Category: Semasa

  • PGA rampas rokok seludup, minuman keras lebih RM2j

    PGA rampas rokok seludup, minuman keras lebih RM2j

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dianggarkan bernilai RM2.02 juta, dan menahan dua lelaki disyaki penyeludup dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Stesen di sini awal pagi tadi.

    Kedua-dua lelaki berusia 51 dan 59 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan menerusi Op Kontraban yang dijalankan Cawangan Risik Briged Utara pada kira-kira pukul 2.15 pagi.

    Timbalan Komander PGA Briged Utara ACP Noh Khamis berkata serbuan di premis yang dijadikan stor penyimpanan itu membawa kepada penemuan 4,105 karton pelbagai jenis rokok, 38,628 tin arak dan 3,421 botol minuman keras.

    “Kita turut merampas sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda. Penyeludupan dilakukan dengan menggunakan lori, dan bungkusan plastik digunakan untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Beliau berkata hasil risikan mendapati kumpulan itu telah aktif sejak enam bulan lepas dan barangan seludup itu diambil dari kawasan Lembah Klang untuk diedar ke kawasan perkampungan Orang Asli serta kedai runcit berhampiran di Bidor, Kampar, Tapah, Teluk Intan dan Cameron Highlands di Pahang.

    Noh berkata kedua-dua tangkapan serta rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah untuk siasatan lanjut, dan beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu supaya menghubungi Cawangan Risik dan Gerakan Briged Utara dengan menelefon 05-5406666 bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan haram.- BERNAMA

  • Malaysia bina pusat penyelidikan vaksin COVID-19

    Malaysia bina pusat penyelidikan vaksin COVID-19

    MALAYSIA sedang dalam usaha membangunkan pusat penyelidikan vaksin khusus untuk COVID-19 dan mengumpul pakar bersasar bagi langkah kesiapsiagaan menghadapi penyakit berjangkit lain.

    Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebagai contoh, vaksin untuk kolera sudah memasuki fasa ujian klinikal.

    “Jika Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri, ia sekali gus dapat menyelesaikan pelbagai kemelut berkaitan program vaksinasi sekarang termasuklah isu kekurangan bekalan, kos harga vaksin yang meningkat dan jadual penghantaran yang tidak menentu disebabkan kebergantungan dari negara pengeluar,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Dr Adham menambah, syarikat Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd, sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sudah memulakan program pembangunan vaksin pada 2018 dengan mewujudkan kilang pembotolan vaksin pertama bagi mengimbangi kebergantungan negara kepada produk import.

    “Dengan keperluan vaksin COVID-19, Pharmaniaga sudah membuat perubahan kepada kilang berkenaan dari segi aktiviti Sterile Small Volume Injectibles (SSVI) kepada pengilangan ‘fill and finish’ bagi mempercepatkan penghasilan vaksin COVID-19,” katanya.

    Beliau memberitahu, kerajaan juga sedang membangunkan satu laman sesawang khas bagi membolehkan penerima lengkap dua dos vaksin COVID-19 mencetak terus sijil vaksinasi mereka.

    Dr Adham berkata, kemudahan ini akan dapat membantu khususnya warga emas atau golongan yang tiada telefon pintar untuk mendapatkan sijil vaksinasi secara bercetak dan boleh dibawa ke mana-mana.

    “Setiap individu yang sudah menerima dos lengkap melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), akan menerima sijil digital vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

    “Sijil digital vaksinasi terkini mempunyai kod QR melalui teknologi blockchain, yang boleh diimbas menggunakan aplikasi pengesahan bagi menjamin ketulenan sijil itu,” jelasnya.

  • Pulau Batu Puteh:PM, Kerajaan peroleh lanjutan masa fail pembelaan

    Pulau Batu Puteh:PM, Kerajaan peroleh lanjutan masa fail pembelaan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia untuk lanjutan masa bagi memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes saman terhadap mereka berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh.

    Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff menetapkan sehingga 23 Okt ini untuk Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan kedua  memfailkan pernyataan pembelaan.

    Berdasarkan notis permohonan yang difailkan pada 7 Sept lalu, kedua-dua defendan membuat permohonan itu atas alasan antaranya mereka telah meneliti pernyataan tuntutan plaintif dan ia sarat dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan sejarah pertikaian Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura sejak 1979.

    “Oleh yang demikian, pihak defendan perlu meneliti setiap dokumen berkaitan sebelum memberikan maklum balas terhadap fakta sejarah seperti yang diplidkan dalam pernyataan tuntutan plaintif,” menurut kedua-dua defendan dalam notis permohonan itu.

    Peguam Mohaji Selamat yang mewakili Mohd Hatta Sanuri selaku plaintif dalam saman itu ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya tidak membantah permohonan tersebut dan Hakim Rozana kemudiannya membenarkan lanjutan masa berkenaan.

    “Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya pada 29 Okt ini secara dalam talian (e-Review),” katanya selepas prosiding secara dalam talian yang turut disertai Peguam Kanan Persekutuan Erma Wani Ahmad Kaflee.

    Pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

    Pada 28 Mei lepas, Mohd Hatta, 45, memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan mewakili lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan, tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka telah menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ berkenaan dengan tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan permohonan semakan semula dengan bukti kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Feb 2017.

    Mohd Hatta turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.

    Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang telah dibelanjakan oleh defendan kedua (kerajaan) untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Feb 2017 sehingga defendan-defendan menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018.- BERNAMA

  • Skandal terowong: Guan Eng pernah jumpa pemilik CZBUCG

    Skandal terowong: Guan Eng pernah jumpa pemilik CZBUCG

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bertemu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, bagi membincangkan perkembangan projek terowong dasar laut di negeri itu.

    Memetik laporan BH, bekas Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani Yacob, dalam keterangannya berkata, pertemuan dengan Zarul yang juga pemilik syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) itu sering diadakan di Pejabat Ketua Menteri di Bangunan KOMTAR.

    Saksi keenam pendakwaan itu berkata, beliau mula mengenali Zarul sejak media mula melaporkan tentang projek terowong di Pulau Pinang sebagai pemilik CZBUCG, berdasarkan keadaan pada masa itu serta maklumat pegawai.

    “Seingat saya, pertemuan yang disusun membabitkan temu janji antara Zarul dan Guan Eng kurang daripada lima kali.

    “Sekiranya Zarul datang ke pejabat Ketua Menteri, beliau akan terus ke bilik mesyuarat atau bilik VIP tanpa melalui bilik saya,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan yang dihadapi Guan Eng.

    Sementara itu seorang lagi saksi, Pengurus Besar WCT Construction Sdn Bhd, Ooi Bok Thian, 49, berkata walaupun syarikatnya mempunyai pengalaman dalam projek pembinaan terowong dasar laut, namun markah penilaian teknikal dan kewangan bagi projek hanyalah sebanyak 59.

    Sebaliknya, Bok Thian, berkata syarikat CZBUCG mendapat markah tertinggi sebanyak 93 bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan bagi projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

    “Markah kedua tertinggi ialah China State Construction Engineering Corporation Ltd & VST Cemerlang Sdn Bhd sebanyak 77,” katanya.

    Beliau berkata, WCT menjalankan usaha sama dengan Kumpulan Daewoo kerana syarikat itu terbabit dalam projek mega pembinaan terowong dasar laut di Korea Selatan.

    Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

    Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara di antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

    Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan, iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri, wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan, bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

    Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan, iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan, iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, di antara 12.30 pagi hingga 2 pagi.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

  • Hospital Medan Pulau Pinang dijangka terima pesakit pertama esok

    Hospital Medan Pulau Pinang dijangka terima pesakit pertama esok

    HOSPITAL Medan yang dibina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan letak kenderaan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown dijangka menerima pesakit Covid-19 pertama pukul 9 malam esok.

    Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Dr. Zamri Derahman berkata, ketika ini pasukan jurutera sedang melakukan penilaian akhir sebelum Hospital Medan itu dapat beroperasi sepenuhnya.

    Bagaimanapun jelas beliau, HPP perlu menjalankan operasi pembersihan penuh di hospital itu terlebih dahulu sebelum boleh menerima pesakit untuk dirawat.

    “Ketika ini dari segi persediaan infrastruktur hospital medan itu sudah mencapai 90 peratus.

    “Pagi esok pasukan jurutera akan melakukan penilaian akhir yang mana jika dipenuhi, maka hospital ini sedia menerima pesakit,” katanya selepas sesi ujian penuh dan latihan keselamatan kebakaran di Hospital Medan terbabit hari ini.

    ATM memulakan pembinaan hospital itu pada 16 September lalu dengan 23 khemah didirikan di atas kawasan seluas 2,300 meter persegi yang bakal menempatkan 96 katil biasa dan empat katil unit rawatan rapi (ICU).

    Pembinaan itu susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 11 September lalu yang menyatakan sebuah hospital medan akan dibina di hospital awam berkenaan bagi menampung lebih ramai pesakit Covid-19 di Pulau Pinang.

    Dalam pada itu, Dr. Zamri berkata, ATM akan menugaskan seramai dua pegawai dan 22 anggota di Hospital Medan terbabit bagi membantu kelancaran operasinya.

    Jelasnya, mereka akan membantu seramai lima pakar, 54 pegawai perubatan dan 250 kakitangan sokongan serta jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan bertugas di hospital tersebut.

  • Rentas negeri dijangka tidak cetus gelombang COVID-19

    Rentas negeri dijangka tidak cetus gelombang COVID-19

    KEBENARAN pergerakan rentas negeri dijangka tidak mencetuskan gelombang peningkatan kes COVID-19 sekiranya kadar imunisasi mencapai 90 peratus.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebarang lonjakan kes penularan jangkitan dalam kalangan masyarakat berpunca daripada perkumpulan atau perhimpunan.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang sebarang risiko lonjakan kes positif di negara ini.

    “Betul, kalau dikira, 90 peratus liputan imunisasi dalam kalangan dewasa berkemungkinan mewakili sekitar 60 peratus saja jika dibandingkan dengan keseluruhan penduduk di Malaysia.

    “Tetapi, kadar liputan imunisasi akan meningkat, susulan pemberian vaksin kepada golongan remaja yang giat dijalankan di seluruh negara ketika ini.

    “Cuma, saya ingin tegaskan bahawa pergerakan rentas negeri saja tidak akan sebabkan peningkatan kes, tetapi ‘congregation’ (pengumpulan) yang mencetuskan penularan jangkitan.

    “Justeru, pergerakan rentas negeri bukan isu sangat,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa pergerakan rentas negeri akan kembali dibenarkan apabila kadar liputan imunisasi COVID-19 mencapai 90 peratus daripada individu dewasa.

    Seiring matlamat peralihan ke fasa endemik, Khairy berkata, pihaknya sedang merangka satu strategi saringan nasional bagi menentukan sama ada Malaysia sudah memasuki peringkat mitigasi atau masih berada dalam pembendungan akhir.

    “Kita sedang siapkan strategi saringan nasional, justeru jelas di peringkat mana sesuatu kawasan dianggap boleh beralih ke fasa mitigasi atau dalam keadaan apa ia masih dalam pembendungan akhir.

    “Jika pembendungan akhir, kita boleh saring sama ada bergejala atau tidak. Perkara sedemikian tidak jelas sebelum ini, maka pelbagai interpretasi wujud di lapangan berhubung ujian saringan.

    “Tapi, kita juga kena perkasa jabatan kesihatan negeri untuk tentukan mengikut pola penularan mereka, sama ada sudah beralih ke fasa mitigasi atau pembendungan akhir, dengan mengambil kira aset sedia ada.

    “Sekiranya aset tidak mencukupi, buat apa kita buat saringan terhadap mereka yang tidak bergejala, tidak cukup tangan untuk laksanakan perkara sedemikian bagi beralih ke fasa mitigasi,” katanya.

  • PDRM panggil Hasanah, tiga pegawai kanan SPRM siasatan kehilangan RM25j

    PDRM panggil Hasanah, tiga pegawai kanan SPRM siasatan kehilangan RM25j

    POLIS Diraja Malaysia akan memanggil tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM) yang sebelum ini direman selama enam hari oleh SPRM bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta).

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya juga turut akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

    “Kesemua mereka akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan dan mereka dipanggil berdasarkan siasatan oleh pegawai penyiasat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

    Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata PDRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung satu laporan polis yang diterima berkaitan isu berkenaan.

    Hamzah berkata kertas siasatan dibuka di bawah klasifikasi Kertas Enkuiri Polis (KEP).

    Pada Isnin, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan.

    Sementara itu Abd Jalil berkata proses permohonan ekstradisi Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat masih sedang berjalan.

    Beliau berkata proses ekstradisi usahawan kosmetik itu melibatkan Jabatan Peguam Negara selain pihak berkuasa Thailand masih dipergiat.

    “Ya ia masih berjalan dan permohonan itu merupakan sebahagian daripada prosesnya,” katanya.

    Beliau mengulas dakwaan pihak berkuasa Thailand kononnya tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi Muhammad Sajjad, 36, yang kini ditahan pihak Imigresen Thailand kerana memiliki passport tidak sah.

    Muhammad Sajjad dikehendaki di negara ini atas beberapa kesalahan jenayah antaranya menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan dan halang penjawat awam menjalankan kewajipan selain kes penipuan pertukaran nama dan jantina.

    Beliau turut dikehendaki selepas waran tangkapnya dikeluarkan kerana gagal hadir di sebutan semula pertuduhan kerana berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor. – BERNAMA

  • GKP beri manfaat lebih sejuta usahawan mikro

    GKP beri manfaat lebih sejuta usahawan mikro

    INISIATIF Geran Khas Prihatin (GKP) yang mula dilaksanakan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi manfaat kepada lebih sejuta usahawan mikro setakat ini.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan sebanyak RM6.08 bilion telah disalurkan bagi tujuan itu.

    Menurut beliau, daripada jumlah itu, bagi pembayaran terkini iaitu GKP 4.0 membabitkan implikasi kewangan RM1 bilion, yang mana bayaran RM500 bagi fasa pertama dikreditkan terus ke akaun bank didaftar mulai kelmarin.

    Tengku Zafrul menambah, syarat kelayakan sedia ada bagi permohonan GKP adalah sangat minimum dan tidak terlalu ketat.

    “Data penerima bantuan GKP berdasarkan data terkini pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    “Penerima yang layak menerima bantuan GKP 4.0 membabitkan penerima sedia ada (GKP 1.0, 2.0 dan 3.0) berstatus lulus dan berjaya kredit serta penerima baharu GKP 4.0.

    “Syarat ini dikenakan bagi memastikan tiada ketirisan dan usahawan mikro betul-betul layak mendapat bantuan bagi menghadapi cabaran CPVID-19,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Sementara itu, beliau memberitahu, institusi kewangan pembangunan (IKP) perlu menekankan strategi mengutamakan pelaburan dan pemberian pinjaman bagi menyokong usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbabit dalam inovasi peringkat awal, serta mereka yang beralih ke arah operasi digital.

    “IKP perlu menumpukan usaha dalam menyokong usahawan mikro dan PKS yang terbabit dalam sektor yang menekankan aspek kelestarian,” jelasnya.

    Tengku Zafrul berkata, dalam menyokong inisiatif terutama yang berkaitan usahawan mikro dan PKS, IKP seperti Bank Simpanan Nasional, Bank Kerjasama Rakyat, Agrobank dan SME Bank melaksanakan pelbagai skim pembiayaan melalui dana Bank Negara Malaysia (BNM) dengan jumlah keseluruhan adalah RM8.1 bilion.

  • KKM tidak lagi guna formula imuniti kelompok, fokus pemberian vaksin

    KKM tidak lagi guna formula imuniti kelompok, fokus pemberian vaksin

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak lagi menggunakan formula konvensional yang menilai imuniti kelompok berdasarkan capaian sekurang-kurangnya vaksinasi 80 peratus penduduk dewasa dalam usaha membendung COVID-19.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pakar kesihatan dunia kini telah berhenti menggunakan formula berkenaan dan fokus memvaksinasi sebanyak mungkin populasi penduduk kerana penularan varian Delta menyebabkan sasaran imuniti kelompok sebelum ini iaitu 80 peratus, terjejas.

    “Saya sebagai Menteri KKM, saya tidak lagi guna terma herd immunity. Pada waktu kita mulakan program vaksinasi, kita guna formula konvesional untuk kira herd immunity yang didapati bahawa 80 peratus (penduduk dewasa) vaksinasi baru capai herd immunity.

    “Tapi pada masa itu sebelum penularan varian Delta. Delta pada dasarnya menjejaskan pengiraan imuniti kelompok dan ia adalah sukar untuk menyatakan bila kita dapat (capai) herd immunity, sebab itu kita jangan lagi melihat dengan herd immunity, kita kena lihat liputan itu (vaksinasi) seluas mungkin,” katanya ketika menggulung Usul Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Beliau memberi penjelasan itu apabila Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bangun dan mempersoalkan mengapa kes jangkitan dan kematian akibat COVID-19 di Malaysia masih tinggi sedangkan kadar vaksinasi penduduk dewasa melebihi 80 peratus.

    Pada Selasa, negara mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin, lebih awal daripada sasaran melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Feb, dalam usaha membendung penularan COVID-19 di seluruh negara.

  • Kastam patah cubaan edar dadah RM1 juta

    Kastam patah cubaan edar dadah RM1 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia mematahkan cubaan mengedar 28 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM1 juta hasil serbuan di Puchong, Selangor pada 13 Sept lepas. 

    Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, sepasukan anggota Cawangan Narkotik Kastam menahan sebuah kereta Proton Saga di tempat letak kereta berhadapan sebuah hotel yang dinaiki dua lelaki.

    Menurutnya, semasa pemeriksaan itu, pemandu kereta bertindak memecut kereta dan melanggar kenderaan pegawai kastam sebelum kedua-dua mereka keluar melarikan diri apabila tiba di tengah jalan di Jalan Bandar, Puchong.

    “Bagaimanapun, anggota kastam berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 31 tahun yang bersembunyi di sebuah kedai manakala seorang lagi rakannya melarikan diri.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang ditinggalkan itu menemukan dua beg galas di dalamnya berisi bungkusan teh berwarna hijau mengandungi ketulan mampat bahan kristal jernih dadah jenis methamphetamine dengan kereta berkenaan disyaki hasil curi,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, di sini hari ini.

    Abdul Latif berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan menyembunyikan dadah di dalam beg yang diletakkan dalam bonet kenderaan selain menggunakan kenderaan curi dengan nombor pendaftaran palsu serta sentiasa menukar kenderaan lain bagi mengelakkan mereka dikesan.

    Beliau berkata siasatan juga mendapati bekalan dadah itu bukan untuk pasaran tempatan tetapi dihantar ke Indonesia melalui jalan laut.

    Susulan kes berkenaan, beliau berkata empat lagi lelaki dalam lingkungan 27 hingga 31 tahun termasuk seorang yang melarikan diri semasa serbuan pertama turut ditahan di lokasi berasingan Isnin lepas.

    “Dua ditahan di Gua Musang, Kelantan, seorang di Klang, Selangor dan seorang lagi ditahan ketika memberi keterangan di Cawangan Narkotik JKDM di sini, hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

    Katanya, suspek pertama warga Indonesia direman 14 hari bermula 14 Sept mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama manakala permohonan reman turut dibuat terhadap empat suspek lain bagi membantu siasatan.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata JKDM merampas sebanyak 16,000 kg dadah jenis amphetamine membabitkan nilai berjumlah RM5.2 bilion, methaphetamine, 624 kg (RM22.5 juta), ketamin 2.6 kg (RM124,160), heroin 3.9 kg (RM337,569) sejak Januari lepas.

    Jelasnya, bagi rekod penahanan pula, sehingga kini 14 orang yang disyaki (OYDS) ditahan dan tujuh orang kena tuduh (OKT) dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan.- BERNAMA