Category: Semasa

  • COVID-19: Singapura catat kes harian tertinggi 1,504 kes

    COVID-19: Singapura catat kes harian tertinggi 1,504 kes

    SINGAPURA melaporkan sejumlah 1,504 kes baharu COVID-19 pada Khamis (23 September), tertinggi sejak virus itu dikesan tahun lalu.

    Menurut Kementerian Kesihatan republik itu, daripada jumlah tersebut, 1,218 kes adalah jangkitan tempatan, 273 di asrama pekerja migran, dan 13 kes import.

    Dalam kemas kini data hariannya, kementerian memaklumkan 1,120 pesakit dirawat di hospital dengan 163 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan 23 kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

    Republik itu juga melaporkan dua kematian melibatkan wanita warga emas Singapura yang belum divaksin, menjadikan jumlah kematian akibat komplikasi jangkitan COVID-19 bertambah kepada 70 orang.

    Sepanjang 28 hari lalu, menurut kementerian daripada 15,791 individu yang dijangkiti, 97.9 peratus tidak bergejala atau bergejala ringan, 1.8 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus dirawat di ICU, dan 0.1 peratus meninggal dunia.

    Sehingga tengah hari Khamis, jumlah keseluruhan kes adalah 82,860 dengan 10,379 kes aktif.

    Sebanyak 82 peratus penduduk Singapura telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 setakat 22 September, dengan 84 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.- BERNAMA

  • Nak pinjam RM10,000 peniaga rugi RM12,930 ditipu Puan Annie

    Nak pinjam RM10,000 peniaga rugi RM12,930 ditipu Puan Annie

    Oleh:MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG peniaga kerugian sebanyak RM12,930 akibat terperangkap dengan tawaran pinjaman tidak wujud yang diiklankan di media sosial.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian itu bermula pada 19 September lalu sebaik mangsa melihat satu iklan pinjaman wang tidak berlesen.

    Ekoran itu katanya, mangsa terus berurusan dengan wakil syarikat terbabit yang memperkenalkan diri sebagai puan Annie.

    Menurutnya, mangsa yang tinggal di Bandar Jengka, Maran itu bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM10,000.

    “Kemudian, mangsa menyerahkan maklumat diri kepada suspek sebelum diminta membuat beberapa bayaran dengan pelbagai alasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut Mohd Wazir, mangsa membuat pembayaran sebanyak 13 kali membabitkan akaun bank berbeza yang diberikan suspek.

    Bagaimanapun katanya, mangsa tidak menerima wang sepertimana yang dipohon lalu dia tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam setelah merasakan dia ditipu,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Peruntukan khas PM: Semua ahli Parlimen dapat sama rata

    Peruntukan khas PM: Semua ahli Parlimen dapat sama rata

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERUNTUKAN Khas Perdana Menteri akan diberi nilai peruntukan yang sama kepada semua ahli Parimen kerajaan dan pembangkang bagi tempoh empat bulan terakhir tahun ini.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd. Yazid berkata, langkah itu selaras dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan transformasi Parlimen.

    Semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Mastura berkata, Peruntukan Khas Perdana Menteri untuk kawasan Parlimen sebenarnya hanya sebagai penambah dan pelengkap kepada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun.

    Penyediaan Peruntukan Kawasan Parlimen kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dengan nilai yang berbeza sebelum ini adalah mengikut dasar sedia ada yang terdahulu dan juga bergantung kepada kemampuan dan kedudukan semasa kewangan kerajaan, katanya.

    Semasa sesi perbahasan, beberapa ahli Parlimen termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar), Datuk Mohd. Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) mencadangkan peruntukan perlu disalurkan secara sama rata kepada semua ahli Parlimen.

    Mengulas mengenai Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19, Mastura berkata sehingga 17 September lalu, seramai 4,274 waris telah menerima bantuan RM5,000 itu dengan jumlah keseluruhan bantuan RM21.37 juta.

    Beliau berkata, daripada 6,248 permohonan yang diterima, 12 permohonan didapati tidak layak atau ditolak kerana bukan kematian Covid-19 manakala baki 1,962 sedang diproses termasuk verifikasi status warganegara dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan semakan data kematian Covid-19 oleh pemohon dengan data kematian Covid-19 Kementerian Kesihatan.

    “NADMA sentiasa menambah baik proses berkaitan bagi memastikan permohonan yang layak akan menerima bantuan dalam tempoh 30 hari bekerja melalui akses sistem myID JPN dan akses portal data kematian Covid-19 KKM Putrajaya.

    “Terkini, proses kelulusan dipercepatkan lagi dengan hanya mengambil kira dokumen yang dikemukakan oleh pihak hospital yang mengesahkan kematian akibat Covid-19 dan sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

  • Lapan negeri catat sifar kematian Covid-19 semalam

    Lapan negeri catat sifar kematian Covid-19 semalam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    WILAYAH Persekutuan, Perlis, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Labuan, Putrajaya dan Terengganu masing-masing mencatatkan sifar kematian dalam tempoh 24 jam semalam.

    Sarawak dan Melaka pula mencatatkan kenaikkan jumlah kematian itu masing-masing 14 dan tujuh kes berbanding semalam satu dan lima kes.

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman web COVIDNOW memaklumkan jumlah kematian dalam tempoh 24 jam semalam adalah sebanyak 116 kes, turun mendadak selepas melonjak dua hari berturut-turut pada Khamis dan Rabu.

    Jumlah kematian semalam, termasuk 29 pesakit meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID), menjadikan kumulatif sejak Mac tahun lalu sebanyak 24,681 kes kematian.

    Statistik KKM juga menunjukkan jumlah kematian di Selangor turun mendadak daripada 178 kes pada Rabu, kepada 33 kes semalam.

    Namun, negeri tersebut kekal mencatat kes tertinggi kematian setakat ini.

  • Sektor pendidikan di negeri beralih fasa PPN dibuka selepas dua minggu

    Sektor pendidikan di negeri beralih fasa PPN dibuka selepas dua minggu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMBUKAAN institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di tiga negeri yang beralih ke fasa baharu Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya akan dilaksanakan selepas dua minggu tarikh peralihan tersebut.

    KPM dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, institusi pendidikan di bawah KPM bagi Johor akan bermula pada 10 Oktober depan selepas negeri itu beralih ke Fasa Dua PPN.

    Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi Pahang pula kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa Dua PPN.

    “Memandangkan Pahang akan beralih ke Fasa Tiga pada 24 September 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan di negeri Pahang akan beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa Tiga PPN bermula pada 11 Oktober 2021.

    “Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kelulusan untuk murid kelas Tingkatan Enam Semester Dua dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa Satu akan hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran,” kata KPM dalam satu kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri Kedah akan bermula pada 10 Oktober 2021 untuk kumpulan murid tersebut.

    Murid lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

    Bagaimanapun, bagi institusi pendidikan bawah KPM di negeri lain yang tidak terlibat dengan peralihan fasa pada 24 September 2021, akan kekal membuka operasi berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti yang diumumkan KPM sebelum ini.

    Pada 12 September lalu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Seri Dr. Radzi Jidin mengumumkan pembukaan semula sekolah di seluruh negara akan dilaksanakan berdasarkan fasa-fasa yang ditetapkan di bawah PPN.

    Pembukaan itu katanya, dilakukan dengan sistem giliran di mana pelajar bagi setiap kelas akan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi menjalani sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober depan.

    Bagaimanapun, Dr. Radzi menjelaskan tiada sekolah akan dibuka di negeri yang masih berada dalam Fasa Satu Pelan PPN.

  • Polis Pahang tamat SJR antara daerah

    Polis Pahang tamat SJR antara daerah

    POLIS Pahang menamatkan sekatan jalan raya (SJR) antara daerah mulai tengah malam tadi, selepas negeri ini memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini. 

    Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf bagaimanapun, menasihatkan orang awam untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) walaupun tiada lagi SJR. 

    “Usaha dan tanggungjawab bersama mampu mencegah penularan pandemik COVID-19 daripada terus berleluasa,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini. 

    Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pahang antara tiga negeri beralih ke fasa PPN berikutnya berdasarkan penilaian risiko terkini oleh Kementerian Kesihatan dan MKN.

    Selain Pahang, negeri lain ialah Negeri Sembilan yang masuk ke Fasa Empat dan Johor yang beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua. 

    Peralihan fasa itu berkuat kuasa hari ini. – BERNAMA 

  • Kes rasuah RM1.25 bilion: Rosmah gagal gugurkan Sri Ram, batal perbicaraan

    Kes rasuah RM1.25 bilion: Rosmah gagal gugurkan Sri Ram, batal perbicaraan

    DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini gagal menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes perbicaraan kes rasuah RM1.25 bilion terhadapnya membabitkan projek solar hibrid di Sarawak.

    Bekas isteri Perdana Menteri itu juga membatalkan perbicaraan untuk kes tersebut bagi projek membekalkan tenaga solar itu yang bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas memutuskan pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah, lapor Astro Awani.

    Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini berkata beliau percaya Sri Ram berada dalam kemampuannya sepertimana pelantikan.

    Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menetapkan 9 September lalu sebagai tarik keputusan permohonan berkenaan, namun ditangguhkan pada hari ini. Sri Ram sebelum ini berhujah, pelantikan beliau selaku pendakwa raya bermula 30 Ogos 2018, adalah sah.

    Ini kerana Seksyen 50(b) Akta Tafsiran 1948/1967 (Akta 388) menyatakan mana-mana badan boleh melantik individu yang sesuai secara kebelakang untuk melaksanakan tugasnya.

