Category: Semasa

  • 21 kes varian Delta, Beta di Terengganu, menular hampir semua daerah

    21 kes varian Delta, Beta di Terengganu, menular hampir semua daerah

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    KADAR jangkitan varian ganas (VOC), Delta dan Beta di Terengganu semakin membimbangkan apabila sebanyak 21 kes telah direkodkan menular di negeri ini sehingga semalam.

    Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerusi catatan dalam facebook rasminya hari ini memaklumkan daripada jumlah tersebut, 12 kes yang direkodkan adalah membabitkan varian Delta (B.1.617.2) manakala sembilan kes lagi ialah varian Beta (B.1.351).

    Menurut JKNT, apa yang membimbangkan, peningkatan kes juga kini dipercayai menular hampir melibatkan kesemua daerah di negeri ini.

    Sehubungan itu, JKNT meminta orang ramai di negeri ini agar lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan perkembangan tersebut.

    Malah, mengikut catatan itu, setakat ini hanya daerah Kuala Nerus belum merekodkan kes varian VOC.

    “Terkini, Terengganu telah melaporkan sebanyak 21 kes VOC yang melibatkan 12 kes delta dan sembilan kes beta dengan lima kes di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu (empat), Besut (empat), Marang (tiga), Kemaman (dua), Dungun (dua) dan Setiu (satu).

    “Besar kemungkinan varian berkenaan telah menular dengan meluas dalam komuniti di semua daerah dengan sekurang-kurangnya satu jenis VOC dilaporkan di seluruh daerah kecuali daerah Kuala Nerus,” jelas kenyataan tersebut.

    Sehubungan itu, JKNT menasihati setiap masyarakat mengambil serius terhadap penularan tersebut.

    “Fakta yang sangat penting dan perlu diambil serius oleh setiap rakyat Terengganu adalah kadar kebolehjangkitannya yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah-ubah.

    “Walaupun individu telah mengambil vaksin, mereka masih belum kebal sepenuhnya. Jangan leka kerana anda masih perlu mengekalkan pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal di mana jua anda berada,” tulisnya.

    Dalam pada itu, JKNT juga memberitahu, pengambilan vaksin akan dapat membendung seseorang itu daripada mendapat jangkitan Covid-19 yang lebih teruk.

    Tambahnya, JKNT akan terus memantapkan aktiviti kawalan seperti memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak rapat dan pengasingan kes serta langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian berkenaan dalam komuniti.

    “Orang ramai diminta mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) pada tahap tinggi terutama melibatkan penjarakan fizikal bagi mengekang penularan virus berkenaan.

    “Selain itu, kita juga perlu sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan tangan dan diri serta langkah kesihatan lain bagi membendung penularan varian ini dalam komuniti,” terangnya.

  • Ejen insurans dipenjara 3 hari, denda RM8,000 pandu lawan arus

    Ejen insurans dipenjara 3 hari, denda RM8,000 pandu lawan arus

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Trafik Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM8,000 terhadap seorang ejen insurans kerana memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada 4 September lalu.

    Hukuman ke atas kesalahan itu juga menyebabkan lelaki berusia 24 tahun itu hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen dalam tempoh lima tahun dari tarikh sabitan.

    Perkara itu dimaklumkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh, selepas tertuduh dibawa ke Mahkamah Trafik hari ini.

    “Lelaki berkenaan yang bekerja sebagai ejen insuran itu dituduh di bawah Seksyen 42(1)1987 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana memandu kereta Perodua Myvi kelabusecara melulu dan merbahaya.

    “Hasil pertuduhan, pemandu kenderaan motokar tersebut mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama tiga hari dan denda RM8,000.

    “Sekiranya gagal untuk membayar denda, dia akan dipenjara selama 6 bulan,” kata Sarifudin dalam satu kenyataan.

    Pada 4 September lalu, media melaporkan seorang pemandu Perodua Myvi memandu melawan arus di MEX, menghala ke Putrajaya, menyebabkan kemalangan sebuah kereta lain yang cuba mengelak.

  • 74.7 peratus populasi dewasa di Malaysia lengkap divaksinasi

    74.7 peratus populasi dewasa di Malaysia lengkap divaksinasi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MALAYSIA merekodkan 74.7 peratus atau 17,480,766 individu daripada populasi dewasa sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 setakat hari ini.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik dalam Twitter rasmi mereka memaklumkan, penerima dos pertama pula adalah sebanyak 91.6 peratus atau 21,573,348 orang.

    Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat Isnin adalah sebanyak 38,990,335 dos.

  • Hamzah perjelas ahli Parlimen tak dibenar masuk Parlimen 2 Ogos

    Hamzah perjelas ahli Parlimen tak dibenar masuk Parlimen 2 Ogos

    TINDAKAN tidak membenarkan Ahli Dewan Rakyat memasuki perkarangan Bangunan Parlimen pada 2 Ogos lepas adalah bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Menjelaskan perkara itu, beliau berkata ia susulan terdapat hampir 100 kes positif COVID-19 yang dilaporkan di bangunan Parlimen.

    “Isu ini adalah isu kerajaan nak menjaga Ahli-Ahli Yang Berhomat supaya mereka dapat hadir pada hari ini, kerana ketika itu virus COVID-19 merebak begitu ketara di Parlimen.

    “Apabila dimaklumkan kepada pihak polis, kalau boleh jangan ada orang masuk untuk kita pastikan dapat lakukan sebaik mungkin untuk buat sanitasi dalam Dewan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Terdahulu RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan isu Ahli Parlimen tidak dibenar memasuki kawasan Parlimen pada 2 Ogos, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pula mempersoalkan sejak bila pejabat ketua pembangkang diharamkan dari dimasuki oleh beliau selaku ketua pembangkang.

    Mengenai isu kompaun dikenakan kepada Ahli Parlimen yang berkumpul untuk memasuki kawasan itu, Hamzah berkata tindakan diambil kerana aktiviti berkumpulan adalah salah dari segi undang-undang dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik COVID-19.

    Bagaimanapun nilai kompaun yang dikenakan dikurangkan hasil perbincangan beliau bersama Menteri Kesihatan.

    Sementara itu, mengenai isu dibangkitkan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang dikatakan dihalangi daripada memasuki Parlimen pada tarikh sama bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Hamzah berkata terdapat kekhilafan yang berlaku mengenai perkara itu.

    “Oleh kerana kita nak pastikan semua berjalan baik supaya sanitasi dijalankan sebab itu diarahkan tidak benarkan sesiapa masuk.

    “Keputusan itu bercanggah dengan kekhilafan yang berlaku apabila Speaker minta mesyuarat PAC diteruskan…tak timbul sama ada nak tutup jalan, atau tak benarkan sesiapa masuk kerana yang penting kita nak pastikan COVID-19 tidak menjadi sesuatu yang besar,” katanya.

    Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun yang mengendalikan sidang semasa perkara itu dibangkitkan, berkata Parlimen tidak tutup ketika itu dan beliau telah arahkan Setiausaha Dewan Rakyat untuk membenarkan semua Ahli Parlimen masuk.

    “Pendapat saya juga pejabat-pejabat Ahli Yang Berhormat sememangnya terbuka dan perlu diberi akses pada setiap masa yang munasabah.

    “Itu pendirian saya bagaimanapun tentang jalan ditutup, itu di bawah tindakan polis dan kenapa mereka tutup saya tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara ini,”  katanya.- BERNAMA

  • Tetak bapa saudara kerana caj mahal baiki motosikal

    Tetak bapa saudara kerana caj mahal baiki motosikal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki menetak bapa saudaranya menggunakan pisau pemotong daging, gara-gara tidak berpuas hati dengan caj terlalu mahal yang dikenakan di kedai membaiki motosikal milik mangsa di Jalan Jemaluang, Mersing Kecil, Sabtu lalu.

    Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, tindakan ganas tersebut menyebabkan mangsa yang berusia 61 tahun mengalami kecederaan pada tapak tangan kiri dan paha kanan.

    Difahamkan, ia berpunca akibat suspek tidak berpuas hati dengan harga yang dikenakan ketika berurusan di kedai terbabit.

    Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing, berkata suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu bertindak melarikan diri selepas menetak mangsa.

    Seorang warga emas cedera ditetak anak saudaranya hingga cedera tapak tangan dan paha kanan

    “Suspek adalah anak saudara kepada mangsa dan dia telah melarikan diri sejurus kejadian. Akibat kejadian ini, mangsa mengalami kecederaan pada tapak tangan kiri dan paha kanan.

    “Mangsa telah dirawat di Hospital Mersing dan kita menerima laporan kejadian pada pukul 6.42 petang,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

    Bagaimanapun, Cyril berkata, polis yang menerima maklumat pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing akhirnya berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Taman Intan Mersing pada hari yang sama.

  • Penambahbaikan SOP Parlimen kekang wabak, pastikan sidang selamat

    Penambahbaikan SOP Parlimen kekang wabak, pastikan sidang selamat

    PROSEDUR operasi standard (SOP) di bangunan Parlimen ditambah baik bagi mengekang penularan wabak COVID-19 serta memastikan persidangan Dewan Rakyat kali ini berjalan dengan selamat, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

    Beliau berkata beberapa perkara dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dewan semalam, antaranya mengenai SOP pergerakan warga Parlimen termasuk mewajibkan ujian RTK Antigen Saliva (sampel air liur) dijalankan secara berkala pada setiap Isnin dan Rabu.

    “Ujian pertama akan dilakukan esok (Rabu). Turut dipersetujui, carta alir mengenai tatacara pengurusan individu yang memasuki kompleks Parlimen. Selain itu, Ahli-ahli Yang Berhormat berstatus HSO (Perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah) disebabkan menjadi kontak rapat, akan diberi pilihan untuk sesi undian dengan memakai PPE. Ini pernah dilakukan pada 14 dan 15 Dis lepas.

    “Sistem penggiliran (Ahli Parlimen) dalam Dewan Rakyat dilakukan setiap satu jam sebagai langkah mengekang penularan,” katanya dalam pemasyhuran hari pertama persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 hari ini. 

    Azhar berkata mesyuarat dewan itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau); Alice Lau Kiong Yien (PH-Lanang); Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai); dan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut).

    Selain itu, beliau mengingatkan semua Ahli Parlimen untuk tidak menanggalkan pelitup muka ketika bercakap atau berbahas serta menggalakkan pemakaian pelitup muka berganda.

    “Pengurusan Parlimen Malaysia juga membuat penambahbaikan kualiti udara. Saya berharap melalui penambahbaikan kualiti udara di dalam bangunan Parlimen dan pematuhan ketat SOP oleh semua warga Parlimen, ia dapat melindungi kita daripada wabak penyakit ini,” katanya.- BERNAMA

  • 53.5 peratus populasi negara lengkap divaksin

    53.5 peratus populasi negara lengkap divaksin

    SEBANYAK 53.5 peratus atau 17,480,766 daripada keseluruhan populasi di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19, setakat semalam. 

    Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi perkongsian di https://covidnow.moh.gov.my memaklumkan sebanyak 66 peratus atau  21,573,348 pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    “Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 227,147 dos vaksin diberikan semalam menjadikan keseluruhan dos yang diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 38,990,335.

    Sementara itu, setakat 11.59 malam 13 Sept, sebanyak 104 kematian sebenar harian COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam dan 309 kes kematian tertunggak.

    Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 21,124 kes.- BERNAMA

  • Ringgit dibuka kukuh selepas pemeteraian MoU dwipartisan bersejarah

    Ringgit dibuka kukuh selepas pemeteraian MoU dwipartisan bersejarah

    RINGGIT meningkat semula daripada penurunan pada Isnin untuk dibuka kukuh hari ini selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan semalam.

    Prestasi ringgit yang positif itu turut didorong oleh harga minyak mentah yang tinggi selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengunjurkan permintaan terhadap komoditi itu akan kukuh berikutan peningkatan penggunaan bahan api tersebut dan gangguan pengeluaran di Amerika Syarikat (AS).

    Pada 9 pagi, unit tempatan kukuh pada 4.1450/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1490/1515 semasa ditutup pada Isnin.

    Bagaimanapun, prestasi unit tempatan dihadkan oleh jangkaan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Ogos di AS yang tinggi, yang dijadualkan akan dikeluarkan hari ini.

    Ramai penganalisis telah menyatakan kebimbangan bahawa kenaikan data IHP akan menyebabkan pengurangan pembelian aset yang lebih cepat oleh Rizab Persekutuan AS (Fed AS).

    Merujuk kenyataan Goldman Sachs yang dikeluarkan pada Isnin, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata bank pelaburan itu menyaksikan peluang sebanyak 70 peratus bahawa Fed AS akan mengumumkan proses pengurangan pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka
    Persekutuan (FOMC) pada November.

    “Pelabur telah menjangka kemungkinan proses pengurangan dan ini menyebabkan dolar meningkat berbanding ringgit.

    “Dari aspek teknikal, dolar AS-ringgit boleh meningkat setinggi 4.2200 dalam tempoh beberapa hari,” katanya kepada Bernama.

    Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

    Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0875/0915 daripada 3.0903/0926 semasa ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding yen kepada 3.7668/7714 daripada 3.7681/7703 semalam.

    Berbanding pound, mata wang tempatan susut kepada 5.7363/7432 daripada 5.7356/7390 sebelum ini manakala berbanding euro, ia merosot kepada 4.8944/9003 daripada 4.8921/8950 semalam. – Bernama

  • Ahli Parlimen, petugas wajib jalani ujian RTK setiap Isnin, Rabu

    Ahli Parlimen, petugas wajib jalani ujian RTK setiap Isnin, Rabu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mewajibkan semua ahli Parlimen dan pegawai bertugas menjalani ujian RTK berkala pada setiap Isnin dan Rabu sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat bagi mengawal penularan Covid-19.

    Menurut Azhar, saringan berkala itu akan dijalankan di Dewan Bankuet dan Dewan Serbaguna yang dijangka mengambil masa kira-kira 20 minit.

    “Ahli-ahli Parlimen juga disyorkan melakukan sistem penggiliran ketika berada dalam dewan.

    “Pasukan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) akan berada di Parlimen untuk pastikan peraturan berjalan. Ahli Parlimen digalakkan memakai pelitup muka berganda dan pelindung muka ‘face shield’ ketika dalam Parlimen.

    “Pengurusan Parlimen juga sudah menambah baik sistem pengudaraan dan penyaman udara,” katanya ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Sidang Parlimen hari kedua bermula pada hari ini dengan kebenaran masuk ke Parlimen bagi petugas media dan pegawai diperketatkan.

    Selain perlu menjalani ujian RT-PCR, petugas media juga dihadkan pergerakan di dalam Parlimen dan hanya perlu berada di bilik media.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 28 individu termasuk dua ahli Parlimen dan seorang Senator disahkan positif COVID-19 dalam ujian saringan yang dibuat sempena sidang Parlimen.

    Beliau berkata, dua Ahli Parlimen terbabit disahkan positif menerusi saringan di luar Kompleks Parlimen manakala Senator dan 25 kakitangan Parlimen disahkan positif selepas saringan dijalankan.

  • Malaysia sokong penyelesaian politik dipimpin, dikawal rakyat Afghanistan

    Malaysia sokong penyelesaian politik dipimpin, dikawal rakyat Afghanistan

    MENTERI Luar Datuk Saifuddin Abdullah menekankan sokongan Malaysia ke atas proses inklusif yang dipimpin, dimiliki serta dikawal oleh rakyat Afghanistan sendiri, ke arah penyelesaian politik berkekalan demi keamanan dan keselamatan negara itu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) awal pagi ini, Saifuddin juga menggesa agar hak asasi manusia dan kebebasan asasi di Afghanistan dihormati, termasuk dengan penyertaan penuh dan bermakna oleh golongan wanita, belia dan minoriti.

    Saifuddin berkata demikian dalam Mesyuarat Menteri Peringkat Tinggi mengenai Situasi Kemanusiaan di Afghanistan anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secara maya pada Isnin.

    Menteri Luar Negeri itu turut mengumumkan sumbangan kewangan daripada Malaysia sebanyak USD100,000 bagi membantu dan menyokong rakyat Aghanistan.

    Semasa mesyuarat itu, beliau menekankan bahawa keselamatan, hak asasi manusia dan kebajikan seluruh warga Afghanistan dan warganegara asing di negara itu harus diberi keutamaan dan dilindungi, di samping memastikan akses bantuan kemanusiaan yang segera dan selamat.

    Mesyuarat tergempar anjuran António Guterres, Setiausaha Agung PBB ini bertujuan mengukuhkan solidariti masyarakat antarabangsa ke atas rakyat Afghanistan serta mengetengahkan keperluan mendesak untuk mendapatkan sumbangan dan sokongan masyarakat antarabangsa bagi mengatasi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di negara itu.

    Setiausaha Agung PBB menekankan keperluan sumbangan kewangan sebanyak USD604 juta bagi membantu 11 juta rakyat Afghanistan dalam tempoh masa empat bulan yang akan datang.

    Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ini mencerminkan solidariti Malaysia ke atas rakyat Afghanistan serta sokongan teguh Malaysia kepada pihak PBB dalam usaha menangani krisis kemanusiaan di Afghanistan, tambah kenyataan itu.- BERNAMA