Category: Semasa

  • Nilai ringgit tidak berubah berbanding dolar AS

    Nilai ringgit tidak berubah berbanding dolar AS

    NILAI ringgit tidak berubah berbanding dolar AS ketika dibuka untuk urus niaga pagi Jumaat selepas Bank Negara Malaysia mengambil keputusan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75 peratus selain laporan kadar pengangguran oleh Jabatan Perangkaan yang turut tidak berubah pada 4.8 peratus pada Julai 2021.

    Pada jam 9.05 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.1470/1490 berbanding dolar AS daripada 4.1470/1500 yang dicatatkan pada penutupan semalam (Khamis).

    Para peniaga berpendapat keputusan bank pusat itu akan memberikan kestabilan kepada ringgit dengan paras sokongan sekitar 4.1200.

    Pedagang ActivTrade, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata penganalisis menjangkakan pembacaan data pengangguran bulan September adalah baik berdasarkan kadar pengangguran Julai 2021, sekali gus ini telah meningkatkan nilai ringgit.

    Beliau menekankan bahawa mata wang tempatan adalah antara mata wang yang telah meningkat paling tinggi berbanding dolar sejak awal September.

    Pada Khamis, Bank Negara Malaysia mengumumkan langkahnya untuk mengekalkan OPR pada 1.75 peratus.

    Memandangkan ketidakpastian ekoran pandemik ini, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta implikasinya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan domestik secara keseluruhan, kata bank pusat dalam satu kenyataan semalam.

    Dalam perkembangan berasingan, kerajaan menyasarkan bahawa kadar vaksinasi yang tinggi dapat mengukuhkan ekonomi negara, justeru, kadar pengangguran kemungkinan menurun bermula bulan ini.

    Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain kecuali dengan euro yang mana unit tempatan mengukuh kepada 4.9034/9058 from 4.9063/9103 semalam.

    Unit tempatan menyusut kepada 3.0876/0894 daripada 3.0860/0885, lebih rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7800/7818 daripada 3.7727/7758 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.7390/7418 daripada 5.7303/7345 sebelumnya. – Bernama

  • Semua perlu main peranan elak kecenderungan bunuh diri – Khairy

    Semua perlu main peranan elak kecenderungan bunuh diri – Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PANDEMIK selama lebih setahun lalu telah menjejaskan kesihatan mental kebanyakan individu, yang meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

    Justeru, amat penting bagi semua pihak memainkan peranan bagi mengatasi peningkatan risiko tingkah laku bunuh diri ketika ini, yang dipengaruhi akibat pandemik Covid-19.

    Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menggesa semua pihak yang berdepan gangguan emosi untuk mendapatkan bantuan, manakala individu lain boleh memainkan peranan dengan mengambil tahu situasi keluarga dan rakan masing-masing.

    “Bunuh diri boleh dielakkan. Kita semua perlu memainkan peranan. Dapatkan bantuan, belajar untuk mengenal pasti tanda tingkah laku, tunjukkan keprihatinan, jangan diskriminasi.

    “Kami bersedia untuk membantu anda,” katanya menerusi Twitter, hari ini, sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia (WSPD) 2021.

    WSPD yang disambut pada 10 September setiap tahun, dianjurkan Persatuan bagi Pencegahan Bunuh Diri Antarabangsa (IASP) yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi menggambarkan komitmen global untuk memberi fokus terhadap pencegahan bunuh diri.

    Sementara itu, Khairy menerusi rakaman video, menegaskan individu yang berdepan gangguan emosi perlu menyedari yang mereka tidak keseorangan.

    “Kepada individu yang sedang bertarung dengan kemurungan, keresahan. Anda tidak keseorangan. Jangan anggap anda keseorangan, walaupun anda di saat paling gelap.

    “Bantuan tersedia. Harap anda dapat mengatasinya dan kami sedia membantu anda,” katanya.

    Khairy turut meletakkan dua talian yang boleh dihubungi bagi mereka yang berdepan gangguan emosi dan memiliki hasrat bunuh diri, iaitu Talian Kasih (15999) dan Befrienders (03-76272929). 