    Hujah Sri Ram, Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah pula memberi kuasa kepada Peguam Negara melantik timbalan pendakwa raya untuk menjalankan tugas pendakwa raya.

    Sehubungan itu, beliau berhujah, pelantikan yang dibuat oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah walaupun surat lantikan ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bertarikh 21 Mei lalu.

    Sementara, Jagjit berpendapat pelantikan Sri Ram bertujuan untuk mengendalikan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan tidak berkaitan dengan kes solar Rosmah.

    Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pendakwaan bersetuju memberikannya kepada pasukan pembelaan.

    Rosmah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lalu.

    Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 Nov 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

    Sebaliknya surat itu bertarikh 8 Julai tahun lepas dan ditandatangani oleh Peguam Negara ketika ini, iaitu Tan Sri Idrus Harun.

    Pada 15 November 2018, Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

  • Suspek aktif edar rokok seludup di kedai runcit ditahan

    Suspek aktif edar rokok seludup di kedai runcit ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1,031 karton rokok pelbagai jenama di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, rampasan dibuat susulan penahanan seorang lelaki warga tempatan pada pukul 6.30 petang.

    “Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Persona, 1,031 karton rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM203,574.60. Siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif membekalkan rokok tidak bercukai ke kedai-kedai runcit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dimin berkata, suspek menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Johor Bahru.

    Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut.

    Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

    “Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai disekitar daerah Johor Bahru. Orang ramai diseru untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya.

  • [VIDEO]Pemandu lori terbalik positif dadah

    [VIDEO]Pemandu lori terbalik positif dadah

    PEMANDU lori yang video kenderaan itu dirakam dari lorong kanan, kemudian terhuyung-hayang sebelum terbabas memasuki lorong kiri, lalu terbalik didapati positif dadah.

    Video kemalangan berdurasi 3 minit yang dirakam orang awam itu tular dan berlaku di Kilometer 10.9 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) menghala ke arah Subang, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi.

    Menurutnya, lori dipandu seorang lelaki berumur 33 tahun itu hilang kawalan secara tiba-tiba kerana pemandunya dipercayai tertidur lalu terbabas berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian.

    “Sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah yang sama gagal mengelak dan terlanggar lori berkenaan (tiada dalam rakaman) selang beberapa minit kemudian.

    “Namun lelaki itu hanya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ramsay berkata, ujian saringan air kencing pula mendapati pemandu lori terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

    Ujarnya, suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman atas kesalahan mengikut Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Bagi kesalahan trafik pula, kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan semasa di bawah pengaruh dadah.

    Sementara itu, Ramsay berkata, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697 bagi membantu siasatan.

  • 27 kementerian selesai gulung usul menjunjung kasih titah Agong

    27 kementerian selesai gulung usul menjunjung kasih titah Agong

    MINGGU kedua persidangan Dewan Rakyat menyaksikan Ahli-ahli parlimen pembangkang dan kerajaan membangkitkan pelbagai isu pada sesi perbahasan dan dijawab oleh menteri-menteri berkaitan dalam masa dua hari sesi penggulungan.

    Sebanyak 27 kementerian selesai menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bermula Rabu lepas dimulakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan berakhir dengan Jabatan Perdana Menteri.

    Sebanyak 91 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan bermula 14 Sept dan sepanjang persidangan kali ini, Ahli-ahli Parlimen baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkang mengutarakan soalan dan perbahasan tanpa menimbulkan ‘kekecohan’ tidak perlu.

    Setiap soalan rata-ratanya berkaitan kepentingan di kawasan masing-masing, dijawab oleh menteri atau timbalan menteri dan kebanyakan jawapan diterima dengan baik.

    Antara yang menarik perhatian adalah isu pembukaan sekolah dengan Kementerian Pendidikan memaklumkan akan membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 kepada sekolah berasrama dan sekolah harian di bawah kementerian itu, sebelum murid-murid memulakan sesi persekolahan.

    Sementara itu, Kementerian Kesihatan menyatakan meskipun penularan kes COVID-19 masih tinggi, namun berdasarkan indikator-indikator penting, ia mula menunjukkan trend penurunan dan memberikan sinar ke arah proses pemulihan negara yang lebih baik.

    Selain itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan projek pembinaan menara telekomunikasi baharu akan dilaksanakan segera untuk memastikan pelaksanaan program jalur lebar dan khidmat 4G di negara ini.

    Rang Undang-undang Anti Lompat Parti juga dibangkitkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu sidang dewan Peguam Negara telah menerima arahan untuk menggubal undang-undang itu. 

    Dalam pada itu, Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021 adalah satu-satunya yang dibentang bagi bacaan kali pertama dalam tempoh dua minggu persidangan.  

    Sidang bersambung Isnin ini dengan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA