Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan sebanyak RM155.18 bilion telah disalurkan kepada pengurus portfolio luaran setakat 31 Disember 2020, yang mana peruntukan ini telah dilaburkan ke dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, mewakili 15.55 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP Ahmad Badri Mohd Zahir berkata pengurus dana luaran itu terus memastikan prestasi yang baik dan memberikan hasil tetapi masih berada dalam lingkungan objektif pemulangan risiko KWSP di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global yang berpunca daripada Covid-19.

“Seiring dengan pertumbuhan saiz dana, KWSP akan terus memperuntukkan sebahagian daripada dana tersebut kepada pengurus portfolio luaran bagi mengoptimumkan pulangan dan meningkatkan prestasi aset.

KWSP yakin bahawa pengurus dana akan terus mencatatkan prestasi cemerlang serta mengekalkan standard yang tinggi dalam menguruskan portfolio KWSP, selain memastikan aset-aset terus mampan untuk jangka panjang.

Untuk Anugerah Pengurus Dana Luaran 2021, sebanyak 19 anugerah yang merangkumi sembilan kategori bagi pendapatan tetap dan 10 kategori untuk ekuiti diberikan kepada pengurus dana luaran terbaik sebagai penghargaan atas prestasi mereka yang luar biasa.

Bagi tahun kewangan berakhir 2020, KWSP telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.20 peratus dengan jumlah agihan sebanyak RM42.88 bilion untuk simpanan konvensional, dan 4.90 peratus bagi simpanan syariah dengan jumlah agihan mencecah RM4.76 bilion.

“Secara kumulatif, agihan KWSP pada 2020 adalah berjumlah RM47.64 bilion,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here