Category: Semasa

  • Kenaikan harga ayam tiada kaitan ‘kartel’ – KPDNHEP

    Kenaikan harga ayam tiada kaitan ‘kartel’ – KPDNHEP

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan iada pembabitan pihak kartel berkaitan isu kenaikan harga ayam ketika ini.

    namun kata Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, KPDNHEP mengadakan kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia bagi menyiasat mengikut undang-undang dikuatkuasakan.

    “KPDNHEP akan terus memberi fokus dengan memantau pergerakan harga ayam di pasaran secara menyeluruh termasuk penguatkuasaan perundangan antipencatutan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

    “Pihak KPDNHEP memahami kerugian dialami oleh peniaga ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan perniagaan mereka.

    “Kementerian ingin menasihatkan peniaga di setiap rantaian bekalan ayam supaya tidak mengambil tindakan drastik dengan menaikkan harga bagi menampung kerugian dialami mereka,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

    Sehingga 14 September lalu, sebanyak 164 premis di seluruh negara telah diperiksa Penguat Kuasa KPDNHEP membabitkan 166 bilangan jenis ayam meliputi ayam hidup, ayam standard dan ayam super.

    Sebanyak 163 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dikeluarkan kepada peniaga yang diperiksa bertujuan mendapatkan maklumat terperinci berhubung kos operasi dan kos belian.

    Pada masa sama, sebanyak 145 Surat Pemberitahuan (SP) telah dikemukakan kepada peniaga di setiap rantaian pengedaran yang diperiksa bagi tujuan memberi makluman dan peringatan supaya tiada perubahan harga yang menunjukkan kenaikan mendadak dilakukan peniaga. – SB

    Alexander berkata, pihaknya akan mengadakan sesi perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) secara berterusan bagi menangani masalah kos tinggi makanan ternakan oleh penternak.

    Katanya, perbincangan itu menyasarkan kos tinggi makanan ternakan seperti dedak ayam yang diimport, harga baka ayam dan anak ayam yang mempengaruhi harga ayam di peringkat pengguna dapat diminimakan serta diurus dengan baik.

    Katanya, industri dan bekalan ayam serta makanan ternakan dikawal selia oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan KPDNHEP sedia memainkan peranan berkaitan polisi harga ayam pengguna di pasaran.

    “KPDNHEP prihatin dan mengambil maklum akan permasalahan harga makanan ayam yang tinggi serta turut menjadi faktor kepada kenaikan harga ayam di pasaran.

    “Kira-kira 80 peratus makanan ayam adalah diimport dan kenaikan harga di peringkat global turut mempengaruhi isu harga ayam di pasaran negara.

    “Sebagai langkah proaktif, KPDNHEP akan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Kementerian Kewangan bagi mencari satu penyelesaian jangka panjang yang munasabah serta boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi menstabilkan harga ayam,” katanya.

  • Ni Hsin, TAILG jalin kerjasama untuk kenderaan elektrik

    Ni Hsin, TAILG jalin kerjasama untuk kenderaan elektrik

    NI HSIN EV Tech Sdn Bhd, subsidiari milik penuh Ni Hsin Group Berhad (Ni Hsin), hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dongguan Tailing Motor Vehicle Co., Ltd. (TAILG) bagi tujuan kolaborasi dan meneroka peluang-peluang di dalam kajian, penyelidikan, pembangunan, pemasangan dan pengedaran Kenderaan Elektrik (EV) disesuaikan untuk tujuan komersial di Malaysia dan rantau ASEAN.

    TAILG merupakan satu daripada tiga pengeluar utama kenderaan dua roda elektrik di China yang memiliki kehadiran di lebih 75 negara dan sayap penyelidikan dan pembangunan yang telah menghasilkan lebih 420 paten berkaitan EV berprestasi tinggi, kecekapan dipertingkatkan dan perkhidmatan awan.

    Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd, Khoo Chee Kong berkata, sektor pengangkutan bertanggungjawab kepada 14 peratus pelepasan gas rumah hijau global.

    Menurut beliau, cabaran untuk mengurangkan pelepasan asap pengangkutan terbukti semakin penting.

    Katanya, ia meletakkan penekanan terhadap perubahan teknologi dan organisasi, memacu dunia ke arah elektromobiliti dan pengangkutan sifar pelepasan asap dengan kesan kemuncak mengurangkan pelepasan asap di dalam sektor ini dan menambah baik kesihatan penduduk planet ini.

    “Perniagaan-perniagaan sudah mula menggunakan EV untuk penghantaran kerana ia memberikan penjimatan ketara dari segi penyenggaraan dan kos operasi disebabkan sistem mekanikal yang secara radikal lebih mudah iaitu tidak perlu disenggara selalu, seperti memerlukan penukaran minyak yang sangat mahal.

    “Gergasi industri seperti Amazon, Flipkart, IKEA, Swiggy dan Grofers sudah pun menggunakan motosikal elektrik untuk penghantaran di kebanyakan bandar raya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    TAILG ditubuhkan pada 2004 telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Perusahaan Berteknologi Tinggi Kebangsaan dan Asas Latihan Kualiti Kebangsaan China dan menyediakan model-model EV kepada China Telekom, Baidu Takeaway serta Proctor & Gamble.

    Kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir urus (ESG) merupakan fokus kuat di dalam operasi TAILG, dan syarikat ini juga merupakan rakan kepada ‘Program E-mobiliti Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    Khoo menambah, penglibatan Ni Hsin Group ke dalam perniagaan e-mobiliti adalah berkaitan kelestarian perniagaan serta komitmen kepada kriteria kemampanan ESG.

    Beliau menambah, bagi menyokong perniagaan konsep cafe@anywhere, pihaknya telah mewujudkan prorietari Mesin Minuman Bergerak yang menggunakan motosikal EV untuk menggerakkan operasi mesin kopi untuk bru dan menyajikan kopi BLACKBIXON kepada pelanggan di pelbagai lokasi popular di seluruh negara ini.

    Ujarnya, Ni Hsin berhasrat untuk meluaskan model perniagaan ini ke seluruh ASEAN.

    “Menerusi kolaborasi ini kami akan bekerja bersama TAILG untuk membangunkan motosikal EV bagi tujuan di atas dan tujuan-t

  • Tiada amalan kronisme dalam pembelian vaksin

    Tiada amalan kronisme dalam pembelian vaksin

    DAKWAAN seorang pakar kesihatan kanak-kanak bahawa harga vaksin COVID-19 yang diperoleh Malaysia menjadi mahal kerana amalan kronisme adalah tidak benar.

    Penasihat Khas Menteri Kesihatan, Dimishtra Steven Sittampalam berkata, Malaysia tidak menggunakan orang tengah untuk mendapatkan vaksin.

    Sebaliknya, menurut beliau, semua urusan perolehan vaksin dibuat secara terus dengan syarikat farmaseutikal yang menghasilkan vaksin berkenaan.

    “Ketika Malaysia berunding dengan Moderna, ia dibuat secara terus dengan Moderna Inc, sama seperti dilakukan dengan Pfizer.

    “Harga (vaksin Moderna) yang diberikan kepada kita jauh lebih mahal berbanding Pfizer, yang memiliki profil mRNA sama.

    “Setakat ini, kita sudah membeli 44 juta dos vaksin Pfizer,” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.

    Dimishtra menjawab ciapan pakar pediatrik, Datuk Dr Musa Mohd Nordin yang mendakwa harga vaksin Moderna adalah mampu milik, namun menjadi mahal kerana wujud kronisme dalam transaksi rantaian bekalan vaksin COVID-19 itu.

    Beliau menambah, harga am vaksin COVID-19 boleh diperoleh secara dalam talian dan semua pihak maklum harga vaksin Moderna adalah paling mahal.

    “Semua kontrak (pembelian vaksin COVID-19 Malaysia) sudah didedahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang merangkumi Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

    “Mereka (Ahli PAC) berpuas hati dengan kontrak berkenaan,” katanya.

