HASRAT seorang petani yang mahu membuat pelaburan berkecai apabila dia kerugian sebanyak RM163,000 setelah terpedaya dengan helah sindiket pelaburan secara dalam talian yang diperkenalkan seorang wanita melalui Facebook.
Kejadian bermula sebaik suspek menghubungi lelaki berusia 25 tahun itu pada hari Sabtu minggu lalu dengan mengatakan ingin berkawan lalu meminta nombor telefon mangsa.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, selepas itu suspek memperkenalkan sebuah laman web lalu mengajar mangsa cara untuk mendaftar untuk meraih keuntungan melalui pelaburan ditawarkan.
Menurut beliau, mangsa kemudian tertarik menyertainya dengan jumlah pelaburan sebanyak RM163,000.
Katanya, mangsa mula membuat pembayaran pada Selasa minggu lalu membabitkan 24 transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank atas nama syarikat berbeza.
Mohd. Wazir Mohd. Yusof
“Daripada jumlah tersebut, mangsa mendakwa pada awalnya dia hanya menerima sedikit bayaran keuntungan,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Wazir, mangsa mula megesyaki dia ditipu setelah mendapati laman web berkenaan telah ditutup dan akaun e-Wallet atas nama syarikat itu juga turut dibekukan.
Beliau berkata, susulan pembekuan akaun e-Wallet itu, mangsa tidak dapat mengeluarkan semua wang modal pelaburan yang telah dibayar.
“Ekoran itu, semalam mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, Cameron Highlands untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.
KEJAYAAN dilakar Johor Darul Tazim (JDT) melakar sejarah baharu apabila muncul juara Liga Super buat kali kelapan berturut-turut merupakan hasil kerja keras pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kerja keras Tunku Ismail turut membolehkan JDT menjadi satu jenama yang gah di persada dunia.
Tunku Ismail dijulang pemain JDT selepas kelab bola sepak tersebut menjadi juara Liga Super Malaysia 2021
“Setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan bola sepak JDT yang merangkul kejuaraan Liga Super Malaysia 2021 bagi musim kelapan berturut-turut.
“Sudah tentu penghargaan ini harus diberikan kepada pemilik JDT, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
“Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh JDT di dalam dan luar padang adalah hasil kerja keras Tunku Ismail membangunkan JDT sehingga menjadi satu jenama yang gah di persada dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
JDT muncul juara Liga Super secara rasmi malam tadi selepas menewaskan KL City 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri
Hasni berkata, penghargaan juga ditujukan kepada pengendali skuad JDT, Benjamin Mora yang merupakan tulang belakang Harimau Selatan itu.
Katanya, penghargaan juga diberikan kepada para pemain yang sentiasa bertungkus lumus memastikan kejuaraan terus kekal milik Harimau Selatan.
Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri bergemerlapan selepas JDT secara rasmi menjadi juara
“Sebagai pemain ke-12 dalam pasukan, peminat JDT bukan sahaja di Johor, malah di seluruh dunia juga wajar diberikan penghargaan atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.
“Kejayaan yang diraih JDT wajar dijadikan inspirasi oleh seluruh masyarakat bahawa ia tidak datang bergolek, tetapi memerlukan usaha dan komitmen jitu dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.
POLIS tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada pihak berkuasa berkaitan supaya pusat rekreasi ditutup jika terlalu sesak dengan kehadiran orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal.
Memetik Berita Harian, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, ketika ini pihaknya akan membuat pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa terutama di Lembah Klang yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Jumaat lalu.
“Polis menyedari keghairahan orang ramai beriadah di sungai, padang dan pantai terutama membabitkan warga Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.
“Justeru, polis membuat pemantauan dan hebahan dengan memberi nasihat supaya mereka mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal.
“Bagaimanapun, jika keadaan tidak dapat dikawal akibat kesesakan dan pengunjung terlalu ramai, polis tidak teragak-agak untuk mencadangkan supaya pusat rekreasi ditutup,” katanya hari ini.
Semalam, media melaporkan kelonggaran merentas daerah selepas Lembah Klang mula beralih ke Fasa 2 PPN, membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi.
Tinjauan di Taman Tasik Titiwangsa mendapati golongan kanak-kanak sehingga warga emas mula melakukan pelbagai aktiviti riadah termasuk joging, berbasikal, bermain kasut roda dan ada juga yang bermain badminton bersama anak-anak.
Selain itu, peniaga makanan juga mula berniaga pelbagai jenis makanan kepada orang ramai di tepi jalan, bagi memenuhi permintaan.
Ditanya tindakan kompaun kepada pengunjung, Mastor berkata, ia pilihan terakhir jika mereka menghiraukan nasihat polis supaya mematuhi SOP.
“Kita mengambil pendekatan berhemah dahulu dengan memberi nasihat.
“Kalau mereka masih berdegil, pilihan terakhir ialah dengan memberi kompaun,” katanya.
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua Ahli-ahli Yang Berhormat agar jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
Sehubungan itu, Seri Paduka menyeru kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.
PANTUN dibaca Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa menyampaikan titah ucapan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 pada 13 September 2021.
“Semoga Malaysia serta rakyat yang beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah subhanahu wata’ala dengan taufik dan hidayah; aman sentosa serta hidup bersatu-padu di bawah lindungan-nya,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 hari ini.
Persidangan kali ini merupakan yang pertama dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaga Perdana Menteri.
Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan ahli Jemaah Menteri yang telah menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik Covid-19 yang getir.
Di bawah pentadbiran Muhyiddin, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah bagi memerangi kesan pandemik itu termasuk pemberian bantuan kepada rakyat yang terjejas serta penguatkuasaan peraturan dan undang-undang bagi mengawal penularan virus.
Pelaksanaan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula semasa era pentadbiran Muhyiddin juga berjalan sangat lancar sehingga menerima pujian daripada negara-negara lain di seluruh dunia.
Al-Sultan Abdullah bertitah, seperti yang berlaku pada tahun 2020 ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh, amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri kesembilan telah dilaksanakan dengan berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Selaras dengan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen; beta telah memberi peluang kepada semua 220 orang ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Menerusi surat-surat akuan tersebut, beta mendapati seramai 114 ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera.
“Pada 19 Ogos 2021, setelah menerima menghadap semua 114 ahli Dewan Rakyat tersebut, beta telah berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Bera adalah dengan kerelaan mereka sendiri serta dengan tanpa sebarang paksaan. Jumlah ini adalah merupakan jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
“Justeru, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, beta telah berkenan untuk melantik Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka turut mengingatkan semua pihak bahawa setelah lebih setahun berlalu, negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.
Titah Seri Paduka, negara dan rakyat telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.
“Terlalu ramai rakyat beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini. Terlalu ramai juga rakyat beta yang telah kehilangan sumber rezeki.
“Ratusan pucuk surat telah beta terima dari rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan; agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi menerus-kan kehidupan seharian seperti biasa,” titah Seri Paduka.
JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) semalam merekodkan 73.4% atau 17,177,911 individu daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin.
JKJAV menerusi perkongsian infografik menerusi laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan, 38,488,051 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos.
Menurut JKJAV, 21,372,276 individu di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos, termasuk penerima vaksin dos tunggal CanSino.
Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 227,476 dos dengan 76,346 daripadanya merupakan dos pertama daripada vaksin dua dos manakala 151,130 adalah dos lengkap.
PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.
JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap tujuh ekor gajah liar di Kampung Lawar, di sini selepas haiwan liar itu memasuki kebun penduduk kampung tersebut sejak Ogos lalu.
Pengarah Perhilitan Kelantan Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata tangkapan gajah liar itu dilakukan dalam pada 7, 8 dan 10 Sept, selepas menerima aduan penduduk kampung terbabit yang terserempak dengan kumpulan gajah liar itu berkeliaran di kawasan kebun.
Beliau berkata operasi tangkap pindah tujuh ekor haiwan liar berusia antara tiga hingga 30 tahun itu dilaksanakan, bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada penduduk yang dianggarkan berjumlah RM90,100 selain memastikan keselamatan gajah liar tersebut.
“Pada 7 dan 8 Sept, Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Kelantan dan anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang telah berjaya menangkap tiga ekor gajah liar jantan dan dua ekor gajah liar betina di kawasan kebun kampung itu.
“Pasukan operasi kemudian mengesan terdapat gajah liar lain di kawasan kampung tersebut dan sekiranya gajah liar berkenaan tidak ditangkap, ia boleh menjejaskan operasi pemindahan gajah liar yang ditangkap sebelumnya serta akan mengancam keselamatan anggota kami,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ady Ermanty Haniff berkata susulan itu, dua ekor gajah liar jantan lagi berjaya ditangkap di lokasi yang sama pada 10 Sept.
“Kumpulan gajah liar ini dipercayai adalah daripada kumpulan gajah liar sama yang ditangkap berhampiran Kampung Bukit Ipoh, Jeli pada Ogos lalu.
“Kesemua tujuh ekor gajah liar itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor untuk mencari sumber makanan, dan populasi gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 30 ekor,” katanya.
Ady Ermanty Haniff berkata kesemua gajah yang ditangkap itu dilepaskan semula ke habitat semula jadi di Taman Negara Kelantan-Terengganu-Pahang.- BERNAMA
SEORANG maut selepas sebuah helikopter terhempas berhampiran bandar Villard-de-Lans di Isere, tenggara Perancis pada Ahad, kata Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa. Terdapat lima orang di dalam helikopter itu,” katanya menerusi Twitter.
Helikopter perkhidmatan awam yang dalam perjalanan untuk membantu pendaki gunung yang cedera itu dilaporkan terhempas kira-kira 4.30 petang waktu tempatan (2:30 GMT), lapor Xinhua memetik televisyen BFM.
Punca nahas masih disiasat dan operasi menyelamat sedang dijalankan.- BERNAMA
POLIS menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di Sungai Pelek, Sepang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki yang berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan di Ladang Sepang, pada pukul 9.30 pagi semalam.
Dalam kejadian pada jam 11.30 malam Sabtu lalu, polis menerima laporan daripada teman wanita mangsa yang memberitahu mangsa berusia 45 tahun itu ditetak di hadapan rumahnya.
“Semasa mangsa berada di luar rumah kerana mahu muntah selepas mengambil sedikit minuman beralkohol, tiba-tiba datang sebuah kereta dan berhenti di hadapan rumah.
“Dua suspek keluar dari kereta itu dengan seorang daripadanya bertindak menetak mangsa di belakang badan dan kepala, manakala seorang lagi memukul kepala mangsa dengan topi keledar sebelum melarikan diri dengan kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan.
Wan Kamarul Azran berkata, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia.
Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui sebilah parang berhulu merah, topi keledar dan kesan darah di atas lantai.
Selepas menahan empat lelaki itu, polis turut merampas sebuah Proton Iswara dan Perodua Bezza serta empat telefon bimbit.
Siasatan awal mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau dan semuanya kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
JUMLAH kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu di negara ini berkurang kepada dua angka selepas kali terakhir merekodkannya dua bulan lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi perkongsian di https://covidnow.moh.gov.my memaklumkan sebanyak 99 kematian sebenar harian direkodkan dalam tempoh 24 jam iaitu sehingga 11.59 malam, 12 Sept.
Sementara itu, jumlah melibatkan kes kematian tertunggak (backlog) yang tidak dilaporkan sebelum ini adalah sebanyak 292 kes.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 20,711 kes.
Kali terakhir jumlah kematian akibat COVID-19 di negara mencatatkan dua angka adalah pada 6 Julai lalu iaitu sebanyak 99 kes.
Sementara itu, bagi kadar vaksinasi sebanyak 52.6 peratus atau 17,177,911 daripada keseluruhan populasi di negara ini, telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 mereka setakat semalam.
Sebanyak 65.4 peratus atau 21,372,276 pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
“Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 227,476 dos vaksin diberikan semalam menjadikan keseluruhan dos yang diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 38,488,051.
PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA
MESYUARAT Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bakal membuka tirainya hari ini dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Dewan Rakyat.
Sidang Parlimen ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, sidang Dewan Rakyat hari ini akan tertumpu kepada Titah Diraja Al-Sultan Abdullah.
Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Oktober.
Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini akan berlangsung mulai 4 hingga 26 Oktober.
Bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan, pelbagai inisiatif dijalankan antaranya pemasangan penapis udara ultra violet di dewan besar Parlimen serta penggunaan teknologi nano di pejabat bagi membunuh bakteria dan virus.
Selain itu, Kementerian Kesihatan turut melaksanakan ujian saringan RT-PCR terhadap 1,801 individu terdiri daripada petugas Parlimen dan individu terlibat dalam persidangan itu pada 10 dan 11 September lepas.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan melalui hasil saringan yang dijalankan selama dua hari di Dewan Serbaguna Parlimen itu, seramai 26 individu didapati positif Covid-19 melibatkan seorang Senator dan 25 petugas Parlimen.
Selain itu, terdapat dua Ahli Parlimen dikesan positif hasil saringan di luar kompleks. -Bernama