Category: Semasa

  • 2,000 polis Pulau Pinang ditugaskan terima 50,000 pengunjung

    2,000 polis Pulau Pinang ditugaskan terima 50,000 pengunjung

    SEBANYAK 150 pasukan melibatkan 2,000 anggota dan pegawai polis Pulau Pinang akan bertugas di lokasi-lokasi popular di seluruh negeri itu dalam persediaan menerima anggaran 50,000 pelancong hujung minggu ini.

    Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua mereka akan mula bertugas esok dalam memantau lokasi tumpuan pelancongan di kelima-lima daerah di negeri itu.

    Kata beliau, pasukan polis itu akan memberi tumpuan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pelancong antaranya kawasan pantai, tempat perkelahan, taman burung dan restoran.

    Jelas beliau, pemeriksaan secara ‘snap check’ atau rawak akan dilakukan bagi memastikan setiap individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

    “Selain itu pasukan trafik juga aka bersedia di laluan utama bermula malam ini bagi memastikan aliran kemasukan kenderaan khususnya ke bahagian pulau negeri ini lancar,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kereta peronda pelbagai guna Proton X70 kepada PDRM Pulau Pinang yang disumbangkan syarikat Inari Amerton Berhad hari ini.

    Dalam pada itu, Fisol mengingatkan orang ramai sentiasa mematuhi SOP memandangkan tiada lagi sekatan jalan raya dalam mengawal pergerakan rentas negeri ketika ini.

    Jelas beliau, kelonggaran itu bagaimanapun hanya diberikan kepada individu yang sudah lengkap dua dos vaksin dan mereka yang belum menerima vaksin tidak dibenarkan merentas negeri.

    “Sehubungan itu gunakanlah peluang ini sebaiknya dengan menjaga penjarakan sosial dan sentiasa mematuhi peraturan dalam kita bersama-sama mengekang penularan Covid-19,” katanya.

  • Zahid keluarkan RM17.9 juta dana Yayasan Akalbudi bantu anak perempuan beli hotel di Bali

    Zahid keluarkan RM17.9 juta dana Yayasan Akalbudi bantu anak perempuan beli hotel di Bali

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid telah mengeluarkan sejumlah RM17.9 juta daripada dana Yayasan Akalbudi (YAB) antara lain adalah untuk memudahkan anak perempuannya membeli sebuah hotel butik di Bali, Indonesia.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata anak Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah berminat untuk mengambil alih saham Ri-Yaz Asset Sdn Bhd dan mengusahakan hotel itu.

    “Pembeli yang berminat ialah Nurulhidayah dan ini disahkan oleh Tan Sri Rashid Manaf (saksi pendakwaan ke-83) serta Datuk Seri Mohd Shaheen Shah Mohd Sidek (saksi pendakwaan ke-84) yang telah bertemu dengan Nurulhidayah dan tertuduh bagi membincangkan cadangan usaha sama,” katanya.

    Beliau berkata perkara itu bermula apabila tertuduh memberikan arahan spesifik kepada Affin Bank untuk mengeluarkan dana daripada tujuh akaun simpanan tetap YAB berjumlah RM17,953,191.04 melalui firma guaman Tetuan Lewis & Co.

    “Firma itu (Lewis & co) telah mengeluarkan sekeping cek pada 30 Jun 2016 bagi jumlah RM8.6 juta kepada Ri-Yaz Asset Sdn Bhd sebaik menerima arahan daripada tertuduh. 

    “Menurut B. Muralidharan (saksi pendakwaan ke-87), beliau telah diarahkan oleh tertuduh untuk membuat pembayaran itu bagi tujuan membeli 60 peratus saham syarikat tersebut daripada Tan Sri Rashid yang ketika itu adalah Pengerusi Ri-Yaz Asset. 

    “Sebelum ini, Tan Sri Rashid memberitahu mahkamah bahawa beliau berhasrat menjual sahamnya kerana syarikat itu berdepan kesukaran dari segi pembayaran bagi pinjaman sebanyak US$24.8 juta daripada EXIM Bank untuk pembelian hotel tersebut di Bali, Indonesia,” katanya.

    Raja Rozela berkata demikian ketika berhujah di akhir kes pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

    Beliau berkata Ahmad Zahid telah diamanahkan dengan dana YAB bagi tujuan khusus iaitu membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan golongan miskin serta menjalankan kajian dan penyelidikan yang berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan.

