Perubahan angin monsun punca banjir – Tuan Ibrahim

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PERUBAHAN angin monsun ketika ini merupakan faktor hujan lebat yang berlaku sehingga mengakibatkan banjir.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun musim tengkujuh diramalkan berlaku pada Oktober, beberapa kawasan di negara ini dilaporkan sudah banjir akibat hujan lebat.

“Adakalanya, amaran cuaca buruk belum dikeluarkan namun kejadian banjir telah berlaku terlebih dahulu. Justeru kita mohon komuniti untuk sama-sama mainkan peranan dengan menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah ke dalam parit.

“Tabiat itu boleh mengundang lebih banyak keburukkan sehingga menyumbang masalah banjir yang di sesebuah tempat. Justeru, masyarakat diminta untuk sentiasa berwaspada dan bersama memainkan peranan menjaga alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek RTB di Kampung Parit Basri, Sri Medan, Batu Pahat hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada kerajaan Selangor yang menarik balik cadangan pelan pembangunan ke atas Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara (HSKKLU) dan membatalkan pemberimilikan tanah kepada syarikat terlibat.

“Kami di pihak kementerian sendiri berhasrat kawasan-kawasan tadahan air dapat dipelihara dan negara kita masih mengekalkan 55 peratus hutan di Malaysia. Sebahagian kerajaan-kerajaan negeri yang ada telah mematuhi had tebangan yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Asli.

“Saya menyambut baik semua usaha-usaha untuk pewartaan kawasan tadahan air supaya kawasan berkenaan sentiasa terpelihara,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *