Category: Semasa

  • PGA Kuantan rampas RM6.3 juta barangan seludup

    PGA Kuantan rampas RM6.3 juta barangan seludup

    SEJAK Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan mengambil alih penugasan Ops Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan bermula 16 September sehingga hari ini, lebih RM6.3 juta pelbagai barangan seludup dirampas.

    Rampasan membabitkan barangan kontraban seperti pakaian, vape, rokok dan pelbagai jenis makanan mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM5.03 juta sepanjang tempoh penugasan itu.

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan membabitkan penyeludupan haiwan seperti lembu, rusa dan kambing berjumlah RM847,440 menjadi penyumbang kedua tertinggi kepada kejayaan itu.

    “Ia diikuti oleh barangan kawalan seperti tepung, minyak masak dan petrol berjumlah RM235,025.

    “Rampasan membabitkan dadah, daun ketum, ubat batuk dan haiwan eksotik turut berjaya dilakukan Batalion 7 PGA Kuantan.

    “PGA turut menahan seramai 94 individu termasuk seorang warga Thailand yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Selain itu katanya, rampasan membabitkan dadah, daun ketum, ubat batuk dan haiwan eksotik turut berjaya dilakukan Batalion 7 PGA Kuantan.

    Menurutnya, pasukan tersebut turut menahan seramai 94 individu termasuk seorang warga Thailand yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan.

    Sementara itu, Azhari berkata, seramai 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Ops Benteng Covid-19 itu.

    “Menerusi operasi itu, kita dapati trend membawa masuk PATI sepanjang tempoh penugasan kali ini ialah menggunakan kenderaan mewah seperti Toyota Alphard dan pacuan empat roda seperti Ford Ranger dan Toyota Hilux.

    “Kesemua kenderaan itu menggunakan cermin gelap bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

    Azhari berkata, kemua kejayaan tangkapan PATI itu diperoleh hasil penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) di Lalang Pepuyu dan Cabang Empat Salam.

    “Fokus utama PGA sebagai agensi penguat kuasa di sempadan adalah mencegah dan membenteras segala bentuk penyeludupan termasuk jenayah rentas sempadan walau dalam apa jua keadaan,” kata beliau.

  • JPNP tahan pemandu jengkaut rata hutan simpan

    JPNP tahan pemandu jengkaut rata hutan simpan

    JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan seorang pemandu jengkaut yang sedang leka melakukan kerja-kerja pembersihan secara haram di kawasan Hutan Simpan Purun, Bera, semalam.

    Lelaki tempatan berusia 43 tahun itu ditahan ketika lima anggota Penguat Kuasa (UPK) Pahang Timur yang diketuai Pengawas Hutan, Mohd. Azhar Mudzafar melakukan rondaan di kawasan hutan terbabit.

    Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, lelaki tersebut mendakwa telah ditugaskan untuk meratakan tanah di kawasan hutan berkenaan dan tidak mengetahui kerja itu satu kesalahan besar.

    Susulan itu katanya, JPNP menahan lelaki terbabit dan satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera atas kesalahan menceroboh dan membersihkan Hutan Simpan Purun.

    “Lelaki itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis. Kita turut menyita jentera terbabit dan kini ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Mentakab di Temerloh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Nor Azirim tidak menolak kemungkinan kegiatan membersihkan hutan dan meratakan tanah di kawasan hutan tersebut adalah untuk menanam kelapa sawit.

    “Kalau kita lihat kawasan berhampiran Hutan Simpan Purun ini begitu terkenal dengan tanaman kelapa sawit.

    “Atas sebab itu terdapat banyak percubaan daripada individu atau pihak tertentu meneroka tanah haram di hutan simpan bagi tujuan pertanian,” katanya.

  • KPN nafi siar iklan isi ratusan jawatan guru Tabika

    KPN nafi siar iklan isi ratusan jawatan guru Tabika

    KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) hari ini menafikan telah menyiarkan iklan menawarkan peluang mengisi ratusan kekosongan jawatan guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) seperti yang tular menerusi media sosial baru-baru ini.