    Katanya Ahmad Zahid juga secara sedar telah memilih untuk menggunakan dana YAB bagi membayar kad kredit, polisi insurans serta cukai jalan kenderaannya dan tidak menggunakan akaun bank peribadi beliau.

    “Mejar Mazlina Mazlan (bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid) dalam kenyataannya menyebut cek terbabit disediakan atas arahan dan pengetahuan tertuduh,” katanya. 

    Pendakwaan turut menyangkal dakwaan pembelaan bahawa Mazlina memiliki kawalan penuh ke atas buku cek justeru, tertuduh tidak mempunyai akses kepada dokumen itu. 

    “Itu hanya alasan kerana Ahmad Zahid adalah bos Mazlina. Beliau hanya perlu meminta Mazlina menunjukkan buku cek dan penyata kad kredit kepadanya.

    “Kami berhujah bahawa Mejar Mazlina bukan sengaja menyembunyikan buku cek daripada tertuduh. Tidak ada asas untuk rumusan itu,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB. 

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Isnin depan. – BERNAMA

  • Inspektor polis lepas, bebas tuduhan tukar barang rampasan

    Inspektor polis lepas, bebas tuduhan tukar barang rampasan

    SEORANG pegawai polis wanita berpangkat inspektor dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, daripada pertuduhan menukar barang rampasan disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 201.2 gram kepada gula batu untuk dihantar ke Jabatan Kimia pada 2019.

    Majistret P. Sarulatha  membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Inspektor Juliana Shamsuddin, 37, di akhir kes pendakwaan.

    Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan sembilan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan dikendalikan sejak dia dituduh kali pertama pada 12 Feb tahun lepas.

    Juliana didakwa menukar barang rampasan membabitkan 15 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 201.2 gram kepada gula batu sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis, dengan niat melindungi seorang individu daripada hukuman.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu sekitar pukul 7.30 malam pada 4 Jan 2019 sehingga pukul 11.31 pagi pada 10 Jan 2019 di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dekat sini, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan dengan tempoh penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Sarulatha dalam penghakimannya berkata terdapat beberapa kelompongan yang tidak dapat ditutup oleh pihak pendakwaan antaranya membabitkan kawalan kunci bilik penyiasat, sehingga menimbulkan tanda tanya.

    Selain itu, beliau berkata pihak pendakwaan gagal memanggil seorang saksi penting yang juga seorang anggota polis, yang disebut ketika perbicaraan berlangsung.

    “Pihak pendakwaan hanya bergantung pada keterangan mengikut keadaan. Pertuduhan juga cacat apabila hanya satu daripada 15 paket plastik lut sinar sahaja diuji membuatkan kandungan 14 paket lagi menjadi tanda tanya,” katanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon manakala  tertuduh diwakili peguam Khairul Naim Rafidi. – BERNAMA

  • ‘’Kena kaji betul-betul, kalau tak berjaya nanti jangan menyesal’’ – Pesan Dr.Mahfodz kepada Zahid

    ‘’Kena kaji betul-betul, kalau tak berjaya nanti jangan menyesal’’ – Pesan Dr.Mahfodz kepada Zahid

    SIDANG Assabiqun (veteran) Pas Pusat menafikan parti itu mengkhianati kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) apabila dalam masa sama turut menyertai Perikatan Nasional (PN).

    Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata, piagam MN sebenarnya tidak terbatas kepada UMNO dan Pas sahaja, sebaliknya turut mencakupi permuafakatan dengan orang Melayu Islam lain, yang berkongsi aspirasi sama seperti Bersatu.

    Beliau yang juga bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, mengakui kerjasama melalui MN adalah lebih kukuh kerana terdapat piagam yang dimeterai secara bersama walaupun dari segi teknikal, ia tidak didaftarkan sebagaimana PN.

    “Saya pun tak nampak di mana Pas mengkhianati, walaupun tak sebut nama (Pas) tetapi kita faham. Seolah-olah kita khianati MN, sedangkan kita nak menyelamatkan umat Melayu Islam, sebab itu kita bersama-sama PN.

    “Peliknya, yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri pun membabitkan UMNO. Tak akan naik Presiden Bersatu itu tanpa sokongan UMNO,” katanya kepada Berita Harian.

    Berkenaan pendirian Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bahawa UMNO dan BN tidak akan bekerjasama dengan parti lain pada PRN Melaka, Mahfodz berkata, beliau menghormati pandangan itu walaupun beranggapan ia tidak popular.

    Mahfodz berharap Presiden UMNO itu mengkaji secara mendalam sebelum membuat keputusan supaya tidak menyesal di kemudian hari.

    “Kena kaji betul-betul, kalau tak berjaya nanti jangan menyesal, semuanya melopong nanti kalau nak lawan tiga penjuru.

    “Kalau masing-masing dengan ego masing-masing, maka akan merugikan umat Melayu Islam kerana kita bergabung itu bukan sahaja atas nama MN tapi atas nama perpaduan ummah,” tegasnya.

    Sementara itu, Mahfodz optimis hubungan kedua-dua parti menerusi MN boleh diselamatkan melalui rundingan malah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bersama beberapa kepemimpinan parti baru bertemu Isnin lalu walaupun tidak secara rasmi.

    Beliau melihat pertemuan ‘minum teh’ itu sebagai positif kerana penubuhan MN berlaku sewaktu Mohamad memangku jawatan Presiden UMNO apabila Ahmad Zahid bercuti sementara.

    “Pertemuan itu ada membincangkan soal MN, tetapi mereka semua tertakluk kepada keputusan Presiden masing-masing.

    “Jadi, tidak tahulah adakah ia (kenyataan Ahmad Zahid) sekadar taktikal atau betul-betul (dimaksudkan),” katanya.

    Mahfodz menjelaskan, pendirian Pas adalah konsisten iaitu ‘memperkukuhkan MN, mempertahankan PN’ dan cogan kata itu turut diberi penekanan dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas yang disertainya baru-baru ini.

    “Kita yakin hanya dengan penglibatan ketiga-tiga parti ini, kita boleh mengekalkan kuasa orang Melayu Islam.

    “Kita tahulah dulu UMNO kuat, tetapi secara realiti semasa tidak boleh rasa begitu lagi kerana selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tidak ada satu parti pun yang boleh monopoli, menang bersendirian,” tegasnya.

  • Kalau hilang Langkawi, bagaimana rasa orang Kedah? – Sultan Johor

    Kalau hilang Langkawi, bagaimana rasa orang Kedah? – Sultan Johor

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dalam tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

    Baginda mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

    “Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang. Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita? Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.

    “Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?

    “Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr. Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan. Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini,

    Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu kenyataan telah memaklumkan kerajaan negeri Johor memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas kerajaan Persekutuan.

    Penubuhan pasukan itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar perundangan antarabangsa berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

  • Syed Saddiq dilantik Pengerusi Kaukus Medical Cannabis

    Syed Saddiq dilantik Pengerusi Kaukus Medical Cannabis

    SEMBILAN Ahli Parlimen bersetuju menubuhkan Kaukus Medical Cannabis yang dipengerusikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi mengkaji isu kawal selia penggunaan ketum dan kanabis perubatan bagi mengurangkan kemudaratan sebagai antara bentuk perubatan yang diiktiraf di Malaysia.

    Satu kenyataan bersama oleh sembilan Ahli Parlimen berkenaan hari ini menyatakan kaukus berkenaan diwakili Ahli Parlimen merentas pelbagai parti sebagai usaha bipartisan yang murni dalam merangka dasar dan strategi berkaitan ketum dan kanabis perubatan.

    “Kaukus ini akan hadir dengan draf cadangan untuk perhatian kerajaan bagi memastikan pesakit yang bergantung kepada kaedah perubatan ketum dan kanabis dapat dijaga melalui sistem kesihatan negara,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan bersama itu ditulis Syed Saddiq dan ahli-ahli kaukus iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang); Khalid Abd Samad (Shah Alam); Datuk Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat); Datuk Ignatius Darell Leiking (Penampang); Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching); Dr Azman Ismail (Kuala Kedah); Lukanisman Awang Sauni (Sibuti) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).

    Sebagai sebahagian daripada rangka kerja awal, kaukus berkenaan akan bertemu dengan kumpulan pakar kesihatan, penyelidik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan berkaitan serta kementerian yang terlibat bagi mendapatkan pandangan untuk pembentukan dasar.

    Menurut kenyataan itu ia juga selaras dengan usaha mengembangkan industri ketum dan kanabis perubatan di Malaysia yang memberi manfaat kepada industri kesihatan negara.

    “Kaukus Medical Cannabis percaya bahawa semangat bipartisan yang diangkat ini akan dapat diterjemah kepada dasar dan strategi yang baik untuk manfaat rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Peniaga air tebu hampir hancur jari tersepit mesin

    Peniaga air tebu hampir hancur jari tersepit mesin

    SEORANG lelaki hampir hancur jari tangan kirinya selepas tersepit pada mesin air tebu dalam kejadian di Taman Dato’ Shahbandar, dekat sini pagi tadi. 

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohammad Idris berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.34 pagi tadi dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian bagi membantu lelaki berusia lingkungan 50 tahun itu yang berniaga air tebu di depan rumah.

    “Anggota bomba mengambil masa kurang daripada lima minit bagi mengeluarkan tangan kiri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohamad berkata peniaga tersebut dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut. – BERNAMA

  • 4 sekawan didenda RM4,000 tawar pinjaman tidak wujud

    4 sekawan didenda RM4,000 tawar pinjaman tidak wujud

    EMPAT sekawan masing-masing seorang lelaki dan tiga wanita didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah menawarkan pinjaman tidak wujud minggu lalu.

    Hukuman itu dijatuhi Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan terhadap tertuduh Lee Soon Ching, 21; Liew Hui Juan, 28; Connie Nam, 25, dan Ho Wei Lun, 33, di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda manakala barang kes turut diperintah dilupuskan.

    Mengikut pertuduhan mereka didakwa secara bersama-sama menawarkan pinjaman wang yang tidak wujud yang mana kesalahan itu dilakukan di B-11-03, Goodfield Resident, Jalan Bukit Minyak Permai 2, Bukit Mertajam kira-kira pukul 4.05 petang pada 7 Oktober lalu.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-dua sekali.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal.manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ima Syakira.

    Mengikut fakta kes, sebanyak 44 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung satu sindiket pinjaman wang tidak wujud sejak Januari lalu dengan anggaran kerugian RM401,815.32.

  • Rogol anak kandung, zalimi isteri ketika hubungan intim

    Rogol anak kandung, zalimi isteri ketika hubungan intim

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang penganggur ditahan di Sungai Petani, Kedah kerana disyaki merogol anak kandung dan menzalimi isterinya ketika melakukan hubungan intim.

    Perbuatan kejam lelaki terbabit terhadap anaknya yang berusia belasan tahun itu berlaku enam kali sejak hujung tahun lalu sehingga pertengahan bulan tahun ini.

    Manakala, isterinya yang berusia 30-an pula menjadi mangsa kezaliman lelaki terbabit sejak tiga tahun lalu selepas melahirkan anak bongsu mereka.

    Menurut sumber, perbuatan lelaki terbabit terbongkar apabila dua beranak yang menjadi mangsa kerakusannya membuat laporan polis, semalam.

    “Susulan daripada laporan itu, suspek yang juga penganggur berusia 40 tahun direman tiga hari bagi membantu siasatan.

    “Siasatan lanjut mendapati suspek merogol anaknya ketika isteri keluar bekerja atau sedang tidur,” katanya.

    Menurutnya, suspek juga menzalimi isteri dengan menggunakan objek tertentu ketika mereka melakukan hubungan intim.

    “Sebelum ini, ibu dan anak enggan menceritakan kejadian menimpa mereka kepada sesiapa kerana bimbang dengan sikap panas baran lelaki terbabit.

    “Bagaimanapun, ia terbongkar selepas wanita terbabit nekad keluar daripada rumah kerana tidak tahan dengan sikap suami dan ketika itulah anaknya membuka cerita.

    Sumber berkata, dua beranak berkenaan dihantar menjalani pemeriksaan di hospital dan turut akan diberikan khidmat kaunseling.

    Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan juga tangkapan terhadap suspek namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

  • Suri rumah mengaku tidak bersalah peras wang suami

    Suri rumah mengaku tidak bersalah peras wang suami

    SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap suami sendiri dengan mengambil wang tunai mangsa berjumlah RM13,000 di sebuah hotel dekat sini, bulan lepas.

    Alimi Wahidah Shamsul, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

    Dia didakwa berniat jahat melakukan pemerasan terhadap suami, Mat Yassin Junus, 60, dengan cara mengambil wang tunai berkenaan sebagai cagaran sehingga membawa ketakutan kepada mangsa di sebuah hotel dekat Kota Bharu kira-kira 6.19 petang, 21 Sept lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nazuha Mohd Nasir menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang diwakili peguam Aryani Mohd Amin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon jumlah jaminan tidak lebih RM2,000.

    “Tertuduh mempunyai dua anak yang masih bersekolah malah turut menjaga ibunya yang berusia 75 tahun dan uzur,” kata peguam itu.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Dis untuk sebutan semula kes. – BERNAMA