Category: Semasa

  • Kerja pembaikan rumah giat dijalankan di Yan

    Kerja pembaikan rumah giat dijalankan di Yan


    Oleh RIZQI ZABIDI


    KERJA-kerja membaiki rumah yang terjejas ekoran fenomena kepala air di Yan, kini giat dijalankan oleh pelbagai agensi kerajaan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail berkata, kerjasama itu turut melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

    Secara keseluruhan katanya, terdapat kira-kira 1,000 rumah penduuk yang mengalami pelbagai jenis kerosakan dalam kejadian itu.

    “Proses baik pulih semua rumah yang terlibat dijangka memakan masa selama sebulan melibatkan GiatMARA dan kontraktor dilantik. Kebanyakan rumah terlibat mengalami kerosakan di bahagian pintu depan dan belakang selain dinding akibat hentaman kepala air,” katanya.

    Tambahnya, aktiviti perniagaan juga kini kian pulih dengan beberapa kemudahan awam, turut kembali boleh digunakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Daerah Yan (MDY).

    “Cumanya saya berharap pihak Kementerian Pelancongan dapat kembali membantu memulihkan kegiatan pelancongan di kawasan ini nanti,” katanya.

    Sementara itu kalangan pengusaha stesen minyak Petron di wilayah utara tanah air turut menghulurkan bantuan menerusi kutipan dijalankan sesama mereka serta kakitangan masing-masing.

    Menurut wakilnya, Haruni Md. Hassan, sebanyak RM21,000 berjaya dikutip bagi menyumbangkan dapur, t-shirt serta barangan makanan kepada mereka yang terjejas.

    “Selain itu, pihak Petron turut memberikan sebanyak 100 baucar tong gas untuk diagihkan kepada mangsa terlibat. Barangan ini disalurkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang akan mengurusan hal-hal berkaitan pengagihan,” katanya.

    Tambah beliau, ini merupakan kali kedua pihaknya tampil memberikan bantuan kepada mangsa kejadian itu dengan sebelum ini mereka turut memberi sumbangan kepada penduduk yang terjejas di kawasan Merbok.

  • Wanita maut digilis bas dalam perjalanan ke tempat kerja

    Wanita maut digilis bas dalam perjalanan ke tempat kerja

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja pembersihan maut digilis bas kilang selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan di Jalan Mangga Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa, Rosayu Ramli yang berusia 38 tahun maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha dipercayai dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika penunggang motosikal berhenti di simpang jalan lalu sebelum dilanggar sebuah bas kilang yang hendak membelok masuk simpang ke kiri jalan. 

    “Dalam kejadian itu penunggang motosikal telah digilis oleh bas tersebut dan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini.

    Hussin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk urusan bedah siasat.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Jawatan tiga duta khas kekal – PMO

    Jawatan tiga duta khas kekal – PMO

    KERAJAAN bersetuju menyambung pelantikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri bertaraf menteri ke Timur Tengah, demikian menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

    Mesyuarat Kabinet semalam juga bersetuju menyambung pelantikan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke China dan Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Asia Timur. 

    Pelantikan ketiga-tiga duta berkenaan dibuat tahun lepas semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Abdul Hadi dan Tiong memegang jawatan masing-masing pada April manakala Riot pada Mei. 

    Mesyuarat Kabinet semalam adalah yang pertama dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 21 Ogos lepas.- BERNAMA

  • 20,988 kes baharu Covid-19, Sarawak, Kedah, Sabah Johor catat lebih 2,000 kes

    20,988 kes baharu Covid-19, Sarawak, Kedah, Sabah Johor catat lebih 2,000 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini naik semula ke paras 20,000 kes apabila merekodkan sebanyak 20,988 kes hari ini berbanding 18,762 jangkitan semalam.

    Kenaikan jangkitan sebanyak 2,316 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,786,004 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor terus mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi apabila merekodkan sebanyak 4,073 kes baharu berbanding 3,711 kes semalam.

    Peningkatan kes harian pula kebanyakannya disumbang oleh kadar jangkitan di empat negeri yang mencatatkan lebih 2,000 kes harian.

    Sarawak mencatatkan sebanyak 2,992 kes untuk berada di tangga kedua diikuti Kedah (2,455 kes); Sabah (2,329) dan Johor (2,145 kes).

    Perlis turut mencatatkan kenaikan ketara iaitu sebanyak 90 kes harian berbanding hanya 33 kes semalam.

    Dua negeri pula mencatatkan lebih seribu kes iaitu Pulau Pinang (1,600 kes) dan Kelantan (1,247 kes).

