SELEPAS menunjukkan trend penurunan ketara jangkitan baharu Covid-19 selama empat hari berturut-turut, bagaimanapun kes baharu hari ini naik sedikit kembali melepasi paras 7,000.

Sebanyak 7,276 penularan wabak Covid-19 telah dilaporkan di seluruh negara, setakat tengah hari tadi.

Bagaimanapun, jumlah tersebut masih sejajar dengan trend penurunan sejak lebih sebulan lalu, hasil peningkatan kadar vaksinasi seluruh negara.

Namun, kes baharu mula menunjukkan penurunan sejak empat hari lalu dengan kekal berada di bawah paras 10,000.

Semalam, kes baharu turun kepada 6,709 semalam iaitu kali pertama kes Covid-19 dilaporkan di bawah angka 7,000 dalam tempoh 100 hari.

Jangkitan Covid-19 mula turun ke paras empat angka pada 3 Oktober lalu dengan 9,066 kes telah dilaporkan.

Menurut perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kumulatif jangkitan Covid-19 di Malaysia berjumlah 2.35 juta kes.

“Sehingga 12 Oktober 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 7,276 kes (2,353,579 kes).

“Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my

“Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah dikemaskini sekali gus selepas tengah malam,” tulisnya menerusi media sosial miliknya hari ini.

Buat hari ketiga juga tiada perincian kes mengikut negeri dikongsikan dengan data tersebut akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW.

Berdasarkan kes yang dilaporkan semalam dalam laman web COVIDNOW, Sarawak masih menjadi penyumbang tertinggi selepas 1,037 jangkitan dikesan.

Ia diikuti Kelantan yang mencatatkan 938 kes; Johor (777 kes) dan Selangor sebanyak 671 kes.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 97.9 peratus atau 7,126 daripada 7,276 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, melibatkan individu dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

Beliau berkata, baki 150 kes atau 2.1 peratus pula terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

Kategori tiga merujuk kepada individu yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada jumlah kes baharu itu 7,266 kes melibatkan penularan dalam negara membabitkan 6,869 warganegara dan 397 rakyat asing manakala 10 kes adalah kes import membabitkan dua warganegara dan lapan bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata, 10,555 kes sembuh dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 2,217,057.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 724 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 683 yang disahkan positif COVID-19 manakala 41 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Sebanyak 398 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 297 yang disahkan positif COVID-19 manakala 101 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan (suspected, probable) dan dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan 14 kluster baharu dikesan dengan enam kluster membabitkan kluster tempat kerja, lima kluster membabitkan penularan dalam komuniti, masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster membabitkan pendidikan lain serta kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) untuk Malaysia semalam adalah 0.88 dengan Putrajaya mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.08.

Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik dalam laman GitHub dan laman sesawang COVIDNOW menerusi https://covidnow.moh.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here