Category: Semasa

  • SPRM teliti dokumen pindah wang MBI Kedah RM13 juta

    SPRM teliti dokumen pindah wang MBI Kedah RM13 juta

    BEBERAPA dokumen berkaitan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang dikatakan dipindahkan ke akaun di luar negara sedang diteliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Memetik laporan BH, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, dokumen itu diperoleh selepas pegawainya menemui Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di pejabatnya semalam.

    “Sebelum ini kita hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui media sosial dan sumber luar sebelum SPRM berkunjung ke Pejabat Menteri Besar pagi semalam. Beliau memberi kerjasama yang baik.

    “Kita sudah dapatkan beberapa dokumen penting berkaitan untuk penelitian awal, namun belum ada siasatan rasmi dibuat.

    “SPRM juga belum terima sebarang laporan rasmi (berhubung pemindahan wang) daripada mana-mana pihak,” katanya, hari ini.

    Pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin, Muhammad Sanusi mendakwa wang milik MBI berjumlah RM13 juta dipindahkan ke akaun luar negara ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih memegang jawatan Menteri Besar Kedah.

    Muhammad Sanusi berkata, wang berkenaan dipindahkan ke sebuah akaun bank di Kanada dan terdapat slip pemindahan masih disimpan pihaknya sebagai bukti.

    Walau bagaimanapun, Mukhriz dalam sidang media semalam, meminta Muhammad Sanusi membuat laporan polis dan kepada SPRM berhubung dakwaan itu.

    Mukhriz berkata, beliau memandang serius dakwaan terbabit kerana ia memberi gambaran buruk terhadapnya dan kerajaan negeri terdahulu ketika beliau menerajui Kedah.

  • Tunggakan cukai KFA kini mencecah RM10 juta

    Tunggakan cukai KFA kini mencecah RM10 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Tunggakan cukai Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kini mencecah RM10 juta setelah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan semakan semula terhadap perkara itu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, pada awalnya KFA sudah pun menerima tuntutan notis LHDN berjumlah RM3.4 juta merangkumi tunggakan antara tahun 2016 hingga 2019.

    “Setelah menerima tuntutan tersebut, pengurusan baharu KFA memberi komitmen untuk membayarnya. Malah LHDN juga setuju agar KFA membayar secara berjadual untuk tempoh tertentu.

    “Namun selepas itu LHDN telah melakukan semakan semula dan mendapati terdapat tunggakan sejak 2014. Tunggakan untuk 2014 hingga 2019 itu berjumlah lebih RM10 juta,” katanya dalam sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

    Tambahnya, tunggakan itu meliputi potongan cukai untuk pemain-pemain import terdahulu.

    Mengulas lanjut katanya, tunggakan tersebut meliputi potongan cukai untuk pemain-pemain import terdahulu.

    “Oleh itu Menteri Besar yang juga Presiden KFA telah menyatakan kita akan bincang dengan LHDN untuk beri komitmen sebaik mungkin memandangkan kita bukan ada satu kewangan kukuh.

    “Isu ini berlarutan sejak 2014. Justeru perbincangan akan dilakukan untuk dapatkan keputusan baik, bagi memastikan masalah ini tidak berlanjutan hingga membebankan pengurusan baharu pada masa depan,” katanya.

  • Kajian tekanan psikologi mahasiswa cakup banyak faktor

    Kajian tekanan psikologi mahasiswa cakup banyak faktor

    KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) menjelaskan bahawa kajian kesan tekanan psikologi dalam kalangan mahasiswa berikutan pandemik COVID-19 tidak hanya bersandarkan faktor pembelajaran secara maya.

    Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, kajian yang dikendalikan oleh dua agensi itu turut mengambil kira beberapa faktor masalah lain dalam situasi masing-masing.

    Beliau menambah, kajian membabitkan lebih 24,000 penuntut institusi pengajian tinggi berkenaan belum tamat dan akan terus dijalankan bagi memantau perkembangan semasa.

    “Kajian mengenai tekanan dalam kalangan mahasiswa ini belum tamat dan ia bukan hanya mengambil kira faktor pembelajaran secara dalam talian.

    “Sebaliknya, ia turut terkait dengan masalah lain dalam situasi konteks masing-masing. Kita akan mengeluarkan satu dapatan yang lebih menyeluruh bila (kajian ini) selesai sepenuhnya kelak, dengan mengambil kira kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Hari ini, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mempertikaikan kajian yang dilakukan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), menggesa laporan soal kajian melibatkan 24,562 pelajar universiti itu dikeluarkan untuk penelitian awam.

    Menurut KMUM, kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 20 September di Dewan Rakyat yang mengatakan majoriti pelajar tidak tertekan menjalani pengajian dalam talian itu menimbulkan beberapa persoalan.

    “Beberapa soalan kritikal yang masih belum dijawab seperti metodologi apakah yang digunapakai bagi kajian tersebut? Siapakah respondennya? Adakah mereka mahasiswa yang menjalani pengajian di rumah ataupun di kampus?”

    “Adakah mereka datang daripada golongan B40 atau yang lebih berkemampuan? Adakah kajian yang melibatkan seramai 24,562 orang mahasiswa ini sudah memadai untuk mewakili seluruh mahasiswa di Malaysia?

    “Persoalan ini tidak akan terjawab melainkan sebuah laporan soal selidik yang lengkap dikeluarkan untuk penelitian awam,” katanya KMUM dalam satu kenyataan.

    Menurut KMUM, jika kajian tersebut menunjukkan 78.4 peratus mahasiswa tidak berasa tertekan, justeru bagaimana pula situasi baki peratusan itu yang tidak boleh diketepikan.

    Jelas KMUM, walaupun hanya seorang pelajar universiti mengalami tekanan, ia sudah mencukupi bagi pihak berkaitan untuk memberikan perhatian kepada kesihatan emosi dan mental dalam kalangan mahasiswa.

    Berhubung sesi akademik baharu yang akan bermula tidak lama lagi, KMUM menggesa agar pelan kontigensi dan polisi berkaitan disegerakan pelaksanaannya.

    “Adanya kes bunuh diri yang tidak diingini dalam kalangan mahasiswa baru-baru ini menjadi indikator bahawa isu ini adalah isu yang menekan dan penting.

    “Pengalaman mahasiswa menjalani mod pengajian dalam talian amat bergantung kepada pelbagai faktor seperti fasiliti, ketercapaian sambungan internet, dan suasana sekitar,” kata kenyataan itu.

    Kata KMUM, pelajar universiti yang tidak mempunyai peranti digital dan internet stabil masih bergelut untuk menyesuaikan diri mereka dengan norma baru ketika ini selain masalah penginapan terus menjadi isu kerana wujud ketidaktentuan yang memberi kesan kepada keputusan mereka sama ada untuk menyewa rumah di sekitar kampus ataupun tidak.

    “Permasalahan ini semua menyumbang secara tidak langsung kepada kesihatan mental mahasiswa yang sekali lagi kami tegaskan, perlu diberi perhatian secukupnya,” kata KMUM.

  • KPM sediakan manual operasi penggiliran PdP

    KPM sediakan manual operasi penggiliran PdP

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menyediakan manual pengoperasian pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara penggiliran sebagai panduan kepada guru besar, guru, pelajar, ibu bapa serta penjaga.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, manual berkenaan adalah bagi memastikan PdP secara penggiliran dapat dilaksanakan dengan baik sebaik sekolah dibuka mulai 3 Oktober ini.

    “Sebelum sekolah dibuka untuk PdP bersemuka, guru akan menetapkan kumpulan murid dan giliran hadir ke sekolah.

    “Kemudian, guru akan memaklumkan kepada setiap kumpulan murid mengenai persediaan yang perlu dilaksanakan ketika menjalani PdP di Rumah (PdPR) secara sendiri atau sebelum hadir ke sekolah untuk PdP bersemuka,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Sementara itu, dalam sesi soa jawab lisan, beliau memberitahu, sebanyak 10,214 sekolah di seluruh negara dilengkapi capaian jalur lebar internet dengan kelajuan 30 hingga 100 megabit sesaat (Mbps).

    Radzi menambah, jumlah itu termasuk 141 sekolah pedalaman yang dibekalkan dengan talian Very Small Aperture Terminal (VSAT) berkelajuan 30 Mbps mulai Mac lalu.

    “Dalam usaha memastikan capaian Internet di sekolah terus dipertingkatkan, KPM bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi mengenal pasti pendekatan terbaik.

    “Ini termasuk penyediaan rangkaian bersepadu KPM yang berlandaskan tiga prinsip utama iaitu bersesuaian dengan tujuan, kekal relevan pada masa hadapan dan penyelesaian yang holistik,” jelasnya.

  • Kapal karam:Enam kru MV Ocean Serena selamat

    Kapal karam:Enam kru MV Ocean Serena selamat

    ENAM krew kapal MV Ocean Serene warga Indonesia berjaya diselamatkan oleh sebuah bot milik orang awam setelah kapal yang dinaiki mereka karam di Pelabuhan Klang dekat sini, malam tadi.

    Jabatan Laut Malaysia melalui Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah mengesahkan telah menerima satu laporan kecemasan berkenaan sebuah kapal layar yang telah tenggelam pada 7.30 malam.

    Menurut kenyataan Jabatan Laut Malaysia, siasatan awal mendapati angin kuat telah menolak kapal ke arah kiri kapal berkenaan dan air masuk terlalu laju dari sebelah port melalui lubang di transom (bahagian enjin) kapal.

    “Pam telah digunakan tetapi tidak berupaya untuk mengepam keluar air yang masuk terlalu laju dan kapal terus tilt (condong) ke portside (belah kiri) dan tenggelam di sebahagian kapal,”  menurut kenyataan itu.

    Jabatan Laut Wilayah Tengah diarahkan untuk melakukan pemantauan pada pagi ini untuk mengesan tumpahan minyak di kawasan sekitar dan sebarang pergerakan kapal karam tersebut.

    Jabatan Laut akan melakukan proses penandaan Special Mark Buoy di kawasan berkenaan bagi memastikan masyarakat perkapalan tidak menggunakan laluan tersebut buat masa ini serta satu pasukan penyiasat ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kos terlibat.- BERNAMA

  • Ku Li ‘cuba buat kecoh’ politik…tiada siapa peduli

    Ku Li ‘cuba buat kecoh’ politik…tiada siapa peduli

    ‘’ASSALAMMUALAIKKUM dan salam sejahtera. Hari ini dalam pukul 3.30 petang ke 4.30 petang Tengku Razaleigh Hamzah dijadualkan berbahas di Parlimen. Akan ada satu perkara sangat penting yang akan diumumkan Ku Li hari ini, yang akan buat dunia politik kecoh.’’

    Bila membaca mesej ini yang mungkin disebarkan oleh penyokong Ku Li macam-macam penulis andaikan, Ku Li nak bersara ke? Ku Li nak jadi pendamai politik ke? Atau Ku Li menjadi penyatu ummah? Tapi bila dengar ucapan beliau yang dikatakan ‘akan buat dunia politik kecoh’…penulis terkebil-kebil…sebab tak tahu nak kata apa dah.

    Rupanya Ku Li dok bernostalgia pasal UMNO lama atau masa dulu orang kenal Parti Melayu Semangat 46 yang Ku Li tubuhkan, selepas UMNO diharamkan pada tahun 1988.

    Penulis sama sekali tidak persoal apa yang Ku Li mahu cakap di Dewan Rakyat. Itu hak beliau apatah lagi beliau adalah ahli Parlimen UMNO paling lama, sudah 47 tahun berkhidmat di Gua Musang.