  • Hasrat pinjam RM250,000 tak dapat, wang RM60,000 pula lesap

    Hasrat pinjam RM250,000 tak dapat, wang RM60,000 pula lesap

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    HASRAT seorang kontraktor meminjam wang RM250,000 bukan sahaja tidak kesampaian, sebaliknya dia juga terpaksa berputih mata apabila kerugian RM60,000 selepas menjadi mangsa sindiket tawaran pinjaman wang tidak wujud.

    Mengetahui dirinya tertipu dan gagal menerima pinjaman wang seperti dijanjikan, mangsa berusia 28 tahun membuat laporan di Balai Polis Raub, semalam.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, mangsa terpedaya dengan sindiket penipuan itu selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 27 Mac lalu.

    Beliau berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai ejen pinjaman peribadi sebuah syarikat yang beroperasi Kuala Lumpur dan menawarkan kemudahan pinjaman wang kepada mangsa sekiranya berminat.

    Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof.

    Ekoran itu katanya, mangsa bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM250,000 dengan pelan pembayaran balik RM7,000 sebulan selama lima tahun.

    “Suspek meminta mangsa menyerahkan butiran peribadi termasuk salinan kad pengenalan dan penyata akaun bank bagi proses permohonan disamping membayar wang pendaftaran pinjaman berjumlah RM30,000,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

    Menurut Mohd. Wazir, mangsa membuat bayaran sepertimana diminta pada 18 Ogos lalu melalui akaun bank atas nama seorang lelaki dan pada hari yang sama suspek menghubungi mangsa memberitahu pinjaman itu diluluskan.

    Namun katanya, mangsa diminta membayar tambahan RM30,000 lagi bagi proses pembayaran wang pinjaman ke akaun banknya.

    “Tanpa berfikir panjang, mangsa akur lalu membuat bayaran tersebut ke dalam akaun bank yang sama.

    “Mangsa diminta menunggu sehingga wang RM250,000 yang dipinjam itu dimasukkan ke dalam akaunnya, semalam mangsa sekali lagi dihubungi suspek meminta upah kerana membantu meluluskan pinjaman itu namun dia tidak berbuat demikian kerana wang yang dipinjam belum diterima.

    “Mangsa mula curiga dan syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis,” ujar beliau.

    Mohd. Wazir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Penderitaan pemandu bas dapat perhatian Sultan Johor

    Penderitaan pemandu bas dapat perhatian Sultan Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KESEMPITAN hidup 99 ahli Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas (PMPPB) Johor yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan Malaysia-Singapura mendapat perhatian Sultan Johor.

    Pengerusi PMPPB, R Thiagarajan berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan barang keperluan harian kepada mereka yang semuanya merupakan pemandu bas dan ketika ini hilang punca rezeki.

    Menurut beliau, industri pengangkutan melibatkan perkhidmatan bas sememangnya menerima kesan besar akibat pandemik Covid-19.

    “Sebilangan besar pengusaha serta pemandu bas hilang punca pendapatan dan terpaksa mencari pekerjaan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

    “Ramai pemandu bas yang berpengalaman telah berputus asa dan berpindah ke bidang lain, jadi bantuan ini amat membantu untuk ahli-ahli kami yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Penyerahan sumbangan tersebut turut dikongsikan menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada Jumaat.

    Thiagarajan berkata, dalam usaha memastikan ahli persatuan itu masih dapat mencari rezeki dalam tempoh mencabar ini, pihaknya telah memperkenalkan Inisiatif Progam Bas Mobil Vaksinasi.

    “Inisiatif ini dilaksana dalam usaha membantu ahli menjana pendapatan sambil membantu kerajaan melaksanakan program vaksinasi dengan lebih mudah dan cepat, terutamanya bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pihak yang memerlukan.

    “Saya mewakili ahli persatuan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku Sultan atas jasa baik baginda,” ujarnya.

  • Intervensi kes Bella selaras dengan akta – Rina

    Intervensi kes Bella selaras dengan akta – Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan intervensi dalam kes remaja sindrom down dikenali sebagai Bella selaras dengan akta yang sedang berkuat kuasa.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, ia antaranya bagi menyelamatkan kanak-kanak dan menempatkannya di tempat selamat, memberi perlindungan dan penjagaan selaras Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak kanak-kanak, menyita pusat jagaan serta membantu pihak berkuasa dalam penyediaan laporan sosial kanak-kanak.

    Menurut beliau, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperjuangkan nasib Bella pada 9 September lalu.

    “Antara NGO yang terbabit dalam pertemuan itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Wanita Ikon Malaysia, Persatuan Helping Shoulder, Pertubuhan Anti Diskriminasi dan Salah Laku serta Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia.

    “Sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak dan OKU, saya sentiasa mengikuti perkembangan kes adik Bella yang kini berada di bawah perlindungan, penjagaan dan pengawasan JKM.

    “Wakil PDRM dan JKM juga sudah menjelaskan intervensi yang dilaksanakan dalam mengendalikan kes ini dan saya berharap kes adik Bella dapat diadili mengikut lunas perundangan yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Rina juga memohon orang ramai supaya segera membuat laporan kepada PDRM atau Talian Kasih 15999 dan aplikasi WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam apabila mengetahui atau mengesyaki apa-apa kes pengabaian dan penganiayaan terhadap kanak-kanak.

    “Masyarakat juga diminta terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak, terutama anak OKU sebagai suatu amanah dan anugerah daripada Tuhan,” katanya.

  • KPDNHEP keluarkan 181 notis kepada peniaga di Johor

    KPDNHEP keluarkan 181 notis kepada peniaga di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor sudah melakukan pemeriksaan melibatkan 10,165 premis yang dikesan menaikkan harga barang di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga kelmarin.

    Menurut Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro, pemeriksaan itu melibatkan 8,667 peruncit, 1,195 pemborong dan 303 pengilang.

    “Susulan pemeriksaan yang dilakukan itu, sebanyak 181 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku.

    “Peniaga yang didapati melakukan aktiviti mencatut boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011 yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali; bagi kesalahan kedua didenda RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM1,000,000 bagi kesalahan kali kedua,” katanya menerusi satu kenyataan.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPDNHEP Johor mengeluarkan 12 notis terhadap peniaga, pemborong dan peladang di negeri ini kelmarin bagi mendapat maklumat lanjut berkaitan kenaikan harga ayam.

    Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 AKHAP 2011 itu katanya, selepas melakukan pemeriksaan di lokasi tumpuan iaitu di pasar awam dan pasar basah di negeri ini.

    “Sebanyak 12 notis itu dikeluarkan kepada masing-masing empat peniaga ayam, peladang dan pemborong bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

    “Pemeriksaan akan diteruskan bagi menyiasat secara menyeluruh terhadap semua kos yang terlibat berhubung kenaikan harga yang berlaku,” KPDNHEP Johor mengambil maklum aduan berkenaan kenaikan harga ayam terutama di pasar awam dan pasar basah,” katanya.

    Justeru katanya, pemeriksaan ke atas semua jenis pasar berkenaan katanya, akan dipertingkatkan.

  • Bekas ADUN Tepoh, Abu Bakar Abdullah meninggal dunia

    Bekas ADUN Tepoh, Abu Bakar Abdullah meninggal dunia

    BEKAS Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah meninggal dunia pada pukul 11.28 malam tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

    Allahyarham pernah memegang jawatan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, AJK Dewan Pemuda PAS Pusat, Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pusat, Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tepoh.

    Beliau dianugerahkan Tokoh Istiqamah pada Muktamar Tahunan PAS ke-64, yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Allahyarham gigih menyumbang bakti bersama Dewan Ulama PAS Pusat dan Dewan Ulama PAS Terengganu dan berpengalaman panjang menyumbang jasa kepada rakyat sebagai ADUN Tepoh dan Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

    “Jasa Allahyarham membangunkan pusat pendidikan bersejarah, Institut Berakan dan juga Maahad Tahfiz wa Tarbiyah, Tok Jiring bersama Allahyarham Datuk Abu Bakar Chik insya-Allah menjadi pahala jariah beliau yang panjang disamping pengajaran dan penulisan ilmu, dakwah dan perjuangan politik Islam yang beliau dukung sehingga ke akhir hayat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Beliau berkata, pertemuan terakhir dengan Abu Bakar adalah pada dua minggu lepas di rumah Allahyarham ketika melakukan kunjungan ringkas.

    “Masih terbayang wajah senyum dan ceria beliau ketika itu meskipun masih uzur.

    “Moga Allah merahmati sahabatku dan guru perjuanganku yang digamit pergi ke rahmatullah pada malam Jumaat yang barakah ini,” katanya.

  • 51.1 peratus populasi Malaysia kini lengkap divaksin – JKJAV

    51.1 peratus populasi Malaysia kini lengkap divaksin – JKJAV

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SASARAN imuniti kelopok 80 peratus yang ditetapkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin hampir menjadi kenyataan.

    Terkini, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menunjukkan seramai 16,680,780 individu (51.1 peratus) populasi keseluruhan di Malaysia telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Melalui perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini, JKJAV memaklumkan seramai 21,080,152 individu (64.5 peratus) daripada populasi keseluruhan pula sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

    Sementara sebanyak 322,346 dos vaksin Covid-19 yang merangkumi 133,861 dos pertama dan 188,485 dos lengkap turut diberikan semalam, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi PICK kini sebanyak 37,714,587 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

  • Sekatan jalan raya Putrajaya tamat tengah malam tadi

    Sekatan jalan raya Putrajaya tamat tengah malam tadi

    SEKATAN jalan raya (SJR) di Putrajaya ditamatkan 12 tengah malam tadi selepas beroperasi selama sembilan bulan sejak 13 Januari lepas.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, walaupun SJR ditamatkan namun orang awam dingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19.

    Beliau berkata, operasi pematuhan akan dipergiatkan dengan penambahan anggota untuk memastikan orang awam memasuki Putrajaya patuh SOP sama ada bagi tujuan riadah atau pelancongan domestik.

    Penamatan SJR itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung rentas daerah dibenarkan di Lembah Klang, membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang beralih kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam kenyataannya semalam memaklumkan dua SJR ditutup iaitu di Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kanagapuram di bawah laluan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

    Bagaimanapun, katanya empat lokasi SJR dikekalkan iaitu di Plaza Tol Sungai Buloh, Plaza Tol Kota Damansara, Plaza Tol Damansara dan Plaza Tol Subang. – Bernama

  • Kongres Ekonomi Rakyat sempena ulang tahun keenam Kongres Rakyat 2.0

    Kongres Ekonomi Rakyat sempena ulang tahun keenam Kongres Rakyat 2.0

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KONGRES Ekonomi Rakyat (KER) akan diadakan sempena ulang tahun keenamnya pada 12 September ini bertujuan untuk merumuskan Pelan Tindakan Ekonomi Rakyat (PTER).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Kongres Rakyat 2.0, penganjuran itu selari dengan Resolusi Konvensyen NGO-NGO Peringkat Kebangsaan Ke-2 sebelum ini bagi menggerakkan semula sekretariat itu dalam membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat.

    Sekretariat itu memberitahu, selain itu, dalam satu mesyuarat sebelum ini sudah dipertujui bahawa Mohd. Shuhaimi Embong dilantik sebagai Pengerusi atau Ketua Sekretariat bagi mengurus dan memperbadankan sebagai sebuah organisasi.

    “Ini sekali gus membolehkan kongres ini melaksanakan tugas dan tanggungjawab serta menganjurkan program dan aktiviti bersesuaian dengan fungsinya,” jelas kenyataan itu, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, Sekretariat Kongres Rakyat 2.0 juga bersetuju untuk mengekalkan logo dan tema asal ‘Membina Malaysia Sejahtera’ dengan memasukkan 2.0 bagi mengekalkan identiti asal Kongres Rakyat sebelum ini.