    KPN memaklumkan iklan yang disiarkan dalam status Facebook bertajuk Semakan Dan Permohonan Online itu menggunakan logo Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan gambar Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

    “Meskipun agensi Kemas bukan di bawah KPN, gambar wajah dan nama Menteri Perpaduan Negara dijadikan sebagai hiasan utama poster bagi memberi nilai komersial kepada iklan tersebut,” menurut KPN dalam kenyataan hari ini.

    KPN memaklumkan iklan itu mencetuskan tanda tanya kerana mencatatkan syarat kelayakan mengisi kekosongan jawatan tersebut terlalu rendah iaitu sekadar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

    Menurut KPN, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memaklumkan iklan khas mereka yang sebenarnya telah disiarkan pada 11 Okt lepas bagi mengisi enam kekosongan jawatan Guru Tabika Perpaduan Gred S29.

    Kelulusan akademik sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak merupakan syarat kelayakan utama bagi pengambilan Guru Tabika Perpaduan JPNIN.

    Turut dimaklumkan dalam iklan tersebut ialah peluang mengisi jawatan Pembantu Operasi (Penolong Guru) Gred N11 yang menawarkan empat kekosongan.

    Menurut KPN, dalam siaran iklan melalui Facebook @Rakan Perpaduan Pahang itu dengan jelas dinyatakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi iaitu calon lepasan Diploma dalam bidang berkaitan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Institusi Pendidikan Tinggi tempatan.

    “Iklan ratusan kekosongan jawatan guru Tabika itu tular sejak Jumaat lepas dan poster mengelirukan tersebut telah mencatat hampir 1,000 perkongsian menerusi laman sosial,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Tiada lagi penjarakan sosial ketika solat di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    Tiada lagi penjarakan sosial ketika solat di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    SELEPAS lebih setahun pelbagai peraturan diperketatkan termasuk dari segi jumlah jemaah dan penjarakan sosial berikutan pandemik Covid-19, hari ini sejarah tercatat apabila Masjidilharam dan Masjid Nabawi kembali seperti biasa.

    Sejak malam tadi pekerja-pekerja dua masjid itu itu bertungkus lumus membuat persediaan memindahkan halangan di sekitar Kaabah dan menanggalkan pelekat penjarakkan sosial memandangkan jumlah jemaah kini dibenarkan mengikut kapasiti penuh.

    Siaran secara langsung solat Subuh melalui saluran Haramain di Mekah dan Madinah menarik perhatian umat Islam di seluruh dunia. Dalam media-media sosial seperti Facebook dan Twitter jutaan umat Islam melahirkan kesyukuran.

    Turut mendapat perhatian ialah pemberian air zam-zam kepada jemaah yang kembali dilakukan di sekitar Kaabah.

    Bagaimanapun kawalan keselamatan dan pemantauan ketat tetap dilakukan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

    Ia termasuklah melakukan pemeriksaan mengejut ke atas jemaah bagi memeriksa status vaksinasi mereka (lengkap dua dos) dan bukti telah melakukan tempahan untuk menunaikan umrah serta solat.

    Berikut gambar-gambar di Masjidilharam awal pagi ini:

    Pemeriksaan status vaksinasi jemaah oleh pihak keselamatan Masjidharam
    Pekerja memindahkan halangan.
    Seorang petugas memberikan air zam-zam kepada jemaah.
    Seorang petugas menanggalkan pelekat.
  • Lelaki maut tersepit selepas kereta terbabas

    Lelaki maut tersepit selepas kereta terbabas

    SEORANG lelaki yang memandu sebuah kereta jenis Honda Civic terbabas dan terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Melayu Subang, Shah Alam awal pagi ini.

    Kejadian kira-kira pada pukul 4 pagi itu juga mengakibatkan rakannya cedera.

    Ketika kejadian mangsa, Muhammad Daniel Aifiq dan rakannya dalam perjalanan menghala ke arah Bukit Jelutong sebelum dipercayai terbabas.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan pukul 4.16 pagi sebelum anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta Honda Civic dipandu seorang lelaki berumur 22 tahun bersama-sama seorang penumpang.

    “Pemandu kereta didapati tersepit di bahagian pemandu manakala penumpang hanya mengalami kecederaan dihantar ke hospital sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Pihaknya kemudian menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    “Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan alat rescue tool.

    “Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Op Samseng Jalanan: Polis tahan 16 pemandu mabuk

    Op Samseng Jalanan: Polis tahan 16 pemandu mabuk

    POLIS menahan 16 lelaki kerana disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol serta menunggang motosikal secara merbahaya menerusi Operasi Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara, kelmarin hingga pagi ini.

    Operasi itu dijalankan 89 pegawai Unit Penguatkuasaan dan Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula pukul 9 malam kelmarin hingga 4 pagi tadi.

    Tumpuan operasi adalah di sekitar pusat bandar, Jalan Bangsar, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut (menghala Sentul dan Chow Kit), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

    Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, hasil operasi, 11 lelaki berusia antara 21 hingga 51 tahun ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk.

    Beliau berkata, lima lagi lelaki berusia 15 hingga 22 tahun ditahan kerana menunggang motosikal sambil melakukan aksi ‘Superman’, zig-zag’, dan ‘roket’ selain bersaing sesama sendiri.

    “Semua tahanan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 45(A) dan 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Secara keseluruhan sebanyak 358 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

    “JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Juruteknik ditipu tawaran pinjaman wang menerusi Facebook

    Juruteknik ditipu tawaran pinjaman wang menerusi Facebook

    SEORANG juruteknik membuat pinjaman selepas tertarik dengan satu iklan pinjaman wang menerusi Facebook.

    Baaimanapun mangsa yang berusia 24 tahun menyedari ditipu sindiket pinjaman tidak wujud selepas membuat empat transaksi ke tiga akaun.

    Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof memberitahu, jumlah semua transaksi itu membabitkan jumlah sebanyak RM13,310.

    “Kejadian itu bermula pada Khamis apabila mangsa menghubungi seorang individu dikenali sebagai CK Leong dan memberitahu mahu membuat pinjaman sebanyak RM20,000.

    “Mereka mengadakan perbincangan, mangsa bersetuju dan kemudian menyerahkan maklumat lengkap seperti kad pengenalan, penyata bank, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penyata gaji bagi membolehkan permohonan pinjaman diproses.

    “Individu itu kemudian meminta mangsa membuat beberapa transaksi ke dalam tiga akaun diberikan bagi proses pinjaman wang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan kesemua wang diminta dianggarkan berjumlah RM13,310 bagi tujuan kelulusan pinjaman terbabit.

    Katanya, individu berkenaan bagaimanapun masih lagi meminta mangsa membuat pembayaran kononnya untuk proses kemasukan wang ke dalam akaun.

    “Mangsa mula mengesyaki individu itu merupakan ‘scammer’ dan segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

  • Satu maut, tiga cedera kereta langgar gajah

    Satu maut, tiga cedera kereta langgar gajah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG maut manakala tiga lagi cedera termasuk seorang kanak-kanak selepas kereta dinaiki melanggar seekor gajah di Jalan Pinang menghala ke Bukit Tongkat, Kluang, malam tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 9.59 malam itu, kereta jenis Honda City dinaiki semua mangsa dikatakan tidak perasan kemunculan gajah sebelum tidak sempat menekan brek lalu melanggar haiwan tersebut.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penguasa Bomba Kanan II Abd. Rahim Razali berkata, seramai lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Langgar gajah
    Seorang maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan melanggar seekor gajah di Jalan Pinang, Kluang, malam tadi.

    “Terdapat tiga telah dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak ambulans sebelum bomba tiba di lokasi kejadian.

    “Bomba bertindak mengeluarkan seorang mangsa, Ismail Daud, 37, dari bahagian tempat duduk pemandu dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

    “Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Pemandu kereta tersebut meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan pegawai perubatan yang hadir

    “Selain itu, biras dan bapa mertua mangsa, masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 65 tahun dan seorang kanak-kanak berusia lima tahun dalam kereta tersebut cedera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, tidak diketahui keadaan gajah tersebut dan operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 10.44 malam.

  • 4 laporan diterima, 2 kertas siasatan dirujuk BNM susulan pendedahan Kertas Pandora

    4 laporan diterima, 2 kertas siasatan dirujuk BNM susulan pendedahan Kertas Pandora

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan polis berkait dakwaan wang Malaysia yang dibawa ke luar negara secara haram susulan pendedahan Kertas Pandora baru-baru ini.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan menjelaskan, dua daripada laporan yang diterima telah diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut kerana berkaitan dengan aktiviti penyerahan memorandum menggesa siasatan.

    Bagi dua lagi laporan polis katanya, PDRM telah pun membuka kertas siasatan dan menjalankan rakaman percakapan pengadu.

    “Satu kertas siasatan yang dibuka telah pun dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Oktober 2021 manakala satu lagi kertas siasatan akan dirujuk kepada BNM pada 18 Oktober 2021 untuk siasatan lanjut,” memetik kenyataan media yang dikeluarkan beliau hari ini.

    Antara badan politik yang pernah membuat laporan berhubung isu ini adalah Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Pemuda Pakatan Harapan (PH).

    Pendedahan Pandora Papers seperti yang telah dilaporkan oleh Global Financial Integrity (GFI) mendapati terdapat pengaliran wang Malaysia ke luar negara secara haram yang berjumlah RM1,800 billion dari tahun 2005 sehingga 2015.

    Pendedahan itu turut mendapati beratus ahli politik Malaysia yang terlibat dalam isu ini, termasuk Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Zainal Abidin; Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menegaskan, kerajaan terbuka dan tidak akan mencampuri dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkenaan kandungan dan pendedahan Kertas Pandora baru-baru ini.

    Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan terbuka untuk mana-mana pihak berkuasa yang terlibat untuk melakukan siasatan sekiranya ada bukti terhadap apa yang dilaporkan oleh pihak berkenaan.

  • Tiga kanak-kanak antara 12 PATI diusir dari Sarawak

    Tiga kanak-kanak antara 12 PATI diusir dari Sarawak

    SERAMAI 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir keluar dari Sarawak selepas cuba masuk melalui lorong tikus di kawasan Tebedu hari ini.

    Dalam kejadian sekitar 5.30 pagi itu, semua PATI berjalan kaki memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia.

    Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kehadiran mereka dikesan sepasukan anggota yang sedang melaksanakan serkap.

    “Setelah ditahan dan disoal siasat, lima individu lelaki berusia antara 35 hingga 45 tahun, empat individu wanita berusia antara 34 hingga 39 tahun bersama tiga kanak-kanak lelaki berusia antara empat hingga 14 tahun disahkan sebagai PATI.

    “Ini kerana mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah selain menggunakan laluan haram untuk masuk mencari pekerjaan.

    “Kesemua PATI diusir dan laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

    Jelas pasukan 1 Divisyen lagi, impak pandemik Covid-19 menyebabkan kes-kes melibatkan PATI cuba memasuki Sarawak untuk mencari pekerjaan dilihat semakin meningkat.

    Pelbagai taktik dan kaedah digunakan PATI yang cuba masuk ke Malaysia termasuk cubaan menyelinap di awal pagi, namun berjaya digagalkan, jelas kenyataan itu lagi.

    1 Div menambah, Tentera Darat khususnya anggota-anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak-Kalimantan Barat akan terus kekal siaga dalam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.