    Cuma penulis lihat ucapan Ku Li tu tidak bawa apa-apa impak, mudah cakap tak ada maknanya dunia politik akan kecoh kerana ucapan beliau.

    Yang penulis tahu ada la beberapa orang pemimpin UMNO yang komen, itu pun lebih berunsur negatif kepada ahli politik berusia 84 tahun tersebut. Arena politik berjalan macam biasa. Ucapan Ku Li hanya sekadar menjadi rekod di Parlimen.

    Orang sudah macam tidak kisah apa beliau nak buat. Lagipun Ku Li kena terima hakikat eranya sudah lama berlalu. Arena politik negara pula sudah penuh dengan kekalutan dan keanehan… ucapan Ku Li bertajuk ‘ UMNO Yang Hilang’ pun aneh jugak tetapi siapa peduli?

    Sebab rakyat ada urusan lebih besar untuk difikirkan selepas negara dilanda pandemik Covid-19 bukannya mahu memikirkan agenda mana-mana ahli politik termasuk Ku Li yang lima kali gagal merebut jawatan Presiden UMNO.
    Dua kali tewas kepada Tun Dr.Mahathir Mohamad (1987 dan 2000), tidak layak bertanding menentang Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004 dan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak cukup kuota (2009) dan tewas bersama Khairy Jamaluddin kepada Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid pada tahun 2018.

    ‘Paling klasik’ Ahmad Zahid mendapat 99 pencalonan, Khairy (61) manakala Ku Li (30). Dengan Khairy pun Ku Li ‘kalah’, habis tu macam mana? Sedangkan Khairy pada masa itu boleh dianggap baru hendak bernafas dalam dunia politik.

    Rentetan perjalanan politik ini sepatutnya memberi isyarat dan paling penting kesedaran kepada Ku Li bahawa perjalanan beliau sebagai seorang politik berpengaruh sudah berada di penghujungnya atau mungkin telah berakhir tanpa beliau sendiri sedar.

    Ku Li kini bukanlah sosok tubuh 34 tahun lalu yang seni politiknya dikagumi apabila menentang Dr.Mahathir bagi jawatan Presiden UMNO sehingga tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46.

    Tetapi apa yang kita mahu ialah semangat Ku Li pada Mei 1996 apabila sanggup membubarkan Semangat 46 dan kembali kepada UMNO demi perpaduan orang Melayu. Malangnya semua itu tidak berlaku.

    Ku Li dilihat hanyalah seorang ahli politik veteran atau gelagat seorang tua yang kecewa dengan partinya sendiri dan terus bernostalgia dengan sejarah silam UMNO. Itu sahaja.

    Jadi terserahlah kepada Ku Li…buatlah apa yang patut. Yang pasti apapun beliau inginkan atau mahu lakukan ia sekadar satu lagi babak politik yang ‘biasa-biasa’ sahaja bukan luar biasa apatah lagi ‘akan buat dunia politik kecoh’.

  • Saringan Covid-19 sebelum akad nikah di P Pinang

    Saringan Covid-19 sebelum akad nikah di P Pinang

    PASANGAN yang bakal menjalankan akad nikah di pejabat agama daerah (PAD) di Pulau Pinang perlu menjalani ujian saringan Covid-19 kendiri 30 minit sebelum majlis berlangsung berkuat kuasa hari ini dan hanya pasangan yang didapati negatif dibenarkan untuk melangsungkan akad nikah.

    Perkara itu antara garis panduan terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 di negeri berkenaan.

    Selain pengantin lelaki dan perempuan, wali dan saksi nikah juga diwajibkan untuk menjalani saringan Covid-19 sekurang-kurangnya menggunakan kit ujian kendiri.

    Pengarah JHEAIPP, Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, pasangan pengantin yang diterima bagi tujuan akad nikah pula tidak boleh melebihi 10 orang setiap hari bagi setiap PAD.

    Jelasnya, pasangan pengantin yang tidak mendapat kebenaran untuk merentas daerah atau negeri pula boleh melantik dan mewakilkan kepada seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihaknya.

