Category: Semasa

  • Perjuangan lawan Covid-19 belum berakhir – Noor Hisham

    Perjuangan lawan Covid-19 belum berakhir – Noor Hisham

    PERJUANGAN melawan penularan COVID-19 belum berakhir, sebaliknya Malaysia kini menuju ke arah fasa endemik atau di medan perang baharu dengan strategi baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Setelah lebih banyak kelonggaran diberikan dan rentas negeri dibenarkan, beliau menggesa agar orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan kerajaan serta mengamalkan norma baharu.

    Beliau berkata Malaysia telah berjaya menjauhi musibah seperti yang dilihat di banyak negara di serata dunia, bagaimanapun kita belum lagi keluar daripada bahaya dan hanya boleh memenangi ‘peperangan’ ini jika seluruh rakyat Malaysia bersama-sama bersatu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial untuk mematuhi SOP.

    “Setiap daripada kita perlu memainkan peranan untuk memastikan Keluarga Malaysia selamat daripada COVID-19. Prinsip panduan kementerian adalah jelas dan tanggungjawabnya kini adalah kepada rakyat untuk melaksanakannya.

    “Dunia tidak akan sama lagi. Kita semua perlu belajar bahawa setiap tindakan individu mempunyai kesan terhadap bagaimana kita menguruskan COVID-19 dalam masyarakat. Kita perlu membiasakan dan menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam kehidupan kita.

    “Marilah kita membantu antara satu sama lain untuk memastikan insan tersayang terutama mereka yang mudah terjejas berada dalam keadaan selamat, pastikan Malaysia selamat dan mendapat kemenangan di akhir peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau malam tadi.

    Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perjalanan rentas negeri dibenarkan berkuat kuasa Isnin lepas dan semua aktiviti pelancongan tempatan dibenarkan selepas lebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksinasi.

    Hujung minggu ini dijangkakan lebih banyak pergerakan rentas negeri apabila ramai yang ingin pulang ke kampung halaman, justeru Dr Noor Hisham mahu rakyat merancang dan melakukan apa yang perlu untuk mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu seperti memastikan semua orang mengamalkan penjarakan fizikal dan melakukan sanitasi di kawasan yang biasa disentuh secara berkala. 

    Dalam pada itu, beliau turut memberi penghormatan dan penghargaan kepada semua kakitangan barisan hadapan dan mereka di belakang tabir yang telah memainkan peranan penting dalam melandaikan keluk.

    “Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua di Kementerian Kesihatan, bekerja sebagai pasukan menuju matlamat yang sama untuk mengawal penularan COVID-19 di negara yang kita cintai ini,” katanya.

  • Seorang lagi direman bantu siasatan kes suapan babit kontrak RM180,000

    Seorang lagi direman bantu siasatan kes suapan babit kontrak RM180,000

    SEORANG lagi individu direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

    Perintah reman hingga 15 Okt ke atas suspek lelaki berumur 57 tahun yang juga kakitangan sebuah agensi kerajaan itu dikeluarkan oleh Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil di Mahkamah Majistret di Shah Alam selepas membenarkan permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Semalam, dua penjawat awam termasuk seorang wanita berumur 37 dan 40 tahun dari sebuah agensi kerajaan direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes sama. 

    Isnin lepas, SPRM menahan dua kakitangan sebuah agensi kerajaan terbabit dan menurut sumber, mereka disyaki meminta wang suapan kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk syarikat itu mendapatkan kontrak membekal, menghantar serta memasang kelengkapan dan peralatan pejabat yang dianggarkan bernilai lebih RM180,000 daripada agensi berkenaan.

    Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. 

