LIMA kakitangan sebuah hospital direman lima hari mulai hari ini selepas disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di hospital berkenaan.
Perintah reman kelima-lima suspek yang bermula hari ini sehingga 11 Okt depan itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman di Shah Alam selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber kesemua suspek berusia antara 34 hingga 44 tahun itu dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah itu sejak 2019 hingga tahun ini membabitkan jumlah suapan RM22,000.
Kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
POLIS menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan melibatkan dua beradik berusia enam dan 11 tahun di Taman Selesa Jaya, Skudai baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua mereka yang ditahan itu merupakan pengasuh kepada dua beradik berkenaan.
“Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 32 tahun itu dikenakan tahanan reman bermula hari ini sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan.
“Sementara dua daripada tiga individu yang ditahan polis sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru semalam iaitu B. Mariamah, 60, dan anak perempuannya, R. Deeba, 37.
“Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya, hari ini.
Semalam, dua beradik itu dilaporkan didera dengan cara dipukul dengan rotan getah paip, disimbah dengan air panas selain dicucuh dengan puntung rokok dipercayai perbuatan pengasuh mereka.
Kes penderaan kedua-dua beradik tersebut menjadi perhatian orang ramai selepas tular dalam media sosial.
Dzulkhairi berkata, kedua-dua suspek yang ditahan itu tidak bekerja dan kemudian dikenakan jaminan RM15,000 masing-masing, namun kerana gagal membayar, mereka ditahan dalam lokap di sini.
Katanya, mahkamah kemudian menetapkan tarikh 24 November ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
“Seorang lagi individu yang ditahan sebelum ini iaitu teman lelaki Deeba yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dibebaskan dengan bon jaminan serta akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, kedua-dua beradik mangsa dera itu kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ibu kepada kanak-kanak tersebut, M. Vikneswari, 30, sebelum ini memberitahu, dia yang sudah kematian suami meninggalkan anaknya dalam jagaan pengasuh itu yang dikenali melalui seorang kenalannya.
Dia dilaporkan berkata, anak-anaknya ditinggalkan bersama pengasuh berkenaan sejak April lalu dengan upah RM800 sebulan.
“Sejak April lalu saya hanya bertemu dengan anak-anak sebanyak tiga kali sahaja kerana sibuk bekerja selain pengasuh memberi pelbagai alasan untuk menghalang saya bertemu mereka termasuk dikenakan kuarantin,” katanya.
MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan membuat keputusan 14 Oktober ini sama ada akan meneruskan atau tidak kerjasama dengan Bersatu dan Pas jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MT akan mengadakan mesyuaratnya pada hari tersebut dan notis telahpun diberikan kepada ahli-ahli MKT.
“Saya rasa tentunya akan dibincangkan perkara itu (kerjasama parti). Ini mesyuarat bulanan yang dipercepatkan, untuk kita muktamadkan apa-apa perkara,”katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.
Pada Isnin, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan susulan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang hilang majoriti sokongan akibat tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.
Mengikut Perlembagaan, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Sementara itu, Ahmad Maslan tidak menolak kemungkinan akan mengesyorkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguh pelaksanaan PRN Melaka.
Bagaimanapun beliau berkata, beliau yakin perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
“Itu tentu tanggungjawab Perdana Menteri, terpulanglah kepada beliau. Esok (Jumaat) ada mesyuarat Kabinet, mungkin perkara itu akan dikemukakan.
“Tunggulah keputusan dari semasa ke semasa, saya jangka, perkara yang agak besar ini tentu akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada UMNO akan mencadangkan Perdana Menteri berhubung pengisytiharan darurat di Melaka berikutan terdapat kebimbangan penularan jangkitan COVID-19, seperti yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini.
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, hari ini memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.
Peguam Hamidi Mohd Noh mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya itu menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.
“Anak guam saya mengalami sakit belakang dan leher. Beliau pada asalnya dirawat oleh doktor dari Jerman pada 2013, 2014, 2016.
“Kami membuat permohonan ini untuk membolehkan tertuduh menerima rawatan. Rawatan intervensi di Malaysia tidak mencukupi untuk (mengurangkan kesakitan) beliau,” kata Hamidi.
Permohonan itu difailkan pada 4 Okt dan hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng yang tidak membantah permohonan itu.
Hakim kemudiannya menetapkan Isnin ini untuk keputusan permohonan berkenaan.
Sementara itu Hamidi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, Ahmad Zahid memohon pasportnya dipulangkan pada 26 Okt dan akan mengembalikannya pada 21 Nov.
“Kami akan membuat permohonan yang sama (mendapatkan pasport) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada Isnin ini,” katanya.
Ahmad Zahid, 68, menghadapi 47 tuduhan – 27 kes pengubahan wang haram, 12 membabitkan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah – melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. – BERNAMA
KERAJAAN negeri Melaka sebelum ini yang terbentuk sejak Mac tahun lalu akan terus kekal dan utuh selagi empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyatakan sokongan kepada kerajaan UMNO tidak mengubah fikiran.
Demikian dinyatakan Datuk Seri Idris Haron dalam temubual bersama sebuah akhbar bahasa Melayu pada 8 Disember tahun lalu yang ketika itu merujuk kepada dua ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dua ADUN Bebas yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) Melaka.
Nampaknya bekas Ketua Menteri Melaka itu memang benar-benar membuktikan kata-katanya apabila kerajaan negeri diketuai UMNO iaitu partinya sendiri sebelum ini kini tidak lagi memerintah kerana empat ADUN menarik sokongan.
Apa yang lebih hebat dengan ramalan Idris itu apabila bukan keempat-empat mereka yang didakwanya memegang talian hayat kerajaan Melaka menarik sokongan, sebaliknya beliau sendiri berjaya memancing dua daripada ADUN itu untuk mengetuai gerakan itu.
Beliau bersama ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad telah sepakat mengadakan sidang akhbar menyatakan hilang kepercayaan kepada Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Walhal yang dimaksudkan Idris dalam temubual itu adalah ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen; ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Norhizam serta Noor Effandi sendiri.
“Kerajaan yang terbentuk hari ini dan keupayaan mentadbir negeri Melaka kali ini disokong oleh ADUN yang menukar haluan untuk bersama-sama UMNO, memang kekuatan kita bergantung kepada empat orang ini.
“Kita tidak boleh yakin sepenuhnya kerajaan ini kukuh, teguh dan sebagainya kerana kalau mereka tukar seperti dilakukan sebelum ini, apa akan terjadi kepada kerajaan negeri sedia ada maka mereka perlu lebih waspada dan hati-hati serta tidak mengambil mudah,” kata Idris pada masa itu.
Malah, ketika itu Idris yang juga ADUN Sungai Udang percaya keempat-empat ADUN tersebut akan terus kekal menyokong kerajaan PN Melaka walaupun suasana masa itu tertumpu kepada krisis politik yang sedang berlaku di Perak melibatkan pertukaran Menteri Besar.
Itulah yang dinamakan seni dalam berpolitik, apa yang akan diperkatakan esok mungkin sudah berlaku hari ini atau pun ‘hari ini nafi esok pasti jadi’.
Perkembangan politik di Melaka masih terlalu awal untuk diramalkan walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah secara rasmi terbubar dan memerlukan satu Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam tempoh 60 hari.
Sekiranya pilihan raya tetap mengambil tempat, inilah masanya pengundi menjadi hakim untuk mengadili wakil-wakil dipilih mereka sebelum ini. Buang yang keruh, ambil yang jernih.
SEORANG bomoh lelaki bergelar Tok Wan dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini selepas mengaku bersalah menyalahgunakan barang kemas bernilai lebih RM20,000 milik seorang peniaga nasi kukus yang diserah untuk ‘dibuang sihir’ pada Ogos lepas.
Majistret Sarulatha Paramavathar menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Izwan Mohd Ahmid, 34, dan memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 5 Okt lepas.
Mohd Izwan yang digelar ‘Tok Wan’ didakwa menyalahgunakan harta bukan miliknya iaitu 24 jenis barang kemas emas bernilai RM22,910 yang diserahkan oleh seorang lelaki untuk tujuan rawatan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Rantau Panjang, Jalan Kapar dekat sini, pada 9.21 pagi, 21 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebatan dan boleh juga didenda.
Berdasarkan fakta kes, mangsa telah menghubungi ‘Tok Wan’ pada 21 Ogos selepas disyaki mengalami gangguan misteri.
Tok Wan kemudian ke rumah mangsa bersama penolongnya dan meminta semua barang kemas milik keluarga mangsa atas alasan mahu ‘membuang sihir’ pada barang kemas tersebut dan mangsa yang mempercayainya telah menyerahkan kesemua barang kemas itu.
Pada 21 Sept tertuduh telah sekali lagi ke rumah mangsa dengan membawa satu punjut kain berwarna kuning yang dikatakan mengandungi barang kemas milik keluarga mangsa dan diberi arahan agar membukanya selepas 10 hari.
Bagaimanapun mangsa telah membuka punjut tersebut pada 28 Sept dan mendapati barang kemas yang terdapat di dalamnya adalah berbeza dan tiruan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifl memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal namun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung isteri dan empat anak selain menghidap penyakit darah tinggi dan masalah prostat. – BERNAMA
MASIHKAH kita ingat pada 11 September lalu, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika mengesahkan pencalonan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat mengemukakan 20 cadangan untuk transformasi Parlimen.
Antaranya Ahli Parlimen Pontian mencadangkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketiga diwujudkan dan dikhususkan kepada wakil pembangkang. Terdapat 19 lagi cadangan yang membuktikan kesungguhan beliau untuk menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said.
Bagaimanapun hari ini, Ahmad Maslan menarik diri daripada pencalonan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Kata beliau, faktor utama keputusan itu dibuat adalah bagi membolehkannya menumpukan lebih perhatian kepada kerja-kerja sebagai Setiausaha Agung UMNO, lebih-lebih lagi dalam suasana politik mencabar ketika ini, selain mahukan lebih banyak ruang untuk mengutarakan pandangan di Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen.
“Saya suka memberikan pandangan, kalau saya duduk di kerusi timbalan speaker itu saya nak cakap apa, suruh orang duduk, suruh orang keluar, jadi fungsi saya yang aktif itu tidak dapat saya teruskan. Lagipun dari mula hari itu Perdana Menteri yang cadang nama saya bukan saya melobi,” katanya.
Walaupun politik negara sebenarnya sudah lama mencabar sejak selepas PRU-14 tetapi mungkin Ahmad Maslan yang dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO pada 19 Mac 2020 mulai sedar rupanya beliau perlu menumpu perhatian kepada tugas-tugas tersebut.
Justeru ramai ‘kagum’ apabila beliau dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang kata Ahmad Maslan hari ini, ‘’Perdana Menteri yang cadang nama saya bukan saya melobi.’’
Apapun sebenarnya Ahmad Maslan membuat tindakan bijak menarik diri kerana kalaupun beliau dicalonkan belum tentu akan menang memandangkan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan memberi sokongan.
Ahmad Maslan menyedari hakikat itu walaupun sebelum ini dilihat masih menaruh harapan selepas pada 29 September lalu beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad bersetuju kesnya dikompaun RM1.1 juta.
Pada minggu lalu, Ahmad Maslan berkata, ‘’ Borang pencalonan perlu dihantar sebelum 14 hari Dewan Rakyat bersidang. Bagi sesi seterusnya Dewan Rakyat akan bersidang pada 25 Oktober.
“Maka saya ada tempoh 10 hari untuk berfikir dan berbincang tentang perkara itu. Tunggu sedikit masa lagi untuk saya berbincang bagi mendapatkan kata putus berhubung pencalonan jawatan Timbalan Speaker.’’
Beliau juga percaya masih ada ruang perbincangan bagi membolehkannya mengisi kekosongan jawatan itu walaupun sebelum ini pencalonannya ditolak Ahli Parlimen Bersatu.
Tetapi apabila PN sekali lagi menegaskan mereka tidak akan mencalonkan Ahmad Maslan walaupun beliau dibebaskan oleh mahkamah, Ahli Parlimen Pontian itu memahami harapannya sudah berkubur.
PN mahupun Bersatu tidak ada masalah jika UMNO mahu mencalonkan orang lain asalkan bukan ‘geng 15 Ahli Parlimen’ yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sehingga Kerajaan PN tumbang…dan Ahmad Maslan salah seorang daripadanya. Justeru beliau bagaikan sedar ‘’buat apa nak mencalonkan diri, kalau sebut namapun dah kalah.’’ -lebih baik beliau tumpu kepada kerja parti dan memberikan pandangan di Parlimen.
JUMLAH kes baharu COVID-19 di Malaysia hari ini bertambah sedikit dengan mencatatkan sebanyak 9,890 kes.
Sebagai perbandingan, sebanyak 9,380 kes baharu direkodkan semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran Facebook hari ini berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan kumulatif kes kini 2,313,727.
Menurut beliau, Sarawak kekal sebagai negeri tertinggi dengan sebanyak 1,413 kes diikuti Selangor (1,402), Kelantan (1,032), Johor (993), Sabah (820), Perak (794), Pulau Pinang (721) dan Terengganu (699).
Pahang pula mencatatkan 564 kes, Kedah (503), Melaka (260), Kuala Lumpur (250), Perlis (200), Negeri Sembilan (180), Putrajaya (59) manakala tiada kes di Labuan.
Sementara itu, Dr Noor Hisham memberitahu, penggunaan katil COVID-19 setakat 5 petang semalam ialah 55 peratus bagi katil unit rawatan rapi (ICU) dan 50 peratus katil bukan ICU.
DUA lelaki yang bekerja sebagai tekong dan awak-awak sebuah bot penumpang ditahan polis selepas mereka disyaki positif dadah ketika membawa penumpang di sekitar perairan Mersing di Johor, semalam.
Kedua-dua suspek terbabit yang berusia 22 dan 26 tahun itu ditahan pada pukul 10 pagi ketika mereka membawa penumpang secara berbahaya berhampiran Pulau Rawa.
Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing, polis menahan sebuah bot pelancong jenis gentian kaca yang berukuran 26 kaki panjang dan enam kaki lebar.
“Bot yang ditahan sedang membawa lima orang penumpang dan dikendalikan dengan cara berbahaya.
“Hasil saringan awal mendapati kedua-duanya didapati positif dadah jenis meth,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Beliau menambah, bot yang dirampas diserah kepada Jabatan Laut Mersing untuk siasatan lanjut, manakala suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Cyril berkata lagi, pengusaha bot dinasihatkan sentiasa menjaga keselamatan penumpang dan mematuhi segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Pada musim peralihan monsun timur laut dan sepanjang musim monsun yang akan melanda pantai timur semenanjung termasuk perairan Mersing, dinasihatkan kepada pengendali bot-bot kecil dan nelayan-nelayan persisiran pantai dan pelancong supaya lebih berhati-hati semasa menjalankan aktiviti di laut,” katanya.
MUSIM tengkujuh kini semakin menghampiri untuk membadai di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Malah, bermula akhir Oktober hingga Mac, sistem pengangkutan darat membabitkan tiga negeri ini pada kebiasaannya sedikit lumpuh apabila terdapat laluan utama terpaksa ditutup ekoran ditenggelami air akibat banjir.
Di Terengganu, antara kawasan yang seringkali terjejas teruk setiap kali banjir melanda adalah daerah Hulu Terengganu.
Justeru, sebagai persiapan awal, semua agensi yang terbabit dengan operasi banjir di daerah tersebut kini telah berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi musim tengkujuh, khususnya melibatkan kawasan berisiko tinggi.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, antara persiapan itu adalah melibatkan amaran awal, mencari dan menyelamat, pemindahan mangsa, pengurusan pusat pemindahan dan urusan pasca banjir.
Menurut beliau, sebanyak 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah itu disediakan bagi menampung mangsa banjir yang dijangka melanda pada pertengahan bulan November depan.
Mohd Adli Mat Daud
Katanya, dalam suasana pandemik Covid-19 ini banyak persiapan terpaksa dilakukan dengan penuh mencabar kerana ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), bagi mengelak berlakunya penularan jangkitan Covid-19.
“Namun, Kita sudah memiliki pengalaman sama sewaktu melaksanakan operasi banjir pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penutup program Latih Amal Operasi Pengurusan Bencana Banjir peringkat Daerah Hulu Terengganu di Dataran Sungai Dusun, Hulu Terengganu, hari ini.
Seramai 30 anggota mewakili pelbagai agensi menyertai program tersebut.
Selain itu kata Mohd Adli, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga kini sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir akibat peralihan Monsun Timur Laut.
“JKM sedang menghantar bekalan makanan kering dan peralatan bagi kegunaan mangsa-mangsa banjir di 50 pangkalan hadapan di seluruh daerah ini yang dijangka selesai sepenuhnya pada hujung bulan ini,”ujarnya.
Tambah beliau, sebanyak tiga lokasi berisiko tinggi iaitu di Kuala Telemong, Ajil dan Kuala Berang yang sering dilanda banjir hampir setiap tahun akan diberikan tumpuan.
Ujarnya, semua penduduk di kawasan terbabit akan dipindahkan lebih awal ke PPS sebaik bacaan air sungai berhampiran menghampiri paras bahaya.