Category: Semasa

  • Covid-19:30 peratus maahad tahfiz swasta di Pahang ditutup

    Covid-19:30 peratus maahad tahfiz swasta di Pahang ditutup

    SEBANYAK 30 peratus daripada 160 Maahad Tahfiz swasta di Pahang terpaksa ditutup kerana tidak mampu menampung kos operasi berikutan masalah kewangan akibat pandemik Covid-19.

    Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (PINTA) Pahang, Muhammad Abdul Salam Abdul Ghani berkata, lebih banyak institusi itu ditutup jika penularan wabak tersebut berlarutan.

    Menurutnya, kebanyakan institusi tahfiz berhadapan dengan masalah sumber kewangan khasnya bagi menjelaskan bil utiliti, sewa dan gaji tenaga pengajar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Kebanyakan maahad tahfiz sudah tidak lagi mampu bertahan oleh kerana institusi terbabit tidak mempunyai dana tetap dan sepenuhnya bergantung kepada sumbangan dan yuran pelajar,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Abdul Salam memberitahu, penutupan maahad taahfiz juga turut memberi kesan kepada kualiti hafalan para pelajar.

    Ujarnya, jika penutupan itu berpanjangan, adalah dikhuatirkan usaha untuk melahirkan generasi muda tahfiz al-Quran boleh terjejas.

    “Akan datang jika pandemik ini berterusan dan madrasah tidak beroperasi seperti biasa, tak mustahil angka institusi itu yang ditutup akan meningkat lagi sehingga 80 peratus.

    “Kebanyakan tahfiz tidak mempunyai dana yang tetap, tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh, jadi bila tidak dapat operasi, pelajar tidak dapat kembali mengadakan pengajian mereka dan ini menjejaskan usaha membayar gaji guru dan sebagainya,” katanya.

    Sementara itu, Abdul Salam yang juga pengetua Maahad Tahfiz Miftahul Qura’ berkata, setakat ini maahad tahfiz miliknya masih mampu bertahan biarpun berdepan dengan kewangan yang serius pada masa ini.

    Katanya, beliau berharap semua pihak termasuk kerajaan persekutuan atau kerajaan Pahang dapat membantu maahad tahfiz swasta di negeri ini.

    “Untuk mengelak lebih banyak lagi penutupan operasi sekolah berasaskan agama Islam ini, kerajaan digesa dapat mempertimbangkan semula pengoperasian maahad tahfiz dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.

    Kenyataan Abdul Salam turut diakui Mudir Madrasah Tahfiz Arrahimiyah, Abdul Rahman Khairul Anuar yang berdepan dengan masalah kewangan sejak maahad tahfiz seliaanya tidak beroperasi akibat wabak Covid-19.

    Katanya, beliau kini menjalankan perniagaan kain pelikat sebagai ikhtiar untuk mendapatkan dana selain mengharapkan sumbangan orang ramai.

    “Justeru saya berharap pihak kerajaan dapat menyediakan dana khas tahunan bagi membantu institusi pendidikan agama swasta seperti pusat tahfiz,” katanya.

  • Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar US pada Khamis berikutan pelabur terus berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

    Pada 9.04 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.1465/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1535/1550 semasa ditutup semalam.

    Peniaga berkata pelabur dijangka berpuas hati untuk berada dalam ruang mata wang utama sementara menunggu data senarai gaji bukan ladang AS yang akan dikeluarkan esok.

    Beliau berkata laporan pekerjaan ADP AS yang terkini turut mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh majikan dalam mengisi kekosongan, yang boleh mula menimbulkan persoalan sama ada ekonomi akan mencatat kemajuan yang besar dalam pasaran tenaga kerja dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

    “Kelemahan dalam pasaran tenaga kerja AS menjadi konsisten dalam kajian serantau Rizab Persekutuan (Fed).
    “Majikan masih menghadapi masalah untuk mengisi kekosongan dan itu akan memberi kesukaran kepada ekonomi daripada mencapai matlamat kemajuan besar Fed,” katanya.

    Pada pembukaan, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

    Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0836/0864 daripada 3.0854/0867 semasa ditutup pada Rabu dan naik berbanding pound kepada 5.7114/7162 daripada 5.7144/7164 sebelum ini.

    Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 3.7702/7738 daripada 3.7663/7677 dan susut berbanding euro kepada 4.9107/9148 daripada 4.9099/9116 semalam.- Bernama

  • Pendakwaan tarik balik kes, bekas Ahli Lembaga Felda bebas 29 tuduhan rasuah

    Pendakwaan tarik balik kes, bekas Ahli Lembaga Felda bebas 29 tuduhan rasuah

    BEKAS ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashi, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 29 pertuduhan rasuah, selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan itu.

    Peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Noor Ehsanuddin ketika dihubungi Bernama semalam berkata, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu, semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei lalu.

    “Sepatutnya, hari itu (21 Mei) ditetapkan untuk sambung bicara, namun pendakwaan memberitahu mahkamah untuk menarik balik kesemua pertuduhan tersebut.

    “Ini berikutan, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat pernyataan pembelaan di bawah Seksyen 62 Akta SPRM, dan mereka berpuas hati bahawa kesemua transaksi yang dipertuduhkan adalah wang duluan (advances), yang telah dibayar balik sepenuhnya.

    “Oleh itu, pihak pendakwaan menarik balik kes terhadap anak guam saya dan mahkamah kemudian melepas dan membebaskan Noor Ehsanuddin daripada kesemua 29 pertuduhan rasuah,” kata peguam itu.

    Perbicaraan kes itu bermula pada Ogos 2019 dan seramai 24 saksi pendakwaan, antaranya pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia, telah memberi keterangan.

    Noor Ehsanuddin, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

    Difahamkan kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

    Di Mahkamah Johor Bahru, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama, pada 2013 dan 2014.

    Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60.

    Kes di Johor Bahru dan Shah Alam dibicarakan bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen di sini. – BERNAMA

  • Vaksinasi Covid-19: 15.2 juta populasi Malaysia lengkap divaksin

    Vaksinasi Covid-19: 15.2 juta populasi Malaysia lengkap divaksin

    SEBANYAK 15,241,655 orang atau 46.7 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi hantaran Facebook berkata, bagi dos pertama vaksin, sebanyak 19,932,137 atau 61 peratus daripada populasi negara telah menerima vaksin berkenaan.

    Menurutnya, mengikut peratusan bagi populasi dewasa pula, sebanyak 85.1 peratus penerima telah mendapat dos pertama manakala 65.1 peratus penerima lengkap divaksinasi.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 35,150,474 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, JKJAV berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 398,134 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, sebanyak 188,780 dos pertama diberikan manakala 209,354 lagi melibatkan dos kedua.

  • Warga emas rentung kereta terbakar rempuh pokok

    Warga emas rentung kereta terbakar rempuh pokok

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG lelaki warga emas rentung selepas kereta Honda dipandunya hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok di Jalan Taman Awam, Miri, malam tadi.

    Dalam kejadian pukul 10.50 malam itu, kereta dipandu Tan Kaw Tee, 61, kemudian terbakar dan mangsa terperangkap di tempat duduk pemandu.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan memberitahu, laporan mengenai kejadian itu diterima pukul 10.50 malam sebelum sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Menurut beliau, mayat mangsa ditemukan di dalam kereta itu selepas operasi memadam kebakaran berjaya dilakukan.

    “Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

  • Gangguan air di Selangor, Putrajaya pulih sepenuhnya

    Gangguan air di Selangor, Putrajaya pulih sepenuhnya

    BEKALAN air di 463 kawasan yang terjejas akibat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas susulan pencemaran bau pada Selasa, pulih sepenuhnya pada pukul 6 pagi tadi.

    Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata kawasan berkenaan meliputi wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat.

    “Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

    “Para pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.- BERNAMA

  • Johor terima 1.9 juta dos vaksin bulan ini

    Johor terima 1.9 juta dos vaksin bulan ini

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    NEGERI Johor akan menerima sebanyak 1.9 juta dos vaksin Covid-19 sepanjang bulan ini bagi membolehkan lebih ramai penduduk menerima suntikan masing-masing.

    Perkembangan itu dimaklumkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Facebook rasmi baginda sebentar tadi.

    “Daripada jumlah dos vaksin ini, sebanyak 1.76 juta adalah vaksin Pfizer. Dengan jumlah dos ini saya yakin seluruh Bangsa Johor akan menerima vaksin tidak lama lagi.

    “Bersama-sama kita doakan kejayaan program vaksinasi Covid-19,” titah baginda.

    Tunku Ismail amat mengambil berat perkembangan vaksinasi di Johor dan sering mengadakan pertemuan bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung perkara itu.

    Kelmarin, baginda menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan beberapa pengurusan tertinggi negeri bagi mendapat laporan mengenai isu kekurangan vaksin di PPV Educity, pembatalan janji temu untuk vaksinasi dan program vaksinasi pekerja kilang.

    Setakat 31 Ogos lalu, jumlah keseluruhan populasi lengkap menerima vaksin di Johor adalah seramai 1.29 juta orang atau 34.3 peratus dengan populasi dewasa yang menerima kedua-dua suntikan sekitar 47.8 peratus.

  • Ziyad:MSN diarah tubuh jawatankuasa siasatan

    Ziyad:MSN diarah tubuh jawatankuasa siasatan

    MAJLIS Sukan Negara (MSN) diarah membentuk jawatankuasa siasatan bagi meneliti insiden atlet paralimpik Muhammad Ziyad Zolkefli terlepas pingat emas lontar peluru F20 pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

    Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, untuk itu, MSN akan bekerjasama dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyiasat kejadian terbabit secara menyeluruh.

    Beliau selain itu menggesa semua pihak supaya tidak menuding jari mencari kesalahan sesiapa.

    “Perkara lebih penting ialah semua pihak Termasuk Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) melihat semula peraturan termasuk yang memerlukan kebijaksanaan dalam pengurusan,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, beliau akan menyambut kepulangan Ziyad pada Jumaat ini dan menegaskan atlet berkenaan akan tetap disambut sebagai wira kebanggaan negara.

    “Saya juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada Muhammad Ziyad Zolkefli dalam mengharungi dugaan ini dan pada masa yang sama terus menyatakan sokongan kepada atlet–atlet negara yang masih bertanding di Tokyo untuk terus komited menunjukkan prestasi terbaik,” katanya lagi.

    Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merakamkan ucapan terima kasih kepada delegasi Ecuador dan Australia yang telah bersama-sama mengemukakan rayuan meskipun tidak memberi kesan perolehan pingat kepada atlet negara itu.

    “Atas dasar semangat kesukanan paralimpik yang tinggi, kedua-dua negara tersebut berdiri teguh menyokong rayuan kontinjen Malaysia,” ujarnya.

    Presiden MPM, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia akan cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi melihat situasi sebenar berhubung dakwaan Ziyad lewat memasuki call room.

    Katanya, langkah itu bertujuan untuk dijadikan bahan bukti bagi tindakan lanjut yang akan dibuat selepas ini.

  • Polis tahan wanita curi tabung masjid ketika jemaah sedang solat

    Polis tahan wanita curi tabung masjid ketika jemaah sedang solat

    POLIS menahan seorang wanita yang disyaki mencuri tabung masjid ketika para jemaah lain sedang menunaikan solat isyak, tiga hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Saifudin Aslin Abbas berkata dalam kejadian Sabtu lepas suspek berusia 28 tahun itu terlebih dahulu datang ke Masjid Padang Pauh untuk mengambil barang makanan yang dari ‘Food Bank’ masjid berkenan.

    Beliau berkata suspek kemudiannya datang sekali lagi untuk mencuri tabung masjid ketika jemaah lain sedang menunaikan solat isyak, dan polis berjaya mengesan perbuatan suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

    “Suspek ditangkap di rumahnya di Arau pada kira-kira pada 9.15 malam Ahad,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata tabung masjid yang dicuri dijumpai di dalam tandas pasar Beseri dan suspek membuat pengakuan bahawa dia mengunakan wang itu untuk mengisi minyak motosikal, membeli makanan dan menambah nilai telefon bimbit. 

    Saifudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.– BERNAMA

  • Tiada kematian berkait langsung vaksinasi COVID-19

    Tiada kematian berkait langsung vaksinasi COVID-19

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan, tiada satu pun kes kematian yang menunjukkan ada kaitan kasual secara langsung dengan vaksinasi COVID-19.

    Memetik laporan BH, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan sejumlah data mengenai kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) pada minggu depan.

    Menurut beliau, sejak program vaksinasi dilaksanakan bermula 24 Februari sehingga 30 Ogos lalu, sebanyak 34.45 juta dos vaksin sudah diberikan, dengan 20.7 maklum balas AEFI bagi setiap 1,000 dos diterima melalui aplikasi MySejahtera.

    Antara kesan sampingan kecil yang paling banyak direkodkan termasuk sakit di bahagian suntikan, pening kelapa dan kelesuan.

    “Melalui sistem laporan AEFI Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kadar laporan keseluruhan yang diterima adalah 0.53 dalam 1,000 dos.

    “Daripada jumlah ini, 0.04 dalam 1,000 dos yang dilaporkan dikategorikan sebagai AEFI serius, yang majoritinya memerlukan tempoh kemasukan ke wad yang singkat bagi pemantauan dan rawatan,” katanya dalam sidang media yang pertama sebagai Menteri Kesihatan di Putrajaya, hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Khairy memberitahu, Kementerian Kesihatan akan membekalkan lebih banyak data terperinci berkaitan COVID-19 kepada umum bermula minggu hadapan, bagi meningkatkan lagi ketelusan kementerian itu dalam pemberian maklumat.

    Tambah beliau, data berkenaan akan disiarkan secara terbuka supaya orang ramai dapat melihat lebih banyak data, berbanding yang dibekalkan Kementerian Kesihatan ketika ini.

    “Saya sudah buat ketetapan supaya budaya kerja di Kementerian Kesihatan selepas ini lebih kepada ketelusan supaya soal kepercayaan kepada kerajaan dan maklum balas Kementerian Kesihatan kepada pandemik ini, tiada lagi tuduhan kerahsiaan atau tembok maklumat yang tidak dapat diperoleh dari kerajaan,” jelasnya.

    Khairy turut berpuas hati dengan data yang semakin banyak disenaraikan Kementerian Kesihatan sebagai sumber terbuka.

    Pada masa sama, beliau berkata, ketika ini hanya 4,159 individu yang pulang dari luar negara yang dibenarkan menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

    Khairy berkata, kebenaran berkenaan dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko, sejarah vaksinasi dan ujian pengesanan COVID-19, negara asal penerbangan serta keadaan rumah yang akan dijadikan lokasi kuarantin.

    “Kita sedia maklum mengenai pendapat bahawa mereka yang kembali ke Malaysia dapat menjalani kuarantin di rumah (ia) adalah tidak betul.

    “Kita tidak berikan kebenaran kuarantin di rumah kepada semua orang,” katanya.