    Di mahkamah sama, Majistret Fatina Amyra mengeluarkan perintah reman selama lima hari hingga 17 Okt ini terhadap seorang penolong pegawai sebuah agensi perladangan berumur 41 tahun bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang bertugas sebagai pengurus perniagaan agensi sama di kawasan Klang pada 2018, telah bersubahat dengan seorang pemilik syarikat bagi mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan pasir sungai dan tanah kepada agensi perladangan tersebut, sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – BERNAMA

  • Tiga imigran maut dirempuh kereta api ketika tidur

    Tiga imigran maut dirempuh kereta api ketika tidur

    SERAMAI tiga imigran warga Algeria terbunuh manakala seorang lagi cedera parah apabila mereka dilanggar sebuah kereta api di Ciboure, selatan Perancis, semalam.

    Ketika kejadian mereka yang berusia 21 hingga 40 tahun itu dipercayai sedang tidur di atas landasan dekat sebuah stesen kereta api di bandar Saint-Jean-de-Luz yang terletak di tepi pantai.

    Seorang pendakwa raya tempatan, Jerome Bourrier berkata, brek kereta api itu gagal untuk menghentikannya daripada melanggar mereka.

    Beliau berkata, mangsa yang cedera pula tidak kritikal dan akan menjalani satu pembedahan.

    Ketiga-tiga lelaki itu dipercayai telah menghabiskan masa di Sepanyol sebelum memasuki Perancis. – Agensi

  • JAS kompaun kilang proses makanan RM30,000

    JAS kompaun kilang proses makanan RM30,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kilang yang memproses makanan di Pasir Gudang dikenakan kompaun RM30,000 selepas didapati gagal mematuhi peraturan berkaitan penjagaan alam sekitar ditetapkan pihak berkuasa.

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memberitahu, 15 kompaun dikeluarkan terhadap kilang tersebut kelmarin kerana gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    Sebuah kilang memproses makanan didapati melepaskan efluen hingga menyebabkan pencemaran

    “Persampelan ke atas pelepasan efluen telah dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis.

    “Persampelan ke atas pelepasan efluen telah dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis.

    “Tindakan susulan akan diambil ke atas premis selepas keputusan analisa diterima dari Jabatan Kimia,” jelas kenyataan itu.

    Menurut JAS lagi, premis industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan serta memastikan sebarang pencemaran alam sekitar tidak berlaku semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara dilaksana.

  • Penyelia asrama sekolah agama didenda RM,8000, penjara sehari terima rasuah

    Penyelia asrama sekolah agama didenda RM,8000, penjara sehari terima rasuah

    MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan sehari penjara terhadap seorang penyelia asrama sebuah sekolah agama selepas atas kesalahan menerima suapan berjumlah RM5,800 pada 2017.

    Muhamad Rozi Ahmad Puad, 36, mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM5,800 pada 2017 selepas di hadapan

    Hakim S. Indera Nehru selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh diperintahkan menjalani tambahan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, Muhamad Rozi sebagai penjawat awam iaitu penyelia asrama di Sekolah Menengah Agama al-Ulum al-Syar’iyyah dalam daerah Bagan Datuk telah memperoleh benda berharga daripada Ahmad Tarmizi Hariff untuk dirinya sendiri suatu suapan iaitu wang tunai RM5,800 melalui akaun bank milik tertuduh pada 31 Julai 2017.

    Wang suapan itu sebagai upah untuk tertuduh tidak membuat sebarang pemotongan terhadap tuntutan kontraktor perkhidmatan bekalan makanan bermasak secara Islam pada Julai 2017.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh yang telah berkahwin tidak diwakili peguam.

  • Kanak-kanak autisme maut tertinggal dalam van

    Kanak-kanak autisme maut tertinggal dalam van

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditemukan meninggal dunia setelah ditinggalkan beberapa jam dalam van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan, Seremban, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim, pihaknya menerima laporan polis mengenai kematian kanak-kanak autisme yang mempunyai masalah pembelajaran itu pada pukul 7.46 malam.

    Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa sepatutnya dihantar ke Pusat Jagaan Harian di Taman Nusari Aman oleh pemandu van berumur 34 tahun.

    “Bagaimanapun, lelaki tersebut telah pulang ke rumah tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam van berkenaan.

    “Pemandu van itu dipercayai tidak menyedari mangsa berada di dalam van dari pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang di hadapan rumah lelaki berkenaan sebelum mangsa ditemukan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan bedah siasat akan dijalankan ke atas mangsa bagi mengenal pasti punca kematian.

    Mohamad Said berkata tangkapan dibuat ke atas pemandu berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

  • Ops Noda:16 GRO warga Vietnam ditahan di banglo

    Ops Noda:16 GRO warga Vietnam ditahan di banglo

    SERAMAI 16 wanita warga Vietnam antara 22 individu yang ditahan dalam Ops Noda di sebuah banglo di Taman Yarl, Jalan Klang Lama semalam.

    16 wanita asing dan enam lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai ejen dan lima lagi adalah ‘transporter’ ditahan pukul 8.45 malam.

    Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua individu yang ditahan dalam Ops Noda itu berusia 21 hingga 29 tahun.

    “Lima lelaki berkenaan adalah ‘transporter’ atau pekerja yang membawa semua wanita itu dari satu lokasi ke banglo tersebut,” katanya pada sidang akhbar di lokasi tangkapan pada Selasa.

    Katanya, modus operandi sindiket itu ialah mengiklankan perkhidmatan melalui aplikasi Telegram kepada individu yang berminat.

    “Apabila ada pelanggan berminat dan bersetuju dengan harga, ejen akan menentukan lokasi untuk pelanggan berhibur dan aktiviti pelacuran.

    “Sindiket ini turut menawarkan khidmat penghantaran GRO untuk berhibur serta menyediakan kediaman mewah seperti kondominium dan banglo untuk menawarkan perkhidmatan seks,” katanya.

    Beliau berkata, sindiket menggunakan sebuah rumah banglo dua tingkat terletak dalam kawasan taman perumahan mewah yang disewa dengan harga RM3,600 sehari.

    “Sindiket turut menyediakan peralatan hiburan seperti lampu disko, meja pool, set karaoke serta lain-lain kelengkapan,” katanya.

    Menurutnya, peranan GRO ialah meneman pelanggan untuk minum dan berhibur serta menawarkan perkhidmaan seks dengan harga RM1,300 hingga RM2,500 seorang.

    “Sindiket ini juga dipercayai menggunakan pelbagai lokasi berlainan untuk pelanggan berhibur bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

    “Jika jumlah pelanggan ramai dan memerlukan GRO yang ramai, maka ejen akan mencari premis yang besar, contohnya banglo tujuh bilik yang disewa ini,” katanya.

    Mohamad Noor berkata, semakan awal mendapati 15 daripada 16 wanita warga asing yang ditahan itu mempunyai dokumen perjalanan sah.

    “Siasatan masih dijalankan untuk mengesan dalang utama atau bapa ayam sindiket ini serta berapa lama sindiket ini sudah beroperasi,” katanya.

    Menurutnya, kesemua suspek dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk tindakan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

    Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) akta sama, katanya.

  • Gangguan bekalan air 12 jam akibat Loji Air Semanggar terbakar

    Gangguan bekalan air 12 jam akibat Loji Air Semanggar terbakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEBIH 100 kawasan perumahan, kampung, kawasan perindustrian dan pejabat kerajaan mengalami gangguan bekalan air akibat dua unit transformers di Loji Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi dekat sini terbakar semalam.

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Ranhill SAJ Sdn. Bhd., kebakaran tersebut sudah dipadamkan pihak bomba dan pihaknya kini sedang melakukan kerja-kerja pembaikan.

    “Kebakaran mengakibatkan loji henti tugas dan berlaku gangguan bekalan air luar jangka di beberapa kawasan seperti dinyatakan.

    “Pihak SAJ sedang sedaya upaya bersama-sama pihak berkaitan untuk menyelesaikan permasalahan ini bagi memastikan kawasan terjejas menerima bekalan air bersih secara berperingkat-peringkat,” demikian menurut kenyataan itu.

    SAJ memberitahu, berdasarkan maklumat terkini, sekiranya kerosakan berjaya dibaiki dalam masa terdekat, anggaran tempoh pemulihan bekalan air adalah 12 jam selepas loji dioperasikan semula dengan kapasiti penuh.

    Antara kawasan terlibat di Kempas, Skudai, Senai, Austin, Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Sedenak, Seelong dan Kulai.

    SAJ memaklumkan, antara kawasan terlibat Bandaraya Iskandar Puteri; Forest City; Taman Tema Legoland; Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS); Bandar Pulai Jaya; kawasan perindustrian dan taman perumahan.

    Begitu juga pejabat kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Laut Marin dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Iskandar Puteri.

    Kebakaran mengakibatkan gangguan bekalan air di lebih 100 kawasan melibatkan taman, kampung, kawasan industri dan pejabat kerajaan

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Azman Jantan berkata, seramai 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    Katanya, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu kenderaan utiliti Pajero dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Pihak bomba menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 2.57 petang. Kebakaran dua unit transformers itu berlaku dalam bilik dan tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

    “Bilik berkenaan telah terbakar 80 peratus. Kebakaran telah mengakibatkan kesan jelaga pada bilik tersebut. Operasi tamat pada pukul 4.45 petang. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

  • 103 lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan

    103 lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 103 kes kematian baharu Covid-19 setakat tengah malam tadi.

    Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 berjumlah 27,525 setakat ini.

    Menerusi data KKM dalam portal COVIDNOW, sebanyak 26 daripada 103 kes yang dilaporkan ialah kematian di luar hospital (BID).

    Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses yang mengambil masa bagi mengesahkan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut.

    Sementara itu, terdapat 108,997 kes aktif Covid-19 di seluruh negara yang mana 85,383 individu atau 78.3 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

    Seramai 15,387 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

    Sebanyak 7,505 kes dirawat di hospital dan 722 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

    Kes ICU membabitkan 336 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 386 lagi memerlukan mesin ventilator.

  • Hampir 91 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    Hampir 91 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    MALAYSIA sudah mencatatkan 21,220,121 individu atau 90.6 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi setakat ini.

    Data terbaharu COVIDNOW memberitahu, seramai 995,383 menerima satu dos suntikan manakala 1,194,096 orang tiada vaksinasi.

    Berdasarkan kemajuan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Lembah Klang mencatat jumlah tertinggi pemberian dos kepada golongan dewasa iaitu 112.3 peratus, Labuan (99.2 peratus), Negeri Sembilan (99.2 peratus), Perlis (94.3 peratus) dan Pulau Pinang (91.2 peratus).

    Sementara paling rendah adalah di Sabah dan Kelantan apabila kedua-duanya merekodkan vaksinasi di bawah 80 peratus.

    Pemberian dos kepada golongan dewasa di Kelantan adalah sebanyak 74.4 peratus manakala Sabah sebanyak 66 peratus.

    Di Sabah, 1,820,807 individu atau 66 peratus populasi telah lengkap dos suntikan dan 211,453 orang atau 7.7 peratus menunggu untuk menerima suntikan kedua.

    Seramai 1,103,437 individu atau 40 peratus populasi dewasa tiada vaksinasi.

    Di Kelantan pula, hanya 919,258 individu atau 74.4 peratus populasi dewasa telah lengkap dos suntikan dan 58,692 (4.7 peratus) lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

    Individu yang tiada vaksinasi di negeri itu adalah 324,249 orang atau 26.2 peratus.

    Pada perkembangan sama, PICK-Remaja menunjukkan 18,477 orang dari usia 12 hingga 17 tahun telah lengkap vaksinasi dan 139,669 lagi menunggu suntikan dos kedua.

    Seramai 61,336 individu tiada vaksinasi.

    PICK-Remaja diunjurkan 80 peratus lengkap divaksinasi dalam tempoh 28 hari iaitu pada 10 November depan.