Category: Semasa

  • 50 peratus populasi dewasa lengkap vaksin di Johor

    50 peratus populasi dewasa lengkap vaksin di Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 50 peratus rakyat dewasa di negeri ini sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 masing-masing sekali gus berpeluang untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Melihatkan perkembangan positif itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berharap kadar vaksinasi negeri ini dapat ditingkatkan bagi mencapai imuniti kelompok yang disasarkan.

    “Alhamdulilah, sebanyak 50 peratus penduduk negeri ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin semalam.

    “Ini adalah momentum yang bagus untuk Johor,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya, hari ini.

    Hasni turut memuat naik statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang memaparkan 50 peratus populasi Johor sudah lengkap mendapat dua dos vaksin, semalam.

    Mengikut jadual statistik itu, sebanyak 81 peratus penduduk negeri itu sudah mendapat satu dos vaksin.

    Semalam, Hasni dilaporkan berkata, Johor dijangka akan beralih ke Fasa 2 PPN pada minggu ini selepas dijangka menerima 1.9 juta dos vaksin Covid-19.

    Menurutnya, dengan penerimaan dos vaksin itu, Johor menjangkakan boleh mencapai liputan 100 peratus dos pertama pada hujung bulan ini manakala melengkapkan dua dos pada bulan depan.

    Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilapor mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri termasuk Johor ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung Oktober ini.

  • Pinda 2 akta Parlimen antara agenda penambahbaikan

    Pinda 2 akta Parlimen antara agenda penambahbaikan

    AGENDA penambahbaikan Parlimen akan menumpukan kepada pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

    Selain itu, usaha mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992 akan dilakukan.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan sempena menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di bangunan Parlimen, semalam.

    Menurut mereka, langkah itu bertujuan memastikan konsep pengasingan kuasa benar-benar dihayati, dihormati dan diamalkan agar kewibawaan Parlimen selaku badan legislatif tertinggi negara diperkasakan.

    “Selari dengan pelan transformasi ini juga, Peraturan Mesyuarat bagi kedua-dua iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan ditambah baik, meliputi aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli serta bagi memperkuatkan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan yang telah dan bakal dibentuk.

    “Cadangan kepada langkah transformasi Parlimen ini adalah hak Parlimen dan akan digerakkan secepat mungkin sebelum diangkat kepada Kabinet untuk dinilai dan diluluskan,” jelas mereka.

    Dalam pertemuan tersebut, kesemua pihak telah membincangkan dan membuat kata sepakat mengenai agenda penambahbaikan struktur pentadbiran serta kerangka perundangan yang bersangkutan dengan peranan Parlimen.

    Agenda berkenaan adalah demi memartabatkan dan mengukuhkan kedudukan Parlimen sebagai sebuah cabang institusi kerajaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Rais dan Azhar turut berbesar hati dengan komitmen serta buah fikiran yang diberikan oleh Wan Junaidi terhadap agenda penambahbaikan tersebut serta cadangan pembentukan sebuah Jawatankuasa Bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Jabatan Perdana Menteri demi memastikan agenda penambahbaikan tersebut dapat dijadikan kenyataan.

    Mereka berdua amat menyambut baik dan akan memberi sokongan padu terhadap langkah transformasi dan reformasi Parlimen yang akan diusahakan.

    Sokongan mereka itu adalah sebagai manifestasi kecaknaan untuk mendaulatkan demokrasi berparlimen dan prinsip pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan perundangan negara dapat berfungsi dengan sebenarnya dan terus kekal terpelihara.

    “Sehubungan itu, kami bertiga akan terus berlibat urus dari semasa ke semasa untuk tujuan tersebut,” kata mereka.

    Sementara itu, memetik laporan BH, Dewan Rakyat menerima usul Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.

    Azhar ketika mengesahkan perkara itu berkata, keputusan belum dibuat untuk menyenaraikan usul itu dalam aturan urusan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 pada 13 September hingga 12 Oktober depan.

    “Ya saya menerima usul dari YB (Yang Berhormat) Datuk Seri Azalina (Othman Said) untuk mencadangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 dan juga RUU Pemecatan Ahli-ahli Parlimen 2021 berserta dengan deraf kedua-dua RUU itu.

    “Keputusan akan dibuat sama ada untuk membenarkan usul itu disenaraikan dalam aturan urusan majlis setelah aspek perundangan dan keteraturan usul diperhalusi dan diteliti,” katanya.

    Semalam, Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menghantar notis cadangan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021′ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

  • Tunggakan cukai RM13.16 juta: Anak Najib rekod perintah persetujuan

    Tunggakan cukai RM13.16 juta: Anak Najib rekod perintah persetujuan

    ANAK bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohamad Nizar, telah merekodkan perintah persetujuan dengan Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) berhubung pembayaran dalam kes tunggakan cukai sebanyak RM13.16 juta.

    Susulan itu, Mohamad Nizar, 43, yang juga ahli perniagaan, akan menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus dalam saman tuntutan cukai terhadapnya oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Mohamad Nizar, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi BERNAMA.

    Seorang lagi peguam Mohamad Nizar iaitu Wee Yeong Kang berkata perintah persetujuan itu direkodkan di hadapan SCIT pada 26 Ogos lalu.

    Beliau berkata, perintah persetujuan itu adalah berkaitan taksiran cukai tambahan bagi tahun 2011 hingga 2017 termasuk faedah 10 peratus dan penalti lima peratus yang berjumlah RM13,159,821.94.

    “Beliau (Mohamad Nizar) akan menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan. Kami telah meng-e-melkan notis untuk tidak meneruskan kepada cawangan litigasi LHDN di Kuala Lumpur hari ini dan akan memfailkan notis itu sebaik ia dipersetujui oleh cawangan litigasi LHDN,” katanya ketika dihubungi.

    Perkara itu disebut ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman hari ini.

    Wee hadir bagi pihak Mohamad Nizar manakala LHDN diwakili Peguam Kanan Hasil Muhammad Nabil Abdul Halim.

    Wee juga berkata pengurusan kes seterusnya telah ditetapkan pada 9 September untuk kemas kini berhubung status notis untuk tidak meneruskan rayuan itu.

    Pada 7 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Mohamad Nizar dan memerintahkan beliau untuk membayar tunggakan taksiran cukai dari 2011 hingga 2017 sebanyak RM13.16 juta.

    Mohamad Nizar kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

    Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes yang didengar melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

    Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Julie Lack Abdullah memutuskan bahawa isu yang dibangkitkan oleh Mohamad Nizar tidak mempunyai merit dan tidak mempunyai asas untuk dibicarakan.

    Beliau berpendapat bahawa pembayar cukai perlu membayar cukainya dulu tanpa menghiraukan rasa tidak puas hati dengan jumlah itu atau atas apa alasan sekali pun.

    Pada 31 Mei lalu, Mohamad Nizar bersetuju menyelesaikan tunggakan cukainya kepada LHDN.– BERNAMA

  • Bersatu Perlis jamin wanita curi RM40 dalam tabung masjid

    Bersatu Perlis jamin wanita curi RM40 dalam tabung masjid

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG tukang cuci sambilan yang didakwa di Mahkamah Majistret di Perlis semalam, atas tuduhan mencuri wang RM40 dalam tabung di Masjid Sirajuddin, Padang Pauh di Padang Besar pada 28 Ogos lalu dibebaskan selepas dibayar ikat jaminnya hari ini.

    Nor Amira Roslan, 28, dibebaskan selepas wang jaminan RM2,000 yang ditetapkan mahkamah telah dilunaskan oleh Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah, di Mahkamah Kangar, hari ini.

    Bagaimanapun, dia masih perlu hadir ke mahkamah sama untuk sebutan semula kes tersebut yang ditetapkan pada 4 Oktober ini.

    “Saya mohon maaf atas kesilapan yang dilakukan dan berjanji tidak akan ulangi lagi. Bantuan daripada pelbagai pihak untuk mulakan hidup baru saya hargai.

    “Selain itu, saya juga ucapkan jutaan terima kasih terutama kepada Abu Bakar yang sudi menjamin kerana saya sudah terfikir untuk dipenjara. Syukur saya masih diberi peluang untuk buka ‘buku’ baharu.

    “Saya amat hargai keprihatinan rakyat Malaysia,” kata Amira ketika ditemui di perkarangan mahkamah sejurus dibebaskan.

    Menurut Abu Bakar, tindakan itu dilakukan sebagai tanda keprihatinan Bersatu Perlis melihat isu yang sedang berlaku di negeri berkenaan dalam situasi pandemik.

    Katanya, pihaknya mendapat arahan daripada kepimpinan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang meminta kes ini diselesaikan segera.

    “Jadi, dalam semangat kekeluargaan ini, kita mahu isu ini diselesaikan segera terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 ini.

    “Dengan pertolongan ini, kita boleh memberitahu pada rakyat bahawa kerajaan memandang serius berkenaan masalah kecurian dan sebagainya, walaupun kita tahu perbuatan mencuri itu salah dari agama dan undang-undang,” katanya.

  • Utamakan keperluan, tangani permasalahan rakyat – Tuanku Muhriz

    Utamakan keperluan, tangani permasalahan rakyat – Tuanku Muhriz

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menggesa kerajaaan negeri mengutamakan keperluan dan menangani permasalahan rakyat kerana ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

    Baginda bertitah, semua pemimpin dan pihak berkaitan perlu melaksanakan amanah yang tanggungjawab supaya matlamat untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan memajukan negeri terlaksana.

    Tunku Muhriz bertitah, usaha memerangi dan memutuskan rangkaian penularan Covid-19 belum selesai.

    “Justeru, komitmen berterusan semua pihak penting dalam memastikan setiap lapisan masyarakat dapat dibantu.

    “Beta berharap prinsip mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri atas perkara yang boleh membawa kebaikan serta manfaat bersama diberikan keutamaan, agar kejayaan yang ingin dicapai dapat direalisasikan,” titah baginda.

    Baginda bertitah demikian pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14, di Seremban, hari ini.

    Tuanku Muhriz bertitah, walaupun masih menghadapi cabaran dan dugaan khususnya akibat Covid-19, keharmonian, keselamatan dan keamanan terus dinikmati seluruh rakyat negeri ini.

    Baginda melafazkan rasa kagum dengan iltizam dan kesepakatan semua pihak apabila Negeri Sembilan berjaya memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), mulai esok.

    “Beta mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan penuh komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

    “Beta juga amat menghargai peranan, komitmen serta dedikasi yang ditunjukkan oleh semua petugas barisan hadapan, serta mereka yang membantu di belakang tabir dalam usaha menangani penularan Covid-19.

    “Kini Negeri Sembilan telah mencapai imuniti kelompok seperti yang kita sasarkan. Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak sama ada jabatan, agensi, mahu pun sukarelawan yang menyumbang masa dan tenaga dalam merealisasikan matlamat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” titah baginda.

  • Abang maut, adik parah motosikal bertembung lori

    Abang maut, adik parah motosikal bertembung lori

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SEORANG pekerja buruh binaan maut, manakala adiknya pula cedera parah apabila motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah lori sebelum diseret sejauh 10 meter dalam kejadian di Kilometer (KM) 139 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, petang semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 3.05 petang itu, mangsa, T. Vellasamygaenesan, 29, beralamat dari Taman Sri Layang, Mentakab meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya, T. Mathanaruban, 27 yang membonceng motosikal itu cedera parah.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Roslee Omar, kejadian tersebut melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan lori jenis Hino.

    Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika lori yang dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun itu dalam perjalanan dari kilang papan Batu 5 menghala ke kedai di kawasan perindustrian di Mentakab.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu lori tersebut ternampak motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan memasuki ke laluannya.

    “Pemandu lori itu cuba mengelak ke kiri, namun disebabkan jarak terlalu hampir, kedua-dua kenderaan berkenaan akhirnya bertembung,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Roslee, ekoran pertembungan itu, mangsa bersama motosikalnya diseret dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya patah kaki kiri, pemandu lori pula tidak cedera.

    Sementara itu Roslee berkata, keadaan motosikal mangsa remuk, bumper bahagian kiri dan cermin hadapan pecah.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk bedah siasat selepas mendapat keputusan saringan Covid-19 dan adiknya juga dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut,” jelas beliau.

    Katanya, polis sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan manakala kenderaan terlibat dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Polis tembak lelaki warga asing disyaki terbabit samun

    Polis tembak lelaki warga asing disyaki terbabit samun

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Polis melepaskan tembakan menyebabkan terhadap seorang lelaki warga asing dekat sebuah kuil di Brickfields, Kuala Lumpur, tengah hari tadi, selepas disyaki terbabit kes samun.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, lelaki terbabit yang cedera ditembak sebelum itu bersama-sama tiga rakannya cuba meloloskan diri dekat kuil berkenaan.

    Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, semua suspek warga asing membabitkan dua lelaki dan dua wanita kemudian ditahan di lokasi kejadian.

    “Sebelum itu, kenderaan polis mengejar sebuah kereta dinaiki semua suspek dekat sebuah bank di Cheras hingga ke lokasi kejadian, selepas suspek menyamun orang awam di luar bank berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Kelonggaran rentas negeri tak lama lagi – Khairy

    Kelonggaran rentas negeri tak lama lagi – Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERBINCANGAN kini giat dijalankan berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan pergerakan rentas negeri diberikan dalam tempoh masa terdekat.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika mengesahkan perkara itu berkata, perbincangan berkenaan adalah bersandarkan fakta sains dan petunjuk semasa.

    Pendekatan yang diambil itu kata beliau adalah bagi membolehkan lebih banyak kelonggaran lain diberikan.

    KHAIRY JAMALUDDIN

    “Saya sudah bincang perkara ini (pergerakan rentas negeri dan kelonggaran tertentu) dengan DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah) dan kita sudah putuskan beberapa siri cadangan yang akan dibentangkan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

    “Ada harapan (untuk rentas negeri), cuma saya (minta) sabar sekejap lagi, sikit saja masa lagi. Ini kerana kita semua maklum bahawa pembukaan sempadan negeri untuk pergerakan, bakal mengundang risiko, justeru berikan kita tempoh sikit lagi,” jelas beliau pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya hari ini

    Selain itu, katanya, kerajaan bertekad untuk meningkatkan kadar pemberian vaksin di negeri-negeri tertentu yang masih merekodkan liputan di bawah paras 60 peratus seperti Sabah, Kelantan, Kedah, Perak, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.

    Menurut Khairy, kementeriannya menyasarkan M semua negeri akan mencapai liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa sebanyak 60 peratus menjelang September.

  • Keluarga Malaysia diseru dapatkan vaksin bagi capai imuniti kelompok -PM

    Keluarga Malaysia diseru dapatkan vaksin bagi capai imuniti kelompok -PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob dalam catatan Facebook rasminya hari ini, meluahkan rasa gembira melihat mereka yang telah lengkap diinokulasi mula menjalani kehidupan seperni biasa.

    Sehubungan itu, Perdana Menteri mengajak seluruh Keluarga Malaysia untuk bersama-sama mengambil langkah dengan mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 dalam usaha ke arah mencapai fasa imuniti kelompok.

    Ismail Sabri berkata, bagi mencapai matlamat itu, mereka yang belum mendaftar diseru supaya segera berbuat demikian.

    “Seronok melihat mereka yang sudah menerima dua dos vaksin menjamu selera di restoran dan beriadah di luar. Bagi yang masih belum lengkap, insya-Allah giliran anda akan menyusul tidak lama lagi.

    “Kepada seluruh Keluarga Malaysia yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, saya menyeru agar berbuat demikian dengan segera. Kita semua rindu nak jalani hidup seperti sedia kala. Jom sama-sama kita ambil langkah ke fasa herd immunity!,” katanya.

    Malaysia menyasarkan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

  • Ribut petir, hujan lebat bermula hujung September

    Ribut petir, hujan lebat bermula hujung September

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan negara akan mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan awal malam ketika fasa Peralihan Monsun bermula hujung September hingga pertengahan atau hujung Oktober ini.

    Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia disebabkan oleh atmosfera yang tidak stabil sekali gus meningkatkan aktiviti perolakan dan membawa lebih banyak hujan khususnya di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, barat Sarawak dan barat Sabah pada sebelah petang dan awal malam.

    “Jangkaan jumlah hujan di negeri Pantai Timur semasa Peralihan Monsun pada Oktober 2021 ialah antara 200 hingga 400 mm,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, MetMalaysia turut menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku sepanjang Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang akan bermula pada awal November ini hingga Mac tahun hadapan. 

    Ribut petir, hujan lebat bermula hujung September ini dan dijangka musim tengkujuh akan melanda

    Beliau berkata, sepanjang Monsun Timur Laut, negeri-negeri Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu dijangka menerima hujan sedikit di atas paras purata pada November dan Disember manakala tempat lain dijangka menerima hujan pada paras purata.
     
    Menurutnya, musim tengkujuh itu dijangka akan membawa lebih banyak hujan di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada November hingga Disember manakala Johor, Sabah dan Sarawak pada Disember hingga Januari tahun hadapan. 

    “Jangkaan jumlah hujan tertinggi semasa Monsun Timur Laut 2021/2022 di Pantai Timur adalah pada November dan Disember 2021. Pada November 2021, taburan hujan yang dijangkakan ialah melebihi 600 mm di Kelantan dan Terengganu, manakala 200 hingga 400 mm di Pahang.

    “Jangkaan jumlah hujan bulanan pada Disember 2021, masih melebihi 600 mm di Kelantan dan Terengganu serta 300 hingga 600 mm di Pahang,” katanya. – Bernama