Category: Semasa

  • Samun:Pemilik kedai cedera, barang kemas lebih RM200,000 lesap

    Samun:Pemilik kedai cedera, barang kemas lebih RM200,000 lesap

    SEORANG pemilik sebuah kedai emas bukan sahaja kerugian lebih RM200,000 malah cedera di bahagian muka selepas premisnya disamun tiga lelaki di Simpang Tiga, Batu 6, Gombak di sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, tiga lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh telah menyerbu masuk ke dalam kedai tersebut.

    Beliau berkata seorang daripada suspek menunggu di pintu masuk utama premis sambil memegang sebilah parang manakala dua lagi mengambil pelbagai jenis barang kemas di bahagian rak pameran.

    “Seorang daripada suspek juga menumbuk bahagian muka mangsa sebelum kesemua mereka melarikan barang kemas dengan menaiki dua buah motosikal jenis Yamaha Y15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, ketika kejadian, pemilik premis yang juga wanita warga Indonesia berstatus pemastautin tetap berada bersama anak dan adik iparnya di dalam kedai tersebut.

    Zainal Mohamed berkata polis sedang giat mengesan kesemua suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata.

    Video kejadian itu yang berdurasi seminit turut tular di media sosial hari ini.-BERNAMA

  • Pelancong domestik boleh kunjungi Langkawi

    Pelancong domestik boleh kunjungi Langkawi

    PELANCONG domestik yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

    Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengunjung perlu memohon kebenaran polis sebelum ke pulau berkenaan serta menunjukkan bukti dokumen seperti tiket penerbangan, tiket feri atau resit hotel.

    Beliau berkata kebenaran tersebut tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

    Menurut Nancy, bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri sebelum ke Langkawi.

    “Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka dari Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini.

    Nancy berkata antara SOP ditetapkan untuk ke Langkawi yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan adalah terhad kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

    Beliau berkata tiada had umur ditetapkan selain perlindungan insuran dan saringan COVID-19 juga tidak diwajibkan.

    Bilangan penumpang dalam kenderaan pula tertakluk kepada kapasiti kenderaan dan pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke pulau peranginan itu dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.

    Selain itu, beliau berkata jenis percutian dibenarkan ialah secara harian, bermalam percutian dengan tempahan dan percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

    Aktiviti gelembung pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk penginapan di hotel atau inap desa (homestay); aktiviti pantai; sukan air; snorkeling; selam skuba; aktiviti pelancongan minat khas; aktiviti eko geo-kembara, premis hasil seni, budaya dan warisan; taman tema dan pusat hiburan keluarga dan lawatan bersifat akademik.

    Nancy berkata MOTAC akan membuat pemantauan pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program itu dalam masa dua minggu. 

    Beliau berkata MOTAC menyasarkan 420,000 pengunjung dari September ke Disember tahun ini.

    Sementara itu, Nancy turut mengumumkan Malindo Air dan Firely menawarkan potongan RM50 bagi harga tiket penerbangan di bawah program Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0.

    “Malaysia Airlines dan Air Asia pula masing-masing menawarkan harga promosi bermula RM89 dan RM59 sehala,” katanya.

    Selain itu, pelancong boleh menikmati e-baucar bernilai RM50 dan RM100 bagi tempahan tiga hari dua malam di hotel yang mengambil bahagian, menerusi kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experince Malaysia Like Never Before.

    Menurutnya, terdapat 10 pakej ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan dengan tawaran serendah RM202 bagi Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan.- BERNAMA

  • Dua orang termasuk penjawat awam ditahan terima rasuah RM18,000

    Dua orang termasuk penjawat awam ditahan terima rasuah RM18,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang penjawat awam kerana dipercayai menerima wang suapan kira-kira RM18,000 daripada sebuah syarikat pembekal baja.

    Sumber SPRM memaklumkan perbuatan itu dipercayai dilakukan seorang penjawat awam bersama seorang lagi suspek masing-masing berusia lingkungan 50-an sebagai balasan membantu syarikat pembekal baja mendapatkan kerja-kerja membekalkan baja cecair organik bernilai lebih RM140,000 kepada sebuah pertubuhan peladang di Selangor.

    Kedua-dua suspek ditahan hari ini pada kira-kira 3 petang tadi di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua lelaki tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

    Beliau berkata kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam sekitar 9 pagi esok untuk permohonan reman. – BERNAMA

  • Covid:Hanya 1.6 peratus kes kategori tiga, empat, lima – KJ

    Covid:Hanya 1.6 peratus kes kategori tiga, empat, lima – KJ

    HANYA 1.6 peratus atau 302 kes daripada 19,307 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas adalah daripada kategori tiga iaitu dengan radang paru-paru, empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan).

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan bakinya iaitu 19,005 kes atau 98.4 peratus adalah daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua (bergejala ringan).

    “Daripada jumlah kes baharu juga, enam adalah kes import melibatkan dua warganegara dan empat rakyat asing manakala 19,301 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 17,125 warganegara dan 2,176 rakyat asing.

    “Setakat 12 tengah hari juga, sebanyak 24,855 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 1,657,486 kes iaitu 86.3 peratus,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata jumlah kes aktif di seluruh negara setakat ini ialah 242,802 kes dengan 1,310 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 737 memerlukan alat bantuan pernafasan.

    Khairy berkata 323 kematian turut direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif seramai 19,486 individu terkorban akibat pandemik itu.

    “Sebanyak 27 kluster baharu pula dikesan dalam tempoh 24 jam, dengan keseluruhan jumlah kluster yang telah tamat ialah 3,572 dan jumlah kluster aktif sebanyak 1,4450 kluster,” katanya.- BERNAMA

  • Serangan seksual: Anwar diarah fail pembelaan

    Serangan seksual: Anwar diarah fail pembelaan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan penyataan pembelaan dalam saman yang dikemukakan oleh bekas pembantu penyelidiknya Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman ahli politik itu tiga tahun lepas.

    Peguam Mahajoth Singh, yang mewakili Muhammed Yusoff, ketika dihubungi berkata mahkamah telah mengarahkan Anwar agar memfailkan penyataan pembelaan beliau selewat-lewatnya 28 Sept ini.

    “Mahkamah turut menetapkan 29 Okt depan sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya,” katanya selepas prosiding pengurusan kes melalui e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof.

    Peguam Ranjit Singh, yang mewakili Anwar, ketika mengesahkan perkara itu berkata mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak agar memfailkan sebarang permohonan interlokutari sebelum 29 Okt.

    Pada 14 Julai lepas,  Muhammed Yusoff, 28, memfailkan saman mendakwa serangan seksual telah berlaku pada  2 Okt 2018 di kediaman Anwar, 73, di Segambut.

    Plaintif mendakwa Anwar telah melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya manakala beliau menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

    Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik yang menyokong Anwar serta orang awam.

    Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

  • Remaja parah motosikal ditunggang terlanggar tapir melintas

    Remaja parah motosikal ditunggang terlanggar tapir melintas

    MOHD LAZIM ENDUT

    GARA-GARA seekor tapir betina melintas secara tiba-tiba, seorang remaja berusia 20 tahun cederà parah di bahagian kepala selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar haiwan tersebut di Kilometer (KM) 90 Jalan Jerangau-Jabor, Dungun malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, dalam kejadian pada pukul 11.07 malam itu, motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggang remaja berkenaan mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.

    Beliau berkata, sebelum kejadian motosikal ditunggang mangsa yang bekerja sebagai buruh itu dalam perjalanan dari arah Bandar Al- Muktafi Billah Shah (AMBS) menghala ke Bukit Besi.

    Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian katanya, motosikal ditunggang mangsa gagal mengelak seekor tapir yang dikatakan melintas secara tiba-tiba.

    Menurut Baharudin, memandangkan jarak terlalu hampir, mangsa gagal mengelaknya, lalu terlanggar haiwan liar berkenaan.

    “Berikutan itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan luka di bahagian belakang badan sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Baharudin memberitahu, pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati seekor tapir seberat hampir 100 kilogram ditemui mati akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

  • PM galak anak muda terlibat perniagaan digital, ekonomi gig

    PM galak anak muda terlibat perniagaan digital, ekonomi gig

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengalu-alukan dan menggalakkan lebih ramai anak muda untuk terlibat dalam perniagaan digital dan ekonomi gig.

    Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, beliau berkata perniagaan berkenaan dilihat mampu menjana pendapatan yang baik ketika ini.

    Ismail Sabri berkata demikian susulan sesi diskusinya melalui sidang video bersama pengasas aplikasi Grab iaitu Anthony Tan dan Tan Hooi Ling yang bermula di Segambut.

    “Dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan komitmen untuk bantu menyediakan peluang pekerjaan alternatif kepada anak muda, merancakkan lagi sektor ekonomi gig dan membuka platform kepada peniaga kecil di luar bandar,” katanya.

    Menurut Ismail Sabri, aspek-aspek lain seperti kebajikan dan keselamatan rakan penghantar turut dibincangkan dan diberi perhatian supaya menjadi keutamaan.- BERNAMA

  • PKPD di enam lokaliti di Sabah, Pahang bermula Sabtu ini

    PKPD di enam lokaliti di Sabah, Pahang bermula Sabtu ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di enam lokaliti di Sabah dan Pahang selama 14 hari bermula 11 hingga 24 September ini.

    Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, arahan itu membabitkan lima lokaliti di Sabah manakala di Pahang satu lokaliti.

    “Di Sabah, lima lokaliti yang dikenakan PKPD ialah Kampung Lembah Permai dan Kampung Desa Aman di Ranau, Taman Sungai Labuk di Beluran, Sekolah Henry Gurney di Keningau dan Kampung Timug Matunggong di Kudat.

    “Di Pahang, ia membabitkan Kampung Kuala Koyan, Mukim Ulu Jelai di daerah Lipis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Rodzi memaklumkan, PKPD yang dilanjutkan sehingga 24 September melibatkan tujuh lokaliti di Paka, Dungun, Terengganu.

    Jelas beliau, membabitkan Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas.

    “Tiga lokaliti di Sabah membabitkan, Kampung Sungai Imam di Tawau, Kampung Kapakaan di Keningau dan Kampung Paris 3 di Kinabatangan ditamatkan PKPD bermula 10 September ini seperti dijadualkan,” katanya lagi.

  • Tiada laporan PMYT di Johor-Ayob Khan

    Tiada laporan PMYT di Johor-Ayob Khan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Johor tidak ada menerima sebarang laporan tentang penyebaran ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) di negeri ini setakat ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ajaran sesat yang baru dikesan di negara ini itu mempunyai ramai pengikut yang mengikuti ajaran berkenaan secara dalam talian.

    Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir pengikut ajaran sesat PMYT itu berada di negeri ini.

    “Kalau kita tengok di negeri-negeri lain, jumlah pengikut ajaran sesat itu mengikuti ajaran tersebut secara dalam talian. Ajaran itu mempunyai ramai pengikut di media sosial.

    “Bagaimanapun, tidak ada laporan yang dibuat setakat ini. Mungkin ada (di negeri ini), kerana dia mempunyai beribu-ribu pengikut tetapi tidak ada repot dibuat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Sabtu lalu, akhbar dilaporkan berkata, ketua ajaran sesat PMYT iaitu seorang wanita dipercayai pemilik akaun Facebook Masitah Ab. Jalar atau lebih dikenali sebagai Sittah Annur ditahan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

    Tangkapan itu susulan satu laporan polis dibuat seorang pengadu pada Isnin lalu selepas menonton sebuah video berkaitan ajaran tersebut yang dimuat naik di YouTube.

    Ketua ajaran tersebut mendakwa dirinya mampu berhubung dengan malaikat, Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, wanita berusia 39 tahun itu telah direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Media.

  • 1,000 keping heroin base bernilai RM34.1 juta dirampas, terbesar tahun ini

    1,000 keping heroin base bernilai RM34.1 juta dirampas, terbesar tahun ini

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS berjaya merampas sebanyak 1,000 keping heroin base seberat kira-kira 368 kilogram (kg) bernilai RM34.1 juta daripada satu sindiket yang aktif di wilayah utara negara iaitu rampasan dadah jenis itu yang terbesar tahun ini.

    Kejayaan itu susulan operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pulau Pinang, Kedah dan Perak pada 3 September lalu.

    Dalam serbuan di enam lokasi menerusi serbuan itu, seramai 11 individu berusia di antara 22 hingga 58 tahun turut berjaya ditahan.

    Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, operasi itu bermula dengan serbuan di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira-kira pukul 12.40 tengah malam 3 September lalu.

    Dalam serbuan itu katanya, dua lelaki ditahan ketika sedang memindahkan ketulan mampat heroin base yang diisi di dalam kotak ke dalam sebuah kepala lori (treler).

    “Sindiket ini cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan meletakkan seluar jean pada lapisan atas di dalam kotak yang diisi dengan ketulan heroin base itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Razarudin, susulan serbuan itu polis menahan sembilan individu lain termasuk ketua sindiket berusia 42 tahun di beberapa lokasi di ketiga-tiga negeri terbabit pada hari sama.

    Jelasnya, siasatan lanjut mendapati sindiket yang aktif sejak lebih setahun lalu itu menjadikan Pulau Pinang sebagai transit selepas memperoleh bekalan dari negara jiran sebelum diedar ke negeri lain.

    Selain itu beliau berkata, polis turut menyita pelbagai aset daripada sindiket terbabit termasuk lima buah kendaraan jenis Mercedes Benz E250, Toyota Vellfire, Range Rover Velar, Chevrolet Colorado dan Honda Civic.

    Turut dirampas ujarnya, sejumlah wang tunai dan barang kemas yang keseluruhan sitaan bernilai kira-kira RM2 juta.

    “Kesemua suspek termasuk seorang yang positif syabu direman selama tujuh hari sehingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.