Category: Semasa

  • Muhyiddin harap kerajaan dengar rayuan pengusaha hotel, inap desa

    Muhyiddin harap kerajaan dengar rayuan pengusaha hotel, inap desa

    MAJORITI pengusaha hotel dan inap desa merayu kepada kerajaan untuk memberikan mereka ruang dan insentif bagi membangunkan semula industri pelancongan yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka juga memberikan komitmen untuk memastikan semua kakitangan menerima suntikan vaksin bersama jaminan semua fasiliti dan fasiliti penginapan disanitasi dari semasa ke semasa bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

    “Sebagaimana yang kita sedia maklum, sektor pelancongan adalah antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dan pada tahun 2019 sebelum pandemik, sektor ini menyumbang sebanyak 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    “Berikutan penutupan sempadan negara dan Perintah Kawalan Pergerakan, sektor ini antara sektor yang paling terjejas oleh pandemik COVID-19,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Hari ini, Muhyiddin berpeluang untuk memantau dan melihat sendiri persediaan pembukaan sektor pelancongan domestik di Pulau Langkawi seperti yang dirancang dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Pulau Langkawi merupakan destinasi pertama yang dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan oleh MPN sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

    Muhyiddin turut diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Nasaruddin Abd Mutalib dan menyertai majlis dialog bersama wakil-wakil pengusaha hotel, pengusaha inap desa, pengusaha kereta sewa dan pemandu teksi.

    Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

    Pada majlis dialog tersebut, Muhyiddin telah menerima beberapa memorandum daripada wakil-wakil pengusaha industri pelancongan.

    Beliau akan membawa pandangan dan cadangan mereka kepada MPN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Muhyiddin menambah, di bawah pakej rangsangan ekonomi yang telah beliau umumkan sejak Mac 2020, lebih RM249.7 juta telah dimanfaatkan oleh rakyat dan perniagaan di Pulau Langkawi.

    Antaranya, kata beliau, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM19 juta telah diberikan kepada 24,058 penerima dan Program Subsidi Upah sebanyak RM182.3 juta kepada 1, 522 majikan yang memanfaatkan 31, 852 pekerja.

    Muhyiddin memberitahu, sebanyak RM386,500 juga telah diberikan kepada 773 pemandu teksi dan bas, manakala sejumlah RM35,400 telah diberikan kepada 59 pengusaha inap desa.

    “Besar harapan saya agar kejayaan pembukaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pembukaan destinasi gelembung pelancongan dengan selamat dan teratur.

    “Kejayaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi ini juga bakal menjadi penanda aras kepada pembukaan destinasi-destinasi pelancongan lain dalam masa terdekat, insya-Allah,” jelasnya.

    Beliau berharap agar semua yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan yang terkesan akibat pandemik terutamanya peniaga kecil dan sederhana, dapat menikmati manfaat daripada pembukaan gelembung pelancongan ini.

    “Ingin saya tegaskan, walaupun kita telah lengkap divaksin dan diberikan beberapa kelonggaran, saya berharap kita semua dapat terus patuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.

    “Kepada mereka yang sudah dan bakal tiba untuk becuti di Pulau Langkawi, saya ucapkan selamat beristirahat dan semoga anda semua terus dilindungi, insya-Allah,” ujarnya.

  • KKMM pastikan pedalaman Sabah ada internet – Annuar

    KKMM pastikan pedalaman Sabah ada internet – Annuar

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memastikan setiap rakyat, khususnya di Sabah, mempunyai akses kemudahan internet meskipun tinggal jauh di kawasan pedalaman.

    Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata akses internet adalah hak bagi setiap individu, malah dalam keadaan situasi semasa internet amat penting bagi anak-anak yang sedang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

    “Kalau kemudahan lain dari segi bekalan air dan elektrik mahu disamakan seperti di Semenanjung mungkin agak perlahan sedikit, tetapi apabila berkaitan dengan internet, apa yang ada di Semenanjung mesti ada di Sabah,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

    Terdahulu Annuar melawat Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini, serta mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Jabatan KKMM Sabah, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KKMM Datuk Mohammad Mentek.

    Annuar berkata, untuk itu usaha meningkatkan jaringan internet di Sabah telah dilaksanakan seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang memperuntukkan sebanyak RM3.5 billion bagi negeri itu.

    Beliau berkata, banyak perkara yang perlu dilaksanakan untuk memudahkan capaian internet kerana bentuk fizikal negeri Sabah yang berbeza dengan negeri-negeri lain, antara cabaran untuk melaksanakan usaha meningkatkan jaringan internet.

    Namun, katanya, kerjasama semua pihak akan mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat agar jaringan internet di Sabah akan lebih bertambah baik di masa depan.

    Sementara itu, Annuar berkata, Pusat Internet 1Malaysia juga akan dijenamakan semula dengan fungsi baharu untuk dijadikan sebagai pusat digital ekonomi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Saya sudah beritahu dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Timbalan Ketua Menteri Sabah), mana-mana DUN kalau langsung tiada (pusat internet), automatik masuk tersenarai (bina pusat internet baharu) terus, sebab setiap DUN kena ada minima satu, kalau ada dua tiga lagi elok,” katanya. – Bernama

  • SOP solat di masjid dan surau diputuskan semalam-Idris

    SOP solat di masjid dan surau diputuskan semalam-Idris

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MESYUARAT Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) semalam memutuskan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) mengenai solat berjemaah di masjid dan surau bagi negara ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, muzakarah yang disertai mufti-mufti seluruh negeri itu juga telah membuat draf panduan SOP untuk diserahkan kepada setiap negeri melalui jabatan agama masing-masing.

    “Kita di pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya menjadi penyelaras dan memberikan pandangan mengenai hal ini dan segala ketetapan yang dilaksanakan tertakluk kepada bidang kuasa pentadbiran agama negeri.

    “Ini termasuk perkara berkaitan solat berjemaah fardu dan Jumaat seperti kuota yang dibenarkan dan ia terpulang kepada mereka untuk melaksanakan SOP berkenaan,” katanya kepada pemberita Permatang Duyong, Melaka, hari ini.

    Terdahulu, beliau menyempurnakan program Penyerahan Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Kotak Makanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong yang turut dihadiri Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

    Mengulas lanjut, Idris berkata pihaknya juga tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran agama negeri selain perlu menghormatinya kerana ia adalah bidang kuasa mereka dalam menentukan segala keputusan berkaitan SOP di masjid dan surau.

    “Kadang-kadang netizen meluahkan rasa tidak puas hati kerana masjid tidak boleh dihadiri ramai, tetapi ia bukan tugas di bawah JAKIM sebaliknya masjid perlu melalui bidang kuasa kerajaan negeri.

    “Ini juga berbeza dengan tempat-tempat lain seperti kilang atau pusat beli-belah kerana mereka hanya perlu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja,” katanya.

  • 1MDB: KPMG bayar kerajaan penyelesaian RM333 juta

    1MDB: KPMG bayar kerajaan penyelesaian RM333 juta

    KPMG telah bersetuju dengan penyelesaian bernilai RM333 juta (AS$80 juta) bagi memenuhi semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka dalam pengauditan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tempoh 2010 hingga 2012.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, perkembangan itu membuktikan tekad kerajaan untuk meneruskan segala usaha pemulihan terhadap semua pihak yang terlibat dalam 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

    “Kerajaan Malaysia akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, di dalam skim global 1MDB ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurut beliau, penyelesaian itu akan mengakhiri tuntutan sivil yang difailkan pada 6 Julai lalu terhadap KPMG.

    Tengku Zafrul menambah, langkah itu akan mempercepat penyelesaian tersebut yang akan digunakan untuk memenuhi obligasi 1MDB yang tertunggak, dan menjimatkan sumber awam dari segi kewangan dan tempoh masa pengadilan.

    “Penyelesaian dengan KPMG, bemilai lebih dari 800 kali ganda fi audit yang diperoleh KPMG, merupakan salah satu penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

    “Penyelesaian ini tidak akan memberi kesan atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya, dan yang masih diburu oleh pihak berkuasa berhubung dengan skandal kewangan 1MDB,” jelasnya.

    Beliau berkata, Kementerian Kewangan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, badan pengawal selia dan agensi penguat kuasa yang terlibat atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian berkenaan.

  • 5 dikesan positif Covid-19 di pintu masuk Langkawi

    5 dikesan positif Covid-19 di pintu masuk Langkawi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan, lima individu dikesan positif Covid-19 di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi, hari ini.

    Seramai 3,200 pelancong tiba di Langkawi melalui jalan udara dan laut pada hari ini sempena hari pertama pelancaran Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi.

  • PKPD 6 lokaliti Sabah, Kelantan, Pahang tamat esok

    PKPD 6 lokaliti Sabah, Kelantan, Pahang tamat esok

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan di enam lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang berkuat kuasa esok.

    Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, PKPD itu ditamatkan seperti yang dijadualkan.

    Jelasnya, penamatan tersebut membabitkan dua lokaliti di Taman Keramat dan Angkasa Apartment, Kota Kinabalu, Sabah.

    “Selain itu di Kelantan melibatkan Kampung Bilau dan Kampung Batang, Gua Musang.

    “Sementara dua lagi di Rumah Kongsi Pinggiran Goh, Kuantan dan Sempalit, Mukim Gali, Raub bagi negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, empat lokaliti di Pahang dilanjutkan PKPD dari 18 September hingga 24 September depan.

    “Ia melibatkan tiga perkampungan Orang Asli di Temerloh iaitu Kampung Kuala Terboi, Kampung Pian dan Kampung Lubok Wong dan satu lokaliti di Penjara Penor, Kuantan,” tambahnya.

  • Destinasi Langkawi: 1,520 penumpang, 8 penerbangan, seorang positif

    Destinasi Langkawi: 1,520 penumpang, 8 penerbangan, seorang positif

    SERAMAI 1,520 penumpang berlepas menerusi lapan penerbangan ke Langkawi sempena bermulanya projek rintis gelembung pelancongan domestik Langkawi, hari ini.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kesemua penerbangan itu melibatkan empat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), satu penerbangan Malindo Air dan tiga AirAsia.

    “Saya mendapati ada penumpang telah membawa kit ujian kendiri untuk air liur dan ada pula yang membeli daripada kaunter jualan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2),” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

    Ka Siong yang meninjau proses ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen pengesanan Covid-19 terhadap penumpang ke Langkawi di KLIA dan KLIA2 berkata, setakat tinjauannya pada Khamis, terdapat seorang penumpang disahkan positif Covid-19 selepas ujian pengesanan dijalankan dan telah menjalani proses susulan diperlukan.

    “Beliau (penumpang) juga akur apabila tidak dibenarkan menaiki penerbangan demi keselamatan penumpang lain. Ahli keluarga penumpang yang disahkan positif melalui RTK Antigen juga tidak menaiki pesawat kerana mempunyai kontak rapat,” katanya.

    Ka Siong yang diiringi Pengurus Besar Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Shahrunnizam Abd Jamil berkata, beliau berpuas hati melihat proses ujian RTK Antigen itu yang berjalan lancar sambil dibantu para pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Beliau berkata, ujian pengesanan Covid-19 itu dilaksanakan semata-mata mahu menjamin keselamatan semua pihak dan dalam masa sama memastikan projek rintis gelembung pelancongan domestik Langkawi berjalan baik.

    Selain itu, Ka Siong berkata, ketika berinteraksi dengan para penumpang termasuk pelancong asing dari Perancis dan Korea Selatan, didapati mereka gembira apabila sektor pelancongan domestik mula dibuka menerusi projek rintis berkenaan.

    Beliau berkata, mereka juga menyambut baik usaha kerajaan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengenakan syarat ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan demi kebaikan semua pihak.

    Ka Siong berkata, suasana di lapangan terbang yang sudah lama sunyi kini kembali ceria dengan para kakitangan penerbangan mula mengukir senyuman apabila dibenarkan kembali berkhidmat.

    Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan supaya usaha kerajaan untuk memulihkan negara khususnya sektor ekonomi dan pelancongan dapat berjalan dengan baik. – Bernama

  • Jabatan Imigresen kaji semula kategori MyTravelPass

    Jabatan Imigresen kaji semula kategori MyTravelPass

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) telah meminta Jabatan Imigresen supaya mengkaji semula kategori-kategori permohonan yang boleh diberi kebenaran terus tanpa perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, langkah itu adalah susulan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik semalam.

    Menurut beliau, mesyuarat tersebut membincangkan maklum balas dan pandangan orang ramai berhubung program MyTravelPass di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dikendalikan oleh Jabatan Imigresen.

    “Jabatan Imigresen akan membentangkan cadangan berkenaan kepada Jawatankuasa Teknikal COVID-19 MKN,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Hishammuddin Hussein

    Dalam pada itu, Hishammuddin menjelaskan bahawa dari 7 Oktober 2020 hingga 10 September 2021, Jabatan Imigresen telah menerima sebanyak 356,510 permohonan.

    Beliau memberitahu, daripada jumlah berkenaan, 208,509 telah diluluskan, 127,465 telah ditolak, 6,697 dibatalkan sendiri oleh pemohon dan 13,000 permohonan sedang diproses oleh tiga pasukan petugas.

    “Berdasarkan makluman daripada Jabatan Imigresen, terdapat empat faktor yang boleh menyebabkan permohonan ditolak iaitu nama berada dalam senarai syak oleh jabatan berkenaan, dokumen tidak lengkap, dokumen yang dimuat naik tidak boleh dibaca dan dokumen dipalsukan.

    “Sekali lagi diingatkan, permohonan melalui MyTravelPass haruslah dibuat 14 hari sebelum hari jangkaan untuk berlepas,” jelasnya.

    Tambah Hishammuddin, permohonan tersebut perlu dibuat secara atas talian di portal berikut: (https://mtp.imi.gov.my).

    Beliau berkata, mengenai isu beberapa syarikat penerbangan yang meletakkan syarat supaya penumpang menunjukkan MyTravelPass walaupun mereka berada dalam kategori yang tidak perlu membuat permohonan, ingin saya tegaskan bahawa syarikat-syarikat berkenaan tidak sepatutnya berbuat sedemikian.

    “Saya telah minta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong untuk memaklumkan kepada syarikat-syarikat berkenaan agar mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

    Berikut merupakan kategori-kategori yang perlu dan tidak perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass seperti yang telah dijelaskan beberapa kali oleh Jabatan Imigresen sebelum ini:

    PERLU

    i. Warganegara yang baru mendapat tawaran bekerja atau belajar di luar negara.
    ii. Pelajar yang ingin menduduki peperiksaan di luar negara.
    iii. Menghadiri mesyuarat / seminar / urusan perniagaan di luar negara.
    iv. Menyertai pameran / pertandingan sukan / latihan di luar negara dengan mengemukakan surat sokongan daripada Agensi kawal selia.
    v. Urusan kecemasan ahli keluarga terdekat (kematian / ahli keluarga ditimpa kemalangan / sakit).
    vi. Pemegang Visa Pasangan / Tunangan (perkahwinan yang tidak didaftarkan secara sah).
    vii. Menyertai misi bantuan kemanusiaan / keagamaan dengan mengemukakan surat kelulusan yang telah diperoleh daripada Jawatankuasa Bersama JPM serta dokumen sokongan lain yang berkaitan.

    TIDAK PERLU

    i. Diplomat dan pegawai Kedutaan Malaysia yang akan / kembali bertugas di luar negara termasuk tanggungan masing-masing.
    ii. Pelajar dan tanggungan yang meneruskan pengajian dengan syarat memiliki visa pelajar atau visa tanggungan yang sah.
    iii. Pemegang Pas Jangka Panjang di luar Negara (Pemastautin Tetap / Pas Residen / Pas Kerja dan lain-lain)
    iv. Bekerja dengan syarikat petroleum dan syarikat perkapalan yang perlu sign-on ke atas kapal di luar negara.
    v. Mengiringi pelajar ke luar negara bagi tujuan belajar dan terhad kepada dua (2) orang pengiring sahaja. Pengiring perlu melakukan perjalanan keluar bersama-sama pelajar pada masa yang sama.

  • Sultan Sharafuddin seru seluruh rakyat bersatu padu

    Sultan Sharafuddin seru seluruh rakyat bersatu padu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa agar dapat bersatu padu.

    Titah Sultan Selangor, ini bagi membina negara bangsa yang maju serta hidup dalam suasana harmoni.

    Menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office pada Khamis, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Malaysia 2021 kepada seluruh rakyat di negara ini.

    Baginda bertitah, Malaysia akan mampu menempuh apa jua dugaan mendatang sekiranya rakyat terus meraikan kepelbagaian dan mengukuhkan persefahaman.

    “Baginda juga mahu supaya setiap pihak berusaha menyemai semangat patriotisme di samping merasa bangga menjadi rakyat Malaysia yang tercinta ini,” kata hantaran itu.

  • Meja makan dilukis logo kemerdekaan ke-64

    Meja makan dilukis logo kemerdekaan ke-64

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penduduk Kampung Simpang 5 Darat, Bukit Gambir, Tangkak sanggup menjadikan meja makan di rumahnya sebagai papan tanda dilukis logo kemerdekaan ke-64 semata-mata untuk menzahirkan semangat patriotik dalam keluarganya.

    Mohamed A. Rahman, 53, berkata, idea itu tercetus ketika menghias halaman rumahnya dengan memasang bendera Jalur Gemilang untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan, Bulan Kemerdekaan ke-64 dan Hari Malaysia.

    Katanya, beliau dibantu isteri, Surayah Misran, 47, anak-anak serta cucu memasang Jalur Gemilang dan Johor di sekeliling rumahnya termasuk melukis logo Hari Kebangsaan di meja makan yang bertemakan Malaysia Prihatin.

    “Meja makan yang siap dilukis logo Malaysia Prihatin diletakkan di atas bumbung kereta Proton Iswara yang turut dihias dengan bendera Jalur Gemilang.

    “Kami membelanjakan kira-kira RM300 bagi membeli bendera pelbagai saiz untuk dipasang dan dikibarkan di sekitar halaman rumah dan mengambil masa dua hari untuk menghiasnya,” katanya ditemui di rumahnya di kampung itu, hari ini.

    Kreativiti beliau sekeluarga berjaya menarik perhatian juri apabila muncul sebagai johan dalam pertandingan Semarak Kemerdekaan 2021 anjuran komuniti setempat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, kelmarin.

    Mohamed Abd. Rahman (bersongkok) menerima hadiah johan pertandingan Semarak Kemerdekaan 2021 disampaikan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri di Kampung Simpang 5 Darat, Bukit Gambir, Tangkak

    Mohamed berkata, tujuan beliau memasang dan menghias kawasan rumahnya dengan Jalur Gemilang bagi menerapkan semangat patriotik dalam kalangan keluarga terutama anak dan cucunya.

    Menurutnya, walaupun hanya memasang dan mengibarkan bendera sempena perayaan Hari Kebangsaan namun itu menjadi pencetus semangat cintakan negara untuk terus hidup dalam suasana aman dan harmoni.

    “Anak-anak dan cucu hanya tahu bila tiba 31 Ogos saban tahun setiap rumah memasang Jalur Gemilang tetapi kadang-kadang ada yang tidak mengibarkannya.

    “Untuk menyemaikan semangat patriotik dan cintakan negara, kami ajak anak-anak dan cucu sama-sama memasang bendera Malaysia dan Johor sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysoa supaya ia dijadikan aktiviti berterusan sepanjang bulan kebangsaan setiap tahun,” katanya.

    Mohamed berharap, setiap individu turut sama menerapkan semangat patriotik dalam kalangan keluarga mereka dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing setiap kali tiba sambutan Hari Kebangsaan.