    Pada masa sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ahli PAC, Nurul Izzah Anwar turut menjawab dakwaan Dr Musa dengan menegaskan, jawatankuasa itu berpuas hati dengan proses perolehan vaksin COVID-19.

    “Terdapat merit terhadap pemilihan portfolio vaksin. Anda boleh membacanya dalam laporan PAC akan datang, insya-Allah.

    “Kami perlu mengambil kira faktor syarikat farmaseutikal gergasi yang gemar mengenakan NDA (perjanjian kerahsiaan),” katanya.

  • PKPD di dua lokaliti di Pahang, Sabah

    PKPD di dua lokaliti di Pahang, Sabah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masing-masing satu lokaliti di Pahang dan Sabah yang berkuatkuasa pada 19 September ini.

    Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, PKPD terbabit melibatkan Kampung Sungai Padi Mukim Telang di Daerah Lipis, Pahang dan Kampung Air di Daerah Beluran, Sabah.

    “Pelaksanaan PKPD di dua lokaliti itu sehingga dua Oktober depan.

    “Sementara itu, satu lokaliti di Perak dikenakan arahan pelanjutan PKPD yang melibatkan Taman Samudera, Seri Manjung, Manjung.

    “Tarikh tamat PKPD itu sepatutnya pada 18 September, namun dilanjutkan sehingga 2 Oktober, 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Rodzi turut berkata, sebanyak satu lokaliti di Pahang dan Perak akan ditamatkan arahan PKPD berkuat kuasa esok.

    Lokaliti berkenaan ialah kawasan sekitar Pekan Padang Tengku, Mukim Gua, Lipis, Pahang yang meliputi Kampung Baru, Taman Bakti, Taman Dahlia dan deretan kedai Pekan Padang Tengku serta Kampung Orang Asli Sungai Cincin, Batang Padang, Perak.

  • 4 warga Bangladesh, 1 wanita tempatan dituduh menculik

    4 warga Bangladesh, 1 wanita tempatan dituduh menculik

    EMPAT warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, Selangor hari ini atas pertuduhan melarikan seorang lelaki warga Bangladesh dan meminta wang tebusan sebanyak 1 Juta Taka Bangladesh (kira-kira RM50,000), Ogos lepas.

    Mereka ialah pasangan suami isteri, Josim, 32, dan Faridah Jeya Sly Ramesh, 27, (wanita tempatan); Md Raihan Hosen, 28; Miah Soraf, 33, serta Nusrat Jahan Bipasha, 26 (wanita).

    Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes tersebut adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mereka didakwa dengan niat bersama bagi mendapatkan wang tebusan sejuta Taka Bangladesh, telah menahan Md Sohel Rana, 39, dengan cara melarikannya secara salah di hadapan sebuah pasar raya, di Jalan Damai Mewah 1A di sini pada 8.30 malam, 27 Ogos lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 7 Okt untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran manakala Md Raihan dan Josim diwakili peguam Tan Cheng Yee dan tiga yang lain tidak diwakili peguam.

    Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki warga Bangladesh diculik hampir seminggu oleh rakan senegaranya dan ditemui dalam keadaan lemah di sebuah rumah di Bandar Teknologi di sini.  – Bernama

  • NS dijangka beralih ke Fasa 4 PPN seminggu lagi

    NS dijangka beralih ke Fasa 4 PPN seminggu lagi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Negeri Sembilan dijangka beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh seminggu lagi.

    Namun kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, peralihan itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya bilangan kes harian Covid-19 di negeri ini menunjukkan penurunan.

    Ketika ini katanya, negeri tersebut hanya merekodkan 170 ke 200 lebih kes baharu Covid-19 sehari.

    “Kalau ikut perkiraannya, memang kita sudah layak untuk ke fasa empat, cuma kita diminta untuk memantau selama seminggu lagi.

    “Keputusannya bergantung kepada keadaan semasa kes selain mengambil beberapa faktor lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), hari ini.

    Aminuddin (dua kiri) menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kereta Perodua Axia pada Majlis Penyampaian Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MPPD di Port Dickson

    Sehubungan itu, Aminuddin meminta rakyat di negeri ini untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama selepas beralih ke fasa empat nanti bagi mengelakkan kes Covid-19 kembali meningkat.

    Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, apabila Negeri Sembilan beralih ke Fasa 2 PPN mulai 4 September, ia memberi ruang dan peluang kepada banyak sektor seperti ekonomi, pelancongan dan industri dibuka semula dengan SOP ditetapkan.

    “Saya berharap, dengan kelonggaran yang diberikan, orang ramai dapat menjaga diri dan keluarga dengan senantiasa memakai pelitup muka serta penjarakan sosial ketika berada di tempat yang ramai orang.

    “Saya juga yakin Port Dickson juga akan dibuka untuk pelancongan dalam negara sedikit masa lagi,” katanya.

  • Bayaran GKP 4.0 mulai 21 September – Ismail Sabri

    Bayaran GKP 4.0 mulai 21 September – Ismail Sabri

    GERAN Khas Prihatin (GKP) 4.0 akan disalurkan kepada lebih sejuta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro mulai 21 September ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan komited menyokong kelangsungan sektor PKS mikro melalui penyaluran geran tersebut.

    Beliau juga menjiwai kegusaran para peniaga, terutamanya PKS mikro yang sedang mengharungi tempoh mencabar ketika ini.

    “Saya percaya inisiatif GKP 4.0 yang bakal memanfaatkan lebih sejuta PKS mikro ini akan dibayar dua kali iaitu pada September 2021 berjumlah RM500 dan November 2021 (RM500), melibatkan peruntukan sebanyak RM500 juta.

    “Secara keseluruhan, sebanyak RM6.08 bilion telah dan akan disalurkan menerusi GKP bagi membantu kelangsungan lebih sejuta PKS mikro.

    “Semoga dengan pembayaran GKP 4.0 ini dapat menggerakkan dan memulihkan kembali sektor PKS yang merupakan enjin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Sementara itu, dalam kenyataan media hari ini, Ismail Sabri berkata, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP.

    Beliau berkata, semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 20 September 2021 melalui portal https:gkp.hasil.gov.my.

    “Inisiarif ini melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0 dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta,” jelasnya.

    Ismail Sabri memberitahu, kerajaan memberi keutamaan kepada pemain industri tersebut kerana mereka merupakan antara sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik COVID-19.

    “Semoga dengan bantuan ini, peniaga kecil seperti pemilik gerai makanan, kedai gunting rambut, bengkel dan kedai kek dapat mengurangkan beban dan membantu aliran tunai,” ujarnya.

  • 600 anggota pantau lokasi pelancongan Terengganu

    600 anggota pantau lokasi pelancongan Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    ORANG ramai termasuk pengusaha pelancongan di Terengganu diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang berada di lokasi tumpuan ramai bagi mengelakkan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan.

    Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohimi Md Isa, ia penting bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu dari industri pelancongan.

    Justeru katanya, polis akan meningkatkan penguatkuasaan di semua pusat dan destinasi pelancongan utama di negeri ini termasuk pulau-pulau bagi memastikan pengusaha pelancongan dan pengunjung tidak mengabaikan SOP ekoran Terengganu beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

    Menurut Rohaimi, bagi tujuan itu, sebanyak 141 Pasukan Pemantau Pematuhan Covid-19 membabitkan seramai 600 anggota daripada pelbagai agensi akan digerakkan melakukan pemantauan di setiap lokasi pelancongan dan kawasan tumpuan ramai termasuk pulau peranginan, pantai, taman rekreasi dan hutan lipur di seluruh negeri.

    Beliau memberitahu, pemantauan secara berkala turut dilakukan di resort dan chalet di pulau peranginan bagi memastikan pengusaha dan pelancong sebtiasa mematuhi SOP.

    “Disebabkan sektor pelancongan telah dibuka, kita tidak mahu wujud pula kluster baharu, jadi kawalan ketat perlu dilakukan,” katanya pada majlis taklimat pematuhan SOP Fasa 3 PPN kepada penggiat industri pelancongan di Pulau Redang, Kuala Nerus, hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak.

    Rohaimi berkata, pengusaha pelancongan sama ada pusat penginapan atau pemandu bot pelancong juga digesa untuk bersama memainkan peranan dalam memastikan pengunjung mematuhi SOP bagi mengelak berlaku penularan wabak di kawasan pulau.

  • Kos haji meningkat sehingga RM40,000

    Kos haji meningkat sehingga RM40,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) menjangka kos haji pada tahun depan boleh meningkat sehingga RM40,000 bagi seorang jemaah mengambil kira penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh Kerajaan Arab Saudi.

    Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, tidak mustahil peningkatan mendadak berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk penjarakan fizikal yang memaksa penginapan jemaah dihadkan kepada dua orang sebilik, pengangkutan dan ujian saringan COVID-19.

    “Jika dulu, satu bilik hotel boleh memuatkan sehingga lima orang, tetapi apabila ia dihadkan kepada dua orang, kemungkinan untuk penginapan saja akan mencecah sehingga RM17,000 seorang.

    “Begitu juga perbelanjaan lain, termasuk pengangkutan ke Madinah pasti akan mempengaruhi peningkatan kos,” katanya memetik laporan BH, hari ini.

    Sebelum ini, Tabung Haji (TH) menjangka kos haji akan meningkat pada musim haji akan datang susulan perubahan SOP ibadah itu yang dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan pandemik Covid-19.

    Razali berkata, sekiranya kos haji naik secara mendadak, antara kesan yang membimbangkan adalah ramai jemaah terlepas peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci kerana tidak berkemampuan.

    “Sebelum Covid-19, kos bagi seorang jemaah adalah RM20,000 dengan subsidi diberikan TH sebanyak RM10,000.

    “Bagaimanapun, persoalannya jika jumlah subsidi TH pada kadar sama, tentu ramai tidak mampu menanggung kos dan terpaksa menolak giliran haji,” katanya.

    Beliau berharap, TH dapat mempertimbangkan untuk menyerap kenaikan kos itu melalui keuntungan daripada pelaburan institusi itu yang dikecualikan daripada cukai pendapatan.

    “Sebanyak 28 peratus keuntungan pelaburan TH dikecualikan (daripada cukai pendapatan), jadi jika boleh kita berharap TH tanggung lebihan kos kenaikan ini bagi mengelak ramai yang tidak berkemampuan untuk pergi.

    “Saya kira jika perbelanjaan haji perlu ditanggung seorang jemaah naik dalam kadar RM5,000, ia masih boleh diterima dengan kos lain diserap oleh TH,” katanya.

    Razali turut yakin, TH berupaya menanggung pertambahan kos itu mengambil kira jangkaannya berkemungkinan jemaah haji yang dibenarkan ke Tanah Suci masih dihadkan.

    “Saya menjangka disebabkan pandemik masih berlarutan, mungkin kuota haji kurang daripada 10,000 saja jemaah tanah air akan mengerjakan ibadat itu,” katanya.

  • Warga emas ditemukan mati terduduk tepi basikal

    Warga emas ditemukan mati terduduk tepi basikal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG warga emas ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terduduk di tepi basikal miliknya di Jalan Padang Temusu, Sungai Petani pagi tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian warga emas mati terduduk itu kira-kira pukul 8.45 pagi tadi.

    “Temu bual bersama anak saudaranya memaklumkan, warga emas itu tinggal seorang diri berdekatan lokasi kejadian dan menyara hidup dengan bekerja sendiri, selain ihsan orang ramai.

    “Warga emas itu juga difahamkan merupakan penagih dadah tegar dan tidak pernah berkahwin,” katanya.

    Tambahnya, siasatan di tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur-unsur jenayah.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut termasuk bagi menjalankan ujian pengesanan Covid-19,” katanya.