Category: Semasa

  • Bimbang buaya sesat masuk rumah dinaiki air banjir

    Bimbang buaya sesat masuk rumah dinaiki air banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas di Kampung Tanjong Siam, Kuala Selangor yang ketika ini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bimbang banjir yang melanda kediamannya mengundang kehadiran buaya Sungai Selangor.

    Ini kerana kata Hasnah Jalil, 68, rumahnya itu hanya kira-kira 10 meter dari Sungai Selangor yang terkenal dengan habitat buaya.

    “Saya takut jika air banjir masuk ke dalam rumah ada buaya dari Sungai Selangor tersesat ikut sekali.

    “Biarpun kejadian ini tidak pernah berlaku, tetapi saya bimbang juga,” lapor Sinar Harian ketika dia ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan di sini semalam.

    Mengulas lanjut banjir itu, Hasnah berkata, kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku sebaik dia terjaga daripada tidur apabila limpahan air mula memenuhi tempat tidurnya pada pagi semalam.

    Menurutnya, kejadian air masuk ke dalam rumah disedari selepas kakinya tiba-tiba terasa sejuk ketika sedang nyenyak tidur di dalam rumah.

    “Sebaik saya buka mata, tiba-tiba badan menggigil kesejukan dan melihat air sudah melimpah ke keseluruhan rumah.

    Penduduk bimbang banjir akan menyebabkan buaya mengikut arus banjir dan masuk ke rumah mereka

    “Saya sempat mengemas barangan penting dan mengalihkan peti ais dan mesin basuh di atas batu bata untuk mengelakkan kerosakan,” ujarnya.

    Menurut Hasnah, air memenuhi rumahnya dengan cepat kerana sebelum ini hanya bahagian dapur digenangi air kelmarin.

    Seorang lagi penduduk, Zoyah Majid, 76, berkata, kejadian banjir melimpah ke dalam rumah disedari sebaik dia pulang dari rumah anaknya.

    Katanya, kejadian jam 6 pagi itu menyebabkan kediamannya dipenuhi air setinggi 0.2 meter.

    “Kelmarin saya menumpang tidur di rumah anak perempuan yang terletak berhampiran, sebaik pulang terkejut mendapati rumah sudah dipenuhi air,” katanya.

    Menurutnya, kejadian banjir kali ini disifatkan agak teruk berbanding tahun sebelumnya.

    “Air banjir ini pula kotor dipenuhi lumpur dan ini sudah tentu merungsingkan saya hendak mengemas selepas banjir surut,” katanya.

    Air banjir ke dalam rumah disedari soerang penduduk selepas kakinya tiba-tiba terasa sejuk ketika sedang nyenyak tidur

    Sementara itu, Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, seramai 35 mangsa daripada 14 Keluarga ditempatkannya di SK Pasangan.

    Katanya, PPS itu mula dibuka semalam menempatkan seramai 14 lelaki dan 21 perempuan.

    Sehingga kini, sebanyak tiga PPS dibuka iaitu di SK Rantau Panjang, SK Parit Mahang dan SK Pasangan.

    Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kuala Selangor berjumlah 132 mangsa membabitkan seramai 46 keluarga setakat jam 6 petang.

  • Sehingga 1,000 jemaah dibenar solat Jumaat di masjid Selangor

    Sehingga 1,000 jemaah dibenar solat Jumaat di masjid Selangor

    SERAMAI 1,000 orang jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam manakala 500 jemaah lagi untuk masjid lain di Selangor semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

    Ketetapan baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi satu edaran itu berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tempoh yang akan ditentukan kemudian.

    Menurut JAIS, had jemaah baharu itu termasuk pentadbir masjid dibuat selepas mengambil kira penurunan kes Covid-19 yang konsisten dan terkawal, peningkatan peratus vaksinasi lengkap, kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri serta beberapa indikator yang signifikan.

    Katanya, untuk Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dan masjid institusi, masing-masing ditetapkan seramai 500 jemaah bagi solat Jumaat serta 300 jemaah untuk solat lima waktu.

