Category: Semasa

  • Sultan Nazrin berkenan lantik Jemaah Pemangku Raja Perak

    Sultan Nazrin berkenan lantik Jemaah Pemangku Raja Perak

    SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melantik Jemaah Pemangku Raja Perak berkuat kuasa hari ini.

    Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Seri Diraja Datuk Seri Ayop Hashim dalam satu kenyataan berkata Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak.

    Dua lagi individu dilantik sebagai ahli jemaah ialah Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Orang Kaya Kaya Seri Agar Diraja Tan Sri Ramli Ngah Talib.

    “Ini selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Bahagian Kedua, Perkara XV; dalam tempoh masa baginda menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

    Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Persekutuan sepanjang keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom.

    Dilapor, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke United Kingdom itu bermula semalam hingga 27 Sept ini dan Seri Paduka berdua kemudian berkenan beristirahat di London bermula 27 Sept dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

    Ahmad Fadil berkata lawatan khas itu adalah kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 9 Dis 2019 selama tujuh hari.- BERNAMA

  • Bomba selamatkan sembilan lelaki terperangkap di Sungai Kedondong

    Bomba selamatkan sembilan lelaki terperangkap di Sungai Kedondong

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Selangor menyelamatkan sembilan lelaki yang terperangkap di kawasan batu di Sungai Kedondong, Kuala Kubu Bharu, dekat sini malam tadi, ekoran kejadian kepala air.

    Kesemua mangsa yang berusia 16 hingga 20 tahun terperangkap di sungai berkenaan akibat arus deras.

    Pengarahnya Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada  7.55 malam.

    Beliau berkata sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Anggota tiba pada 8.27 malam dan mendapati dua daripada sembilan lelaki terbabit berjaya melepasi sungai berkenaan manakala tujuh lagi rakannya masih terperangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Norazam berkata pihaknya berjaya menyelamatkan kesemua mangsa dan dibawa ke tempat selamat.-BERNAMA

  • Agong, Raja Permaisuri tiba di UK untuk lawatan khas

    Agong, Raja Permaisuri tiba di UK untuk lawatan khas

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di London bagi lawatan khas selama 10 hari ke United Kingdom (UK) bermula hari ini.

    Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Luton, London pada 8 malam Jumaat waktu tempatan (3 pagi Sabtu waktu Malaysia).

    Ketibaan  Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Zakri Jaafar dan isteri Nor Aini Abdul Rahman.

    Dalam lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

    Atur cara lawatan khas itu turut diisi dengan pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

    Al-Sultan Abdullah turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst iaitu tempat Seri Paduka pernah menimba ilmu ketenteraan dari 1978 hingga 1979.

    Seri Paduka turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan UK Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom. 

    Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst.

    Selepas lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 Sept dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

    Lawatan khas itu merupakan kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Dis 2019.

    Sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong.- BERNAMA

  • Tanah runtuh Kemensah Heights dipercayai akibat aliran air bawah tanah

    Tanah runtuh Kemensah Heights dipercayai akibat aliran air bawah tanah

    RUNTUHAN tanah yang menjejaskan bahagian belakang 19 rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights di sini semalam, dipercayai akibat pergerakan aliran air bawah tanah selepas hujan lebat di kawasan itu.

    Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata aliran air bawah tanah berkenaan menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada 9.30 malam tadi (Jumaat), yang turut menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir.

    “Ketika ini, pihak saya bersama polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya giat memindahkan mangsa untuk ditempatkan di dewan orang ramai.

    “Malah, kerja-kerja pencerunan akan dilaksanakan pagi ini bersama pihak-pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian awal pagi tadi.

    Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati polis mengawal ketat lokasi kejadian sebagai langkah keselamatan.

    Semalam, sebanyak 19 rumah teres dua tingkat membabitkan 28 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.- BERNAMA

  • 77.5 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    77.5 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    SERAMAI 18,135,561 individu atau 77.5 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    Menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini, JKJAV memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 92.9 peratus atau 21,861,904 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Sebanyak 238,002 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 162,016 dos pertama dan 75,986 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 39,923,416 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • Zamri Yaakob dipilih Pengerusi AJP NAFAS baharu

    Zamri Yaakob dipilih Pengerusi AJP NAFAS baharu

    DATUK Zamri Yaakob dipilih sebagai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang baharu berkuat kuasa mulai 13 September lalu.

    Pelantikan itu diumumkan oleh NAFAS dalam kenyataan media, hari ini.

    NAFAS berkata, pemilihan Zamri melalui proses pengundian semua AJP NAFAS yang dikendalikan sepenuhnya Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam satu mesyuarat AJP Isnin lalu.

