Category: Semasa

  • Hanya kakitangan sokongan lengkap vaksin boleh masuk sekolah

    Hanya kakitangan sokongan lengkap vaksin boleh masuk sekolah

    HANYA kakitangan sekolah yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan memasuki premis sekolah, dedah satu pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM).

    Kakitangan sokongan KPM itu melibatkan pekerja perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan (KBK), perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK), perkhidmatan bekalan makanan bermasak (BMB) dan bekalan makanan mentah (BMM).

    Menurut pekeliling bertarikh 3 September lalu itu, langkah berkenaan dilaksanakan bagi merealisasikan usaha KPM mencapai imuniti kelompok di kawasan sekolah.

    “Kebenaran itu terpakai untuk penerima dos lengkap yang sudah melepasi hari ke-14 daripada tarikh kedua suntikan untuk vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

    “Bagi penerima vaksin satu dos keluaran syarikat Johnson & Johnson serta CanSino pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” katanya.

    Dokumen itu dikeluarkan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Noor Azman Abdul Rahman.

    Arahan itu dibuat selaras dengan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, bahawa sesi persekolahan secara bersemuka dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 3 Oktober depan, tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Sehubungan itu, KPM mengingatkan kontraktor perkhidmatan PKK, KBK, BMB dan BMM untuk memastikan pekerja seliaan mereka lengkap divaksinasi sebelum memasuki kawasan sekolah.

  • Kerabat diraja Kedah kurnia kontena simpanan jenazah

    Kerabat diraja Kedah kurnia kontena simpanan jenazah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SULTAN Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama-sama seluruh keluarga diraja berkenan mengurniakan sebuah kontena penyimpanan jenazah untuk kegunaan Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Paduka Bakar Din menerusi satu kenyataan memaklumkan, kontena tersebut yang telah diubah suai mampu menempatkan 16 jenazah pada satu-satu masa.

    Katanya, pengurniaan kontena itu diharap membantu HSM untuk mengendalikan kes kematian akibat Covid-19 dengan lebih berkesan sekali gus mengatasi masalah kesesakan di unit forensik hospital berkenaan.

    “Baginda turut bertitah agar lebih banyak syarikat swasta, badan korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) turut sama berganding bahu memberi sumbangan dan bantuan diperlukan hospital negeri ini, yang masih berdepan situasi kritikal merawat Covid-19.

    “Katil-katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital d negeri ini juga penuh dengan pesakit Covid-19.

    Oleh itu baginda berharap agar semua petugas kesihatan dapat bersabar dengan situasi sekarang selain berdoa agar kes-kes kritikal di Kedah, akan berkurang dalam masa terdekat,” katanya.

    Sementara itu Pengarah HSM, Dr. Akmal Naziah Ahmad merafak sembah setinggi-tinggi kasih di atas keprihatinan ditunjukkan baginda dan keluarga diraja terhadap masalah dihadapi.

    “Kurniaan ini amat berharga buat kami dalam memberik perkhidmatan terbaik buat seluruh warga Langkawi,” katanya.

  • 150,000 rakyat Malaysia sudah divaksin di Singapura

    150,000 rakyat Malaysia sudah divaksin di Singapura

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JUMLAH penduduk Johor yang telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 adalah lebih besar daripada data yang diperoleh ekoran beberapa faktor yang mempengaruhinya.

    Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, antara faktor berkenaan termasuklah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan individu yang mendapatkan suntikan vaksin di klinik swasta.

    Menurut beliau, kelewatan perolehan data melibatkan dua kategori berkenaan menyumbang kepada perbezaan antara data diperoleh dan jumlah sebenar individu telah divaksin.

    “Johor mempunyai bekalan vaksin yang banyak namun kadar vaksin rendah. Kita dapati bahawa terdapat satu jumlah besar individu yang tidak boleh mendaftarkan vaksinasi mereka di dalam MySejahtera.

    “Contohnya yang dapat vaksin di Singapura, ramai bilangannya, mereka ini telah berdaftar dalam MySejahtera awal, namu divaksin di Singapura jadi proses suntikan itu tidak dilengkapkan menerusi MySejahtera.

