Category: Semasa

  • Tiga maut kereta langgar tembok rumah

    Tiga maut kereta langgar tembok rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BUNYI dentuman kuat mengejutkan penduduk yang sedang tidur selepas sebuah kereta melanggar sebuah tembok sebuah rumah di Jalan Rumbia 3, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pada pukul 2 pagi itu, sebuah kereta Proton Waja dipercayai terbabas dan hilang kawalan sebelum merempuh tembok rumah berkenaan yang berada di tepi jalan tersebut.

    R. Vimalan, 21, M. Sharven, 21 dan seroang lagi lelaki dewasa berusia 20-an yang masih belum dikenali identitinya meninggal dunia.

    Tiga maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki terbabas dan merempuh tembok sebelum mangs tersepit

    Sementara S. Meshen Kumar, 21, dan P. Agilan, 22, cedera parah serta kemalangan itu menyebabkan beberapa mangsa tersepit.

    Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Ramli A. Hamid berkata, kereta tersebut dipercayai dari arah Taman Daya menuju ke Setia Indah.

    “Dua mangsa mengalami kecederaan parah manakala tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi.

    Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Waja yang sudah remuk pada bahagian depan

    “Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan Road Traffic Accident (RTA).

    “Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi menerima rawatan selanjutnya manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, operasi tersebut tamat pada pukul 3.42 pagi.

  • RMK-12: 4 matlamat, 9 fokus utama pacu ekonomi negara

    RMK-12: 4 matlamat, 9 fokus utama pacu ekonomi negara

    RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang Dewan Rakyat hari ini mempunyai empat matlamat utama dan sembilan fokus utama dalam usaha merancakkan semula ekonomi negara pasca krisis COVID-19.

    Seperti yang dijelaskan oleh beliau, matlamat-matlamat utama RMK-12 secara terperinci adalah seperti berikut:

    Pertama: Pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025;

    Kedua: Purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira 10 ribu ringgit sebulan pada tahun 2025;

    Ketiga: Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025; dan

    Keempat: Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.

    Ismail Sabri turut memberi pencerahan kepada sembilan fokus utama RMK-12 seperti berikut:

  • ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’  matlamat RMK-12

    ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’ matlamat RMK-12

    RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan matlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, akan membolehkan semua rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua strategi dan inisiatifnya juga, sejajar dengan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, yang dipersetujui oleh semua ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015.

    Menurut beliau, kerajaan mahu memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada masa hadapan.

    “Namun, pencapaian ini tidak bermakna, jika masih ada Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada arus pembangunan.

    “Kita mahu hidup bahagia bersama-sama, sebagai satu keluarga tanpa mengira tahap pendapatan, agama, bangsa dan kaum.

    “Dalam melaksanakan pembangunan, kelestarian alam perlu menjadi agenda utama negara, kerana ia akan diwarisi oleh generasi masa hadapan,” katanya ketika membentangkan RMK-12 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Ismail Sabri menambah, RMK-12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

    Beliau memberitahu, bagi tujuan itu, tiga Tema dan empat Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan diperkenalkan dalam RMKe-12.

    “Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, atau whole-of-nation approach yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan,” jelasnya.

    Ismail Sabri berkata, tujuan pembaharuan tersebut bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

    Menurut beliau, di samping itu, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

    “Insya-Allah, dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik.

    “Kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi,” ujarnya.

  • Scammer perangkap sebelum ugut, khianat mangsa

    Scammer perangkap sebelum ugut, khianat mangsa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MEMBUAT tawaran pinjaman wang secara pantas menerusi media sosial terutama menyasarkan pekerja Malaysia di Singapura sebelum menjerat mereka apabila tidak mampu membayar hutang.

    Apabila setuju untuk meminjam, mangsa disuruh membuat sedikit pembayaran terlebih dahulu sebelum wang yang mahu dipinjam dijanjikan akan dimasukkan ke dalam akaun peminjam.

    Itu modus operandi scammer yang menjalankan kegiatan tersebut dan selepas terperangkap, mangsa akan diugut dengan perbuatan khianat termasuk membaling caat ke rumah mereka.

    Pendedahan itu dilakukan Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon dan menyifatkan mereka yang menawarkan bantuan kewangan sedemikian adalah ‘scammer’.

    Pekarangan rumah dibaling cat merah selepas pemiliknya menjadi mangsa sindiket ‘scammer’ dan enggan mengikut arahan

    “Semalam saya terima aduan daripada seorang pengadu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang mengatakan dia meminjam wang sebanyak SDG30,000 dengan memberikannya butiran kediaman di negeri ini.

    “Selepas membuat permohonan itu dan perlu membayar wang sebanyak SGD7,500 (RM22,500) dia masih gagal mendapatkan wang yang mahu dipinjamnya.

    “Sebaliknya dia diugut ‘scammer’ untuk memasukkan lagi wang ke dalam akaun pihak berkenaan atau tidak mereka akan bertindak membaling cat di kediaman mangsa,” katanya kepada pemberita di Kulai, hari ini.

    Jian Boon memberitahu, ekoran itu kediaman mangsa di sini yang dihuni ibu mangsa berusia 62 telah dibaling cat.

    “Selain itu turut ditinggalkan satu nota memaklumkan sekiranya mangsa tidak terus membuat pembayaran, mereka akan membaling bom petrol pula selepas ini.

    “Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat mangsa secara serentak kepada polis di Malaysia dan Singapura,” ujarnya.

    Nota ugutan yang ditinggalkan ‘scammer’ yang menipu mangsa setelah terdesak memerlukan pinjaman wang secara atas talian

    Tambah Jian Boon, tindakan ‘scammer’ yang menipu mangsa dan melakukan ugutan secara terbuka seperti itu merupakan satu tindakan yang mencabar kedaulatan undang-undang negara ini.

    “Oleh itu, saya berharap polis Johor akan dapat mengambil tindakan segera berhubung jenayah penipuan ini yang mana saya percaya jika dibiarkan lebih ramai pihak akan menjadi mangsa.

    “Kepada masyarakat, saya nasihatkan jangan membuat pinjaman wang dengan mana-mana pihak yang ditemui di media sosial kerana dibimbangi akan menjadi mangsa sindiket ‘scammer’,” jelasnya.

  • Kerajaan pertimbang turun harga maksimum kit ujian kendiri COVID-19 lebih awal

    Kerajaan pertimbang turun harga maksimum kit ujian kendiri COVID-19 lebih awal

    KERAJAAN sedang mempertimbang untuk melaksanakan harga kawalan baharu kit ujian kendiri COVID-19 yang lebih murah lebih awal, berbanding jangkaan pada Disember ini.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata pada masa ini kementerian giat mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan supaya kit ujian kendiri tersebut dapat segera dijual dengan harga yang lebih rendah.

    Beliau berkata bagaimanapun dalam masa sama kerajaan turut perlu mengambil kira kepentingan dan kelangsungan perniagaan pemain industri yang terbabit dengan kit ujian kendiri tersebut.

    “Pembukaan sektor ekonomi, pelancongan dan pendidikan secara berperingkat dalam tempoh ini dan lain-lain kelonggaran di bawah Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bakal diumumkan kerajaan dari semasa ke semasa akan menjadikan kit ujian kendiri COVID-19 ini sebagai alatan perubatan penting yang amat diperlukan.

    “Dalam erti kata lain, ujian pengesanan kendiri COVID-19 kini menjadi satu norma baharu yang perlu diadaptasi dalam kehidupan seharian segenap lapisan masyarakat. Oleh itu kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan pengguna mampu mendapatkan kit ini pada harga lebih baik dan pemain industri juga dapat meneruskan kelangsungan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam perkembangan sama beliau berkata hasil pemeriksaan penguat kuasa kementerian di 3,106 premis seluruh negara sejak harga kawalan kit ujian kendiri COVID-19 dikuatkuasakan pada 5 Sept lalu, terdapat 348 premis yang menjual di bawah paras harga kawalan RM19.90 bagi runcit dan RM16 bagi borong manakala 2,554 premis menjual kit tersebut mengikut harga kawalan.

