggi

    KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di seluruh negara semalam mencatat sedikit kenaikan iaitu 1.02 berbanding 1.01 pada hari sebelumnya.

    Bagaimanapun, secara purata untuk seminggu, kadar itu semakin mencatat trend penurunan.

    Dalam pada itu, sebanyak sembilan negeri mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan dengan Perlis tertinggi pada 1.28, diikuti Sarawak 1.22 dan Sabah 1.21.

    Selain itu, negeri yang mencatatkan Rt lebih 1.02 ialah Pulau Pinang 1.18, Kelantan 1.10, Perak 1.07, Kedah 1.06, Pahang 1.05, Terengganu 1.03 dan Melaka 1.02.

    Sementara itu, negeri yang mencatat Rt di bawah purata kebangsaan ialah Johor 1.01, Selangor 0.94, Kuala Lumpur 0.88, Negeri Sembilan 0.87, Putrajaya 0.78.

    Labuan pula mencatat empat kes baharu.

    Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac, manakala yang tertinggi 1.21 pada 23 Mei.

    Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

  • 41.6 peratus populasi negara lengkap dua dos vaksin

    41.6 peratus populasi negara lengkap dua dos vaksin

    SEBANYAK 41.6 peratus populasi keseluruhan di Malaysia atau 13,580,934 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV). 

    Jawatankuasa itu yang berkongsi maklumat berkenaan di laman Twitter rasminya memaklumkan setakat semalam juga, seramai 18,631,593 individu atau 57.1 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 32,212,527 dos.

    Menurut perkongsian maklumat itu, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 58.0 peratus setakat semalam berbanding 56.9 peratus, pada Isnin. 

    Dalam pada itu, vaksinasi harian semalam pula mencatatkan peningkatan kepada 420,164 dos berbanding 396,576 dos pada Isnin, dengan 265,160 daripadanya merupakan dos kedua dan baki 155,004 adalah dos pertama.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • Kempen dingin, PDN seru warga Damansara derma darah

    Kempen dingin, PDN seru warga Damansara derma darah

    PUSAT Darah Negara (PDN) menyeru warga Damansara dan kawasan sekitarnya menderma darah di lokasi kempen derma darah anjurannya di Lotus’s Mutiara Damansara (sebelum ini dikenali sebagai Tesco).

    PDN dalam hantaran menerusi Facebooknya hari ini memaklumkan, penganjuran kempen yang bermula hari ini hingga Jumaat ini mendapat sambutan agak dingin daripada orang ramai.

    “Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 40 beg darah di lokasi ini pada hari ini. Bagaimanapun hingga 2.15 petang, hanya tujuh beg darah sahaja diperoleh.

    “Buat warga Damansara dan sekitarnya…jom bantu kami dapatkan stok bekalan darah di sini, sumbangan anda amat diperlukan bagi memastikan para pesakit mendapat bekalan darah yang mencukupi,” menurut PDN.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut berkongsi hantaran itu dalam satu ciapan Twitter beliau.

    “Sumbangan anda dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

    PDN turut menganjurkan kempen derma darah di tingkat bawah, Center Court B, pusat beli-belah D’Pulze, Cyberjaya bermula 27 hingga 31 Ogos ini dari 11 pagi hingga 5 petang.

    Bagi memudahkan urusan pendermaan darah, penderma darah diminta untuk mengisi slip kehadiran menerusi pautan berikut, https://linktr.ee/dermadarah.- BERNAMA

  • Empat remaja didakwa edar dadah

    Empat remaja didakwa edar dadah

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    EMPAT remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine, pada 12 Ogos lalu.

    Kesemua tertuduh, Esmatul Faizatul Iskandar, 23, Muhammad Khairul Anwar Mohd. Ismail, 22, Muhammad Harraz Izzat Mat Bedin, 23 dan Muhammad Taufiq Mat Suki, 20, hanya mengangguk faham sewaktu pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd. Aziz.

    Mengikut pertuduhan kes, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya disyaki jenis Methamphetamine seberat 50 gram (anggaran berat kasar) di sebuah inap desa di Kuala Nerus, pada pukul 12.15 tengah malam, lapor Harian Metro.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) akta sama dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Nordiana menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hayyatuddin Muhamad dan Ahmad Syahmi Amran.

    Media sebelum ini melaporkan polis menahan 17 individu termasuk dua remaja bawah umur kerana menyertai parti liar di sebuah inap desa di Kuala Nerus.

    Ketika serbuan, kesemua suspek termasuk empat perempuan berada dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah sehingga tidak menyedari kehadiran polis.

  • Lajim Ukin ditidurkan selepas positif Covid-19

    Lajim Ukin ditidurkan selepas positif Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Lajim Ukin kini ditidurkan selepas dikesan positif Covid-19.

    Lajim yang juga Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), ditidurkan kira-kira pukul 2 petang, hari ini selepas dimasukkan ke Hospital KPJ Sabah selama 12 hari sejak 13 Ogos lalu.