    Selain itu katanya, bagi masjid pengurusan pula, adalah ditetapkan seramai 400 jemaah bagi solat Jumaat dan 300 jemaah solat lima waktu, manakala 350 jemaah untuk masjid kariah bersolat Jumaat dan 200 jemaah dihadkan bagi solat lima waktu.

    “Surau kebenaran solat Jumaat pula 250 jemaah dibenar untuk solat Jumaat, manakala 200 jemaah untuk solat lima waktu, sementara surau kariah dan musolla pula dibolehkan 100 jemaah bagi solat lima waktu,” kata edaran itu hari ini.

    Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak diberi penekanan dengan jemaah hanya dalam kalangan ahli kariah yang tinggal bermastautin dalam kawasan dan perlu lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan melepasi tempoh inkubasi ditetapkan.

    Masjid dan surau juga dibenar menerima jemaah bermusafir atau pemandu e-hailing dan penghantar makanan.

    “Jemaah bukan warganegara yang dikenali dan melazimi hadir ke masjid/surau boleh dipertimbangkan,” kata edaran itu lagi.

    Selain itu dimaklumkan, program mengimarahkan masjid dan surau dibenar dilaksana, antaranya kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, halaqah tadarus dan tadabbur Al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Yasin dan tahlil serta program munajat dan doa.

    Bagaimanapun, jamuan selepas majlis dan penyediaan secara hidang tetap tidak dibenarkan.

  • Dua mayat pemancing hilang ditemukan lemas

    Dua mayat pemancing hilang ditemukan lemas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih, Ulu Tiram, Johor Bahru malam kelmarin ditemukan meninggal dunia akibat lemas, pagi ini.

    Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor dalam kenyataan memaklumkan, mayat Ramdan Sulaiman, 50, ditemukan pada pukul 7.29 pagi manakala mayat Amiruddin Abdul Karim, 53, ditemukan pada pukul 8.03 pagi.

    Anggota APM dan bomba mengangkat dua mayat pemancing yang ditemukan pagi ini selepas hilang ketika memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih, Ulu Tiram, Johor Bahru

    “Kedua-dua mayat ditemukan penduduk kampung. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 10 pagi,” menurut kenyataan itu.

    Kedua-dua mangsa keluar memancing berdekatan jeti berkenaan sebelum hilang dan hanya bot mangsa ditemukan pada malam kelmarin.

    Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya dibantu Pasukan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Johor, APM, polis marin dan polis dalam operasi SAR.

    Ketua Bomba Zon 2, Al Hasra Mohamed berkata, penyelaman dilakukan pada 100 kaki radius dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

    Penduduk kampung menemukan dua mayat pemancing pada pukul 7.29 dan 8.03 pagi

    “Kejadian tersebut disedari salah seorang pekerja korek pasir berhampiran lokasi mangsa dipercayai lemas selepas melihat kedua-dua mangsa sedang memancing.

    “Selang beberapa ketika, saksi mendengar jeritan meminta bantuan berhampiran bot mangsa dan kemudiannya kedua-dua mangsa hilang dari pandangan,” katanya.

  • Fasa endemik, menteri berkaitan diminta teliti kembali SOP – Muhyiddin

    Fasa endemik, menteri berkaitan diminta teliti kembali SOP – Muhyiddin

    SEMUA kementerian yang berkaitan diminta meneliti kembali prosedur operasi standard (SOP) yang perlu bagi memastikan kelancaran pembukaan pelbagai sektor ekonomi tanpa ada kekangan, dalam menuju fasa endemik Covid-19.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata menteri-menteri yang terlibat telah dimaklumkan mengenai perkara itu beberapa hari lepas.

    Beliau berkata ini kerana Malaysia perlu mencari jalan untuk menyeragamkan peraturan mengenai SOP, dan beliau memberi contoh amalan sekarang yang membenarkan perjalanan ke Langkawi tanpa permit polis jika menggunakan penerbangan, dan wajib mendapatkan permit polis jika menggunakan pengangkutan darat.

    “Kita kena melihat segalanya dengan perspektif yang sama, kerana tujuan kita adalah untuk melihat proses pemulihan tercapai dalam satu jangka masa yang tidak terlalu lama,” katanya ketika ditemu bual dalam Program Agenda Awani terbitan Astro Awani malam tadi. 

    Sementara itu Muhyiddin berkata beliau berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskan agenda pemulihan negara daripada Covid-19, termasuk dalam soal pemulihan ekonomi, dan memastikan kesejahteraan rakyat. 

    “Yang ini harus diberi perhatian oleh kerajaan dan di pihak saya, saya akan bantu laksanakan… asalkan tidak ada gangguan-gangguan politik yang berpanjangan,” katanya.

    Beliau seterusnya menyifatkan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini dapat meredakan krisis politik negara dan membantu mengembalikan fokus kepada usaha memulihkan negara.

    Sementara itu merujuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan minggu depan, Muhyiddin berkata ia perlu perlu mengambil kira bentuk-bentuk sokongan daripada sudut kerajaan dan swasta supaya sektor ekonomi dan sosial akan terus dapat dibuka.

  • PGA serbu tempat simpanan rokok seludup, rampasan RM380,885

    PGA serbu tempat simpanan rokok seludup, rampasan RM380,885

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAKTIK satu sindiket penyeludupan menjadikan sebuah premis sebagai tempat penyimpanan rokok seludup di Jalan Dedap 36, Johor Jaya, Johor Bahru terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, sepasukan pegawai dan anggota melakukan serbuan pada pukul 5.45 petang serta menahan seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun.

    Beliau memberitahu, lelaki berkenaan merupakan penjaga premis berkenaan yang sudah dijadikan tempat penyimpanan rokok sejak setahun lalu.

    “Kita berjaya merampas 1,806 karton rokok seludup atau lari cukai. Turut dirampas sebuah kereta Produa Bezza yang digunakan dalam sindiket tersebut, wang tunai RM330 dan dua buah telefon bimbit.

    “Antara rokok seludup yang dirampas 50 karton rokok jenama Canyon Menthol 20 batang; 54 karton rokok Canyon Blast 20 batang; 266 karton rokok Canyon Premium 20 batang; 295 karton rokok RE King 16 batang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Seorang lelaki ditahan dan 1,806 karton rokok seludup dirampas dalam satu serbuan dilakukan PGA

    Turut dirampas 188 karton rokok RE Bold 16 batang; 278 karton rokok U2 Full Flavour 20 batang; 49 karton rokok M-ONE hijau 20 batang; 98 karton rokok Jenama VSTAR 20 batang dan 88 karton rokok SKY ONE S1 Full Flavour 20 batang.

    Katanya, hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah ini.

    Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM380,885.

    Tangkapan dan rampasan katanya, dibawa ke Ibu Pejabaat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, katanya.

    “Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar Johor Bahru. Orang awam perlu terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban.

    “Ini termasuk kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya.

  • Pesara dakwa rugi RM16,000 ditipu anak saudara

    Pesara dakwa rugi RM16,000 ditipu anak saudara

    SEORANG pesara membuat laporan polis mendakwa kerugian RM16,000 selepas ditipu anak saudaranya bagi melepaskan anaknya yang ditahan polis bagi kesalahan berkaitan dadah, Julai lepas. 

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 62 tahun mendakwa menerima pesanan WhatsApp daripada seorang lelaki kononnya anggota polis berpangkat ASP pada 6 Julai lepas, berhubung tangkapan anaknya oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut. 

    “Suspek mendakwa boleh membantu melepaskan anaknya, namun perlu berurusan dengan anak saudaranya berhubung prosedur selanjutnya dan wang RM16,000 perlu disediakan bagi tujuan tersebut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Mohd Wazir berkata mangsa telah meminta isterinya membuat transaksi pemindahan wang secara dalam talian sebanyak empat kali ke akaun yang dikatakan milik ASP itu antara 17 dan 25 Julai lepas.

    Bagaimanapum mangsa hanya menyedari ditipu selepas dihubungi polis pada 31 Julai lepas memaklumkan anaknya akan dihantar ke Simpang Renggam, Johor menyebabkan dia menghubungi anak saudaranya bagi mendapatkan penjelasan dan dipulangkan wang yang telah dibayar.

    Namun suspek enggan berbuat demikian sehingga semalam, menyebabkan mangsa membuat laporan di IPD Jerantut. 

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA 

  • Dewan Rakyat:16 menteri dijangka gulung perbahasan Titah Diraja hari ini

    Dewan Rakyat:16 menteri dijangka gulung perbahasan Titah Diraja hari ini

    SERAMAI 16 menteri dijangka menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja berkaitan kementerian masing-masing pada persidangan Parlimen hari ini, setelah berakhirnya sesi perbahasan semalam yang berlangsung sejak 14 Sept lepas.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, antara kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

    Dalam pada itu, isu kajian semula gaji minimum, kes pelanggaran status makanan dan produk halal serta situasi pekerjaan belia ketika pandemik COVID-19 antara yang bakal dikupas semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan. 

    Semasa sesi soal jawab lisan itu, Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) bertanyakan Menteri Sumber Manusia mengenai tahap pelunasan komitmen kerajaan serta perincian usaha dalam kajian semula gaji minimum.

    Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula bertanyakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkenaan langkah mengatasi dan jumlah kes pelanggaran status makanan serta produk halal sama ada yang diimport atau keluaran dalam negara.

    Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt.- BERNAMA

  • Boleh ‘hentam’, tetapi saya pilih utamakan rakyat – Muhyiddin

    Boleh ‘hentam’, tetapi saya pilih utamakan rakyat – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan sedia ada akan meneruskan agenda untuk memulihkan negara dari pandemik COVID-19 dan mengutamakan kebajikan rakyat seperti yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, ini termasuk memberikan perhatian terhadap mengangkat kembali sektor ekonomi negara dan bukannya terhadap krisis politik yang berpanjangan.

    “Saya sudah 45 tahun dalam kancah politik, saya tahu politik, bukan saya tidak tahu berbahas, hentam lawan (dalam politik). Tetapi saya tahu rakyat susah, saya akan dimarahi kalau saya buat begitu kerana kes tidak selesai tetapi kita bergaduh sesama sendiri, berebut kuasa.

    “Kerana itu, saya sebagai Perdana Menteri (dahulu) dan walaupun tidak lagi kini, (fokus) adalah untuk membantu rakyat. Itu bagi saya paling penting, paling utama. That is what we have been doing and I think we have been quite successful in that area,” kata beliau dalam wawancara bersama Agenda AWANI mala mini.

    Beliau pada masa sama memuji langkah kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru-baru ini memeterai kerjasama dwipartisan menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama Pakatan Harapan (PH) diatas dasar untuk membawa kestabilan kepada negara.

    “Bagi saya kalau itu dapat kita lakukan tidak kira, asalkan tidak ada gangguan politik yang berpanjangan. (Seperti) baru-baru ini yang saya lihat MoU Kerajaan dan Pakatan Harapan dapat meredakan (keadaan) dan memberikan lebih masa untuk menumpukan kerja induk.

    “It is about recovery, itu penting bagi kita. Jadi itu kalau dapat kita kurangkan, kita dapat membantu rakyat,” tambah beliau.

  • 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin bukti PPN di landasan betul – Muhyiddin

    80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin bukti PPN di landasan betul – Muhyiddin

    KEJAYAAN negara mencapai 80 peratus populasi dewasa yang lengkap divaksin hari ini membuktikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berada di landasan yang betul, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Bekas Perdana Menteri berkata, ia  juga menunjukkan kejayaan perancangan pembelian vaksin oleh Malaysia yang merupakan antara negara terawal di Asia memeterai perjanjian dengan beberapa pembekal vaksin pada skala besar.

    ‘’Hubungan baik Malaysia di peringkat antarabangsa juga memberi manfaat apabila kita menerima sumbangan vaksin melebihi 5 juta dos dari negara Jepun, Arab Saudi, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, bahawa suntikan penggalak (booster) akan diberikan seawal Oktober, terutamanya untuk frontliners yang lebih banyak terdedah kepada risiko virus itu.

    ‘’Saya juga mengalu-alukan Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) diumumkan Perdana Menteri untuk golongan B40. Pembelian alat pulse oxymeter untuk menyukat kadar oksigen pesakit telah diluluskan oleh Kerajaan dalam Sidang Khas Covid-19 Majlis Keselamatan Negara sebelum ini.

    ”Pemberian PPC yang berjumlah RM471.6 juta ini menunjukkan kesinambungan Kerajaan Prihatin yang peka kepada keperluan rakyat terutamanya golongan rentas,’’ katanya.

    Muhyiddin berharap pakej bantuan itu dapat disegerakan dan sampai kepada golongan sasar mengikut perancangan demi kemaslahatan rakyat.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan mencapai 80 peratus dewasa lengkap divaksinasi yang dirancang oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu bermakna lebih 40 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi Malaysia.

    ‘’Saya merasa teruja dan bangga dengan pencapaian ini, lebih-lebih lagi kejayaan ini dicapai sebulan lebih awal dari yang telah kita jadualkan,’’ kata beliau.

    Muhyiddin berkata, seperti sering beliau ingatkan berhubung strategi kerajaan ketika menjadi Perdana Menteri ialah mahu seramai mungkin rakyat menerima vaksinasi lengkap. ‘’Lebih ramai divaksin, lebih ramai yang dilindungi daripada jangkitan Covid-19, lebih cepat kita membentuk imuniti kelompok. Ini sekali gus mengurangkan beban terhadap sistem kesihatan awam dan melancarkan proses pemulihan ekonomi,’’ katanya.

    Tumpuan kini kata Muhyiddin patut diberikan kepada negeri yang masih rendah kadar vaksinasinya agar proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

    ‘’Di Sabah misalnya, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa paling rendah ketika ini dengan hanya 53.7 peratus. Negeri lain seperti  Kelantan, Perak, Kedah dan Pahang masih di bawah 60 peratus,’’ kata beliau.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), terutamanya tim Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) diketuai Khairy Jamaluddin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

    ‘’Tahniah juga kepada seluruh petugas barisan hadapan kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti dan para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan agenda utama kerajaan dalam menguruskan pandemik Covid-19,’’ katanya.

  • Spritzer bantu golongan terjejas semasa pandemik

    Spritzer bantu golongan terjejas semasa pandemik

    SPRITZER Malaysia, pengeluar air mineral semula jadi menyatakan komitmen untuk terus menyumbang kepada golongan yang bernasib baik ketika pandemik Covid-19.

    Spritzer ketika ini telah menyumbang bantuan bernilai lebih dari RM60,000 yang diagihkan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bank makanan dan restoran.

    Selain aktiviti sumbangan derma lain, syarikat tersebut akan berterusan menyokong inisiatif dan program jangkauan masyarakat yang menyasar kepada kumpulan terpinggir atau terjejas teruk.

    Spritzer dalam kenyataan berkata, sumbangan ini cukup bermakna kepada Spritzer bersempena sambutan ulang tahun penubuhan ke-32 hari ini.

    “Kaedah terbaik untuk meraikan satu lagi pencapaian dalam perjalanan korporatnya adalah dengan meneruskan komitmen untuk menyokong pelbagai lapisan masyarakat rakyat Malaysia, khususnya mereka yang telah terpinggir di dalam masyarakat dan kekurangan barangan keperluan seperti makanan, tempat berlindung atau air minuman yang selamat,” kata Spritzer.

    Spritzer mengakui pandemik ini begitu berat kesannya terhadap golongan B40, masyarakat Orang Asli, gelandangan dan penduduk luar bandar.

    Syarikat ini telah meningkatkan program jangkauan masyarakatnya pada April 2021 menerusi kerjasama dengan badan bukan kerajaan iaitu membekalkan mereka bantuan dalam bentuk air minuman bersih ketika gelombang ketiga pandemik COVID-19 melanda.