    “Dianggarkan antara 100,000 hingga 150,000 individu yang sebelum ini berdaftar untuk mendapatkan vaksin di Johor tetapi telah divaksin di Singapura, itu satu jumlah besar tetapi tidak termasuk dalam MySejahtera namun angka rakyat dewasa perlu divaksin turut melibatkan mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Serahan Sumbangan Menteri Besar Johor kepada Jabatan Kesihatan Negeri di Hospital Permai, Johor Bahru, hari ini.

    Hasni bagaimanapun memaklumkan pihaknya tidak terlalu bimbang dengan perkara berkenaan kerana yakin ia akan diuruskan agensi kerajaan pusat terlibat dalam masa terdekat.

    Sementara itu, pihaknya memberitahu, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada meningkatkan kualiti dan tahap perkhidmatan kesihatan awam di negeri ini dalam memastikan pesakit Covid-19 mendapat rawatan sewajarnya.

    “Tumpuan kerajaan negeri dalam usaha beralih ke fasa seterusnya adalah untuk memastikan supaya kemudahan kesihatan mencukupi dalam apa keadaan sekalipun.

    “Kita tahu kes terus meningkat di Johor dan ia banyak disumbangkan kluster industri kerana sektor berkenaan banyak menjalankan ujian setiap dua minggu sekali selain ujian di lapangan.

    “Oleh itu, Johor perlu memastikan apabila beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara kita mempunyai kemudahan yang lengkap khususnya untuk merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima,” ujarnya.

    Sehubungan itu Hasni memberitahu, pihaknya tetap komited untuk memastikan Johor beralih memasuki Fasa 2 dalam keadaan lebih bersedia.

    Sementara itu, dalam program berkenaan kerajaan negeri dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor telah menyumbang pelbagai peralatan kesihatan berjumlah RM300,000 untuk diagihkan kepada lima hospital daerah bukan pakar di Johor.

    Hospital berkenaan adalah Hospital Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Mersing dan Tangkak.

  • Dakwaan langgar kuarantin kendiri, polis ambil keterangan Guan Eng

    Dakwaan langgar kuarantin kendiri, polis ambil keterangan Guan Eng

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang akan memanggil Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bagi memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar tempoh kuarantin kendiri sebaik sahaja beliau selesai menjalani tempoh kuarantin itu pada 10 September ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

    Sehubungan itu jelas beliau, pihaknya telah membuka kertas siasatan dan dijalankan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).

    “Kita juga telah merekodkan keterangan kesemua individu yang membuat laporan polis semalam manakala keterangan daripada pihak Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan direkodkan hari ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Semalam dua sayap pemuda parti pembangkang di Pulau Pinang iaitu Gerakan dan MCA membuat laporan polis terhadap Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih kerana didakwa melanggar tempoh kuarantin kendiri. 

    Laporan itu supaya polis menjalankan siasatan selepas Guan Eng menghadiri sidang DUN pada 2 September lalu sedangkan beliau dilaporkan sepatutnya menjalani kuarantin kendiri bermula 1 hingga 10 September. 

    Terdahulu, media melaporkan perbicaraan kes Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan melibatkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang ditangguhkan kepada 22 September ini selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19. 

    Peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya itu diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September ini.

    Bagaimanapun Guan Eng dalam kenyataan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan beliau hanya diberitahu pada 2 September setelah menghadiri sidang DUN yang mana beliau mungkin menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit positif Covid-19 pada 1 September. 

    Sehubungan itu jelasnya, beliau telah tinggal di rumahnya di bawah kuarantin kendiri selepas menghadiri sidang DUN pada 2 September sebelum kemudiannya diuji negatif. 

  • Gara-gara tertinggal lengkuas, warga emas bercerai atas motosikal

    Gara-gara tertinggal lengkuas, warga emas bercerai atas motosikal

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG wanita warga emas ditimpa nasib malang, apabila diceraikan suaminya hanya disebabkan dia tertinggal bungkusan lengkuas yang dibeli di sebuah pasar di Dungun.

    Kejadian dikatakan berlaku sewaktu pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah.

    Menurut Ketua Hakim Syarie negeri Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd, kejadian itu adalah antara beberapa kes perceraian di Terengganu melibatkan alasan remeh-temeh sehinggga menjadi punca perceraian pasangan Islam di negeri ini.

    Beliau berkata, lain-lain kes yang dilaporkan termasuklah isteri tidak memasak hidangan kegemaran suami.

    Katanya, selain itu terdapat juga kes perceraian pasangan disebabkan isteri tidak memakai seluar jeans.