    Sehari sebelum dimasukkan ke hospital, beliau mengikuti lawatan kerja Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ke Kudat pada 12 Ogos lalu.

    Beliau kemudian mengadu kurang sihat ketika berada di rumah pada sebelah malamnya.

    Lajim kemudian dibawa ke Hospital Gleneagles bagi mendapatkan rawatan namun beliau disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian PCR dan RTK sebelum dihantar semula ke Hospital KPJ Sabah keesokan harinya.

    Bekas timbalan menteri itu kini berada dalam keadaan baik ketika mula dimasukkan ke hospital tetapi sedikit merosot beberapa hari lalu termasuk terdapat jangkitan kuman pada paru-paru.

    Beliau sempat menghubungi keluarga pagi tadi dan memaklumkan berasa sakit sebelum pihak hospital menghubungi isteri beliau memaklumkan Lajim perlu ditidurkan dan keluarga bersetuju,” katanya.

    Lajim sebelum ini pernah mempunyai sakit jantung, gangguan buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi namun semuanya dalam situasi terkawal.

  • Warga Bangladesh kerugian RM28,200 ditipu ejen kiriman wang

    Warga Bangladesh kerugian RM28,200 ditipu ejen kiriman wang

    SEORANG pekerja am warga Bangladesh terpaksa berputih mata selepas kerugian RM28,200 akibat ditipu ejen kiriman wang ke luar negara menerusi laman Facebook, pada akhir Jun lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 31 tahun itu mendakwa dia melihat sebuah iklan perkhidmatan kiriman wang ke luar negara menerusi pemilik akaun Facebook bernama ‘Anika Topup’.

    Katanya, pengadu yang tinggal di Ladang Bahau itu berminat dengan tawaran berkenaan kemudian berurusan dengan individu tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Lelaki berkenaan mahu menghantar wang kepada keluarganya di Bangladesh, telah melakukan sebanyak lima kali transaksi ke beberapa akaun bank berjumlah RM28,200 bermula 7 hingga 11 Ogos lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Hoo berkata mangsa menghubungi keluarganya di Bangladesh pada 14 Ogos dan dimaklumkan tidak menerima sebarang wang daripada ejen berkenaan.

    Beliau berkata pengadu terus menghubungi ejen tersebut namun dimaklumkan perlu membuat pembayaran sebanyak RM5,000 bagi urusan insurans dan sekiranya gagal membuat pembayaran tersebut wang milik mangsa tidak dipulangkan kepada keluarganya.

    Katanya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis semalam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- BERNAMA

  • Negeri Sembilan beralih Fasa 2 PPN, Labuan Fasa 4

    Negeri Sembilan beralih Fasa 2 PPN, Labuan Fasa 4

    NEGERI Sembilan akan beralih memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala Labuan ke Fasa 4 mulai 26 Ogos ini.

    Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurut beliau, bagi Negeri Sembilan, keadaan COVID-19 bertambah baik dengan menunjukkan trend penurunan penggunaan wad unit rawatan rapi (ICU) daripada lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada 40 peratus semalam.

    “Perkembangan tersebut adalah selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3 peratus daripada kalangan populasi dewasa yang telah menerima dua dos.

    “Ini menunjukkan bahawa Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat,” katanya.

    Antara kelonggaran yang akan diberikan kepada penduduk Negeri Sembilan adalah sama seperti negeri-negeri lain yang telah beralih kepada Fasa 2 berdasarkan PPN adalah seperti berikut:

    1) Pergerakan rentas daerah dibenarkan bagi individu yang lengkap dua dos vaksin.

    2) Pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing, dengan syarat kedua-duanya telah lengkap 2 dos vaksin.

    3) Ibu bapa/ penjaga yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun serta menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa, dengan syarat kedua ibu bapa/ penjaga mestilah lengkap dua dos vaksin.

    4) Aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan bagi individu yang lengkap dua dos vaksin, tertakluk kepada ketetapan dan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkuasa agama negeri. Aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

    5) Hanya pelanggan yang telah lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan untuk makan di restoran, warung dan premis kedai makan, manakala pemilik premis pula wajib memaparkan notis penerimaan pelanggan yang telah lengkap divaksinasi.

    6) Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja, dengan syarat wajib telah menerima dua dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan homestay.

    Ismail Sabri memberitahu, bagi Labuan pula, Wilayah Persekutuan itu telah mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa.

    Beliau menambah, perkara itu disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif COVID-19 harian di Labuan yang telah menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut.

    “Malah, kadar penggunaan katil di ICU di Labuan kini telah menurun ke angka sifar (0 peratus) berbanding 30 peratus pada bulan sebelumnya,” jelasnya.

    Antara kelonggaran yang akan dinikmati penduduk di Labuan dengan peralihan kepada Fasa 4 adalah seperti berikut:

    1) Semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa.

    2) Seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50 peratus.

    3) Majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, retreat, reunion dan lain-lain majlis sosial dibenarkan dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis/ dewan dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

    Maklumat mengenai SOP yang lebih terperinci boleh didapati di laman sesawang www.mkn.gov.my

    Ismail Sabri turut mengingatkan rakyat agar terus mematuhi SOP dan amalkan kawalan kendiri demi menjaga keselamatan diri dan keluarga.

  • Imigresen tahan 55 pendatang asing di kilang seramik

    Imigresen tahan 55 pendatang asing di kilang seramik

    JABATAN Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 55 pendatang asing tanpa izin dalam satu operasi di sebuah kilang pembuatan seramik di Kawasan Perindustrian Nilai, dekat sini semalam.

    Pengarahnya Kennith Tan Ai Kiang berkata kesemua 48 warga Bangladesh dan tujuh warga Nepal itu ditahan dalam operasi bermula 7.30 pagi selepas disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di negara ini dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

    Beliau berkata serbuan oleh seorang pegawai kanan dan 17 anggota imigresen itu mendapati kilang berkenaan memiliki seramai 241 pekerja warga asing dari Bangladesh dan Nepal.

    “Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi siasatan lanjut dan pendakwaan.

    “Mereka turut didapati tidak memohon untuk menyertai program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan.- BERNAMA

  • Tak perlu usul undi percaya, dunia akan ketawakan kita kalau tukar PM lagi – Tun M

    Tak perlu usul undi percaya, dunia akan ketawakan kita kalau tukar PM lagi – Tun M

    TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Parlimen tidak lagi perlu dilakukan kerana memberi risiko berulang pergolakan politik dalam negara.

    “Saya tidak fikir perkara itu (elok dilakukan) kerana kita tak nak tukar sekali lagi Perdana Menteri.

    “Kalau ke Parlimen, dia (Ismail Sabri) tak dapat majoriti, (Perdana Menteri) kena tukar lain dan dunia ketawakan kita,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, hari ini.

    Beliau mengulas gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, supaya undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat segera di Parlimen.

    Pada soalan mengenai slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenal Ismail Sabri, Dr Mahathir berkata, slogan itu perlu disusuli cara bekerja oleh pemimpin dan rakyat.

    “Kalau tukar slogan, tapi buat kerja macam itu juga tak guna…mengarut sahaja dan kita khuatir (kemampuan) dia (Ismail Sabri) bawa cara baharu atau tidak.

    “Kalau kita lihat dari segi penyokong kerajaan adalah orang sama… tiada beza langsung, cuma yang tukar Perdana Menteri,” katanya.

    Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Sabtu lalu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat.

    Ahli Parlimen Bera itu diberi perkenan dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri selepas mendapat sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat menerusi surat pencalonan rahsia.

  • Ziarah ibu-bapa di kampung: Seelok-eloknya capai imunisasi kelompok dahulu – Dr Chong

    Ziarah ibu-bapa di kampung: Seelok-eloknya capai imunisasi kelompok dahulu – Dr Chong

    NEGARA perlu mencapai tahap imuniti kelompok seperti disasarkan sebelum ini, jika kerajaan mahu mempertimbangkan kebenaran perjalanan merentas negeri, khususnya untuk aktiviti menziarahi ibu-bapa di kampung.

    Memetik Astro Awani, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Chong Chee Keong berpendapat, dengan tahap imunisasi berkenaan, ia dapat mengurangkan risiko penularan COVID-19 daripada lebih melarat.

    Malah, katanya lagi, imunisasi kelompok juga mampu mengekang tahap kemasukan hospital bagi mereka yang mempunyai penyakit-penyakit serius, dan dapat mengurangkan kematian.

    “Keseluruhannya saya yakin negara kita akan mencapai imunisasi kelompok dalam masa terdekat ini. Tetapi yang penting kita kena mencapai herd immunity ini dahulu supaya penyakit serius dan juga jumlah kematian dapat dikawal sebelum kita boleh mencapai kejayaan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lepas, menzahirkan perasaan optimis dengan kadar keberjayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    Beliau berkata, jika situasi positif itu dapat dikekalkan, berkemungkinan orang ramai dapat kembali menziarahi ibu-bapa di kampung halaman, melancong dalam negara, serta anak-anak boleh kembali ke alam persekolahan.

    Dalam pada itu Dr Chong berkata, yang juga Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley berkata, buat masa ini kadar kemasukan ke hospital di sekitar Lembah Klang telah menurun.

    Jelasnya lagi, berdasarkan statistik yang diperolehi, tiada keperluan untuk menambah bilangan katil Unit Rawatan Rapi (ICU), namun mereka akan terus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Buat masa ini kita dapati bilangan pesakit masuk ke wad adalah stabil, dan kapasiti kita mencukupi. Oleh itu secara berperingkat, katil COVID-19 tambahan ini akan ditukarkan semula kepada katil COVID-19 untuk teruskan perkhidmatan bagi pesakit bukan COVID-19.

    “Tetapi sekiranya kes COVID-19 kembali bertambah, kita akan naikkan kapasiti dan meneruskan apa yang kita buat sekarang ini,” katanya lagi.