Category: Semasa

  • Anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM700

    Anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM700

    SEORANG anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas tuduhan menerima rasuah RM700 bagi membebaskan seorang lerlaki yang didapati memiliki air ketum, hujung tahun lepas. 

    Pengakuan Mohamed Syaffiq Mohamed Sidek, 32, yang berkhidmat di Bahagian Tugas Bit dan Patrol (Rondaan) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain. 

    Dia didakwa menerima suapan itu antara jam 1 tengah hari dan 2 petang, 25 Dis lepas di tempat kerjanya daripada seorang lelaki yang dikatakan sebagai dorongan melepaskan rakannya yang ditahan kerana disyaki memiliki air ketum. 

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

    Mohamad Syaffiq, yang tidak diwakili peguam, merayu supaya jaminan RM10,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan kepada RM3,000 kerana mempunyai tempoh masa singkat untuk mengumpulkan wang selepas dimaklumkan SPRM untuk hadir ke mahkamah pada minggu lepas.  

    “Isteri saya yang bekerja sebagai jururawat akan menjadi penjamin. Saya mempunyai dua anak berusia tujuh dan tiga tahun selain menjaga ibu serta ayah. Saya mungkin digantung kerja selepas ini dan sukar untuk mencari pekerjaan baharu disebabkan COVID-19,” katanya. 

    Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin.-BERNAMA 

  • Covid-19: 14,990 kes baharu, lapan negeri lebih 1,000 kes

    Covid-19: 14,990 kes baharu, lapan negeri lebih 1,000 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini turun sedikit berbanding semalam apabila merekodkan sebanyak 14,990 kes hari ini berbanding 15,759 jangkitan semalam.

    Penurunan sebanyak 769 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 2,142,924 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kembali mendahului negeri dengan kes jangkitan baharu terbanyak dengan 2,414 kes berbanding 1,934 kes semalam.

    Tujuh negeri lain turut menyumbang lebih seribu kes positif harian Covid-19.

    Negeri itu ialah Johor (1,880 kes), Sarawak (1,712 kes), Kelantan (1,573 kes) Perak (1,490 kes), Pulau Pinang (1,224 kes), Sabah (1,199 kes) dan Kedah (1,007 kes).

    Perlis kembali mencatatkan kes terbanyak hari ini dengan 97 kes berbanding 23 kes semalam.

    Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu tiga jangkitan diikuti dan Putrajaya (30 kes).

  • Kerajaan perhalusi cadangan naikkan had pengeluaran i-Citra

    Kerajaan perhalusi cadangan naikkan had pengeluaran i-Citra

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU kajian secara menyeluruh akan dilakukan kerajaan mengenai cadangan untuk menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi kemudahan i-Citra.

    Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, cadangan itu akan diperhalusi dan pertimbangan mengambil kira semua bentuk bantuan yang telah dan akan disalurkan oleh kerajaan, bagi meringankan beban ahli KWSP yang terjejas.

    “Pertimbangan ini perlu turut mengambil kira keperluan untuk mengimbangi antara keperluan semasa dan kepentingan simpanan persaraan untuk masa hadapan dengan kadar negara dijangka mengalami penuaan penduduk pada 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

    Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021.

    Ini sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19 serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.

    Menerusi kemudahan i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.

  • Jumlah guru anti vaksin di Terengganu semakin berkurangan

    Jumlah guru anti vaksin di Terengganu semakin berkurangan

    MOHD LAZIM ENDUT

    PROGRAM penerangan, motivasi dan kefahaman yang diberikan kepada guru-guru menyebabkan jumlah golongan tersebut yang menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 atau anti vaksin di Terengganu semakin berkurangan.

    Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani, sejak berita lebih 100 guru di negeri ini menolak vaksin dilaporkan, sudah ada guru daripada golongan berkenaan mula terbuka hati untuk menerima vaksin.

    Namun katanya, data terkini baki guru yang masih berkeras menolak vaksin masih belum diperoleh.

    Menurut beliau, JPNT sentiasa memberi peluang kepada mereka dan sekiranya ingin divaksin, boleh pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) pada bila-bila masa sahaja secara walk-in.

    “Kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada guru terbabit,” ujarnya kepada media apabila ditanya perkembangan terkini mengenai guru yang menolak vaksin di Terengganu selepas meninjau proses pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu hari ini.

    Sementara itu, Salim memberitahu, sehingga ini semua sekolah yang terbabit di negeri ini sudah bersedia memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober depan.

    Katanya, dianggarkan 17,000 pelajar Tingkatan Lima dan 2,000 pelajar Tingkatan Enam akan memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka nanti.

    “Sekiranya ada ibu bapa yang masih keberatan untuk membenarkan anak-anak ke sekolah secara fizikal, terpulang kepada mereka dan ia tidak menjadi kesalahan disiplin.

    “Bagaimanapun, ibu bapa perlu menyerahkan surat makluman sebagai rekod sekolah,” jelas beliau.

  • KDN mohon RM10 juta untuk aktiviti pulihkan penagih

    KDN mohon RM10 juta untuk aktiviti pulihkan penagih

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memohon peruntukan khas RM10 juta melalui Belanjawan 2022 bagi merancakkan aktiviti serta usaha mengekalkan kepulihan bekas penagih dadah di seluruh negara bagi tahun hadapan.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu penting bagi membuktikan bahawa usaha pemulihan adalah tidak mustahil dan boleh dicapai.

    Sehubungan itu katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah memperkenalkan inisiatif baharu dalam mengetengahkan individu yang pernah menerima rawatan dan pemulihan di agensi berkenaan.

    “Pada tahun ini, seramai 30 mentor yang mencapai standard kepulihan tersendiri telah dilantik untuk menjadi contoh atau ‘role model’ kepada masyarakat untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

    “Pendekatan ini secara tidak langsung bakal memberi kesedaran dan motivasi kepada individu yang sedang terlibat dengan masalah dadah untuk hadir mendapatkan rawatan secara sukarela di fasiliti disediakan kerajaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah dan Hari Kepulihan AADK Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 secara maya di Kuala Lumpur, hari ini.

    Simposium itu juga adalah satu daripada usaha KDN melalui AADK untuk menggembleng usaha dan mengiktiraf potensi kesukarelawanan ditunjukkan oleh pemimpin komuniti, NGO, klien AADK dan bekas klien (penagih dan bekas penagih) seramai 1,500 peserta.

    Sehingga 31 Ogos tahun ini, seramai 47,863 orang menerima rawatan dan pemulihan di AADK seluruh negara dan membuktikan perkhidmatan berkenaan tidak terjejas ketika pandemik Covid-19.

    Bahkan, penggunaan teknologi juga dipertingkatkan bagi memastikan penghuni mendapat akses rawatan.

    Hamzah berkata, isu penyalahgunaan dadah perlu ditangani menggunakan pendekatan bersepadu, pelbagai disiplin, saling sokong menyokong dan seimbang di antara pengurangan permintaan dan penawaran.

    Beliau berharap, segala usaha kesukarelawanan dalam membantu pemulihan terus dipelbagaikan dengan menampilkan usaha lebih kreatif dan berkesan.

    Namun, katanya pada masa sama, tahap kefahaman kepada masyarakat juga harus dilakukan secara konsisten bagi memberikan kesedaran bahawa penagih dadah perlu dirawat.

  • Maqis P. Pinang rampas 2.7 tan makanan haiwan dari Thailand

    Maqis P. Pinang rampas 2.7 tan makanan haiwan dari Thailand

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 2.7 tan makanan haiwan dari Thailand yang cuba dibawa masuk tanpa dokumen import sah semalam.

    Maqis Pulau Pinang merampas makanan haiwan yang cuba dibawa masuk dari Thailand ketika operasi di Gudang Zon Bebas Dermaga Air Dalam, Butterworth petang semalam.

    Rampasan produk membabitkan nilai kira-kira RM85,600 itu dilakukan dalam operasi dan pemeriksaan di Gudang Zon Bebas Dermaga Air Dalam, Butterworth pukul 4.30 petang.

    Jabatan itu dalam satu kenyataan di sini memaklumkan, produk tersebut disita untuk siasatan lanjut kerana didapati cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen sah seperti Permit Import.

    “Kesemua barang dagangan adalah untuk dipasarkan di negara ini,” demikian menurut kenyataan itu.

    Jabatan itu menjelaskan, perbuatan mengimport keluaran pertanian dan haiwan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    Jika sabit kesalahan tambahnya, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000  atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

  • Lantik ahli politik dalam jawatan diplomatik tidak bahaya berbanding GLC – Nazri

    Lantik ahli politik dalam jawatan diplomatik tidak bahaya berbanding GLC – Nazri

    AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz berkata peraturan dikenakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang melarang ahli politik dihantar ke luar negara sebagai duta adalah bagi mengaburi keperluan yang lebih mendesak iaitu menangani budaya melantik ahli politik dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    Beliau berkata langkah melantik ahli politik bagi jawatan diplomatik tidak membahayakan negara berbanding melantik golongan itu untuk menduduki jawatan dalam GLC.

    Nazri turut mempersoalkan mengenai duta bukan diplomatik telah dijadikan isu kerana PH mahu “cuba jadi popular”.

    “Tapi taulah, PH ni playing to the gallery. Jadi ia menjadi benda yang mudah, dia buatlah piagam mengatakan diplomat tidak boleh dilantik dari kalangan ahli Parlimen,” kata Nazri dalam wawancara bersama portal MalaysiaNow.

    Nazri mengatakan pelaksanaan dasar yang melarang ahli politik memegang jawatan GLC adalah lebih utama.

    Dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, PH berjanji untuk melantik ketua dan pengarah GLC berdasarkan merit profesional mereka dan bukannya di atas dasar mereka memiliki hubungan dengan parti-parti kerajaan.

    Bagaimanapun, gabungan itu dilihat melanggar manifestonya selepas beberapa ahli Parlimen dan ahli politik dari parti kerajaan dilantik untuk mengetuai GLC, termasuk beberapa calon PH yang kalah dalam PRU ke-14 pada 2018.

    Pada Mei lalu, badan pemikir Institute For Democracy and Economic Affairs menyenaraikan 25 ahli politik dari DAP, Amanah, PKR dan Bersatu yang diberi jawatan penting dalam GLC dan badan berkanun di bawah pentadbiran kerajaan PH.

    Nazri berkata, dasar untuk menghentikan ahli politik daripada mengetuai GLC tidak pernah diperkenalkan PH kerana para pemimpinnya mahu memberikan jawatan GLC kepada mereka yang tidak dilantik menganggotai Kabinet.

    “Kalau dikatakan pengerusi GLC tak boleh dari kalangan ahli Parlimen, dia punya perangai lagi teruk daripada kita. Sebab dia nak jaga nangoi-nangoi yang jadi ahli Parlimen, yang menunggu, ‘aku tak jadi menteri takkan GLC pun tak boleh bagi’,” katanya.

    Nazri juga berkata bahawa ketiadaan dasar mengenai GLC di bawah PH adalah disengajakan.

    “PH ingin letak ahli-ahli Parlimennya di pelbagai jawatan, oleh sebab itu mereka ketepikan (larangan ahli politik pegang jawatan dalam GLC) dan buat perkara yang lebih mudah (mengenai pelantikan diplomat),” tambahnya.

    Nazri turut mempersoalkan dasar yang melarang ahli politik daripada dilantik untuk menduduki jawatan diplomatik yang mewakili negara.

    “Jadi kepada saya, jika kamu diplomat sudah tentu kamu kena kerja, kena jaga negara dan kerajaan. Dan tidak ada ruang sebenarnya seorang diplomat untuk nak cari makan, buat duit, tak ada ruang kerana kerja dia diplomat. Jadi kepada saya, lebih bahaya GLC. Yang itu yang patut ada piagam kata tak boleh,” tegasnya.

  • Warga emas kerugian lebih RM1 juta ditipu ‘pegawai LHDN’

    Warga emas kerugian lebih RM1 juta ditipu ‘pegawai LHDN’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas kerugian lebih RM1 juta selepas ditipu seorang lelaki yang menyamar sebabgai Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kononnya terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram awal bulan ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut semalam iaitu wanita berusia 69 tahun itu menjadi mangsa terbaharu Macau Scam.

    “Mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai Pegawai LHDN memaklumkan mangsa terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram pada awal September 2021.

    “Panggilan yang dibuat kemudian disambung kepada Mr. Yong yang juga menyamar sebagai polis. Mangsa berasa takut dan mengikut arahan untuk membuka akaun HSBC atas nama mangsa dan memberikan no siri serta kad ATM serta nombor pin HSBC kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, antara 3 hingga 17 September, mangsa telah membuat pemindahan wang daripada akaun OCBC, RHB, CIMB, AM Bank dan Public Bank ke akaun ke akaun HSBC dengan jumlah RM1,032,513.

    Mangsa juga katanya, menyerahkan semua nombor tac kepada suspek dan semalam wanita berkenaan pada baki akaun bank HSBC tersebut dan mendapati semua wang tersebut sudah lesap.

    Kes tersebut katanya, disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara setahun hingga 10 tahun selain denda dan sebatan.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan peka dengan trend jenayah semasa terutama melibatkan transaksi belian online, pelaburan dan perkenalan dalam talian.

  • KKM belanja RM593 juta untuk peralatan tambahan rawatan Covid-19

    KKM belanja RM593 juta untuk peralatan tambahan rawatan Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) membelanjakan sebanyak RM593 juta untuk memperolehi peralatan perubatan tambahan bagi memastikan pesakit Covid-19 bagi tempoh 2020 dan 2021.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini kerana keadaan ketika ini berada pada tahap kritikal dan perlu mendapatkan rawatan terbaik.

    “Perbelanjaan itu melibatkan peralatan antaranya seperti katil unit rawatan rapi (ICU), mesin ventilator dan silinder oksigen.

    “Ini tidak termasuk sumbangan yang telah kita terima daripada luar negara dan dalam negara melibatkan jumlah sumbangan bernilai RM148 juta,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof (Bersatu-Alor Gajah) berhubung jumlah perbelanjaan yang telah digunakan KKM untuk menangani kes Covid-19.

    Menjawab soalan tambahan daripada Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai keperluan menambah tenaga kerja selari dengan peningkatan kapasiti rawatan Covid-19, Khairy menyatakan bahawa KKM telah menubuhkan ‘National Rapid Response Taskforce’ bagi tujuan tersebut.

    Beliau berkata, pasukan khas tersebut boleh diatur gerak kepada mana-mana kawasan atau negeri yang berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 dan kapasiti rawatan.

    “Sebagai contoh, di Pulau Pinang kita telah dan sedang atur gerak 223 petugas kesihatan, 57 pegawai perubatan, 36 jururawat dan 62 penolong pegawai perubatan.

    “Di Kedah, saya telah atur gerak 156 petugas kesihatan. Di Sabah juga telah menunjukkan peningkatan kes, jadi telah diatur gerak 102 kakitangan kesihatan.

    Khairy berkata, selain dapat menampung keperluan pekerja kesihatan di kawasan yang merekodkan peningkatan kes, pasukan tersebut juga akan dapat memastikan petugas barisan hadapan di kawasan berkenaan tidak mengalami ‘burnout’ ekoran beban kerja yang berlebihan.

  • Buruh mengaku tidak bersalah bakar pondok bit polis

    Buruh mengaku tidak bersalah bakar pondok bit polis

    SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar pondok bit polis berhampiran Pasar Jelawat, Bachok, pada 11 Sept lepas.

    Tertuduh Mohd Zamri Mohd Zakariyah, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan, Mohd Zamri yang masih bujang didakwa melakukan khianat dengan api dengan cara membakar pondok bit polis di Jelawat, Bachok pada jam 2.20 pagi, 11 Sept lepas.

    Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar dan Husni Mubarak.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Okt depan untuk sebutan semula kes.- BERNAMA