    “Proses pemilihan semula pengerusi AJP yang baharu susulan peletakan jawatan Dr Anis Mahmud.

    “Zamri berdaftar sebagai ahli peladang sejak 1985, berasal dari Temerloh, Pahang dan ahli peladang yang aktif dengan memegang pelbagai jawatan dalam pelbagai peringkat pertubuhan peladang,” kata NAFAS.

    Sebelum ini, Zamri pernah memegang jawatan Pengerusi AJP Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pulau Tawar sejak 1996, AJP Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pahang sejak 2001 dan seterusnya dipilih Pengerusi AJP PPN Pahang pada tahun lalu.

    “Sepanjang pembabitannya di pertubuhan peladang, beliau juga meraih Anugerah Peladang Jaya peringkat kebangsaan dan negeri Pahang pada 2002.

    “Selain Pertubuhan Peladang, beliau juga memegang pelbagai jawatan antaranya Pengerusi Koperasi Pekebun Getah Nasional Berhad (NARSCO) Berhad (sejak 2012 sehingga kini), Pengerusi NARSCO Travel Tours Sdn Bhd (2013 hingga kini),” jelas NAFAS.

    Selain itu Zamri mnerupakan Ahli Pihak Berkuasa RISDA (2016 hingga kini), Pengerusi Koperasi Gabungan Negeri Pahang (2014 hingga kini), Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Jerantut (1998 hingga kini) serta Lembaga Pengarah RISDA Fleet Sdn Bhd (2014 hingga kini).

    NAFAS percaya pengalaman luas beliau dalam bidang pertanian dan pengurusan pertubuhan peladang serta koperasi berasaskan pertanian mampu membawa transformasi kepada pergerakan pertubuhan peladang seluruh negara.

  • Buaya tembaga 500kg berjaya dipukat nelayan

    Buaya tembaga 500kg berjaya dipukat nelayan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEEKOR buaya tembaga sepanjang kira-kira 3.7 meter dengan anggaran berat 500 kilogram (kg) berjaya ditangkap sekumpulan nelayan di perairan Pantai Bersih, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Buaya itu ditangkap pukul 6.45 petang menggunakan pukat nelayan selepas dilihat timbul di permukaan laut sebelum dibawa ke Jeti Bagan Ajam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kumpulan nelayan terbabit mengambil masa kira-kira sejam sebelum berjaya menangkap reptilia itu.

    Buaya tembaga ditangkap pukul 6.45 petang tadi menggunakan pukat nelayan selepas dilihat timbul di permukaan laut sebelum dibawa ke Jeti Bagan Ajam

    Menurut beliau, ketika polis tiba, buaya itu telah berjaya dinaikkan ke pantai oleh nelayan dengan bantuan orang awam ke kawasan berhampiran deretan kedai makan di Kampung Contoh.

    “Buaya itu kemudian dipindahkan ke Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah SPU dengan bantuan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di Butterworth, hari ini.

    Buaya tembaga berkenaan sepanjang kira-kira 3.7 meter dengan anggaran berat 500 kg

    Difahamkan haiwan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dan operasi terbabit tamat sepenuhnya pukul 8.34 malam ini.

  • 55 peratus populasi negara lengkap divaksin-KKM

    55 peratus populasi negara lengkap divaksin-KKM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SETAKAT semalam sejumlah 202,298 dos vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan suntikan yang sudah diberikan kepada 39,685,414.

    Portal COVIDNOW Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan, sejumlah 62,108 dos yang diberikan semalam adalah dos pertama, manakala 140,190 dos lagi suntikan lengkap vaksin berkenaan.

    Dengan pertambahan itu, sejumlah 21,783,871 individu atau 66.7 peratus daripada lebih 32 juta populasi di negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Selain itu, seramai 17,973,545 individu atau 55 peratus daripada populasi negara sudah mendapat suntikan lengkap vaksin.

    Berdasarkan kapasiti suntikan vaksin pada jumlah sekitar 200,000 dos sehari, KKM mengunjurkan Malaysia mampu mencapai imuniti kelompok, iaitu 80 peratus daripada keseluruhan penduduk lengkap divaksin, menjelang 12 Disember depan.

    Sehingga semalam, Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) merekodkan jumlah penerima vaksin dan menghampiri imuniti kelompok apabila lebih 6.47 juta atau 76.9 peratus daripada penduduknya menerima dos lengkap vaksin Covid-19.

    Ini disusuli Labuan (66,909 atau 67.2 peratus), Negeri Sembilan (741,865 atau 67.2 peratus), Sarawak (1.81 juta atau 64.5 peratus) dan Perlis (147,579 atau 57.9 peratus).

    Enam negeri pula masih merekodkan jumlah penerima lengkap vaksin di bawah 50 peratus, berbanding populasi keseluruhan, iaitu Johor (47.5 peratus), Perak (42.8 peratus), Pahang (41.7 peratus), Kedah (41.2 peratus), Sabah (37.4 peratus) dan Kelantan (35.9 peratus).

  • Covid-19:Johor sedia beralih fasa endemik-TMJ

    Covid-19:Johor sedia beralih fasa endemik-TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Tunku Ismail Sultan Ibrahim melahirkan keyakinan ‘Special Task Force Covid-19’ di peringkat negeri yang ditubuhkan pada September lalu, akan menyumbang kepada penurunan kes Covid-19 di Johor.

    Menurut Tunku Mahkota Johor, ini kerana jawatankuasa itu melibatkan pelbagai agensi kerajaan, pakar-pakar universiti, swasta, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dapat melawan wabak tersebut dengan lebih berkesan.

    “‘Special Task Force Covid-19’ ini dipilih secara inklusif. Kita yakin kes positif akan mula menurun melalui langkah kesihatan awam yang efektif dan penggunaan teknologi terkini,” kata Tunku Ismail.

    Tunku Ismail berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

    Tunku Ismail mengadakan perjumpaan pertama Special Task Force Covid-19 di Royal Polo Club, Johor Bahru, hari ini

    Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

    Pada 9 September lalu, Tunku Mahkota Johor mengumumkan penubuhan Special Task Force Covid-19 berkenaan melibatkan antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan kerajaan negeri.

    Jawatankuasa khas tersebut diketuai Tunku Ismail sendiri bertujuan memantau dan menambah baik pengurusan pandemik Covid-19 di Johor.

    Mengulas lanjut, Tunku Mahkota Johor berkata, perjumpaan pertama jawatankuasa tersebut diadakan di Royal Polo Club, Johor Bahru hari ini.

    Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor; Datuk Dr. Aman Rabu.

    Menurut Tunku Ismail, Special Task Force Covid-19 dipilih secara inklusif melibatkan pelbagai pihak

    Tunku Ismail berkata, jawatankuasa itu berperanan memantau dan memperbaiki proses yang digunakan bagi sistem menyaring, mengasingkan, mengawasi dan merawat pesakit Covid-19 agar keadaan wabak adalah sentiasa dalam kawalan.

    “Pengesanan kontak perlu dipercepatkan supaya ia dilakukan dalam jangka masa 24 hingga 48 jam, dan kadar vaksinasi juga perlu dipertingkatkan.

    “Johor perlu bersedia untuk transisi daripada dari situasi pandemik kepada endemik,” ujar Tunku Ismail.

  • Semakan status rayuan BPR mulai esok – Tengku Zafrul

    Semakan status rayuan BPR mulai esok – Tengku Zafrul

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEMAKAN status kelulusan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh dibuat mulai esok, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Menurutnya, proses tersebut membabitkan hampir 200,000 penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM240 juta.

    Jelasnya, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan rayuan BPR pada penghujung bulan ini bersama dengan penerima bayaran BPR Fasa 3.

    “Kerajaan sudah mengemas kini data golongan B40 yang layak menerima BPR melalui permohonan rayuan yang dibuka pada 15 sehingga 30 Jun lalu.

    “Permohonan rayuan ini diverifikasi semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan inisiatif bantuan tunai ini dapat disalurkan dan dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zafrul berkata, kerajaan berharap bantuan tunai yang keseluruhannya berjumlah RM17.1 bilion sehingga hujung tahun ini, boleh membantu Keluarga Malaysia menampung dan menguruskan perbelanjaan penting mereka.

    Selaras dengan pengumuman kelulusan rayuan BPR, beliau berkata, kerajaan turut memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk menyertai Program Jaringan Prihatin.

    Katanya, tarikh akhir pendaftaran dan penebusan program terbabit akan dilanjutkan sehingga 30 September ini dan ia bertepatan dengan situasi semasa serta memberi ruang dan masa kepada mereka yang perlu mendaftar serta menebus telefon telefon di kedai secara fizikal.

    “Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan program yang disediakan menepati kehendak golongan sasar dan memudahkan pembelajaran anak golongan B40 mendapatkan pakej telekomunikasi atau pakej peranti mudah alih.

    “Sokongan ini diharapkan dapat menjamin pembelajaran yang lebih lancar dan kondusif,” katanya.