    Menurut Wan Mohd Zakri, kes warga emas yang tertinggal bungkusan lengkuas itu adalah disebabkan emosi dan marah.

    “Kerana terlalu marah menyebabkan suami tidak mahu berpatah semula ke pasar untuk mengambil lengkuas, sebaliknya secara tiba-tiba melafazkan cerai ketika di atas motosikal.

    “Namun, kebanyakan suami yang bertindak seperti ini akhirnya menyesal di atas tindakan tersebut dan segera tampil ke mahkamah syariah bagi mengesahkan perceraian sebelum kembali rujuk kepada pasangan masing-masing,” katanya di Kuala Terengganu hari ini.

    Wan Mohd. Zakri memberitahu, situasi perceraian berpunca daripada alasan remeh-temeh dan tidak munasabah sentiasa berlaku dalam masyarakat sejak dahulu lagi.

    Justeru, beliau menasihatkan golongan suami supaya tidak terlalu cepat emosi dan mesti banyak bersabar.

    Malah katanya, suami juga diminta tidak menggunakan lafaz talak sesuka hati sekiranya berhadapan masalah dengan pasangan masing-masing kerana bakal meninggalkan kesan buruk terhadap institusi rumah tangga yang dibina.

    “Usah terlalu mudah melafazkan perkataan cerai, sebaliknya suami perlu melihat pertimbangan sewajarnya dalam menyelesaikan masalah. 

    “Antaranya mengguna pendekatan mendidik, mengajar atau bergurau dengan isteri, bukannya melalui ugutan lafaz talak,” ujar beliau.

    Sementara itu, Wan Mohd. Zakri memberitahu, semua mahkamah syariah di negeri ini akan beroperasi sepenuhnya bermula minggu depan dengan memperluas kategori yang boleh didaftarkan berbanding sebelum ini.

  • Ops Benteng tahan lebih 15,000 PATI sejak Mei 2020 – Hishammuddin

    Ops Benteng tahan lebih 15,000 PATI sejak Mei 2020 – Hishammuddin

    SERAMAI 15,754 pendatang tanpa izin ditahan menerusi Operasi Benteng (Ops Benteng) di bawah ‘National Task Force’ bagi tempoh Mei 2020 hingga Selasa lalu (7 Sept), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata bagi tempoh sama, seramai 2,232 pendatang tanpa izin diusir dalam operasi yang melibatkan 19 agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

    “Selain pendatang tanpa izin, seramai 1,148 orang tekong dan 781 penyeludup turut ditangkap dalam tempoh yang sama. Dari sudut rampasan pula, saya dimaklumkan bahawa sebanyak 2,381 kenderaan darat dan 540 buah kapal/bot berjaya dirampas,” kata Hishammuddin dalam catatan di Facebook rasminya hari ini.

    Beliau berkata selari dengan matlamat utama pelaksanaan Ops Benteng, ATM akan terus berusaha dan bekerjasama rapat dengan semua agensi terbabit, bagi mengawal ketat sempadan negara daripada kemasukan pendatang tanpa izin di samping mengekang penularan wabak Covid-19 yang mungkin dibawa golongan berkenaan.

  • Polis mengaku tidak bersalah masuk dadah dalam badan

    Polis mengaku tidak bersalah masuk dadah dalam badan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya, pada Ahad lalu.

    Tertuduh, Mohd. Rashid Sulaiman, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Zulhainie Zull Kafli.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam tubuh badannya sendiri.

    Perbuatan itu dilakukan pada 2.30 petang di sebuah Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, 5 September lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

    Dalam rayuannya, lelaki itu memohon supaya nilai jaminan dikurangkan kerana menjaga ibunya yang lumpuh.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah turut menasihatkan lelaki itu untuk melantik peguam dan menetapkan 3 November depan sebagai semula kes.

  • Perubahan angin monsun punca banjir – Tuan Ibrahim

    Perubahan angin monsun punca banjir – Tuan Ibrahim

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERUBAHAN angin monsun ketika ini merupakan faktor hujan lebat yang berlaku sehingga mengakibatkan banjir.

    Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun musim tengkujuh diramalkan berlaku pada Oktober, beberapa kawasan di negara ini dilaporkan sudah banjir akibat hujan lebat.

    “Adakalanya, amaran cuaca buruk belum dikeluarkan namun kejadian banjir telah berlaku terlebih dahulu. Justeru kita mohon komuniti untuk sama-sama mainkan peranan dengan menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah ke dalam parit.

    “Tabiat itu boleh mengundang lebih banyak keburukkan sehingga menyumbang masalah banjir yang di sesebuah tempat. Justeru, masyarakat diminta untuk sentiasa berwaspada dan bersama memainkan peranan menjaga alam sekitar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek RTB di Kampung Parit Basri, Sri Medan, Batu Pahat hari ini.

    Sementara itu, beliau berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada kerajaan Selangor yang menarik balik cadangan pelan pembangunan ke atas Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara (HSKKLU) dan membatalkan pemberimilikan tanah kepada syarikat terlibat.

    “Kami di pihak kementerian sendiri berhasrat kawasan-kawasan tadahan air dapat dipelihara dan negara kita masih mengekalkan 55 peratus hutan di Malaysia. Sebahagian kerajaan-kerajaan negeri yang ada telah mematuhi had tebangan yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Asli.

    “Saya menyambut baik semua usaha-usaha untuk pewartaan kawasan tadahan air supaya kawasan berkenaan sentiasa terpelihara,” katanya.

  • KKM: Pesakit kuarantin kendiri waspada Happy hypoxia

    KKM: Pesakit kuarantin kendiri waspada Happy hypoxia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN kesihatan Malaysia semalam mengeluarkan peringatan kepada pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin kendiri di rumah agar berhati-hati dengan gejala Happy hypoxia.

    Happy hypoxia adalah satu keadaan di mana pesakit Covid-19 tidak menyedari mereka mempunyai kadar oksigen yang rendah dalam badan yang menyebabkan kesukaran bernafas.

    Gejala-gejala yang berkemungkinan menunjukkan oksigen yang rendah di dalam darah seperti:

    1. Kelesuan yang teruk
    2. Berpeluh banyak walaupun tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal
    3. Perubahan warna bibir atau kulit menjadi kebiruan

    Pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah perlu segera ke hospital sekiranya mengalami kesukaran bernafas atau gejala yang berkaitan happy hypoxia atau bacaan pulse oximeter menjadi rendah.

    KKM dalam catatan Facebooknya mengenai perkara ituturut menasihati mereka yang bergejala demikian agar menghubungi talian kecemasan 999 untuk ambulans atau menggunakan kenderaan sendiri bagi mendapatkan rawatan di hospital.

    Peneman atau pemandu perlu memakai perlindungan berganda (pelitup muka berganda dan face shield) serta sarung tangan. 

  • COVID-19: Terengganu pastikan pelajar selamat ke sekolah

    COVID-19: Terengganu pastikan pelajar selamat ke sekolah

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN Terengganu akan memastikan sektor pendidikan di negeri ini sentiasa berada dalam keadaan selamat sebaik sahaja pembelajaran secara bersemuka dilaksanakan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), pada bulan depan.

    Justeru kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, bagi mencapai hasrat tersebut, pihaknya kini sedang berusaha melengkapkan proses vaksinasi kepada semua pelajar terbabit sebelum Oktober depan.

    Menurut beliau, sehingga ini sebahagian besar guru di Terengganu telah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin Covid-19 dan kini ditumpukan pula kepada para pelajar yang bakal
    menduduki peperiksaan, berusia 17 hingga 18 tahun.

    “Selain itu, kita juga akan memberi perhatian khusus bagi memantu pelajar yang ingin menyambung pengajian terutamanya di luar negara dengan memberikan vaksin pada bulan ini walaupun mereka berusia di bawah 18 tahun, “katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program pengagihan bantuan air di di Dewan Serbaguna Tepoh, Kuala Nerus, hari ini.

    Sehubungan itu, Satiful Bahari meminta pelajar yang berminat untuk mendapatkan vaksin, permohonan khas boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) atau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah masing-masing.

    Mengenai prosedur Operasi Standard (SOP) ketika pembukaan sekolah secara besemuka Satiful Bahari memberitahu, pihaknya akan berpandukan kepada panduan dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

    Bagaimanapun ujarnya, bagi kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ia masih tidak boleh beroperasi.

    Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, remaja berusia 18 tahun ke bawah bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 pada minggu depan bermula dengan di Sarawak.

    Bagi negeri Terengganu pula, seramai 95,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini layak menerima vaksinasi Covid-19 sebagai persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi.