Category: Semasa

  • Dua maut pacuan empat roda lawan arus di Lebuhraya Persekutuan

    Dua maut pacuan empat roda lawan arus di Lebuhraya Persekutuan

    DUA maut termasuk seorang remaja perempuan dalam kemalangan di Kilometer 8.5 Lebuhraya Persekutuan, dekat sini setelah kenderaan dipandu bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang melawan arus, 2.09 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata siasatan awal mendapati, pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun, dari arah Kuala Lumpur ke Klang secara melawan arus telah bertembung dengan sebuah Proton Wira.

    “Dua mangsa yang maut, remaja perempuan 18 tahun yang merupakan pemandu kereta dan seorang lelaki 19 tahun yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baharudin berkata kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Shah Alam, dekat sini untuk bedah siasat.

    Jelasnya, hasil saringan awal ujian air kencing pemandu pacuan empat roda itu positif dadah jenis ganja dan suspek direman selama enam hari bermula hari ini.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahaya,” katanya.

    Baharudin berkata saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami, di talian 011-31215697 untuk membantu siasatan.

    Dalam pada itu, Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis dalam kenyataan berkata kedua-dua mangsa kemalangan tersebut didapati tersepit ekoran pelanggaran tersebut dan pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengeluarkan mereka.

    Beliau berkata, operasi menyelamat membabitkan lapan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam diketuai Komander Operasi Kanan Kamarul Zaman Abd Rani.- BERNAMA

  • Pengunjung ke Langkawi dinasihat patuh SOP, elak kes Covid naik – KP Kesihatan

    Pengunjung ke Langkawi dinasihat patuh SOP, elak kes Covid naik – KP Kesihatan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengingatkan semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, Kedah di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Dalam usaha mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru semua pihak bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan tiada peningkatan jangkitan virus COVID-19 di pulau percutian itu.

    “Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya.

    Pada 9 Sept lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

    Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19 di Pulau Langkawi yang memerlukan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

    HSM merupakan sebuah hospital hibrid yang merawat pesakit COVID-19 dengan 79 katil, manakala untuk bukan COVID-19 sebanyak 142 katil. 

    Dr Noor Hisham berkata melalui penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Langkawi International Shooting Range Malaysia (i-PKRC LISRAM) pada 4 Ogos lepas, sebanyak 60 katil tambahan berjaya diwujudkan bagi merawat pesakit COVID-19 kategori satu, dua dan tiga yang berisiko rendah.

    “Bagi ICU, sebanyak lapankatil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 dan daripada jumlah itu, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes COVID-19,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata jabatan lain HSM, antaranya Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsiagaan masing-masing bagi merawat kes COVID-19 yang mungkin akan bertambah.

    “Melalui perbincangan yang diadakan bersama pihak HSM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan proaktif tertentu diambil.

    “Ini termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes COVID-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan oleh pihak swasta,” katanya.- BERNAMA

  • 17 juta populasi dewasa negara lengkap vaksinasi Covid-19

    17 juta populasi dewasa negara lengkap vaksinasi Covid-19

    SEBANYAK 72.7 peratus atau 17,026,781 individu daripada populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) .

    JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan 90.9 peratus atau 21,290,857 individu daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos termasuk penerima vaksin dos tunggal CanSino.

    Sementara itu, sebanyak 38,260,575 dos suntikan vaksin telah diberikan setakat semalam termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos.

    “Semalam, sebanyak 258,929 dos vaksin telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” menurut JKJAV.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • Enam lelaki termasuk lima warga asing ditahan berpakaian wanita

    Enam lelaki termasuk lima warga asing ditahan berpakaian wanita

    SERAMAI enam lelaki termasuk lima warga Indonesia ditahan kerana  berpakaian menyerupai wanita dan dipercayai terlibat dengan aktiviti tidak bermoral sekitar bandar Kuantan, malam tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Muhammed Rizal Kamarudin berkata kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 35 tahun ditahan menerusi Op Pasar yang dijalankan secara bersepadu melibatkan 30 pegawai dan anggota penguat kuasa termasuk polis, imigresen dan Majlis Bandaraya Kuantan.

    “Semua suspek ditahan di lorong sekitar Pasar Besar Kuantan dan dipercayai sedang menunggu pelanggan bagi kegiatan tidak bermoral yang menimbulkan keresahan rakyat sekitar sehingga viral di media sosial. 

    “Lima suspek warga asing terlibat juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini malam tadi, selepas tamat operasi empat jam yang berakhir pada kira-kira 7 malam tadi.

    Muhammed Rizal berkata semasa operasi itu, suspek bertindak melarikan diri, termasuk ada yang cuba memanjat bumbung sebuah bangunan berhampiran, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku. 

    Siasatan awal juga mendapati suspek warga tempatan mempunyai tiga rekod kesalahan lampau melibatkan kesalahan berpakaian menyerupai wanita bagi aktiviti tidak bermoral.

    Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan aib selain lima warga asing tersebut disiasat di bawah Seksyen 61(1) (c) Akta Imigresen kerana tiada pas perjalanan yang sah serta Seksyen 15 (1)(c) kerana tinggal lebih masa.- BERNAMA

  • PDRM sahkan helikopternya terbang di ruang udara berhampiran Singapura

    PDRM sahkan helikopternya terbang di ruang udara berhampiran Singapura

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan helikopter miliknya melakukan penerbangan di ruang udara berhampiran Singapura bagi tujuan penugasan rasmi hari ini, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali.

    “Sepanjang penugasan itu berlangsung sehingga kini, PDRM tidak menerima pemakluman oleh pihak berkuasa ruang udara Singapura mengenai sebarang insiden penerbangan helikopter telah memasuki ruang udara mereka,” katanya dalam kenyataan.

    Kenyataan itu dikeluarkan susulan sebaran mesej menerusi media sosial mendakwa helikopter PDRM menceroboh ruang udara Singapura.

    Terdahulu tular menerusi media sosial, sebuah portal tempatan melaporkan sebuah helikopter Agusta Westland AW139, dengan “call sign” 9M-PMD yang dalam perjalanan ke Pengerang terbang melintasi Pulau Tekong, lokasi latihan ketenteraan dan khidmat negara Singapura diadakan.

    Sementara itu Kementerian Pertahanan Singapura berkata Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) menggerakkan pesawat tempur F-16 miliknya ke kawasan berkenaan sekitar pukul 9.20 pagi ini sebagai tindak balas terhadap kemungkinan ancaman udara.

    “Setelah memastikan bahawa keselamatan kami tidak dikompromi, pesawat tempur itu diarahkan kembali,” kata jurucakap berkenaan ketika menjawab pertanyaan media.

    Menurut kementerian itu secara purata pesawat tempur RSAF dikerah untuk menyiasat dan menangani 350 potensi ancaman udara setiap tahun.- BERNAMA

  • Subsidi 20 pengeluar utama stabil harga ayam

    Subsidi 20 pengeluar utama stabil harga ayam

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    BAGI menstabilkan harga ayam di pasaran negara, kerajaan mungkin akan memperkenalkan sistem subsidi kepada 20 pengeluar utama yang membekalkan 80 peratus ayam, demi kepentingan orang ramai khususnya pengguna.

    Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, ia bertujuan membantu menampung peningkatan harga berikutan kenaikan harga komponen makanan ternakan di pasaran antarabangsa.

    Justeru katanya, kerajaan akan cuba pertimbang memberi subsidi di peringkat ladang jika harga komponen makanan ayam seperti jagung dan soya di pasaran dunia melonjak kepada paras tertentu.

    “Apabila harga ayam rendah di peringkat ladang, maka harga di peringkat borong dan runcit dapat dikawal sekali gus tidak membebankan pengguna,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pasar Pekan Ajil , Hulu Terengganu, petang tadi.

    Sementara itu, Rosol memberitahu, harga jualan ayam tertinggi yang direkodkan setakat ini adalah RM11 sekilogram (kg) iaitu di Pasar Basah Gopeng, Perak.

    Manakala harga semasa jualan ayam di pasar basah seluruh negara pula, kata beliau adalah antara RM9 hingga RM10.50 sekilogram.

    Bagaimanapun katanya, masih ada premis pasar basah di seluruh negara yang menjual ayam pada harga lebih rendah iaitu sekitar RM8 hingga RM8.50 sekilogram.

    “Malah, masih ada juga premis yang menjual ayam pada harga lebih rendah melibatkan beberapa pasar raya seluruh negara iaitu pada harga RM5.99 sekilogram.

    “Harga jualan ayam di pasar raya lazimnya lebih murah berbanding di pasar basah kerana pasar raya kebiasaannya membuat pembelian bekalan secara kontrak jangka panjang dan dalam kuantiti besar bagi memenuhi permintaan di semua rangkaian pasar raya berkenaan di seluruh negara, ” ujar beliau.

    Rosol berkata, KPDNHEP sentiasa serius mengenai kepentingan yang melibatkan pengguna dan peniaga.

    “Kita juga sedang merangka mekanisme terbaik untuk mengatasi isu ini di mana KPDNHEP telah melancarkan Ops Catut (Pasar) 8.0 bermula Khamis lalu bagi menyiasat faktor kenaikan harga ayam di semua peringkat rantaian bermula daripada penternak atau pengeluar, pemborong dan peruncit,” terangnya.

    Menurut beliau, sehingga semalam sebanyak 63 premis pengeluar, pemborong dan peruncit di seluruh negara telah diperiksa di mana 63 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dan 56 Notis Bertulis (NB) dikeluarkan kepada peniaga untuk siasatan lanjut jika berlaku unsur pencatutan dalam jualan ayam hidup, ayam standard dan ayam super.

    Tambah beliau, sepanjang Ops Catut (Pasar) 8.0, penguat kuasa KPDNHEP telah mengeluarkan 12 Surat Pemberitahuan meminta peniaga menyemak semula harga dan menurunkan kadar harga jualan.

    “Mana-mana peniaga yang didapati mencatut atau mengaut untung tinggi tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” jelas beliau.

  • Wabak polio di Malaysia diisytihar tamat

    Wabak polio di Malaysia diisytihar tamat

    WABAK polio di Malaysia diisytiharkan tamat susulan perutusan rasmi Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei dan Singapura kepada Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

    Memetik laporan Bernama, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pengisytiharan ini dilakukan berdasarkan penilaian oleh pasukan penilai yang terdiri daripada panel pakar antarabangsa yang telah melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio yang dijalankan di Malaysia.

    “Berdasarkan penilaian itu, usaha Malaysia dalam kawalan dan pencegahan wabak telah diiktiraf sebagai berjaya menghentikan penularan wabak polio,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Penyakit polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal sepanjang hayat. Ia juga boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan membawa maut.

    “Kita perlu pastikan liputan imunisasi polio sentiasa tinggi bagi mengekalkan imuniti kelompok terhadap jangkitan polio dan seterusnya Malaysia terhindar daripada ancaman wabak polio pada masa akan datang. Selain daripada itu, KKM akan mempastikan survelan ‘Acute Flaccid Paralysis’ (AFP) dan survelan persekitaran yang berkualiti terus dilaksanakan supaya sebarang kes polio dapat dikesan,” katanya.

    Khairy berkata, pada penghujung 2019, Malaysia dikejutkan dengan pengesahan satu kes polio yang dikesan di Sabah, selepas 27 tahun negara bebas daripada kes polio.

    Susulan pengesahan kes polio itu, usaha pencegahan dan kawalan wabak polio giat dijalankan, dan masih diteruskan walaupun negara turut dilanda pandemik COVID-19, katanya.

    Beliau berkata, KKM telah mempertingkatkan usaha pengesanan kes polio menerusi survelan AFP di seluruh negara.

    AFP ialah gejala akut menyerupai polio yang dipantau oleh KKM bagi mengesan kes polio dan dalam pelaksanaan survelan ini, setiap kes AFP dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun diambil sampel najis untuk mengesan virus polio.

    Khairy berkata, dari 1 Januari 2019 hingga 9 September 2021, sebanyak 426 kes AFP telah dilaporkan di seluruh negara dan empat daripadanya telah disahkan dijangkiti polio, kesemuanya dilaporkan di Sabah yang masing-masing berumur tiga bulan, tiga tahun, lapan tahun dan 11 tahun, sementara kes yang terakhir telah mula mengalami gejala kelumpuhan pada 18 Januari tahun lalu.

    Katanya, kes yang disahkan polio ini didapati tiada atau tidak lengkap imunisasi polio.

    Khairy berkata, tindakan pencegahan dan kawalan wabak polio oleh KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri telah menjalankan Kempen Imunisasi Polio bagi menghentikan penularan virus polio dan mencegah kejadian kes polio.

    Beliau berkata, Kempen Imunisasi Polio di Sabah (KIPS) telah dilaksanakan secara berperingkat semenjak 27 Disember 2019 sehingga 20 Januari 2021 melibatkan pemberian vaksin oral polio (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di negeri itu.

    Katanya, sebanyak dua dos vaksin “bivalent oral polio” jenis 1 dan 3 (bOPV) dan dua dos vaksin “monovalent oral polio” jenis 2 (mOPV2) diberikan secara titisan ke dalam mulut.

    “Melalui kempen imunisasi polio ini, seramai 809,261 orang kanak-kanak menerima dua dos vaksin bOPV, manakala 784,062 orang kanak-kanak telah menerima dua dos vaksin mOPV2.

    Di Labuan pula, Kempen Imunisasi Polio Labuan (KIPL) telah dijalankan dari 11 Jun 2020 hingga 6 November 2020 membabitkan pemberian dua dos vaksin ‘bivalent oral polio’ jenis 1 dan 3 (bOPV) dengan menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun. Seramai 24,297 orang kanak-kanak telah menerima dua dos vaksin bOPV di Labuan,” katanya.

    Di samping itu, Khairy berkata imunisasi polio melalui Program Imunisasi Kebangsaan (PIK) diteruskan di seluruh negara bagi bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan optimum daripada jangkitan polio.

    Imunisasi polio ini diberikan melalui suntikan vaksin lima serangkai (DTaP-IPV/Hib) yang mengandungi komponen antigen polio, difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol) dan Haemophilus influenzae type b kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan, katanya.

    Beliau berkata, pada penghujung 2020 berlaku sedikit perubahan dalam jadual PIK dan vaksin lima serangkai ini ditukar kepada vaksin enam serangkai (DTaP-IPV/HepB/Hib) dengan tambahan antigen untuk penyakit Hepatitis B.

    “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga KKM terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Jabatan Kesihatan Labuan.

    “Mereka ini adalah wira barisan hadapan yang menjayakan usaha untuk menamatkan wabak polio walaupun pada masa yang sama turut berjuang untuk mengawal pandemik COVID-19,” katanya.

  • Ahmad Maslan kemuka 20 cadangan transformasi Parlimen

    Ahmad Maslan kemuka 20 cadangan transformasi Parlimen

    SETIAUSAHA  Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengemukakan 20 cadangan untuk transformasi Parlimen, selepas disahkan sebagai  calon kerajaan bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Ahli Parlimen Pontian itu antaranya mencadangkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketiga diwujudkan dan dikhususkan kepada wakil pembangkang.

    “Satu daripada tiga Timbalan Speaker itu seeloknya dari Sabah dan Sarawak,” katanya di Twitter hari ini.

    Ahmad turut menyarankan setiap Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang disediakan seorang pegawai penyelidik bagi membantu membuat kajian dasar, ucapan, soalan dan berkaitan tugasan di Dewan Rakyat.

    Selain itu, katanya, Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat perlu dikemas kini agar lebih sesuai, terkini dan relevan dengan kehendak semasa.

    “Parlimen perlu terlibat dengan aktif dalam memberi pendidikan demokrasi kepada seberapa ramai rakyat melalui seminar, wacana, pameran, dialog, lawatan dan libat urus,” katanya.

    Cadangan lain adalah mewujudkan program Parlimen Pelajar bagi Tingkatan 4 hingga 6 sebagai tambahan kepada Program Parlimen Belia dan Parlimen Mahasiswa sedia ada, sejajar Undi18 serta melanjutkan masa persidangan Dewan Rakyat dari 10 pagi hingga 6.30 petang.

    “Memastikan minimum 12 hingga 15 soalan lisan dapat dijawab dalam 120 minit sesi pertanyaan, dengan had 8 hingga 10 minit untuk setiap soalan dan memastikan ucapan Ahli Parlimen untuk dasar penting diberikan sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit dan jika perlu tambahan, sehingga ke sebelah malam bagi memenuhi keperluan 20 minit.

    “Rang undang-undang (RUU) yang ingin dibentangkan hendaklah diberi minimum lima hari kepada Ahli Parlimen, sebelum RUU itu dibahaskan bagi membolehkan Ahli Parlimen mempunyai cukup masa membuat kajian.

    “Memperuntukkan RM60,000 setahun dengan kiraan RM5,000 sebulan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan bebas untuk menguruskan pusat khidmat masing-masing.”

    Beliau turut mencadangkan hari terbuka kementerian diadakan secara berkala di Parlimen untuk wakil rakyat menemui menteri, timbalan, ketua setiausaha dan ketua pengarah secara terus serta menambah sesi kamar khas.

    Katanya, latihan pendedahan media sosial perlu diberikan kepada Ahli Parlimen dan kakitangan Ahli Parlimen, selain latihan komunikasi, pengurusan serta ilmu terkini yang relevan dari semasa ke semasa.

    “Menambah bilangan Jawatankuasa Pilihan Khas yang meliputi pendidikan, agama, sosial, pekerjaan, perumahan, indeks gaji, gejala sosial, bisnes online, kesihatan, ekonomi, kewangan, pembangunan tanah, pelaburan, alam sekitar, mencari pendapatan baharu kerajaan dan lain-lain yang sesuai.

    “Menyokong cadangan kerajaan untuk transformasi Parlimen sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri serta mencadangkan setiap Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang diberikan peruntukan khas untuk sesi libat urus dengan rakyat dan pemegang taruh di kawasan bagi mendapatkan pandangan bagi isu pembangunan, kebajikan rakyat dan RUU baharu.”

    Saranan lain adalah Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas diberi elaun hadir mesyuarat atau elaun khas dengan jumlah kecil, tetapi munasabah dengan kekerapan mesyuarat yang sesuai, selain sesi dialog dengan rangkaian media arus perdana diadakan secara berkala melibatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengenai isu semasa.

    Selain itu, katanya, adab dan tatasusila tinggi perlu diletakkan dalam perbahasan agar imej Parlimen dihormati bagi mengelakkan Parlimen dianggap “sarkas ahli politik” dan menghidupkan kembali Akta Perkhidmatan Parlimen supaya Parlimen mempunyai autonomi dari segi peruntukan, tanggungjawab, kebajikan kakitangan dan perjawatan.

    Selain Ahmad,pembangkang dilapor mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming bagi mengisi jawatan yang dikosongkan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said.

    Pemilihan Timbalan Speaker akan diadakan pada Selasa iaitu sehari selepas Istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bermula Isnin ini hingga Oktober.

    Istiadat pembukaan itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

  • ‘’Keluarga Malaysia kehilangan tokoh perkhidmatan awam disegani’’ – PM

    ‘’Keluarga Malaysia kehilangan tokoh perkhidmatan awam disegani’’ – PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Keluarga Malaysia kehilangan seorang tokoh perkhidmatan keselamatan awam yang disegani iaitu Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan, yang kembali ke Rahmatullah hari ini.

    Perdana Menteri berkata,  selaku bekas Pengarah Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Allahyarham sangat tegas dan komited dalam memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang perkhidmatannya.

    ‘’ Salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan saya doakan agar tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.

    ‘’Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,’’ kata beliau melalui Facebook.

    Zaman Khan, 80, menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 10.15 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar.

    Allahyarham antaranya pernah memegang jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman sekitar 1993 dan pernah mengendalikan kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu atau Bentong Kali.

    Zaman Khan juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penjara pada 1997.

  • Kemajuan positif PPN dorong aliran masuk bersih modal pelabur asing  – Tengku Zafrul

    Kemajuan positif PPN dorong aliran masuk bersih modal pelabur asing – Tengku Zafrul

    Malaysia terus mencatat aliran masuk bersih modal pelabur asing dengan sejumlah RM7.7 bilion dicatatkan bagi bulan Ogos 2021.

    Ini merupakan nilai yang tertinggi semenjak Jun 2020 dan telah mengimbangi aliran keluar bagi dua bulan sebelum itu, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Pelabur asing telah menjadi pembeli utama dengan pelaburan bersih di pasaran bon ringgit berjumlah RM6.6 bilion (Julai 2021: -RM3.6 bilion) dan RM1.1 bilion (Julai 2021: -RM1.3 bilion) bagi pasaran ekuiti negara, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Aliran masuk bersih modal pelabur asing ini didorong oleh kemajuan positif Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah menambah baik situasi keseluruhan kesihatan awam, serta membenarkan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), tambah menteri kewangan itu.

    Ini menetapkan nada dan hala tuju bagi pemulihan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh untuk suku keempat 2021.

    “Walaupun tinjauan ekonomi Malaysia terus berhadapan dengan cabaran oleh peningkatan kadar jangkitan yang berterusan, kemajuan positif vaksinasi dan pengawalan kes COVID-19 yang kritikal dijangka akan mendorong pertumbuhan.

    “Tambahan lagi, beberapa negeri telah beralih ke Fasa 2 dan 3 PPN,” ujar beliau.

    Ini termasuk Lembah Kelang dan Putrajaya yang telah beralih ke Fasa 2 pada 10 Sept, 2021, yang akan membolehkan pembukaan ekonomi yang lebih meluas bagi negeri-negeri dengan populasi yang padat.

    “Prospek pertumbuhan yang lebih baik ini telah mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia,” kata Tengku Zafrul. 

    Semenjak Jun 2019, bulan Ogos 2021 merupakan bulan pertama yang mencatat pembelian bersih oleh pelabur asing di pasaran ekuiti Malaysia dan ini menunjukkan penjualan bersih atau aliran keluar pelabur asing yang semakin berkurangan, katanya.

    Selain itu, indeks penanda aras utama Malaysia, FBM KLCI yang telah menurun sebanyak 5.7 peratus setakat tahun ini, berjaya pulih pada kadar 50 peratus berbanding kerugian semenjak dua minggu yang lalu.

    Justeru, ini merupakan bukti keyakinan pelabur dan pengurus dana terhadap prospek pertumbuhan negara, serta kesinambungan dasar-dasar kerajaan, tambah Tengku Zafrul. 

    Dalam pada itu, nilai harga pasaran ekuiti negara yang lebih menarik berbanding pasaran ekuiti negara lain di rantau ini juga menjadi tarikan utama aliran masuk dana pelabur asing, jelas beliau.

    Sementara itu, dari segi pasaran bon ringgit, aliran masuk pelabur asing pada Ogos 2021 tertumpu kepada terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang bernilai RM3.1 bilion (Julai 2021: -RM3.6 bilion); dan terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sejumlah RM3.2 bilion (Julai 2021: RM425 juta). 

    Bagi pasaran bon korporat pula, aliran masuk pelabur asing juga telah mencatatkan nilai yang lebih tinggi, iaitu RM267 juta (Julai 2021: +RM62 juta).

    Setakat hujung Ogos 2021, pegangan pelabur asing bagi bon kerajaan meningkat sebanyak RM23.9 bilion kepada RM226.1 bilion, merangkumi RM191.7 bilion atau 40.3 peratus daripada jumlah MGS; dan RM34.4 bilion atau 8.6 peratus daripada jumlah MGII.

    Sementara itu, setakat akhir Jun 2021, lebih daripada 50 peratus pegangan bagi bon Kerajaan Malaysia dipegang oleh pelabur jangka panjang seperti pelbagai bank-bank pusat dan kerajaan (32.4 peratus); dana persaraan (18.4 peratus); dan syarikat insurans (2.2 peratus).

    Menyentuh mengenai prospek pula, Tengku Zafrul berkata suku keempat 2021 dijangka lebih cerah kerana kadar vaksinasi yang terus dipertingkatkan akan membolehkan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi. 

    Ini akan meningkatkan prospek peningkatan penggunaan dari permintaan terpendam isi rumah dan perniagaan, katanya.

    Bagaimanapun, beliau menambah prospek untuk suku ketiga 2021 dijangka terus mencabar ekoran Fasa Satu yang berpanjangan bagi beberapa negeri seperti Selangor yang merupakan penyumbang besar kepada KDNK negara.

    Faktor lain yang akan mendorong prospek pertumbuhan Malaysia termasuklah permintaan luaran yang lebih memberangsangkan bagi produk seperti elektrik dan elektronik (E&E) dan hidrokarbon; kenaikan harga komoditi, serta pelaburan yang berterusan bagi projek infrastruktur berskala besar dengan kesan pengganda yang tinggi.