Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

TINDAKAN pantas anggota pasukan bomba dan penyelamat bagi mengesan dua remaja yang dilaporkan tersesat ketika menuruni puncak Bukit Bauk di Dungun, berjaya menyelamatkan kedua-dua sahabat berkenaan daripada bermalam di dalam hutan simpan kekal di kawasan itu.

Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias, dua remaja tersebut dilaporkan tersesat hampir tiga jam di dalam hutan itu semasa mereka sedang menuruni bukit berkenaan petang semalam.

Menurut beliau, kedua-dua remaja berusia 20an itu mula mendaki Bukit Bauk pada pukul 9 pagi dan pada pukul 12 tengah hari pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan daripada mereka.

Katanya, salah seorang mangsa memberitahu dengan mengatakan mereka telah tersesat laluan sewaktu sedang turun dari puncak Bukit Bauk.

Justeru ujarnya, sebaik menerima maklumat tersebut, pihaknya terdiri daripada 20 anggota pelbagai agensi penyelamat terus ke tempat kejadian.

“Dalam operasi berkenaan, kita berjaya menemui kedua-dua mangsa pada kedudukan dua kilometer daripada laluan asal pendakian pada pukul 1.31 petang.

“Susulan penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat orang hilang di sekitar kawasan bukit setinggi 400 meter itu ditamatkan pada pukul 2.37 petang,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Menurut Azman, dua mangsa terbabit kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Dungun bagib pemeriksaan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here