Category: Semasa

  • Bekas kakitangan kerajaan dan kenalan didakwa seludup warga Indonesia

    Bekas kakitangan kerajaan dan kenalan didakwa seludup warga Indonesia

    BEKAS kakitangan kerajaan berstatus kontrak dan seorang kenalan wanitanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyeludup tujuh warga Indonesia.

    Jafperi Noor, 54, dan Rohani, 49, warga Indonesia masing-masing mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Mereka didakwa bersama-sama telah menjalankan penyeludupan migran terhadap enam lelaki dan seorang wanita kesemuanya berumur antara 24 hingga 51 tahun, di sebuah kuarters penjawat awam di Jalan Kasturi P17 (Jalan P17), Presint 17 di Putrajaya pada 10.15 malam, 22 Jun lalu.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Nor’ Amalina Ismail tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh, kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

    Peguam Farhan Maarof yang mewakili Jafperi memohon jaminan atas alasan tertuduh telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

    “Anak guam saya kini pengusaha kedai runcit di Kelantan dan merupakan bapa kepada empat anak berusia 19 hingga 29 tahun. Anak guam saya juga tidak akan mengganggu mana-mana saksi di dalam kes ini,” kata peguam itu.

    Sementara itu, peguam K. Vijeyini yang mewakili Rohani, tidak membuat sebarang permohonan berhubung jaminan.

    Mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung jaminan dan menetapkan 14 Okt untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Sajat lolos guna gerabak keretapi: KTMB jalankan siasatan dalaman

    Sajat lolos guna gerabak keretapi: KTMB jalankan siasatan dalaman

    KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menjalankan siasatan dalaman mengenai tindakan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang dikatakan meloloskan diri ke Thailand menggunakan gerabak keretapi di Padang Besar, Perlis.

    KTMB dalam reaksinya terhadap laporan muka hadapan sebuah akhbar hari ini berkata, fasiliti dan terminal kargo KTMB dikawal ketat oleh pihak berkuasa seperti Polis Bantuan serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

    Menurutnya, kontena kargo yang dibawa ke Thailand pula adalah milik syarikat perkapalan yang disewa oleh pelanggan KTMB di Malaysia dan Thailand.

    “KTMB tidak bertanggungjawab di atas kandungan kontena berkenaan sama ada kontena kosong atau bermuatan,” katanya dalam satu kenyataan itu, hari ini.

    KTMB memberitahu, setiap tren kargo yang membuat perjalanan merentasi sempadan antarabangsa perlu melepasi pemeriksaan yang diteliti oleh pihak berkuasa kedua-dua negara sempadan.

    Ujarnya, proses itu membabitkan pemeriksaan dokumentasi dan fizikal ke atas gerabak serta barangan.

    “KTMB akan menjalankan siasatan dalaman mengenai perkara itu,” katanya lagi.

    Harian Metro hari ini melaporkan, misteri ‘kehilangan’ usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

    Untuk rekod, Nur Sajat, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen jam 6 petang (waktu Thailand).

    Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Usahawan kosmetik itu bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

    Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.

    Skuad Khas Harian Metro turut mendedahkan, bagaimana penyamaran dilakukan usahawan kosmetik itu yang mengenakan purdah dan niqab serta membayar RM20,000 kepada seorang lelaki untuk diseludup keluar dari Malaysia.

    Lelaki terbabit dilaporkan berjaya menyeludup keluar Nur Sajat menggunakan gerabak keretapi di Padang Besar Perlis, sebelum diserahkan kepada lelaki lain sebaik mereka tiba di Hat Yai, Thailand.

    Nur Sajat kemudian dibawa lelaki kedua itu ke Bangkok dan menjadikan sebuah kondominium mewah di kota raya itu sebagai pusat persembunyian sehinggalah dia ditahan.

  • Lima lelaki ditahan, 20 senjata api buatan sendiri dirampas

    Lima lelaki ditahan, 20 senjata api buatan sendiri dirampas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bersama-sama Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah menahan lima lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti membuat dan menjual senjata api buatan sendiri ditahan dalam satu operasi baru-bari ini.

    Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, semua lelaki berusia lingkungan 29 hingga 57 tahun itu ditahan bersama-sama 20 laras senjata api jenis bakakuk, ginsuk, senapang angin dan senapang guli serta puluhan peluru hidup.

    “Tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 30 tahun dilakukan pada 10 September lalu, di sebuah rumah di Kampung Kigiuk, Ranau.

    “Sebaik ditahan polis berjaya merampas dua laras senjata api bersama 11 butir peluru hidup, 30 butir palet senapang angin dan peralatan membuat senjata api.

    “Hasil daripada penahanan suspek, polis meneruskan operasi dengan menyerbu beberapa lagi lokasi sekitar daerah ini dan menahan empat lagi suspek.