    Kuala Lumpur, Perak, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu lima jangkitan diikuti Putrajaya (37 kes).

  • Pendakwa gagal dalam rayuan lucut hak UMNO dana RM192 juta

    Pendakwa gagal dalam rayuan lucut hak UMNO dana RM192 juta

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini menolak rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang jutaan ringgit milik UMNO dan Wanita MCA serta enam entiti lain.

    Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang RM192,965,413.61 milik UMNO; Wanita MCA (RM300,000), Perano iaitu sebuah syarikat menjual hijab dan Binsabi Sdn Bhd, yang membekalkan khemah, masing-masing membabitkan jumlah RM337,634.78 dan RM827,250; Habib Jewels Sdn Bhd (RM100,000); K&Z Enterprise Sdn Bhd (RM138,359.60); Badan Perhubungan UMNO Kedah (RM1.05 juta) dan Hattatex Trading (RM111,590).

    Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Abu Bakar Jais juga membenarkan rayuan oleh Badan Perhubungan UMNO Pahang terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucut hak RM2,479,300.18 yang disita daripada badan perhubungan UMNO negeri itu.

    “Mahkamah mendapati hakim perbicaraan telah melakukan kesalahan dan mengabaikan fakta bahawa wang tersebut telah dibelanjakan, tidak ada lagi dan wang yang disita adalah dari sumber lain dan merupakan wang yang sah.

    “Oleh itu, kami membenarkan rayuan perayu (UMNO Pahang) dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Hadhariah ketika membaca keputusan ringkas dalam prosiding secara maya, lapor BERNAMA.

    Wang itu, yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

  • 90 peratus warga polis lengkap dua dos vaksin

    90 peratus warga polis lengkap dua dos vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KIRA-KIRA 90 peratus anggota dan pegawai polis di seluruh negara sudah menerima lengkap dua dos vaksin sehingga kini.

    Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, proses itu akan lengkap sepenuhnya  dalam tempoh dua minggu ini.

    Katanya, mengikut data terkini pada 1 September, hampir 90.1 peratus warga PDRM telah menerima vaksin yang lengkap dos satu dan dua di seluruh negara.

    “Untuk Sabah sebanyak 89.9 peratus. Boleh katakan 90 peratus (telah terima vaksin), jadi masih ada lagi berbaki antara 10 peratus yang masih belum lagi menerima vaksin yang lengkap, bermaksud mereka telah pun menerima vaksin yang pertama dan belum lengkap lagi.

    “Jadi saya percaya dalam seminggu dua ini pemberian vaksin itu akan lengkap kepada semua warga PDRM,” katanya pada sidang akhbar pada majlis serah terima tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

    Acryl Sani bagaimanapun tidak menafikan ada beberapa warga PDRM sebelum ini enggan menerima vaksin, namun selepas diberi penerangan semuanya telah pun mendapatkan suntikan vaksin.

  • Mayat pemuda lemas ditemukan tersangkut pada enjin tongkang

    Mayat pemuda lemas ditemukan tersangkut pada enjin tongkang

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG pemuda yang hilang dihanyut arus deras ketika sedang mandi manda bersama lima rakannya di Sungai Kampung Tok Kah, Dungun pada Selasa lalu ditemukan mati lemas pagi ini.

    Ketika ditemui, mayat mangsa, Mohd. Firdaus Afiq Che Yusof, 21, didapati tersangkut pada enjin sebuah tongkang di kawasan Penyedut Pasir Serdang pada pukul 8.15 pagi, sejauh 3.3 kilometer (KM) dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Shahrizal Shamsudin, mangsa ditemukan oleh salah seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja menyedut pasir di lokasi berkenaan, di mana dia telah mengetahui operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan terhadap mangsa.

    “Justeru, dengan penemuan mayat mangsa hilang itu, SAR di lokasi terbabit ditutup serta merta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Dalam kejadian pada Selasa lalu, mangsa bersama-sama lima lagi rakannya dikatakan telah mandi di sungai tersebut sempena cuti umum Hari Kemerdekaan.

    Sewaktu kejadian, seorang rakan mangsa, Mohd. Zulfadhli Mohd. Hasmadi, 21, juga nyaris lemas setelah mengalami kekejangan kaki namun sempat diselamatkan orang awam.

    Bagaimanapun, mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan tenggelam timbul kerana dibawa arus deras gagal diselamatkan.

  • Harga runcit maksimum kit ujian pantas Covid-19 ditetapkan RM19.90

    Harga runcit maksimum kit ujian pantas Covid-19 ditetapkan RM19.90

    KERAJAAN menetapkan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) pada RM19.90 bagi setiap set manakala harga borong ditetapkan RM16 satu set, berkuat kuasa 5 Sept ini.

     Penetapan harga maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin dalam satu kenyataan bersama hari ini.

    “Penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menentukan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen COVID-19 berdasarkan pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara.

    Harga maksimum turut ditentukan berdasarkan maklum balas dari agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA),Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit serta persatuan farmasi barangan tersebut.

    KPDNHEP juga telah mengadakan libat urus dengan semua pemain industri tempatan dan pengimport dalam menentukan harga kawalan yang berpatutan bagi semua pihak. 

    Kenyataan bersama itu menyebut KPDNHEP dan KKM bekerjasama dalam melaksanakan penentuan harga borong dan runcit berkenaan susulan permintaan terhadap kit ujian itu yang dijangka meningkat berikutan kesedaran orang ramai bagi membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak COVID19. 

    “Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini dan sebagai tanda sokongan kementerian bagi menangani wabak COVID-19.

    “KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka sekarang,” katanya.

    Kenyataan itu menyebut KPDNHEP akan mengawal harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 itu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum.

    Menurut kenyataan berkenaan, KPDNHEP menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga dan mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

    Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 adalah peranti yang diluluskan secara bersyarat oleh MDA, KKM bagi pengesanan antigen yang menyebabkan penyakit COVID-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau swab dari hidung.- BERNAMA

  • Wanita Myanmar ditahan guna identiti orang lain untuk dapatkan vaksin

    Wanita Myanmar ditahan guna identiti orang lain untuk dapatkan vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita warga Myanmar ditahan ketika mendapatkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di sebuah klinik di Melaka Tengah pada 18 Ogos lepas kerana didapati menggunakan identiti orang lain.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendent E. Sundra Rajan berkata, suspek yang berumur 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang selepas didapati menggunakan pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera yang didaftarkan milik seorang pekerja lelaki dari sebuah syarikat percetakan di Cheng, Melaka.

    “Kejadian itu disedari mangsa yang juga seorang warga asing berusia 30-an yang memeriksa maklumat penerimaan vaksin dalam aplikasi tersebut, telah dikemas kini dan tercatat telah mengambil dos pertama.

    “Lelaki itu telah mengadu hal tersebut kepada majikannya sebelum majikan berkenaan membuat laporan polis yang mendakwa identiti pekerjanya telah digunakan oleh pihak ketiga untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya telah merampas satu kad vaksin atas nama suspek, i-kad bertulis ‘Malaysia Immigration Regulations 1963 Visit Pass’ yang dipercayai palsu, satu salinan kad pasport yang telah tamat tempoh dan telefon bimbit suspek.

    Sundra turut berkata, pihaknya mendapati klinik swasta terbabit telah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan untuk memberi suntikan vaksin Covid-19.

    Katanya, suspek direman selama 17 hari bermula 19 Ogos hingga 4 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran dan menggunakan identiti individu lain bagi pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

    “Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah,” katanya.

  • PDRM kumpul maklumat ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir

    PDRM kumpul maklumat ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAMHAN

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengumpul segala maklumat dengan lengkap mengenai wanita bergelar Sittah Annur dan ajarannya, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

    Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan perlu diteliti mengenai ajaran yang didakwa bertentangan dengan Islam itu.

    “Ajaran serta gerakan seumpama itu bukan perkara baharu dan siasatan turut membabitkan jabatan lain. Saya lihat benda (ajaran PMYT) ini masih lagi dalam kawalan dan kita tidak boleh tergesa-gesa atau terburu-buru untuk bertindak.

    “Kita harus mengumpul segala maklumat selengkap-lengkapnya kerana ia membabitkan jabatan lain iaitu Jabatan Agama Islam. Kita harus mendapatkan juga nasihat dan pandangan mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah, di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

    Acryl Sani mengulas mengenai laporan media berhubung seorang wanita menggunakan gelaran Sittah Annur, yang mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah.

    Beliau juga mendakwa memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

    Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan.

    Mengulas lanjut Acryl Sani berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk memanggil individu terbabit.

    “Sabar sedikit dan kita ada cara kita untuk menghadapi perkara ini. Dahulu pun kita berhadapan dengan perkara sama dan kita berjaya mengatasinya.

    “Jadi kita ada teknik, ada cara, ada kaedah yang kita laksanakan dalam hal ini. Percayalah, kita tidak leka dan kita sentiasa memastikan bahawa ia tidak sampai menimbulkan kerisauan dan keresahan dalam kalangan masyarakat umum,” katanya.