Category: Semasa

  • Sambutan Hari Sukan Negara 2021 penuh makna

    Sambutan Hari Sukan Negara 2021 penuh makna

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) pada tahun ini penuh makna setelah setahun tidak dapat diadakan ekoran pandemik COVID-19.

    Merasmikan HSN 2021 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri berkata sambutan tahun ini yang berlangsung secara hibrid dan maya adalah untuk meraikan usaha dan kejayaan dalam membudayakan sukan dan riadah seperti yang digariskan dalam Dasar Sukan Negara 2009.

    Menurutnya, sejak Hari Sukan Negara mula disambut pada 2015, negara telah meletakkan status aktiviti sukan dan riadah sebagai agenda nasional dalam melahirkan rakyat yang sihat, aktif dan cergas.

    “Sebagai individu yang pernah menjawat portfolio Menteri Belia dan Sukan, saya faham betapa sambutan sebegini memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak,” katanya yang merakamkan ucapan syabas kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang berusaha memastikan acara hari ini disambut serentak di seluruh negara.

    Sempena HSN 2021, KBS merancang beberapa program ikonik di peringkat kebangsaan antaranya Mega Aerobic Challenge dan Virtual Run.

    Ismail Sabri berkata, kerajaan maklum bahawa seluruh ekosistem sukan menerima kesan yang hebat ekoran pandemik COVID-19 apabila aktiviti sukan yang merupakan sebahagian daripada aktiviti sosial tidak dapat dilakukan secara bebas.

    Menurutnya, sebanyak 1,968 perniagaan berkaitan sukan difahamkan terpaksa menamatkan operasi pada tahun lepas kerana kekurangan modal pusingan dan tidak dapat menampung kos operasi.

    Sebahagian besar daripadanya ialah promoter dan penganjur acara sukan, perniagaan runcit barangan sukan, pusat kecergasan serta tenaga pengajar sukan.

    “Seiring prinsip kerajaan memastikan ‘tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir’, segala keresahan dan kebimbangan yang dirasai oleh para penggiat sektor sukan terus diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.

    Menurut Perdana Menteri, bagi membantu penggiat industri sukan yang terjejas, KBS pada 5 Julai lepas (2021) telah mengumumkan beberapa Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan (IPBS) khusus untuk penggiat industri sukan di Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID19.

    Ismail Sabri berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Sukan dan Rekreasi yang digubal dalam Pelan Pemulihan Negara (atau PPN) adalah merupakan inisiatif awal bagi memastikan aktiviti sektor itu dapat beroperasi semula.

    Beliau berkata, pembukaan semula aktiviti sukan dan rekreasi pada 9 Sept lepas telah merancakkan kembali aktiviti berkenaan dengan pematuhan SOP yang ketat.

    Beliau dimaklumkan dalam tempoh sebulan selepas keizinan itu diberikan, jumlah penyertaan dalam aktiviti sukan telah melebihi 1.4 juta orang, melibatkan aktiviti yang bermanfaat termasuklah sukan bermotor dan sukan ekstrem.

    Ismail Sabri turut mengajak rakyat Malaysia menjadikan sukan dan riadah dalam norma baharu sebagai amalan harian Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.

    “Sepanjang tempoh bersukan dan beriadah, teruslah mematuhi SOP yang ditetapkan, demi nyawa dan kesihatan seluruh Keluarga Malaysia. Selamat bersukan dan selamat beriadah,” katanya.

    smail Sabri Yaakob turut bersukan sempena HSN 2021 dengan menyertai beberapa acara yang diadakan di perkarangan KBS.

    Antara aktiviti sukan yang disertai Perdana Menteri ialah senamrobik, bola jaring, bola keranjang selain meninjau aktiviti sukan permotoran.

    Ismail Sabri turut mendapat tepukan gemuruh daripada penonton apabila berjaya menyempurnakan jaringan ketika mencuba aktiviti sukan bola jaring.

    Terdahulu ketika berucap melancarkan HSN 2021 itu, Ismail Sabri mengajak seluruh rakyat untuk menjadikan sukan dan riadah dalam norma baharu sebagai amalan harian Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.

    “Sepanjang tempoh bersukan dan beriadah, teruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, demi nyawa dan kesihatan seluruh Keluarga Malaysia. Selamat bersukan dan selamat beriadah,” katanya.

    Perdana Menteri turut menggariskan landasan untuk pembangunan sukan negara dengan mengerakkan rencana ke arah memperkasakan penglibatan wanita, mencungkil bakat baharu dan menjadikan sukan sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi.

    Beliau melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan; Program Talent Identification and Development (MyTID) dan usaha penggubalan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara. – BERNAMA

  • Ringgit dijangka kukuh dalam jajaran ketat minggu hadapan

    Ringgit dijangka kukuh dalam jajaran ketat minggu hadapan

    RINGGIT dijangka mengukuh tetapi bergerak dalam jarak yang ketat antara 4.1700 dan 4.1800 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu hadapan berdasarkan sentimen pasaran yang bercampur-campur, kata seorang penganalisis.

    Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan harga komoditi akan membantu menyokong ringgit memandangkan ekonomi negara akan mendapat keuntungan daripada harga minyak mentah, gas asli cecair dan minyak sawit mentah yang lebih tinggi.

    “Bagaimanapun, situasi di China yang berkaitan dengan isu pasaran hartanahnya termasuk perkembangan geopolitik antara AS dan China dalam kaitannya dengan Taiwan cenderung memberi tekanan ke atas pasaran mata wang baru muncul,” katanya kepada Bernama.

    Oleh itu, beliau berpendapat pelabur biasanya akan mencari perlindungan dalam mata wang komoditi selamat.

    Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd melaporkan ringgit mungkin mengumpulkan beberapa momentum dan kenaikan berbanding dolar AS dalam waktu terdekat berdasarkan keyakinan pada pembukaan semula ekonomi Malaysia, walaupun siling hutang AS mampu mencetuskan beberapa permintaan untuk komoditi selamat.

    “Selanjutnya, mulai November dan seterusnya, arah ringgit akan dipengaruhi oleh faktor luaran seperti pengumuman Rizab Persekutuan, ketidaktentuan ekonomi China, hubungan perdagangan AS-China dan situasi Covid-19 global,” katanya.

    Sepanjang minggu ini, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding dolar AS disebabkan peningkatan sentimen ke atas mata wang tempatan dan sentimen pelabur yang berhati-hati menjelang pengeluaran data gaji bukan ladang AS pada Jumaat.

    Secara mingguan, ringgit naik 20 mata asas (bps) kepada 4.1750/1800 berbanding dolar AS pada Jumaat daripada 4.1770/1810 seminggu sebelumnya.

    Unit tempatan itu didagangkan bercampur-campur dengan mata wang utama yang lain.

    Ia meningkat berbanding euro kepada 4.8292/8350 daripada 4.8361/8408 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7320/7368 daripada 3.7580/7616.

    Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0771/0810 daripada 3.0756/ 0788 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.6880/6948 daripada 5.6373/6427. – Bernama

  • PM lancar tiga inisiatif baharu hala tuju sukan negara

    PM lancar tiga inisiatif baharu hala tuju sukan negara

    KERAJAAN melancarkan tiga inisiatif baharu iaitu Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan, Program Talent Identification and Development (MyTID KPM-KBS) dan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara sempena Hari Sukan Negara 2021 hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, itu adalah sebahagian daripada hala tuju perancangan dan pembangunan sukan yang sedang dibentuk oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Visi Sukan Negara 2030.

  • 6.42 bilion dos vaksin didaftar seluruh dunia

    6.42 bilion dos vaksin didaftar seluruh dunia

    JOHNS Hopkins University (JHO) memaklumkan, lebih
    6.42 bilion dos vaksin Covid-19 sudah didaftar atau disuntik di seluruh dunia setakat ini.

    Menurut data JHU, China mendahului dengan lebih 2.21 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

    Ini diikuti India dengan 939 juta dos dan Amerika Syarikat (AS) dengan lebih 398 juta dos vaksin.

    Brazil mencatat lebih 246 juta dos manakala Jepun melebihi 172 juta.

    Sementara itu, Turki, Jerman dan Mexico mencatat angka melepasi 100 juta dos.

    Di Asia Tenggara, Indonesia jauh di hadapan negara lain dengan 154 juta dos.

    Ini diikuti Thailand dengan lebih 58 juta, Filipina dan Malaysia lebih 48 juta.

    Singapura pula merekodkan lebih 9 juta dos vaksin didaftar.

  • Kejayaan program vaksinasi, Jepun ucap tahniah kepada Muhyiddin

    Kejayaan program vaksinasi, Jepun ucap tahniah kepada Muhyiddin

    BEBERAPA hari lagi, negara akan mencapai 90  peratus penduduk dewan divaksinasi. Ia sekaligus akan membolehkan rentas negeri dibenarkan – saat yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat.

    Dan pada masa ini juga hampir semua sektor ekonomi telah dibuka, paling menarik tiada lagi negeri berada di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Bagaimanapun semua ini boleh tercapai?

    Suka atau tidak, tiada sesiapapun menafikan fakta bahawa kejayaan Malaysia yang semakin pulih daripada pandemik Covid-19 dan bergerak ke fasa endemik adalah hasil perancangan kerajaan ketika di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

    Walaupun beliau ‘tersingkir’ berikutan dakyah slogan ‘kerajaan gagal’ dan tindakan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap beliau, tetapi kini segala-galanya sudah terbukti.

    Melalui perancangan teliti kerajaan diterajui Muhyiddin mulai Mac 2020 hingga 16 Ogos lalu termasuklah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Malaysia kini semakin pulih dan sekaligus membuktikan slogan ‘kerajaan gagal’ yang dicanangkan oleh pembangkang dan beberapa pemimpin kanan UMNO hanya dakyah bermotif politik semata-mata.

    Atas sebab itulah negara-negara luar tetap mengiktiraf usaha Muhyiddin dan ia terbukti apabila Jepun melalui Duta Besarnya ke Malaysia, Hiroshi Oka mengucapkan terimakasih dan tahniah kepada Muhyiddin di atas kejayaan proses vaksinasi yang telah dimulakan sejak awal wabak melanda.

    Ucapan itu disampaikan ketika Oka membuat kunjungan hormat ke atas Muhyiddin di pejabat bekas Perdana Menter itu di Kuala Lumpur.

    Hasil proses vaksinasi yang pantas dan teliti kini dapat dilihat melalui pengurangan kes-kes Covid-19 pada waktu ini.

    Muhyiddin dan Oka berharap kes Covid-19 di Malaysia-Jepun akan terus berkurangan dan interaksi rakyat di antara kedua-dua negara dapat disegerakan. 

    Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Jepun yang menyumbangkan satu juta dos vaksin Astra Zeneca dan peralatan perubatan kepada Malaysia Julai lalu.

    Ini merupakan kunjungan kedua beliau ke atas Muhyiddin pada tahun ini. Kali pertama April lalu.

    Kedua-dua mereka turut menyentuh mengenai pemulihan ekonomi negara, dan sebagai Pengerusi, Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin  turut mengambil maklum isu-isu yang dihadapi oleh syarikat-syarikat dari Jepun di Malaysia, terutamanya dalam isu kekurangan tenaga mahir. Isu tersebut akan dibawa kepada perhatian MPN dalam waktu terdekat.

    Kelmarin, Muhyiddin menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.

    Muhyiddin berkata, mereka bersetuju hubungan dua hala Malaysia-Singapura akan terus diperkasakan dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam aspek menangani wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat wabak Covid-19.

    ‘’Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, saya menekankan kepentingan pemulihan ekonomi Malaysia dan Singapura dan interaksi rakyat yang terjejas akibat penutupan sempadan kedua-dua negara.

    ‘’Saya telah mencadangkan perbincangan pembukaan sempadan dengan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan kepada rakyat kedua-dua negara yang telah memperoleh vaksinasi penuh dapat dimuktamadkan dengan kadar segera,’’ katanya.

    Muhyiddin berkata,  Vanu Gopala Menon turut menyampaikan jemputan kepada beliau untuk berucap di 13th Leaders in Administration Programme secara virtual pada November ini yang akan turut dihadiri oleh penjawat-penjawat awam kanan Singapura dan eksekutif-eksekutif kanan Badan-Badan Berkanun di Singapura.

  • PKPD di dua lokaliti di Pahang bermula 10 Oktober

    PKPD di dua lokaliti di Pahang bermula 10 Oktober

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Pahang dari 10 hingga 23 Oktober nanti.

    Menurut Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md. Saad, dua lokaliti terbabit ialah Pos Sinderut dan Perkampungan Orang Asli di Pos Lejang serta Pos Titom, Mukim Ulu Jelai di Lipis.

    “Keputusan melanjutkan PKPD itu dibuat setelah meneliti analisis oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

    “Selain itu, tiga lokaliti di Sabah dan tiga lagi di Pahang ditamatkan PKPD pada 9 Oktober seperti dijadualkan.

    “Lokaliti tersebut adalah Kampung Tinongian dan Kampung Karagasan di Ranau serta Base Camp Bornion Timber Sdn Bhd, Batu 46, Tulid, Sook, Keningau di Sabah.

    “Selain itu tiga lokaliti di Pahang ialah Kampung Pasu dan Kampung Penderas di Kuala Krau serta Rumah Pangsa Jalan Karak, Mentakab di Temerloh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Hampir 300,000 menjadi OKU selepas terlibat kemalangan

    Hampir 300,000 menjadi OKU selepas terlibat kemalangan

    Hampir 300,000 daripada 600,000 yang berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) di negara ini terdiri daripada individu yang mengalami kecacatan selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya.

    Menurut Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Yusof Ghani, ramai daripada individu berkenaan dilahirkan normal namun terlantar dan koma selepas terbabit nahas jalan raya.

    “Menurut Senator Datuk Ras Adiba Radzi, daripada 600,000 OKU di negara ini, 40 peratus daripadanya menjadi OKU kesan terbabit dengan nahas jalan raya, sedangkan sebelum ini mereka boleh bekerja dan belajar.

    “Antara kes yang saya temui ialah mangsa nahas yang koma selama lapan tahun selepas jatuh dari motosikal tanpa mengenakan topi keledar pada usianya baru 15 tahun.

    “Kejadian ini sememangnya pengajaran yang besar. Bukan saja mangsa tidak lagi produktif, malah ia memberi kesan ekonomi dan sosial, termasuk kepada keluarga terutamanya yang perlu menjaga mangsa 24 jam sehari,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam acara Sepetang Bersama MIROS – Bicara Kewartawanan dan Laporan Nahas Jalan Raya yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

    Acara itu sebahagian kluster MIROS@rt yang diadakan bertujuan menggerakkan elemen seni menerusi kepelbagaian medium membabitkan kemahiran penulisan kreatif dan komunikasi media.

    Antara lain ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran petugas media dan masyarakat mengenai isu keselamatan jalan raya.

    Turut serta Pengarah di Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik MIROS, Zulhaidi Jawi dan Ahli Lembaga Pengarah MIROS, Shahrim Tamrin.

    Sementara itu, Shahrim berkata, mengikut statistik, kadar kematian disebabkan nahas jalan raya di negara ini sudah menunjukkan trend penurunan sejak 2017.

    Katanya, meskipun ada andaian kadar kematian akibat nahas jalan raya akan semakin menurun jika trend kekal buat tahun ketiga atau keempat, tetapi MIROS tidak akan menghentikan usaha meningkatkan kesedaran awam.

  • Kebenaran rentas negeri akan dikuatkuasakan seluruh negara – Ismail Sabri

    Kebenaran rentas negeri akan dikuatkuasakan seluruh negara – Ismail Sabri

    KEBENARAN rentas negeri akan dikuatkuasakan serentak di seluruh negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ismail Sabri berkata kebenaran itu akan dikuatkuasakan apabila kadar vaksinasi populasi dewasa telah mencapai 90 peratus dan dijangka diumumkan beliau dalam beberapa hari lagi.

    “Serentak seluruh negara. Kalau seluruh negara dah capai 90 peratus (kadar vaksinasi), kita jangka purata negeri-negeri sudah pun melebihi 80 peratus.

    “Jadi sebab itulah kita akan umumkan dalam waktu terdekat, sehari, dua hari, tiga hari ke tak tahulah. Tunggulah tapi tak lama dah,“ katanya ketika ditemui media selepas Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur, hari ini.

    Sasaran kadar 90 peratus vaksinasi populasi dewasa semakin hampir apabila 89.1 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19 setakat malam tadi.

    Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan sempadan negeri akan dibuka apabila kadar vaksinasi populasi dewasa telah mencapai tahap 90 peratus. – Bernama

  • Mekanik rompak kedai emas Wangsa Maju didakwa

    Mekanik rompak kedai emas Wangsa Maju didakwa

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas sebuah kedai emas membabitkan kerugian RM600,000 Mei lepas.

    Ahmad Effie Ahmad Shazaki, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

    Lelaki itu didakwa bersama-sama dua lagi individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sebilah kapak, tukul dan parang ke atas pemilik sebuah kedai emas dengan kerugian berjumlah RM600,000 di premis kedai emas di Wangsa Maju, pada 4.43 petang, 16 Mei lepas.

    Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama 397 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mengesyorkan jaminan RM30,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana perlu menanggung keluarga.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain menetapkan 24 Nov ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

  • KWSP salur RM155.18 bilion kepada pengurus dana luaran pada 2020

    KWSP salur RM155.18 bilion kepada pengurus dana luaran pada 2020

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan sebanyak RM155.18 bilion telah disalurkan kepada pengurus portfolio luaran setakat 31 Disember 2020, yang mana peruntukan ini telah dilaburkan ke dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, mewakili 15.55 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

    Pengerusi KWSP Ahmad Badri Mohd Zahir berkata pengurus dana luaran itu terus memastikan prestasi yang baik dan memberikan hasil tetapi masih berada dalam lingkungan objektif pemulangan risiko KWSP di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global yang berpunca daripada Covid-19.

    “Seiring dengan pertumbuhan saiz dana, KWSP akan terus memperuntukkan sebahagian daripada dana tersebut kepada pengurus portfolio luaran bagi mengoptimumkan pulangan dan meningkatkan prestasi aset.

    KWSP yakin bahawa pengurus dana akan terus mencatatkan prestasi cemerlang serta mengekalkan standard yang tinggi dalam menguruskan portfolio KWSP, selain memastikan aset-aset terus mampan untuk jangka panjang.

    Untuk Anugerah Pengurus Dana Luaran 2021, sebanyak 19 anugerah yang merangkumi sembilan kategori bagi pendapatan tetap dan 10 kategori untuk ekuiti diberikan kepada pengurus dana luaran terbaik sebagai penghargaan atas prestasi mereka yang luar biasa.

    Bagi tahun kewangan berakhir 2020, KWSP telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.20 peratus dengan jumlah agihan sebanyak RM42.88 bilion untuk simpanan konvensional, dan 4.90 peratus bagi simpanan syariah dengan jumlah agihan mencecah RM4.76 bilion.

    “Secara kumulatif, agihan KWSP pada 2020 adalah berjumlah RM47.64 bilion,” katanya. – Bernama