    “Selain itu kesemua pihak perlu mematuhi tarikh dan masa yang ditetapkah oleh PAD antaranya tempoh masa pelaksanaan akad nikah tidak melebihi 30 minit.

    “Majlis boleh dibatalkan sekiranya ada pihak yang gagal hadir pada masa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sementara itu kata beliau, kehadiran bagi majlis akad nikah dihadkan kepada tujuh orang sahaja  termasuk pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi, ayah atau ibu pengantin lelaki dan jurugambar.

    Tambahnya, semua permohonan perkahwinan luar negeri diterima dan hanya permohonan yang lengkap akan diproses.

  • 9,015 kes keganasan rumah tangga sepanjang PKP

    9,015 kes keganasan rumah tangga sepanjang PKP

    SEBANYAK 9,015 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac 2020 hingga Ogos lalu.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, PKP yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan jangkitan didapati memberi kesan mendalam terhadap ekonomi dan sosial lebih 32 juta rakyat.

    Menurut beliau, ia susulan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden keganasan rumah tangga bagi 2020 ialah 5,260 kes berbanding 4,905 kes dalam tempoh hanya lapan bulan tahun ini.

    “Jika dihitung insiden keganasan rumah tangga sepanjang PKP dilaksanakan, sebanyak 9,015 kes direkodkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

  • Lebih 18 juta populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    Lebih 18 juta populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    SERAMAI 18,964,474 individu atau 81 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

    Berdasarkan perincian yang dikongsi di portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 93.3 peratus atau 21,847,551 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Sebanyak 321,342 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 30,860 dos pertama dan 197,994 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 41,247,271 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, sebanyak 487 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam tadi (22 Sept), meningkat berbanding 334 kes kematian dilapor pada Selasa.

    Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 24,565.

    Bagaimanapun, daripada 487 kematian baharu itu, hanya tujuh kes adalah kematian sebenar yang dilaporkan berlaku semalam (22 Sept) manakala selebihnya adalah pelaporan kes kematian tertunggak dan angka boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

    Sebanyak 161 daripada kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). 

    Sejumlah 178 kes kematian direkodkan di Selangor; Sabah (87); Johor (63); Kuala Lumpur (44); Pulau Pinang (36); Kelantan (26); Perak (18); Kedah (14); Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing lima); Terengganu (tiga); Perlis (dua) dan Sarawak (satu), manakala tiada kematian di  Labuan dan Putrajaya.- BERNAMA 

  • Lebih setengah juta remaja terima dos pertama vaksin Covid-19

    Lebih setengah juta remaja terima dos pertama vaksin Covid-19

    LEBIH setengah juta remaja di negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin Covid-19 mereka setakat semalam.

    Menerusi ciapannya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, remaja yang berusia antara 12 hingga 17 tahun menerima suntikan itu melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula Isnin lalu.

    Menurutnya, Sabah mendahului jumlah penerima apabila merekodkan lebih separuh daripada remaja didaftarkan menerima suntikan dos pertama.

    “Setakat semalam, lebih setengah sejuta remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima dos pertama mereka di bawah PICK Remaja.

    “Sabah mendahului dengan 56 peratus daripada remaja yang didaftarkan di sekolah menerima sekurang-kurangnya dos pertama mereka,” katanya hari ini.

    Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi ciapannya yang diciap semula Khairy memberitahu, sebanyak 156 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di seluruh negara bagi menjalankan program vaksinasi remaja secara ‘walk in’ bermula hari ini.

    Ujarnya, terdapat tiga kaedah digunakan untuk vaksinasi remaja iaitu janji temu mellaui MySejahtera, vaksinasi berjadual dan dan jumpa terus di 156 PPV yang dibuka.

    Sebelum ini, Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, pelaksanaan kaedah ‘walk-in’ berjadual itu akan dilakukan mengikut lokasi sekolah berhampiran dengan PPV dikenal pasti.

    Katanya, pelaksanaannya mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan.