Category: Semasa

  • 2 remaja sesat di Bukit Bauk ditemukan selamat

    2 remaja sesat di Bukit Bauk ditemukan selamat

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    TINDAKAN pantas anggota pasukan bomba dan penyelamat bagi mengesan dua remaja yang dilaporkan tersesat ketika menuruni puncak Bukit Bauk di Dungun, berjaya menyelamatkan kedua-dua sahabat berkenaan daripada bermalam di dalam hutan simpan kekal di kawasan itu.

    Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias, dua remaja tersebut dilaporkan tersesat hampir tiga jam di dalam hutan itu semasa mereka sedang menuruni bukit berkenaan petang semalam.

    Menurut beliau, kedua-dua remaja berusia 20an itu mula mendaki Bukit Bauk pada pukul 9 pagi dan pada pukul 12 tengah hari pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan daripada mereka.

    Katanya, salah seorang mangsa memberitahu dengan mengatakan mereka telah tersesat laluan sewaktu sedang turun dari puncak Bukit Bauk.

    Justeru ujarnya, sebaik menerima maklumat tersebut, pihaknya terdiri daripada 20 anggota pelbagai agensi penyelamat terus ke tempat kejadian.

    “Dalam operasi berkenaan, kita berjaya menemui kedua-dua mangsa pada kedudukan dua kilometer daripada laluan asal pendakian pada pukul 1.31 petang.

    “Susulan penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat orang hilang di sekitar kawasan bukit setinggi 400 meter itu ditamatkan pada pukul 2.37 petang,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Menurut Azman, dua mangsa terbabit kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Dungun bagib pemeriksaan lanjut.

  • JAS siasat tiga individu didakwa buang sisa di Sungai Kinta

    JAS siasat tiga individu didakwa buang sisa di Sungai Kinta

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Perak akan menyiasat tindakan tiga individu yang didakwa melakukan pencemaran dengan membuang ‘sisa’ ke Sungai Kinta, Ipoh, semalam.

    Pengarahnya, Rosli Zul berkata, satu laporan polis akan dibuat bagi mengesan mereka yang terlibat untuk tindakan lanjut.

    “JAS akan cari pemilik kereta berkenaan sebagaimana yang dikongsikan dalam video tular terbabit.

    “Kita akan mengesan pelakunya bagi mengetahui buangan apa yang dilepaskan ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

    Menurutnya, persampelan air akan diambil bagi mengetahui kualiti air sungai terbabit dan siasatan lanjut masih diteruskan.

    Tindakan tiga individu yang dipercayai membuang sesuatu ke Sungai Kinta di Jalan Sultan Iskandar, di sini mendapat kecaman warganet.

    Video berdurasi 44 saat itu mula tular apabila dikongsi pelayar laman sosial Facebook dan Twitter mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

    Mereka didapati membuang sesuatu seperti cecair daripada beberapa tong plastik berwarna biru sebelum kesemuanya beredar menaiki sebuah kereta yang diletakkan di tebing sungai.

  • 11,889 kes baharu COVID-19

    11,889 kes baharu COVID-19

    Malaysia merekodkan 11,889 kes baharu COVID-19 setakat 12 tengah hari ini, berbanding 12,735 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di laman Facebooknya memaklumkan, perkembangan terbaharu itu menjadikan kumulatif kes adalah 2,257,584.

  • Gambar peti  besi besar dipindah dari Kompleks Seri Perdana pula tular

    Gambar peti besi besar dipindah dari Kompleks Seri Perdana pula tular

    BEBERAPA keping gambar tular menunjukkan peti besi besar dikeluarkan dari Kompleks Seri Perdana dan  dipercayai dipindahkan selepas kekalahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

    Memetik laporan portal AgendaDaily, kren juga terpaksa digunakan bagi membawa keluar peti besi tersebut keluar dari kediaman rasmi Perdana Menteri itu kerana terlalu berat.

    Semalam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui membawa perabot keluar dari Kompleks Seri Perdana dan masih disimpan di gudang serta sedia memulangkan perabot tersebut kepada kerajaan secara percuma kerana tidak digunakan langsung memandangkan masih berpuas hati dengan apa yang sudah ada di rumahnya.

    “Ia tak digunakan langsung. Jika kerajaan ada niat, saya setuju untuk berikan secara percuma kepada kerajaan. Hanya perlu berhubung dengan pegawai saya dan datang ke warehouse untuk pilih,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

    Isu kompleks Seri Perdana menjadi kontroversi selepas kerja baik pulih yang dijalankan terpaksa menelan belanja yang tinggi selepas Najib keluar daripada kediaman tersebut.

    Najib merupakan individu terakhir yang menghuni Seri Perdana sebelum berpindah keluar selepas kekalahan kerajaan BN yang menyaksikan beliau tersingkir sebagai Perdana Menteri Keenam.

    Untuk rekod, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri  tidak mendiami kompleks tersebut, malah Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri  Ketujuh juga tidak menetap di situ.

    Semalam Warta Rakyat melaporkan, isu Kompleks Seri Perdana itu menjadi heboh apabila kos sebanyak RM38.5 juta disalahtafsirkan oleh segelintir ahli politik sebagai pengubahsuaian sedangkan ia sebenarnya ialah bagi kerja-kerja baik pulih.

    Muhyiddin dalam kenyataan semalam menjelaskan, keputusan membaik pulih Seri Perdana dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi Ketua Kerajaan dan imej negara ini kepada keadaannya yang asal.

    Bekas Perdana Menteri berkata, jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan itu akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat.

    Beliau memberitahu, ketika mula menjawat jawatan Perdana Menteri pada bulan Mac 2020, beliau telah menerima laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan bangunan rasmi JPM.

    ‘’Kerosakan ini melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang. Kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan telah menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan,’’ katanya.

  • Lokman Adam didakwa sebar berita tidak benar mengenai vaksin, virus COVID-19

    Lokman Adam didakwa sebar berita tidak benar mengenai vaksin, virus COVID-19

    BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual mengenai vaksin dan virus COVID-19, pada April dan Mei lepas.

    Lokman, 48, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lokman didakwa menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus COVID-19 dan kematian seorang pegawai polis yang dikaitkan dengan vaksin.

    Penyebaran itu melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil “Lokman Adam” itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam, 3 Mei dan 10.38 malam, 9 April lepas.

    Dua rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di Kuala
    Lumpur pada 4.40 petang, 9 Mei dan 8.55 malam, 11 April. 

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport OKS diserahkan kepada mahkamah.

    “Pihak kami memohon untuk penyerahan pasport OKS kerana kawasan Lembah Klang akan memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kemungkinan sempadan negara akan dibuka tidak lama lagi,” katanya.

    Peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memohon jaminan rendah serta pasport anak guamnya tidak ditahan atas alasan sempadan negara masih belum dibuka. 

    “Anak guam saya kini tidak bekerja dan membantu isterinya menjual sate selain masih menanggung 11 orang anak mereka,” kata Logen.

    Mahkamah membenarkan Lokman diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Nov depan untuk sebutan semula kes.

  • Jangkitan Covid-19 menurun kepada 11,889 kes hari ini

    Jangkitan Covid-19 menurun kepada 11,889 kes hari ini

    MALAYSIA merekodkan 11,889 kes baharu Covid-19 setakat 12 tengah hari ini.

    Jumlah berkenaan menurun berbanding semalam yang mencatatkan sebanyak 12,735 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian dalam laman sosialnya memaklumkan, perkembangan terbaru itu menjadikan kumulatif kes adalah 2,257,584.

    Sarawak kekal melaporkan kes harian tertinggi sebanyak 2,413 diikuti Selangor (1,568) dan Johor (1,217).

  • Sorok 10 plastik heroin dalam plastik kurier elak dihidu polis

    Sorok 10 plastik heroin dalam plastik kurier elak dihidu polis

    SEORANG penganggur lelaki berusia 30 tahun dita han polis di Kepala Batas, Pulau Pinang Selasa lalu bersama-sama 10 plastik dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram.

    Dadah bernilai RM60,300 itu dijumpai disorok dalam bahagian but kereta jenis Proton Wira yang dinaiki suspek dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari.

    Ketika dijumpai, dadah itu didapati dibungkus menggunakan plastik lutsinar yang kemudiannya diletakkan dalam bungkusan plastik kurier bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika ditahan suspek dipercayai dalam proses untuk menghantar bekalan dadah tersebut kepada ahli sindiket yang lain.

    Beliau berkata, suspek juga dipercayai baru berjinak-jinak dalam kegiatan tersebut memandangkan dia tiada rekod lampau berkaitan dadah

    “Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak kira-kira dua bulan lalu manakala suspek yang ditahan memiliki satu rekod jenayah berkaitan kes melarikan orang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, Kepala Batas hari ini.

    Dalam pada itu, Noorzainy berkata, polis sedang mengesan saki-baki ahli sindiket atau rakan-rakan suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

    “Suspek kini direman selama enam hari sehingga Isnin depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • KPDNHEP terima 350 aduan barangan kawalan melebihi harga ditetapkan

    KPDNHEP terima 350 aduan barangan kawalan melebihi harga ditetapkan

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam NegerI dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 350 aduan berkaitan penjualan barangan kawalan melebihi harga ditetapkan dalamr tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

    Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, aduan paling tinggi membabitkan minyak masak dengan 172 aduan, diikuti gas petroleum cecair (111), gula (28), kit ujian Covid-19 (17) dan masing-masing 11 aduan untuk pelitup muka dan tepung.

    “Penguat kuasa KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang melanggar garis panduan dan syarat serta harga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, peniaga yang menjual melebihi harga kawalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 iaitu denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu.

    Sementara itu bagi syarikat katanya, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

    Azman berkata, barang keperluan seperti gula pasir putih bertapis kasar dan halus, tepung gandum serba guna, minyak masak, gas petroleum cecair, pelitup muka dan kit ujian pantas antigen Covid-19, telah ditetapkan harga jualannya di semua jenis kedai dan platform perniagaan termasuk dalam talian.

    “Ia bagi memastikan rakyat dapat menikmati barang keperluan pada harga terkawal dan sekali gus tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini,” katanya menambah bahawa harga yang ditetapkan itu tidak termasuk caj penghantaran.

    Pengguna digalakkan membuat aduan terus kepada KPDNHEP dengan memberi maklumat lengkap mengenai barang berserta tanda harga dan lokasi premis atau platform, menerusi pelbagai saluran yang disediakan seperti Whatsapp 019-279 4317; Mobileapps Ez ADU KPDNHEP; portal e-aduan.kpdnhep; pusat panggilan 1-800-886-800; e-mel di [email protected] atau melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245. – Bernama

  • Sindiket edar dadah RM2.5 juta guna kereta sewa tumpas

    Sindiket edar dadah RM2.5 juta guna kereta sewa tumpas

    TAKTIK satu sindiket pengedaran dadah menggunakan kereta sewa selain menyorok bahan terlarang berkenaan dalam bungkusan ‘teh Cina’ gagal mengaburi mata polis berjaya dibongkar selepas lapan individu termasuk dua wanita ditahan di Lembah Klang pada 23 September lalu.

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, menerusi beberapa serbuan berasingan berkenaan, pihak polis turut berjaya merampas dadah jenis methamphetamine bernilai RM2.5 juta.

    “Polis merampas 62 bungkusan ‘teh Cina’ berisi dadah jenis methamphetamine anggaran berat 63.1 kilogram dalam sebuah kereta jenis Hyundai Ionic yang diparkir di hadapan sebuah pasar raya di Seri Kembangan pada jam 6.30 petang.

    “Kami kemudian berjaya memberkas seorang lelaki dan wanita warga Vietnam di sebuah kondominium di Brickfields.

    “Hasil soal siasat, kami menahan lima lelaki dan seorang warga Thailand di tiga lokasi di Dang Wangi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

    Sharul Lalli berkata, modus operandi sindiket yang bergiat aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu itu menggunakan kenderaan sewa.

    “Kereta tersebut akan ditinggalkan sindiket berkenaan di sesuatu kawasan, kemudian individu lain akan mengambil kenderaan itu atau bungkusan dadah tersebut,” katanya.

    Sharul Lalli berkata, pihaknya turut menyita wang tunai RM126,000 dan lima buah kereta jenis Toyota Land Cruiser, Mercedes-Benz, Lexus, Proton Exora dan Nissan Serena.

    “Hasil semakan mendapati lima suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah dan dadah. Ujian saringan awal air kencing mendapati tiga orang positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua suspek berusia 31 hingga 53 tahun itu ditahan reman 11 hari dari 24 September hingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Malaysia-AS sepakat pastikan momentum hubungan dua hala kekal kukuh

    Malaysia-AS sepakat pastikan momentum hubungan dua hala kekal kukuh

    MENTERI Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mengadakan perbualan telefon pada malam tadi dan kedua-dua pemimpin berazam untuk memastikan momentum hubungan dua hala terus kekal kukuh.

    Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), hubungan dua hala itu merangkumi pelbagai aspek termasuk kesihatan dan keselamatan serta perdagangan dan pelaburan.

    Saifuddin dan Blinken turut membincangkan pelbagai isu antarabangsa dan serantau, termasuk kerjasama tiga hala Australia-United Kingdom-AS (AUKUS), situasi di Myanmar dan Afghanistan serta Laut China Selatan.

    “Saifuddin juga mengulangi penghargaan Malaysia kepada AS yang bermurah hati menyumbangkan satu juta dos vaksin Covid-19 Pfizer kepada kerajaan Malaysia pada Julai lalu dan bantuan kewangan AS$800,000 melalui Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah sebagai menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

    AS, melalui kedutaannya di Kuala Lumpur, turut menghulurkan pelbagai bantuan serta sumbangan lain bernilai AS$2.85 juta kepada Malaysia sejak pandemik melanda.

    “Kedua-dua pemimpin menyuarakan komitmen untuk terus memelihara hubungan antara kedua-dua negara, termasuk pertukaran kunjungan bagi memanfaatkan potensi besar Kerjasama Komprehensif Malaysia-AS,” kata kenyataan itu. – Bernama