    “Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tujuh laras bakakuk dan 11 laras senapang bersama peluru hidup dan palet senapang angin,” katanya pada sidang media di IPD Ranau, hari ini.

    Simiun berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Simiun berkata, polis memandang serius isu pemilikan senjata api dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

    Katanya, siasatan awal mendapati pemilik senjata api memberi alasan pemilikan senjata api berkenaan digunakan untuk keselamatan tanaman dan memburu.

  • Polis tingkat pemantauan terhadap penunggang basikal di jalan raya

    Polis tingkat pemantauan terhadap penunggang basikal di jalan raya

    POLIS akan meningkatkan pemantauan terhadap pengguna jalan raya terutamanya penunggang basikal dalam memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang lalu lintas, sekali gus mengelakkan kemalangan yang membahayakan nyawa masyarakat.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Muhammed Rizal Kamarudin berkata pihaknya mendapati semakin ramai individu yang berbasikal di jalan raya bagi aktiviti riadah, selari dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “Meskipun beriadah, kita minta semua pihak patuhi peraturan jalan raya untuk elak sebarang perkara tidak diingini berlaku, sekali gus membahayakan nyawa,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Trafik Kuantan di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan seorang penunggang basikal mengekori rapat sebuah treler yang dipercayai berlaku di Jalan Kuantan-Gambang di sini pada 17 Sept lalu, yang videonya tular di media sosial baru-baru ini.

    Tambah beliau, polis sedang mencari maklumat lanjut berhubung video berkenaan dan akan memanggil individu tersebut untuk membantu siasatan.

    Katanya, mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang boleh didakwa mengikut Seksyen 54/42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020), iaitu menunggang basikal secara melulu dan merbahaya selain boleh dikompaun di bawah Kaedah 42 LN166/59. – BERNAMA

  • ‘Aku sudah sah Islam’- Pesakit Covid

    ‘Aku sudah sah Islam’- Pesakit Covid

    SEORANG pesakit COVID-19 yang memeluk Islam di katil hospital tempatnya menerima rawatan, melahirkan kegembiraan dengan agama baharunya itu.

    “Aku sudah sah Islam,” kata Laimi @ Nur Laila Tinggi, 66, yang berketurunan Dusun dan dilahirkan dalam agama Kristian dari Beluran.

    Itulah reaksinya selepas memeluk agama Islam, seperti yang dikongsikan oleh anak sulungnya Firdaus Fringco Abdullah, 45.

    Sebuah video berdurasi dua minit yang memaparkan Nur Laila mengucap dua kalimah syahadah ketika terbaring di atas katil dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan, di hadapan tiga jururawat di Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini, tular sehingga mengundang tanggapan netizen bahawa dia memeluk Islam tanpa pengetahuan ahli keluarganya.

    “Kami (keluarga) membuat panggilan video minggu lepas dan pada masa itu ibu menyatakan niatnya (untuk memeluk Islam) yang menyentuh hati kami,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

    Firdaus berkata beliau membuat hantaran dalam Facebook untuk menjelaskan tanggapan yang timbul mengenai keadaan ibunya ketika menerima rawatan di HDOK.

    “Saya rasa bertanggungjawab untuk menjelaskan hal itu menerusi Facebook kerana ibu saya masih mempunyai saudara-mara yang bukan Muslim.

    “Ibu pernah menyatakan hasratnya untuk memeluk agama Islam kerana empat daripada lima anaknya serta beberapa adik-beradiknya juga telah memeluk Islam,” katanya.

    Firdaus berkata beliau telah menghubungi seorang pegawai di hospital itu memohon sekiranya ibunya boleh dibimbing untuk mengucap dua kalimah syahadah di atas katil hospital dan kira-kira 4 petang 9 Sept lepas ibunya sah bergelar saudara baharu.

    Beliau berkata Nur Laila yang menghidap penyakit buah pinggang dan telah melengkapkan vaksinasi COVID-19, dimasukkan ke hospital pada 4 Sept dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

    “Alhamdulillah, ibu saya semakin pulih dengan tiada lagi batuk dan dia juga boleh merasa makanan sekarang.

    “Ibu tidak ditidurkan dan tidak dirawat di unit rawatan rapi,” katanya.

    Firdaus berkata ibunya belum lagi dibenarkan keluar dari hospital dan masih dalam pemantauan berikutan keadaan buah pinggangnya.

    Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital dan kakitangan kesihatan atas dedikasi mereka dalam merawat pesakit COVID-19 termasuk sepanjang rawatan ibunya di HDOK itu.

    “Mereka (hospital dan kakitangan kesihatan) wajar diiktiraf sepanjang masa. Perkhidmatan mereka melangkaui tugas yang bukan hanya perubatan tetapi juga kemanusiaan,” katanya.- BERNAMA

  • 70 peratus populasi di Labuan sudah terima dos pertama

    70 peratus populasi di Labuan sudah terima dos pertama

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 73.63 peratus daripada keseluruhan 103,000 penduduk Labuan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat semalam manakala 69.49 peratus lagi lengkap divaksinasi.

    Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Labuan, Rithuan Ismail berkata, jumlah yang menerima vaksin semakin meningkat dalam tempoh dua bulan lalu.

    Beliau berkata, bagi individu dewasa, 100.97 peratus telah selesai menerima dos kedua.

    “Lebih sedikit daripada 100 peratus adalah disebabkan tambahan jumlah pekerja yang bekerja di sektor berkaitan minyak dan gas Labuan yang menerima vaksin serta mereka yang dalam skim penempatan masyarakat pelarian.

    “Kami ingin mengurangkan penularan jangkitan jadi kami mahu mereka yang bekerja di pulau ini menerima suntikan,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, fasa satu program vaksinasi untuk pelajar sekolah yang dilancarkan baru-baru ini menyaksikan 2,469 daripada 2,593 pelajar layak menerima suntikan pertama.

    “Bagi mencapai imuni kelompok terhadap Covid-19, kita mesti memastikan semua kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas diberi vaksin,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan.

    Rithuan berkata, pulau bebas cukai itu bersedia melaksanakan program vaksinasi fasa dua yang melibatkan 8,225 kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun, menunggu kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

  • Dua pelancong wanita hanya sempat dua jam di Langkawi

    Dua pelancong wanita hanya sempat dua jam di Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA pelancong wanita hanya sempat berada selama dua jam di Langkawi sebelum diarahkan berpatah balik ke Kuala Perlis, kerana cuba memasuki destinasi pelancongan popular itu dalam tempoh tidak sampai 14 hari selepas menerima suntikan kedua vaksin Covid-19.

    Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kedua-dua wanita berusia 32 dan 25 tahun itu tiba di Terminal Feri Penumpang Kuah kira-kira pukul 12 tengah hari dengan menaiki feri dari Kuala Perlis.

    “Pemeriksaan dijalankan di balai ketibaan feri Kuah mendapati kedua-dua penumpang tersebut baru saja menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk tempoh 11 hari.

    “Setelah merujuk perkara itu kepada pegawai perubatan, mereka akhirnya diarahkan untuk kembali ke Kuala Perlis kira-kira pukul 2 petang di Terminal Feri Tanjung Limbung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahya, tiada sebarang kompaun dikenakan terhadap kedua-dua pelancong tersebut yang difahamkan berasal dari Pendang, Kedah dan Sabah.

    “Semua pelancong yang ingin masuk atau sudah pun berada di Langkawi dinasihatkan supaya terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Sebarang kegagalan untuk mematuhi SOP tersebut akan diambil tindakan,” katanya.

  • Rasuah: Mahkamah tentukan 7 November Abdul Latif bela diri atau tidak

    Rasuah: Mahkamah tentukan 7 November Abdul Latif bela diri atau tidak

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TARIKH 7 November ini akan menjadi penentu kepada bekas Exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi sama ada beliau perlu membela diri atau bebas daripada 37 pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

    Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abu Bakar Katar hari ini selepas selesai mendengar hujahan barisan pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding rayuan kes yang berlangsung selama dua hari.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 21 April 2019 yang membebas dan melepaskan Abdul Latif dan dua lagi tertuduh.

    Terdahulu, Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam hujahannya berkata, Mahkamah Sesyen sebelum ini telah terkhilaf dalam membuat keputusan.

    Beliau berkata, dalam kes tersebut pihak pembelaan iaitu Abdul Latif mengakui telah menerima kesemua wang bernilai RM16 juta tersebut.

    “Cuma beliau mengatakan ia adalah pinjaman daripada Amir (Perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub) yang mana pihak pendakwaan berhujah pinjaman tersebut asal-usulnya daripada pemaju-pemaju perumahan yang ingin mendapat pelepasan bumiputera, yang mana Abdul Latif ada peranannya dalam membuat pelepasan itu.

    “Jika diambil kira hal keadaan kes ini, Abdul Latif bersubahat dengan responden pertama (Amir) dan kami tidak perlu membuktikan responden kedua (Abdul Latif) ada menerima duit, apa yang perlu kami buktikan adanya pakatan jenayah antara Amir dan ada pertolongan daripada Abdul Latif untuk Amir melakukan kesalahan tersebut.

    “Hakim bicara telah terkhilaf dalam pemahaman undang-undang yang ada dan telah tidak mempertimbangkan keterangan-keterangan yang penting dalam alasan penghakimannya,” katanya.

    Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan Abdul Latif yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) melibatkan jumlah lebih RM30 juta.

    Anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dikenakan terhadap mereka.

    Pada 14 Jun 2017, Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing dihadapkan dengan empat pertuduhan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram mengikut Akta AMLA 2001.

    Sebelum itu, Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1)(C) Akta SPRM 2009.

    Selain Wan Shaharuddin, barisan pendakwaan turut disertai Ahmad Akram Gharib; Mahadi Abdul Jumaat; Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong.

    Manakala tertuduh dibarisi peguam, Datuk Salehuddin Saidin dan Datuk Hasnal Redzua Merican.

  • Rentas negeri tidak termasuk dalam pengurangan SOP

    Rentas negeri tidak termasuk dalam pengurangan SOP

    KEBENARAN merentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Hishammuddin berkata keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri perlu diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Rentas negeri ada kaitan dengan fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri-negeri yang berkenaan.

    “Tapi syor datang daripada menteri bertanggungawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik, serta dalam Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19,” katanya.

    Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Program Vaksinasi ‘Back To School’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn di sini hari ini. Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.

    Pada 14 Sept, Hishammuddin mengumumkan kerajaan kini di peringkat akhir untuk mengurangkan SOP PPN hanya kepada 10 SOP berbanding 181 sekarang, bagi memudahkan orang ramai untuk memahaminya. 

    Dalam pada itu, Hishammuddin berkata Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet COVID-19 yang melibatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selain beliau sendiri, akan diadakan esok.

    “Mesyuarat akan memberi fokus terhadap usaha mempermudahkan 181 SOP kepada 10 SOP, selain memberi tumpuan terhadap naratif menjelang fasa endemik yang bermula hujung Oktober ini,” katanya.

    Katanya mesyuarat esok juga telah menjemput Menteri Pelancongan Datuk Seri Nancy Shukri, bagi memberi taklimat mengenai status terkini projek perintis gelembung pelancongan Langkawi dan potensi gelembung pelancongan yang lain.

    Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga akan hadir esok, bagi menerangkan tentang potensi kelonggaran-kelonggaran lain dalam sektor sukan.

    Hishammuddin berkata pada minggu hadapan Radzi pula dijadual memberi taklimat kepada Menteri Kuartet mengenai vaksinasi dalam kalangan pelajar, serta perkembangan terkini menjelang pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 3 Okt depan.- BERNAMA

  • 563 guru masih tolak vaksin di Johor

    563 guru masih tolak vaksin di Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 563 guru di negeri ini masih menolak untuk divaksin dengan majoriti daripada mereka memberi alasan faktor kesihatan termasuk sedang hamil.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, majoriti mereka adalah guru wanita yang ada antaranya bimbang suntikan akan menjejaskan kandungan.

    “Ada guru wanita yang hamil bimbang suntikan itu akan memberi kesan dan kita tidak paksa mereka. Guru wanita berkenaan kata lepas bersalin akan ambil suntikan vaksin dan mereka bukan anti vaksin.

    “Namun daripada jumlah 563 ini terdapat kira-kira 200 guru yang enggan divaksin tanpa mempunyai masalah kesihatan,” katanya sempena Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Vaksinasi Pelajar Sekolah Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

    Sebelum ini, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mendedahkan seramai 779 guru di Johor dilaporkan menolak untuk divaksinasi dan mereka memberi alasan membuat kuputusan tersebut kerana ragu dengan vaksin.

    Susulan itu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan mereka bagi mencari penyelesaian di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru pada 27 Ogos lalu.

    Mengulas lanjut, Mazlan berkata, bagi 200 guru itu yang masih ingkar dan menolak untuk divaksin, pihaknya menyerahkan perkara berkenaan kepada Kementerian Pendidikan untuk sebarang tindakan.

    Namun katanya, pendekatan berhemah dengan memberi penjelasan dan penerangan berkenaan vaksinasi akan terus dilakukan dalam usaha memberi kefahaman yang jelas kepada mereka.

    Beliau berkata, jumlah keseluruhan guru yang enggan divaksin itu amat kecil iaitu kira-kira satu peratus daripada 48,000 guru yang terdapat di negeri ini.

    Dalam pada itu, beliau menjunjung kasih dengan keprihatinan Tunku Ismail sanggup bertemu guru-guru yang enggan divaksin itu.

    “Kita lihat selepas perjumpaan bersama Tunku Ismail jumlah berkurangan yang menampakkan kesannya.

    Tunku Ismail semasa pertemuan itu berkongsi pengalaman, suasana dan memberitahu persepsi awal baginda sendiri.

    “Tunku Ismail rasakan persepsi awalnya bahawa vaksin ini sesuatu yang baharu, merasakan gementar dan perkara baru risau baik atau tidak tetapi akhirnya setelah divaksin tiasa masalah,” katanya.