Category: Semasa

  • Selepas 4 hari trend menurun, hari ini naik 7,276 kes

    Selepas 4 hari trend menurun, hari ini naik 7,276 kes

    SELEPAS menunjukkan trend penurunan ketara jangkitan baharu Covid-19 selama empat hari berturut-turut, bagaimanapun kes baharu hari ini naik sedikit kembali melepasi paras 7,000.

    Sebanyak 7,276 penularan wabak Covid-19 telah dilaporkan di seluruh negara, setakat tengah hari tadi.

    Bagaimanapun, jumlah tersebut masih sejajar dengan trend penurunan sejak lebih sebulan lalu, hasil peningkatan kadar vaksinasi seluruh negara.

    Namun, kes baharu mula menunjukkan penurunan sejak empat hari lalu dengan kekal berada di bawah paras 10,000.

    Semalam, kes baharu turun kepada 6,709 semalam iaitu kali pertama kes Covid-19 dilaporkan di bawah angka 7,000 dalam tempoh 100 hari.

    Jangkitan Covid-19 mula turun ke paras empat angka pada 3 Oktober lalu dengan 9,066 kes telah dilaporkan.

    Menurut perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kumulatif jangkitan Covid-19 di Malaysia berjumlah 2.35 juta kes.

    “Sehingga 12 Oktober 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 7,276 kes (2,353,579 kes).

    “Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my

    “Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah dikemaskini sekali gus selepas tengah malam,” tulisnya menerusi media sosial miliknya hari ini.

    Buat hari ketiga juga tiada perincian kes mengikut negeri dikongsikan dengan data tersebut akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW.

    Berdasarkan kes yang dilaporkan semalam dalam laman web COVIDNOW, Sarawak masih menjadi penyumbang tertinggi selepas 1,037 jangkitan dikesan.

    Ia diikuti Kelantan yang mencatatkan 938 kes; Johor (777 kes) dan Selangor sebanyak 671 kes.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 97.9 peratus atau 7,126 daripada 7,276 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, melibatkan individu dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

    Beliau berkata, baki 150 kes atau 2.1 peratus pula terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

    Kategori tiga merujuk kepada individu yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima memerlukan bantuan pernafasan.

    “Daripada jumlah kes baharu itu 7,266 kes melibatkan penularan dalam negara membabitkan 6,869 warganegara dan 397 rakyat asing manakala 10 kes adalah kes import membabitkan dua warganegara dan lapan bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata, 10,555 kes sembuh dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 2,217,057.

    Dr Noor Hisham berkata, terdapat 724 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 683 yang disahkan positif COVID-19 manakala 41 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    Sebanyak 398 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 297 yang disahkan positif COVID-19 manakala 101 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan (suspected, probable) dan dalam siasatan.

    Beliau turut memaklumkan 14 kluster baharu dikesan dengan enam kluster membabitkan kluster tempat kerja, lima kluster membabitkan penularan dalam komuniti, masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster membabitkan pendidikan lain serta kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

    Dr Noor Hisham juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) untuk Malaysia semalam adalah 0.88 dengan Putrajaya mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.08.

    Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik dalam laman GitHub dan laman sesawang COVIDNOW menerusi https://covidnow.moh.gov.my.

  • Sebahagian kuil bersejarah Kek Lok Si terbakar

    Sebahagian kuil bersejarah Kek Lok Si terbakar

    SEBAHAGIAN daripada Kuil Kek Lok Si yang merupakan antara monumen bersejarah berusia lebih 130 tahun di Air Itam, Pulau Pinang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu melibatkan ruang sembahyang di kuil yang popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa berkenaan dengan kemusnahan hampir 70 peratus.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd. Shakir Abdullah, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.56 pagi menggerakkan seramai 15 anggota termasuk bantuan dari BBP Jalan Perak ke lokasi kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran.

    Kebakaran melibatkan ruang sembahyang di kuil yang popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa

    Menurut beliau, anggota bomba turut berdepan kesukaran memadamkan api kerana lokasi tokong itu yang terletak di atas bukit.

    “Jentera kita mempunyai ketinggian sehingga lima meter, namun pintu gerbang di tokong itu hanya berketinggian empat meter.

    “Sehubungan itu, anggota kita terpaksa meletakkan jentera di luar dan berjalan kaki sehingga 600 meter untuk ke lokasi kejadian selain kesukaran mendapatkan sumber air,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mohd. Shakir berkata, ketika kejadian, terdapat empat penjaga tokong, namun tiada mangsa yang dilaporkan terbabit dan punca kejadian masih dalam siasatan.

  • Dua individu direman bantu siasatan kes suapan babit kontrak RM180,000

    Dua individu direman bantu siasatan kes suapan babit kontrak RM180,000

    MAHKAMAH Majistret Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah reman empat hari terhadap dua penjawat awam sebuah agensi kerajaan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

    Perintah reman kedua-dua individu berkenaan termasuk seorang wanita yang bermula hari ini hingga 15 Okt itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas membenarkan permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Terdahulu, kedua-dua individu yang berumur 37 dan 40 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini sekitar 9.30 pagi tadi diiringi pegawai SPRM.

    Semalam, media melaporkan SPRM menahan dua kakitangan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek itu ditahan kira-kira 2.30 petang di sebuah restoran di Putrajaya.

    Sumber berkata mereka disyaki meminta wang suapan kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk syarikat itu mendapatkan kontrak membekal, menghantar serta memasang kelengkapan dan peralatan pejabat yang dianggarkan bernilai lebih RM180,000 daripada agensi berkenaan. – Bernama

  • Usul batal Ordinan Darurat pada sidang akan datang

    Usul batal Ordinan Darurat pada sidang akan datang

    PERDANA Menteri memutuskan usul untuk membatalkan Ordinan Darurat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata , Datuk Seri Ismail Sabri membuat keputusan itu berikutan permintaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan pembentang usul tersebut.

    “Ia bagi membolehkan bagi memberi banyak masa untuk dibahaskan oleh ahli Parlimen sebelum diluluskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Di Dewan Rakyat, Wan Junaidi memohon penangguhan usul tersebut kerana hanya mempunyai satu jam untuk membahaskannya.

    “Saya minta Speaker menangguhkan usul ini agar mempunyai lebih masa untuk berbahas,” katanya.

  • Mayat lelaki tempatan ditemukan terapung di laut

    Mayat lelaki tempatan ditemukan terapung di laut

    MAYAT seorang lelaki ditemukan terapung oleh orang awam di perairan Selat Che Mat Zin, Klang, semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata ia dipercayai mayat Hasmudin anak Omar, 24, lelaki itu yang dilaporkan terjatuh ke laut semasa dalam perjalanan balik ke Pulau Carey, Klang, Shah Alam kelmarin.

    Katanya, sejurus selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada jam 2.40 petang, Pasukan Polis Marin (PPM) terus bergegas ke lokasi untuk menyiasat.

    “Mayat kemudiannya dibawa ke Jeti PPM bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga dan diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, bagi tindakan lanjut.

    “Berdasarkan pengecaman awal oleh ahli keluarga, ia dipercayai mayat Hasmudin, lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut kira-kira 0.1 batu nautika selatan Selat Mahang, Pulau Che Mat Zin pada 10 Oktober lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd Rosli berkata, operasi mencari dan menyelamat yang diselaras Maritim Malaysia menggunakan lima bot dan satu pesawat udara dari pelbagai agensi termasuk PPM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu komuniti nelayan tempatan ditamatkan pada jam 5.15 petang semalam.

    “Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah mahupun kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-321760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam jika berlaku sebarang kecemasan di perairan Selangor. – Bernama

  • 37,415 usahawan gulung tikar sepanjang pandemik

    37,415 usahawan gulung tikar sepanjang pandemik

    MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar mendedahkan, seramai 37,415 usahawan terpaksa ‘gulung tikar’ sepanjang tempoh pandemik Covid-19 melanda negara.

    Jelas beliau, daripada jumlah itu, 26,007 adalah usahawan mikro manakala bakinya 2,738 adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    Sehubungan itu, beliau berkata, kementeriannya menyambut baik keputusan kerajaan untuk menarik semula larangan rentas negeri yang bermula semalam kerana akan memberi peluang mereka memulihkan semula perniagaan.

    “Pengumuman ini merupakan langkah yang terbaik dan peluang kepada rakyat terutamanya usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) bagi memulihkan perniagaan mereka dan yang penting meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Noh, semua sektor perniagaan terutama sektor informal akan menerima ganjaran pendapatan setelah melalui fasa pertama ditutup, terakhir dibuka (FCLO).

    “Saya telah menggariskan dasar dengan menumpukan kepada penyelarasan dan penjajaran pelaksanaan program-program di kementerian dan 11 agensi di bawahnya bagi memastikan segala inisiatif dan pakej-pakej yang diperkenalkan oleh kerajaan sampai kepada golongan usahawan PMKS yang terkesan,” katanya.

    Beliau berkata penyelarasan ini meliputi kumpulan sasar, nilai pembiayaan, kadar bantuan, geran, skop program dan mekanisma pelaksanaan.

    “Kumpulan fokus tersebut adalah golongan usahawan dan koperasi yang terkesan akibat Covid-19; golongan yang diberhentikan kerja dan berminat untuk menjadi usahawan dan graduan yang tiada pekerjaan dan ingin menjadi usahawan; golongan asnaf serta usahawan yang menggunakan modal sendiri,” katanya.

    Katanya, kementerian optimis kebenaran tersebut dapat memberi keseimbangan dalam membantu mempergiatkan kembali aktiviti ekonomi secara fiskal dan pada masa sama dapat melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.

    Kementerian terus komited dalam agenda melahirkan Bangsa Usahawan, selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia selari dengan usaha mempertingkat keseimbangan ekonomi di wilayah kurang membangun, penekanan kepada aspek keusahawanan akan dipertingkatkan sebagai antara potensi peluang penjanaan pendapatan yang lebih menyeluruh, katanya.

  • Lim Guan Eng dilantik Ahli Jawatankuasa Pemilih

    Lim Guan Eng dilantik Ahli Jawatankuasa Pemilih

    DEWAN Rakyat hari ini meluluskan usul pelantikan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih untuk tempoh Parlimen Ke-14.

    Usul yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengikut Peraturan Mesyuarat 76 itu diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat.

    Usul itu bagi menggantikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Enam ahli Jawatankuasa Pemilih kini terdiri daripada Guan Eng, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk); Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson).

    Jawatankuasa Pemilih dilantik untuk menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperuntukkan oleh Peraturan-peraturan Mesyuarat. – BERNAMA

  • AS$6.94 juta lesap: AGC kesan ada kesalahan lain

    AS$6.94 juta lesap: AGC kesan ada kesalahan lain

    JABATAN Peguam Negara (AGC) mendapati wujud kesalahan-kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut dilakukan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan dalam kes kehilangan wang US$6.94 juta, yang diterima pada 28 Sept lepas daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah mengkaji dan meneliti kertas siasatan berkaitan kes berkenaan.

    “Kertas siasatan telah dikembalikan untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

    Media sebelum ini turut melaporkan bahagian pendakwaan AGC akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh kertas siasatan yang diterima pada 28 Sept daripada SPRM itu sebelum membuat keputusan sama ada membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan siasatan lanjut.

    Pada 23 Sept lepas, Bernama melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman selama enam hari oleh SPRM, dan pemilik wang berkenaan yakni bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berkenaan. – BERNAMA

  • Perdana Menteri bentang RMK-12 di Dewan Negara

    Perdana Menteri bentang RMK-12 di Dewan Negara

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, hari ini.

    Rancangan Malaysia dari 2021 hingga 2025 itu sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat Khamis lepas selepas dibentang pada 27 Sept lepas dan dibahas 106 Ahli Parlimen.

    Ia yang menjadi landasan hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun, selepas ini akan melalui sesi perbahasan Ahli Dewan Negara sebelum diluluskan di peringkat Dewan Negara.

    Ismail Sabri ketika membentangkan perancangan lima tahun berkenaan di Dewan Negara berkata, RMK-12 adalah pelan pembangunan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama.

    Bermatlamatkan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, beliau berkata pembaharuan yang diperkenalkan dalam RMK-12 meliputi tiga tema dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan.

    “Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil (atau CSO) serta rakyat dalam penggubalan dan pelaksanaan rancangan ini.

    “Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menangani krisis berkembar ini (ekonomi dan kesihatan). Kerajaan akan memperuntukkan RM400 bilion bagi memenuhi keperluan RMK12, terutamanya untuk membiayai projek pembangunan,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau berkata dalam keadaan kewangan semasa yang terhad, tumpuan perbelanjaan pada tahun ini dan 2022 adalah untuk melindungi nyawa dan kehidupan serta memenuhi komitmen projek sambungan.

  • Hanya 1.92 peratus kakitangan awam belum divaksinasi

    Hanya 1.92 peratus kakitangan awam belum divaksinasi

    MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad memberitahu Dewan Rakyat hari ini, setakat ini 98.1 peratus kakitangan awam telah lengkap menerima vaksin Covid-19.

    Pada masa sama katanya, setakat ini dianggarkan hanya 1.92 peratus daripada 1.6 juta kakitangan awam masih belum mengambil vaksin.

    “Program imunisasi masih lagi berjalan dan ia dibuat secara sukarela termasuk kepada kakitangan awam.

    “Walau bagaimanapun, jika kerajaan ingin mewajibkan atau memastikan semua 1.6 juta ini menerima vaksin, ia perlukan beberapa syarat atau peraturan dan penglibatan supaya perkara ini dapat dilakukan dengan cara berhemah,” katanya.

    Beliau menjawab pertanyaan Datuk Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status dan hak jika penjawat awam tidak mahu mengambil vaksin dan adakah kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam tersebut.

    Menjawab soalan tambahan Shahruddin pula, sama ada kerajaan bercadang untuk melakukan ujian saringan kendiri secara berkala kepada kakitangan awam dan guru, Abdul Latiff berkata, itu merupakan cadangan yang baik.

    “Kita boleh bawa dan bincang dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusi Perdana Menteri,” ujar Ahli Parlimen Mersing itu.