Category: Semasa

  • Ismail Sabri harap bayaran BKC mulai esok mampu kurangkan beban rakyat

    Ismail Sabri harap bayaran BKC mulai esok mampu kurangkan beban rakyat

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap pengkreditan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) bagi Fasa Satu bermula esok sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

    Menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Ismail Sabri berkata dana berjumlah RM3.1 bilion telah pun disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.

    “BKC ini akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang memfokuskan kumpulan sasar terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan,” katanya.

    Pada Rabu, Ismail Sabri berkata, beliau mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan bulan lepas dan berikutan itu, telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran.

    Beliau juga berkata kerajaan kini melaksanakan rangsangan ekonomi rakyat dan negara melalui inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

    “Besar harapan saya untuk memastikan usaha ini berjaya demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

    Semakan status BKC boleh dibuat melalui portal https://bkc.hasil.gov.my

  • Bincang cadangan operasi semula institut memandu, bas ekspres

    Bincang cadangan operasi semula institut memandu, bas ekspres

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pengangkutan akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan institut memandu dan bas ekspres beroperasi semula.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi entri terbaharu dalam Facebook miliknya, hari ini memberitahu, perkara itu akan diperhalusi dan memerlukan sedikit masa lagi sebelum membuat sebarang keputusan.

    Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan dalam sesi dialog secara maya bersama pemain-pemain industri bagi membincangkan mengenai institut memandu dan perkhidmatan bas ekspres.

    “Antara yang dibangkitkan ialah mengenai pengoperasian semula institut memandu dan isu-isu berkaitan. Begitu juga dengan pengusaha bas ekspres yang masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya pada ketika ini.

    “KKM, Kementerian Kewangan dan MKN akan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang melanda industri yang masih belum dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19,” katanya.

    Turut serta dalam perbincangan itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli, Pengerusi Majlis Piawaian Dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (MAPIM), Datuk Hanafi Mat Zin, Pengerusi Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia, Tan Yang Kiong, Setiausaha Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia, Teo Kock Kee dan Pengerusi Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar.

    Ka Siong mengadakan sesi dialog secara maya bersama pemain-pemain industri bagi membincangkan mengenai institut memandu dan perkhidmatan bas ekspres

    Sementara bagi bas ekspres pula disertai Pertubuhan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM), Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA) dan Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA).

    Kementeriannya akan membuat pengumuman berkaitan perkara itu selepas mengadakan perbincangan dengan kementerian yang berkaitan.

  • Jakim kaji guru KAFA belum vaksin dikecuali pengajaran bersemuka

    Jakim kaji guru KAFA belum vaksin dikecuali pengajaran bersemuka

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji untuk melarang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang belum atau enggan menerima vaksin Covid-19 untuk dikecualikan daripada aktiviti pengajaran secara bersemuka.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, perbincangan perkara itu akan dilakukan di peringkat pengurusan Jakim dalam tempoh terdekat.

    ‘Justeri kita menasihatkan agar semua guru KAFA tidak menolak daripada mengambil suntikan vaksin COVID-19 demi keselamatan semua pihak khususnya golongan murid.

    “Saya nasihatkan (guru-gura KAFA) supaya ambil vaksin. Apa yang kita takut sangat soal vaksin ini? Setakat hari ini, ramai orang meninggal dunia disebabkan COVID-19 daripada meninggal dunia (disebabkan) kena vaksin.

    “Bab ini (vaksin) saya tidak boleh hurai panjang kerana bukan bidang kuasa saya, kepakaran itu (pada) bahagian KKM (Kementerian Kesihatan). Perkara ini akan dibincangkan di pihak bahagian pendidikan yang kendalikan KAFA,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dari tiga perkampungan di Taiping, hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita sama ada Jakim akan mengambil langkah sama seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap guru KAFA yang masih atau enggan divaksin.

    Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menegaskan, seramai 2,500 guru yang enggan atau belum divaksin tetap perlu ke sekolah namun akan diberi tugasan lain yang tidak membabitkan aktiviti pengajaran di dalam kelas secara bersemuka dengan pelajar.

  • 20,396 kes positif Covid-19 hari ini

    20,396 kes positif Covid-19 hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu melonjak kepada 20,396 kes berbanding 19,057 semalam.

    “Pperkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 1,844,835 kes.

    “Selangor kekal catat kes tertinggi iaitu 3,886 kes, diikuti Sarawak (3,747), Johor (2,165), Sabah (2,136), Pulau Pinang (1,961) dan Kedah (1,587).

    “Kelantan (1,078), Perak (1,057), Terengganu (861), Pahang (486), Melaka (459), Negeri Sembilan (269), Perlis (78), Wilayah Persekutuan Putrajaya (25) dan Wilayah Persekutuan Labuan (4),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • 3 tahanan positif Covid-19 lolos PKRC diburu

    3 tahanan positif Covid-19 lolos PKRC diburu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sedang memburu tiga tahanan warga asing selepas melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Arena Tawau, Jalan Utara, Tawau, Sabah, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 12.30 tengah malam apabila mereka melarikan diri melalui tingkap tandas.

    Katanya, tiga suspek warga asing itu dikenali sebagai Niko Matheus, 25; Jimnajir Annor, 23; dan Hasyim Muhamad Syata, 34.

    “Ketiga-tiga tahanan itu disahkan positif Covid-19 dan ditempatkan di PKRC di daerah ini,” katanya ketika dihubungi.

    Peter berkata, susulan itu polis melancarkan operasi Op Tutup dan Op Kesan bagi memburu semua suspek.

  • Jangan mansuh baki cuti petugas barisan hadapan – CUEPACS

    Jangan mansuh baki cuti petugas barisan hadapan – CUEPACS

    KONGRES Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan tidak memansuhkan cuti tahunan 180,000 petugas barisan hadapan yang memberikan perkhidmatan penuh ketika pandemik COVID-19.

    Presidennya, Adnan Mat, berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac tahun lalu, cuti tahunan ini tidak dapat dihabiskan dalam usaha mereka memastikan masyarakat mendapat imunisasi dengan cepat.

    “CUEPACS mendapati ada cuti petugas barisan hadapan yang dibekukan tidak dapat dihabiskan, jadi kita mohon kerajaan memberi pertimbangan cuti yang tidak dihabiskan ketika berhadapan pandemik itu.

    “Kerajaan perlu pertimbangkan cuti ini tidak dilupuskan dalam tempoh tiga tahun kepada lima tahun, malah perlu dipanjangkan pada masa tertentu sehingga mereka mampu mengambil cuti,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Kota Bharu di Dewan Sri Tunjong Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) membabitkan 1,030 penerima, di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

    “Kami turut memohon baki cuti ini dimasukkan dalam gantian cuti rehat selama 15 hari seperti amalan biasa dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

    Sementara itu, Adnan turut memohon kerajaan melalui Kementerian Kewangan supaya Belanjawan 2022 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober depan, mengambil kira kewujudan Sistem Saraan Baru (SSB) bagi mempertingkatkan sistem sedia ada.

    “Sistem persaraan ini wujud setiap 10 tahun sekali, justeru amat penting bagi kerajaan menyediakan sejumlah bajet untuk memenuhi tuntutan kakitangan awam dan memenuhi kompenan dalam sistem persaraan baharu.

    “Sudah pasti sistem persaraan baharu ini juga perlu melangkaui gaji minimum supaya dapat melepasi garis kemiskinan,” katanya. – Bernama

  • Remaja Sarawak mula divaksin Rabu ini

    Remaja Sarawak mula divaksin Rabu ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Proses vaksinasi remaja di Sarawak dijangka bermula Rabu ini dan persiapan akhir untuk tujuan itu sedang dilakukan.

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya akan umum secara terperinci selepas persiapan selesai.

    “Buat masa ini kita masih membuat persiapan untuk melaksanakannya,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan, hari ini.

    Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dipetik berkata, remaja berusia 18 tahun ke bawah bakal menerima suntikan vaksin seawal minggu hadapan, dimulakan di Sarawak susulan kelancaran pemberian vaksin di negeri ini yang sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasa divaksin.

    Sementara itu, Penasihat JPBN, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dalam kenyataan berasingan, menyampaikan penghargaan kepada Khairi kerana menyokong Sarawak memberi vaksin kepada remaja berumur 12 hingga 18 tahun mulai minggu depan.

    Kata beliau, usaha berkenaan sepatutnya dilaksanakan lebih awal, tetapi disebabkan perubahan politik di peringkat Persekutuan, tertunda lebih dua minggu.

    “Remaja berusia 12 hingga 18 tahun merangkumi 10 peratus daripada jumlah penduduk Sarawak. Di negeri ini, kita harus memvaksinasi sebilangan besar penduduk kerana varian Delta mengubah konsep 70 hingga 80 peratus kelompok imuniti di seluruh dunia,” katanya.

    Dr. Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak turut memberi jaminan vaksinasi remaja akan dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar, seperti prosedur ke atas golongan dewasa apabila lebih satu juta dos diberikan dalam tempoh 18 hari pada Jun lalu.

  • Syarat pengambilan pelajar MRSM kekal

    Syarat pengambilan pelajar MRSM kekal

    DASAR dan syarat pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), dikekalkan dan cadangan perubahan yang diumumkan sebelum ini tidak akan digunapakai.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat ‘Keluarga Malaysia’.

    “Saya hendak tegaskan bahawa dasar dan syarat kemasukan ke MRSM kita kembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini bagi memberi peluang kepada semua pelajar untuk memohon”.

    “Kelayakan dan pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan kepada Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan STEM serta Keperibadian pelajar,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Pelitawanis TNB di Hospital Kuala Nerang, Kedah, hari ini.

    Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut berkata, dasar 10 peratus pengambilan pelajar Bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

    Jelas beliau, kualiti dan sistem pendidikan yang tersendiri serta berkualiti tinggi yang diterapkan MRSM, telah menyebabkan permintaan dalam kalangan pelajar sangat tinggi.

    “Kita berterima kasih kepada masyarakat yang memberikan pengiktirafan dan sentiasa memandang tinggi Sistem Pendidikan yang ada di MRSM”,’’ katanya.

    MRSM kata beliau hanya mampu menampung sejumlah 7,500 pelajar tingkatan satu dan 2,000 pelajar tingkatan empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan berbanding permohonan yang diterima tahun ini berjumlah 77,834 bagi tingkatan satu dan 24,495 bagi tingkatan empat untuk sesi kemasukan 2022.

    Tambah Mahdzir, dasar MARA mensasarkan untuk menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pengajian di MRSM.

    “Sistem Pendidikan MRSM adalah bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar bumiputera yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan.’’

    “Sistem Pendidikan MRSM juga sedikit berbeza dengan sistem pendidikan lain dari aspek kemampuan kognitif dan sahsiah pelajar. MRSM mengumpulkan pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi selari dengan ciri-ciri Saintifik, Independen, Kreatif, Amanah dan Patriotik (SIKAP),’’ katanya.

    Untuk rekod, bilangan MRSM di seluruh negara adalah 55 buah dan mampu menampung 37,198 pelajar.

  • Perkembangan vaksinasi asas buka sempadan Malaysia-Singapura

    Perkembangan vaksinasi asas buka sempadan Malaysia-Singapura

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEMPADAN Malaysia-Singapura sudah boleh dipertimbangkan untuk dibuka sepenuhnya susulan 50 peratus rakyat dewasa sudah lengkap divaksin dan dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, perkembangan tersebut boleh menjadi asas kukuh untuk kerajaan dari kedua-dua negara membincangkan perancangan itu.

    Tambahan pula katanya, kira-kira 80 peratus daripada 5.9 juta penduduk Singapura sudah lengkap menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.

    “Menerusi perkembangan positif di Johor dan Singapura, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan boleh bincang semula pembukaan sempadan Malaysia-Singapura dengan kerajaan Singapura, jika tidak buka sepenuhnya, buka secara berperingkat-peringkat.

    “Mungkin buat permulaan rakyat kedua-dua negara yang sudah lengkap divaksin dibenarkan merentas sempadan tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan dalam keadaan norma baharu.

    “Langkah ini sudah dibuat beberapa negara contohnya kerajaan Arab Saudi sudah membenarkan jemaah yang sudah lengkap divaksin masuk negara itu pada 9 Ogos lalu begitu juga di United Kingdom,” katanya.

    Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan untuk Program Vaksinasi Berkelompok Felda Sungai Mas dan Felda Semenchu di Kediaman Rasmi Pengerusi Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini.

    Semalam, Pengerusi Jawatan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan memberitahu, seramai 1,396,010 penduduk di Johor sudah lengkap menerima dos kedua manakala 2,224,784 lagi sudah menerima dos kedua setakat kelmarin.

    Che Zakaria berkata, satu keputusan berani perlu dilakukan kerana Covid-19 dalam transisi fasa endemik pada Oktober ini, disebabkan itu perancangan perlu dilakukan dan mustahil untuk menunggu kes Covid-19 dikedua-dua negara mencapai sifar baru dibuka sempadan.

    Menurutnya, kedua-dua negara perlu realistik dalam hal itu kerana Malaysia terutama Johor dan Singapura saling bergantung antara satu sama lain serta jika sempadan masih tidak dibuka, kedua-dua negara akan rugi.

    “Ekonomi Johor banyak bergantung dengan Singapura, begitu juga sebaliknya, apatah lagi Singapura mempunyai banyak pelaburan di Johor. Hubungan Malaysia-Singapura bukan sahaja berkenaan ekonomi tetapi pertalian keluarga malah ada rakyat kita bersekolah di sana,” katanya.

  • Lantik Pengerusi MPN di peringkat negeri – Che Zakaria

    Lantik Pengerusi MPN di peringkat negeri – Che Zakaria

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) di peringkat negeri wajar dilantik dalam usaha memerangi Covid-19 dengan berkesan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, ini kerana kes di setiap negeri berbeza daripada segi jumlah, keadaan dan keperluan dalam mengatasi pandemik tersebut.

    “Sekiranya dilantik, Pengerusi MPN di peringkat negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Exco kesihatan dalam merangka pelan bersesuaian mengikut negeri.

    “Menerusi penubuhan MPN di peringkat negeri, saya yakin akan dapat kenal pasti keperluan dan langkah yang perlu diambil. Keadaan di setiap negeri berbeza, contohnya Johor dan Selangor mempunyai banyak kilang dan kawasan industri,” katanya.

    Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan untuk Program Vaksinasi Berkelompok Felda Sungai Mas dan Felda Semenchu di Kediaman Rasmi Pengerusi Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.

    Semalam bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

    Kabinet dalam mesyuarat pada 1 September lalu bersetuju untuk melantik Muhyiddin memegang jawatan pengerusi majlis tersebut dan perkara itu telah disembah maklum kepada Yang Dipertuan Agong untuk mendapat perkenan.

    Berkenaan pelantikan tersebut, beliau mengucapkan tahiah kepada Muhyiddin dan menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan Ahli Parlimen Pagoh itu sebelum ini.

    “Pelantikan ini tepat pada masanya Tan Sri Muhyiddin adalah pemimpin layak untuk mengemudi MPN,” katanya.

    Mengenai sumbangan itu, Zakaria berkata, pihaknya terpanggil memberi sumbangan bagi menjayakan program vaksinasi itu kerana Felda berkenaan termasuk di bawah wilayah Kejora walaupun kawasan tersebut di bawah tanggungjawab pihak Felda bertanggungjawab sepenuhnya.

    Sementara itu, Ketua Kampung Felda Sungai Mas, Nizam Ali berkata, pihaknya berterima kasih atas sumbangan tersebut yang dilihat dapat meringankan beban penerima vaksin dari dua Felda berkenaan.