    “Kementerian menyambut baik inisiatif pemain industri yang peka dengan situasi semasa dan secara tidak langsung membantu mengurangkan bebanan rakyat dengan menawarkan kit ini pada harga lebih rendah daripada harga kawalan ditetapkan kerajaan,” katanya.

    Dalam perkembangan sama Rosol berkata penjualan kit ujian kendiri tersebut akan diperluaskan ke premis selain farmasi dan klinik seperti pasar raya serta kedai serbaneka, seawal Oktober ini.

    “Sebelum itu kementerian perlu terlebih dahulu memastikan premis-premis yang menjual kit ujian kendiri COVID-19 ini mempunyai maklumat mencukupi mengenai syarat-syarat jualan termasuk mematuhi aspek pelabelan produk dan kaedah pengendaliannya bagi memudahkan orang ramai,” katanya. – Bernama

  • Kerajaan disaran tambah pemberian peranti PdPR

    Kerajaan disaran tambah pemberian peranti PdPR

    KERAJAAN disaran mempertimbangkan peruntukan tambahan untuk sektor pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) termasuk pemberian peranti kepada murid daripada golongan B40 selain memperbaiki infrastruktur di sekolah bagi keselesaan murid.

    Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, mengambil kira situasi pandemik Covid-19, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijangka tetap diteruskan.

    Tambah beliau, sesi kemasukan ke sekolah juga akan dibuat secara bergilir dengan keutamaan diberikan kepada murid yang bakal menduduki peperiksaan.

    “Jadi saya cadangkan kerajaan menambah bajet untuk pembelian alat peranti khususnya kepada murid daripada keluarga B40.

    “Saya difahamkan sekolah akan bermula dengan kelas-kelas peperiksaan dahulu. Justeru kehadiran murid ke sekolah dalam satu-satu masa adalah terhad.

    “Murid akan lebih banyak terdedah kepada penggunaan peranti di rumah bagi mengikuti sesi pembelajaran,” beliau dilaporkan berkata kepada Sinar harian hari ini .

    Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, berkait dengan penggunaan peranti tersebut, capaian kepada akses internet khususnya di kawasan pedalaman dan pulau juga mesti diberikan tumpuan bagi membolehkan murid di kawasan berkenaan dapat mengikuti sesi PdPR dengan lebih baik.

    Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kerajaan menyediakan peruntukan bagi menaik taraf atau memperbaiki infrastruktur sekolah sedia ada.

    “Kita tahu di kawasan bandar besar, pertambahan penduduk di satu-satu tempat sangat pesat. Maka, pertambahan bilik darjah sangat diperlukan,” katanya.

    Alimuddin berkata, kerajaan juga wajar memberikan geran tahunan yang lebih banyak kepada sekolah bagi membolehkan guru mempelbagaikan aktiviti tanpa menumpukan kepada peperiksaan semata-mata.

  • Warga emas maut terjatuh dari tingkat 29

    Warga emas maut terjatuh dari tingkat 29

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas meninggal dunia selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh dari tingkat 29, Blok F, bangunan Atarzia Park Forest City, Iskandar Puteri, awal pagi ini.

    Mangsa, Samsiyah Yakob, 66, terjatuh dari tingkat 29 dan tersangkut dibalkoni tingkat 16 sebelum kejadian pada pukul 2.58 pagi itu dimaklumkan kepada pihak pengurusan bangunan.

    Susulan itu seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Mangsa merupakan warga Indonesia yang mendapat status Permaustautin Tetap dan tinggal bersama-sama anak angkatnya

    Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Ishak Noh berkata, pihak bomba bertindak mengangkat mangsa dari balkoni sebelum serahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Mangsa tinggal bersama-sama anak angkat mangsa berumur 13 tahun di rumah tersebut.

    “Mangsa merupakan warga Indonesia tersebut yang mendapat status Pemastautin Tetap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambah beliau, operasi tamat pada pukul 4.55 pagi.

  • Dua lelaki sesat lima jam di Gunung Pulai

    Dua lelaki sesat lima jam di Gunung Pulai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SETELAH lima jam tidak jumpa jalan keluar, dua lelaki yang sesat ketika menjalankan aktiviti riadah dengan mendaki Gunung Pulai, Kulai ditemukan malam tadi.

    Mangsa, Muhammad Syazwan Kamarulzzaman, 25 dan Muhammad Fadzrel Haziq Mohd. Farid, 16, berjaya ditemui pada pukul 10.15 di kawasan tersebut.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Wan Mohd. Azrul Wan Mahamad Shaf”ii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 5.30 petang.

    Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bagi mengesan kedua-dua mangsa tersebut membabitkan seramai lapan anggota BBP Kulai.

    Pihak bomba melakukan operasi mecari dan menyelamat di sekitar kawasan Gunung Jerai dalam masa kira-kira lima jam

    “Berdasarkan maklumat diterima daripada saudara mangsa, terdapat dua lelaki dewasa telah sesat ketika melakukan aktiviti mendaki gunung.

    “Anggota bertindak menghubungi talian telefon mangsa bagi menjejaki lokasi semasa mereka tetapi rangkaian telefon tidak jelas.

    “Operasi yang dijalankan akhirnya berjaya menemukan mangsa setelah lebih lima jam mencari kira-kira pukul 10.45 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kulai dengan menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan pemeriksaan susulan.

    Katanya, setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pukul 1.15 pagi.

  • Kanak-kanak empat dikhuatiri lemas jatuh longkang, Shah Alam dinaiki air

    Kanak-kanak empat dikhuatiri lemas jatuh longkang, Shah Alam dinaiki air

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, di Shah Alam  hari ini.

    Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima maklumat   berhubung kejadian itu daripada pihak polis sekitar 6.18 petang sebelum tiba ke lokasi kejadian kira-kira 12 minit kemudian.

    “Pencarian sedang giat dijalankan oleh pihak bomba. Kita khuatiri kanak-kanak itu hanyut dibawa arus deras dipercayai menuju ke arah Sri Muda akibat terjatuh ke dalam longkang 4×5 kaki itu (1.2 meter x 1.5 meter) ” katanya.

    Sementara itu, sebuah kenderaan terkandas dalam banjir setinggi 1.22 meter di sekitar kawasan Stadium Shah Alam Seksyen 13.

    Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.07 petang.

    Menurutnya, seramai sembilan anggota berlainan pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba di lokasi kejadian pada jam 5.17 petang.

    “Pihak bomba mendapati kawasan sekitar stadium tersebut dinaiki air setinggi 1.22 meter di beberapa kawasan dan menyebabkan sebuah kenderaan terkandas. Bagaimanapun pemandu kereta itu berjaya menyelamatkan diri,’’ katanya.

  • Dua lokaliti di Pahang dikenakan PKPD

    Dua lokaliti di Pahang dikenakan PKPD

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di dua lokaliti di Pahang bermula 28 hingga 11 Oktober ini.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara, MKN, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, dua lokaliti yang dikenakan PKPD itu ialah Kampung Orang Asli Sungai Mai di Jerantut dan Kampung Inai di Rompin.

    Jelasnya, keputusan PKPD itu dibuat selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung situasi di kawasan berkenaan.

    “MKN turut meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memutuskan untuk menamatkan satu lokaliti di Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Rodzi berkata, lokaliti yang ditamatkan ialah di Rancangan Rumah Murah (RMM) Kampung Kolek, Sungai Lembing, Kuantan.

    “Penamatan bermula esok seperti yang telah dijadualkan,” katanya.