Category: Semasa

  • Covid-19: Hanya sembilan kes libatkan jangkitan paru-paru di Sarawak

    Covid-19: Hanya sembilan kes libatkan jangkitan paru-paru di Sarawak

    HANYA sembilan daripada 2,943 kes positif Covid-19 di Sarawak pada Ahad melibatkan jangkitan paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen dan ventilator.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan baki 2,934 kes pula tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 199,089.

    Selain itu, sebanyak 10 kes kematian baharu akibat wabak itu dilaporkan menjadikan angka kematian keseluruhan meningkat kepada 759 orang.

    “JPBN turut memaklumkan terdapat satu kluster komuniti diisytihar hari ini iaitu Kluster Sungai Poh yang melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang di kawasan Sungai Poh, Limbang.

    “Untuk kluster itu, seramai 44 individu didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 47 individu,” menurut JPBN dalam kenyataan pada Ahad. – Bernama

  • Guru enggan divaksin berdepan risiko pertukaran – KPM

    Guru enggan divaksin berdepan risiko pertukaran – KPM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMETERIAN Pendidikan (KPM) tidak menolak kemungkinan akan menukar guru yang enggan divaksin ke negeri lain.

    Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, ketika ini beberapa ketetapan telah dibuat terhadap golongan itu seperti tidak dibenarkan mengajar bersemuka dan ada tugasan lain
    .

    “Bagaimanapun, apabila melihat data ini kita dapati ada sekolah tertentu yang ada guru enggan divaksin mengajar subjek sama dan ada juga satu-satunya guru mata pelajaran berkaitan juga enggan menerima vaksinasi.

    “Jadi, sekiranya perkara ini menjejaskan sekolah dan demi kepentingan perkhidmatan dan pelajar, kita sedang melihat bagaimana untuk membawa keluar guru terbabit dan antara jalan penyelesaian adalah dengan pertukaran tempat mengajar,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja di Kolej Vokasional Langkawi, Langkawi, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd. Radzi berkata, pertukaran tempat mengajar termasuklah melibatkan perpindahan antara negeri berkemungkinan terpaksa diambil bagi menyelesaikan masalah ini dalam memastikan ia tidak menjejaskan sesi pembelajaran.

    “Berkaitan tindakan lanjut, kita sedang menunggu keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tentang bentuk tindakan bersesuaian yang akan diambil terhadap atas guru-guru ini,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya, bilangan guru yang enggan divaksin di seluruh negara menunjukkan penurunan selepas menerima nasihat dan kaunseling.

    “Daripada 2,500 yang enggan menerima vaksinasi, bilangannya kini menurun kepada lebih kurang 2,000 guru sahaja,” jelasnya.

    Ketika diminta mengulas berhubung vaksinasi remaja, Mohd. Radzi memberitahu pihaknya mendapati ibu bapa bersemangat menghantar anak-anak mereka untuk menerima vaksinasi dan tahap penerimaannya juga cukup baik.

    Terdahulu, Dr. Mohd. Radzi memuat naik dalam Facebook miliknya hari ini memberitahu, beliau hadir dalam tiga sesi libat urus pengoperasian sekolah bersama-sama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), guru sekolah rendah dan menengah serta guru besar dan pengetua dari 29 sekolah seluruh Pulau Langkawi.

    “Dalam sesi libat urus tadi, saya memperjelas dan memperincikan lagi perkara berkaitan pengoperasian sekolah dan hal-hal berbangkit yang memerlukan penjelasan lanjut KPM.

    “Pengoperasian sekolah di pulau legenda ini dilaksanakan mengikut ketetapan negeri dalam Fasa 4 PPN memandangkan Langkawi merupakan kawasan gelembung pelancongan,” katanya.

  • Misteri kehilangan warga emas kontak kes Covid-19 terjawab

    Misteri kehilangan warga emas kontak kes Covid-19 terjawab

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MISTERI kehilangan seorang warga emas yang tidak pulang ke rumah terjawab apabila dia yang merupakan kontak rapat kes positif Covid-19, ditemukan lemas dalam parit di Parit Bentong, Jalan Parit Jalil, Tongkang Pechah, Batu Pahat, hari ini.

    Kehilangan Jamyah Abd. Alim, 73, yang tahun merupakan kontak rapat kes Covid-19 iaitu Pesakit Dalam Pemantauan (PUS) disedari ahli keluarga selepas mangsa tidak balik ke rumah sejak malam tadi.

    Susulan itu keluarga mangsa memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis sebelum meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram.

    Menurut Komander Operasi dari BBP Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 11.54 pagi.

    Anggota bomba lengkap berpakaian perlindungan diri mengangkat warga emas tersebut ke darat

    “Seramai 10 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu utiliti Hilux dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Pihak bomba membantu mengeluarkan warga emas tersebut dari dalam parit selepas orang ramai yang membantu mencarinya menemui mayat mangsa dalam parit sedalam 1.5 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, anggota bomba kemudian dimaklumkan mangsa merupakan PUS sebelum mengangkat mayat warga emas itu dalam tempoh 5 minit dengan memakai pakai perlindungan diri.

    Tambah beliau, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 12.39 tengah hari.

  • ‘Cadangan had usia memandu perlu kajian menyeluruh’ – MIROS

    ‘Cadangan had usia memandu perlu kajian menyeluruh’ – MIROS

    SATU gerak kerja di peringkat nasional, perlu dimulakan membabitkan isu pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas supaya ia dapat dilihat secara kolektif dan inklusif.

    Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr. Khairil Anwar Abu Kassim, berkata ia perlu dilakukan dengan mengambil kira pandangan semua pemegang taruh untuk merangka pelan penambahbaikan yang berkesan dan mapan dapat dicapai.

    “MIROS juga ingin menekankan keperluan tanggungjawab untuk semua pemandu menjaga keselamatan nyawa dan harta dengan tidak memandu dalam keadaan tidak sihat.

    “Segenap lapisan masyarakat terutama golongan terdekat perlu memainkan peranan dalam membantu meningkatkan keselamatan di jalan raya,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas syor syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen itu seperti dicadangkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

    Pada masa sama, Khairil Anwar, berkata pelesenan pemandu adalah satu bentuk pentauliahan bersyarat yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada seseorang individu setelah lulus penilaian kompetensi tertentu.

    Katanya, asas utama pentauliahan ini ialah keupayaan untuk memandu dengan selamat di jalan raya. Keupayaan memandu adalah aspek umum keselamatan jalan raya, bukan sahaja membabitkan pemandu berusia, malah turut membabitkan golongan muda.

    “Walau bagaimanapun faktor usia memainkan peranan penting dalam konteks pemandu berusia.

    “Isu status pelesenan pemandu berusia adalah isu yang perlu dilihat secara holistik merangkumi semua aspek termasuk keperluan mobiliti golongan terbabit,” katanya.

    Beliau berkata, sebagai negara yang sedang menuju kepada penuaan, sebarang perubahan dasar perlu dilaksanakan secara bersistematik, berpandangan jauh dan berasaskan bukti kajian dan data untuk menjamin kelestarian langkah penyelesaian dan untuk mengelak berlakunya permasalahan lain.

    Katanya, antara keperluan utama ialah untuk melihat impak perubahan dasar kepada keperluan mobiliti golongan warga emas dalam kerangka sosio ekonomi dan kesihatan termasuk keperluan berkerja dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

    “Isu keselamatan jalan raya berkait pemandu yang berusia adalah isu yang dihadapi oleh kebanyakan negara di seluruh dunia.

    “Secara umumnya penarikan lesen atau mengehadkan tempoh sah lesen adalah jalan terakhir yang diambil selepas pertimbangan tertentu dilaksanakan termasuk pembuktian keupayaan memandu dilakukan secara telus dan dengan menggunakan kaedah ujian yang diiktiraf,” katanya.

    Beliau berkata, pembuktian keupayaan memandu menuntut kepada keperluan kaedah pengujian khas dan disahkan melalui kajian saintifik dan pengumpulan data sebenar.

  • Dua anggota Maritim Malaysia meninggal dunia akibat Covid-19

    Dua anggota Maritim Malaysia meninggal dunia akibat Covid-19

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor meninggal dunia akibat positif Covid-19 pada tahun ini.

    Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Pegawai Waran II Maritim (M) Muhamat Nazri Othman meninggal dunia pada 16 Ogos lalu manakala Bintara Muda Maritim (M) Mohamad Poudzi Aziz meninggal dunia pada 17 September lalu.

    Beliau berkata, kedua-dua anggota tersebut yang masing-masing berusia 55 tahun dijangkiti Covid-19 semasa melakukan operasi.

    “Sejak pandemik melanda negara Mac tahun lalu, seramai 120 anggota Maritim Johor positif Covid-19 tidak termasuk ahli keluarga mereka. Jumlah mereka yang dikuarantin semuanya seramai 360 orang.

    “Kita percaya ada kes positif Covid-19 membabitkan anggota kita berpunca daripada tangkapan individu berkenaan ketika operasi pemantauan dijalankan.

    “Daripada jumlah itu, dua terkorban akibat wabak tersebut. Mohamad Poudzi telah berkhidmat selama 16 tahun manakala Muhamat Nazri pula sudah berkhidmat selama 15 tahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Nurul Hizam berkata, anggota atau pegawai yang terlibat dalam operasi mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk melibatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan.

    Tambahnya, sepanjang operasi dilakukan juga, hanya lima suspek warga asing didapati positif Covid-19 iaitu pada bulan lalu.

  • Maritim Malaysia tahan 101 kapal bersauh haram sejak Januari

    Maritim Malaysia tahan 101 kapal bersauh haram sejak Januari

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 101 buah kapal dagang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak awal tahun ini ekoran melakukan kesalahan berlabuh secara haram di perairan Johor.

    Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 83 buah kapal ditahan menerusi operasi Jangkar Haram melibatkan kawasan di Tompok Utara, perairan Johor timur.

    Beliau berkata, menerusi operasi itu, 36 kes masih dalam siasatan dan proses pertuduhan, manakala 47 kes lagi telah dituduh dengan denda dan kompaun dikenakan kira-kira RM1.3 juta serta sebanyak RM1.7 juta bon jaminan dibayar.

    Maritim Johor melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kapal yang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di kawasan Tompok Utara, Kota Tinggi

    “Kawasan Tompok Utara menjadi tumpuan kegiatan kapal terbabit kerana kedudukannya yang strategik di pintu masuk Timur-Barat perairan negeri selain kedudukan geografinya yang mempunyai kedalaman 60 meter sesuai untuk kapal berlabuh.

    “Antara alasan mereka berikan tidak tahu sudah berada di perairan negara dan tidak sedar dengan undang-undang di laut di negeri ini.

    “Ada juga kapal yang enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan hendak dijalankan, maka kita terpaksa membuat ‘force boarding’,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Jelasnya, daripada jumlah kapal yang ditahan, kapal berdaftar dari Singapura paling banyak ditahan iaitu sebanyak 30 buah, diikuti Indonesia (12), Malaysia (9), Greece (8) dan Hong Kong.

    Nurul Hizam (dua kiri) menunjukkan perairan Johor timur yang sering diceroboh kapal dagang asing terutama berlabuh tanpa kebenara Jabatan Laut Malaysia, selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, Johor Bahru, hari ini

    Katanya, kes terbaharu yang dilaporkan membabitkan penahanan dua buah kapal tangki yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di kawasan perairan Johor Timur.

    Malah Nurul Hizam berkata, salah sebuah kapal tangki terbabit baru sahaja selesai kes perbicaraan bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.

    “Kapal tangki berdaftar di Mongolia itu dikendalikan lapan kru warga Indonesia berusia 23 hingga 66 tahun yang ditahan 31 Ogos lalu kerana bersauh tanpa kebenaran dan didenda sebanyak RM50,000.

    “Pemindahan itu turut melibatkan sebuah kapal tangki dari Panama yang dikendalikan 25 kru daripada Indonesia, Ukraine, Georgia dan Rusia berusia antara 23 hingga 53 tahun,” katanya.

    Sementara itu, kata beliau, keberkesan penguatkuasaan mencatatkan penurunan jumlah kapal berlabuh secara haram dan operasi Jangkar Haram akan diteruskan hingga pematuhan mencapai 100 peratus.

  • Taman tema dijangka dibuka November ini

    Taman tema dijangka dibuka November ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAMAN tema dijangka dibuka pada November ini selepas negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

    Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berkata, pihaknya yakin taman tema boleh dibuka seperti juga di tempat terbuka lain dengan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP)

    Bagaimanapun katanya, kebenaran itu perlu mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu dengan SOP yang ditetapkan.

    “Pada pandangan saya, taman-taman tema ini persekitarannya adalah terkawal yang mana perlaksanaannya lebih mudah berbanding di tempat-tempat terbuka seperti pantai dan air terjun.

    “Tempat terbuka kini sudah dibolehkan dan saya yakin dengan tambah baik SOP maka taman tema juga sudah boleh dibuka.

    “Namun, proses untuk meneruskannya datang daripada MKN dan saya difahamkan kementerian terbabit sedang mengkaji dan tidak lama lagi akan ada keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja rasminya di Lost World Of Tambun, Ipoh, hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

    Katanya, pemain industri pelancongan ketika ini sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghidupkan semula sektor pelancongan yang terjejas.

    “Persoalannya bila dan bagaimana cara terbaik untuk dilaksanakan setelah dibuka, ia apabila sudah ada 90 peratus warganegara sudah di vaksinasi dan semua pekerja ditaman tema telah divaksinasi. Kaedah, SOP dan sebagainya MKN yang akan tentukan.

    “Namun, difahamkan pemain industri telah membuat satu cadangan dan memaklumkan tentang persediaan mereka. Kementerian kita juga telah bersiap sedia untuk mempromosikan produk-produk pelancongan bersama pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri,” katanya.

  • Peluang Sajjad bertaubat sentiasa terbuka, kerajaan sedia beri bimbingan – Idris

    Peluang Sajjad bertaubat sentiasa terbuka, kerajaan sedia beri bimbingan – Idris

    PELUANG untuk Muhammad Sajjad Kamarul Zaman, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, bertaubat sentiasa terbuka jika beliau benar-benar ingin kembali kepada fitrahnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

    Beliau berkata kerajaan sedia memberi bimbingan dan kaunseling kepada Muhammad Sajjad selepas pihak berkuasa selesai mengambil tindakan terhadap usahawan kosmetik itu.

    “Insya-Allah kalau dia sudi datang kepada kita, kalau dia sudah mengaku salah dan sebagainya, kalau dia nak balik kepada fitrah, tidak ada masalah.

    “Kita bukan nak menghukum, kita lebih kepada pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Musa’adah FoodBank YaPEIM kepada 174 pekerja rumah bot di Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir, Kuala Berang hari ini. 

    Idris juga berkata kerajaan sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menarik golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kembali ke pangkal jalan termasuk melalui program dakwah di jalanan.

    Bernama sebelum ini melaporkan polis dalam proses memohon untuk mengekstradisi Muhammad Sajjad daripada pihak berkuasa Thailand.

    Muhammad Sajjad diburu oleh pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

    Pada 15 Jun lepas, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan di Mahkamah Ampang, Selangor.

    — BERNAMA

  • JPJ pergiat operasi khas banteras langgar lampu isyarat merah

    JPJ pergiat operasi khas banteras langgar lampu isyarat merah

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mempergiat operasi khas ‘Ops Merah’ di seluruh negara untuk membanteras aktiviti pelanggaran lampu isyarat merah yang kerap berlaku terutamanya dalam kalangan penunggang perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing). 

    Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya memandang serius kesalahan tersebut yang turut melibatkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

    “Rekod di seluruh negara bagi kesalahan melanggar lampu isyarat pada 2019 ialah sebanyak 22,656 kes dan kompaun telah dikeluarkan, manakala pada 2020, jumlahnya agak berkurangan iaitu kepada 12,764 kes disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

    “Di Terengganu, melanggar lampu merah adalah kesalahan kedua tertinggi setakat Ogos tahun ini iaitu 476 kes,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Institut Memandu (IM) Bitara dekat Padang Midin di sini hari ini.

    Kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh disaman di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan kompaun maksimum RM300 dan denda mahkamah tidak lebih RM2,000.

    Beliau berkata tujuh kesalahan lain yang sering dikesan ialah tidak memakai tali pinggang dan topi keledar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu tanpa alat bebas tangan, memotong dua barisan berkembar, memotong barisan dan memandu di lorong kecemasan. 

    Ditanya mengenai kerjasama JPJ dengan agensi kerajaan lain dalam usaha mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat, beliau berkata pihak berkuasa tempatan disaran untuk memasang kamera litar tertutup khususnya di persimpangan yang sering berlaku kes tersebut. 

    –BERNAMA

  • Terma, syarat RCI Tabung Haji diumum dalam masa terdekat

    Terma, syarat RCI Tabung Haji diumum dalam masa terdekat

    KERAJAAN akan mengumumkan terma dan syarat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diwujudkan untuk menyiasat isu-isu yang berbangkit dalam Lembaga Tabung Haji (TH), dalam masa terdekat.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan juga sedang mengenal pasti senarai keahlian RCI, yang bakal melibatkan pakar perundangan termasuk dalam bidang syariah.

    “Terma dan syarat itu nanti tidak lari dari tujuan penubuhan RCI untuk menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH dari tahun 2014 hingga 2020.

    “Kesemua transaksi yang timbul dan berbangkit sama ada di Parlimen atau media sosial mengenai  urusan TH yang perlu pada siasatan akan dirungkaikan menerusi RCI tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serahan Sumbangan Qaseh Inspirasi  Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di perumahan nelayan Tok Bali, hari ini. – Bernama