Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

EMPAT remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine, pada 12 Ogos lalu.

Kesemua tertuduh, Esmatul Faizatul Iskandar, 23, Muhammad Khairul Anwar Mohd. Ismail, 22, Muhammad Harraz Izzat Mat Bedin, 23 dan Muhammad Taufiq Mat Suki, 20, hanya mengangguk faham sewaktu pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd. Aziz.

Mengikut pertuduhan kes, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya disyaki jenis Methamphetamine seberat 50 gram (anggaran berat kasar) di sebuah inap desa di Kuala Nerus, pada pukul 12.15 tengah malam, lapor Harian Metro.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) akta sama dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Nordiana menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hayyatuddin Muhamad dan Ahmad Syahmi Amran.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan 17 individu termasuk dua remaja bawah umur kerana menyertai parti liar di sebuah inap desa di Kuala Nerus.

Ketika serbuan, kesemua suspek termasuk empat perempuan berada dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah sehingga tidak menyedari kehadiran polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here